Category Archives: Skandal @ Geran MOSTI

Dato’ Seri Najib Wajar Dermakan Wang Peribadi Untuk Bantu Kontraktor Bumiputra Dalam Projek NSE

Saya merujuk kepada laporan-laporan media mengenai nasib malang yang menimpa sekumpulan kontraktor Bumiputra yang dimangsakan apabila Kerajaan Persekutuan enggan bertanggungjawab ke atas kegagalan sebuah projek komersil di Kerteh, Terengganu.

(Rujuk laporan Malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/353943 “Johari: Not fair to ask gov’t to use taxpayers’ money for bailouts” )

Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Johari Abdul Ghani memberi alasan kononnya Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan kerana ia tidak adil kepada rakyat; kononnya isu komersil perlu diselesaikan oleh syarikat-syarikat terbabit sahaja tanpa melibatkan wang rakyat.

Saya tidak pasti sama ada Dato’ Johari Abdul Ghani tidak ingat bahawa saya pernah membawa isu ini selama berbulan-bulan dalam tahun 2014 kerana ia melibatkan campur tangan Perdana Menteri sendiri; atau Dato’ Johari Abdul Ghani memang sengaja mahu memalukan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Untuk mendapat latar belakang penuh mengenai isu ini, saya rujuk kepada 8 kenyataan media yang saya buat dari 15 April 2014 hingga 18 Jun 2014 untuk mendedahkan bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam pertimbangan pemberian geran “research & development” (R&D)untuk membiayai projek komersil (lawati http://rafiziramli.com/category/skandal-geran-mosti/)

Saya ingin mengingatkan Dato’ Johari Abdul Ghani bahawa Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu surat bertarikh 21 November 2013 kepada Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri MOSTI ketika itu dengan satu minit tulisan tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri meminta supaya MOSTI mempertimbangkan permohonan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek yang diusahakan oleh NSE Resources Sdn Bhd (NSE).

Pada 21 Januari 2014, Datuk Dr Ewon Ebin mengeluarkan surat kepada NSE menyatakan kelulusan pada prinsipnya untuk memberikan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek komersil tersebut (dengan merujuk kepada surat asal dari NSE).

Saya sertakan kembali surat-surat dari Pejabat Perdana Menteri dan MOSTI termasuklah minit tulisan tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

img_8940-2

image

image

Oleh sebab itulah, kenyataan Dato’ Johari Abdul Ghani semalam memerangkap Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana ia menimbulkan kembali isu yang saya dedahkan dahulu mengenai pengurusan geran R&D yang terdedah kepada penyelewengan akibat campur tangan pihak lain.

Tindakan Dato’ Seri Najib membiarkan kontraktor-kontraktor Bumiputra ini terkontang-kanting hingga ada yang dikejar Along adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana kontraktor-kontraktor ini memulakan kerja berdasarkan tindakan Dato’ Seri Najib yang memberi isyarat bersetuju memberikan geran R&D RM100 juta itu. Malahan pentadbiran beliau secara rasmi mengesahkan perkara itu dan logiklah kontraktor-kontraktor ini menyempurnakan kerja-kerja yang diberikan kepada mereka.

Dalam keadaan sekarang, saya mendesak Dato’ Seri Najib bertanggungjawab kepada nasib kontraktor-kontraktor ini. Dato’ Seri Najib boleh membantu dengan dua cara, iaitu sama ada:

i. Menggunakan gaji beliau dan simpanan beliau yang sering mendapat derma untuk melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor ini; atau

ii. Menghubungi penderma-penderma beliau untuk mengumpul jumlah yang diperlukan bagi melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor kerana Dato’ Seri Najib mempunyai ramai kenalan yang pemurah sehingga pernah menderma RM2.6 bilion kepada beliau.

Saya akan membawa kembali isu ini sehinggalah pihak yang bertanggungjawab tampil untuk menerima tanggungjawab tersebut.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

MOSTI Sahkan Anak-Anak Syarikat NSE Resources Pernah Mendapat Geran

Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) sebelum ini bertegas tidak pernah memberi apa-apa geran kepada syarikat NSE Resources Corporation (M) Sdn Bhd (“NSE”) yang sebelum ini saya kaitkan dengan kelulusan dana RM100 juta di bawah MOSTI.

Malah, Timbalan Menteri MOSTI Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah pada 23 April 2014 dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai berkata:

1. MOSTI tidak pernah menerima sebarang permohonan geran dari NSE
2. Geran maksima yang diberikan oleh MOSTI adalah RM3 juta kecualilah ia projek yang diusahakan anak-anak syarikat MOSTI sendiri

Saya telah mendapat tahu bahawa geran-geran yang diberikan kepada NSE sebelum ini ialah melalui syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya iaitu Global Network Technology Sdn Bhd dan NSE Pomar Sdn Bhd.

Saya telah mengajukan soalan untuk mendapatkan pengesahan dari MOSTI sama ada MOSTI atau mana-mana agensi di bawahnya pernah memberikan apa-apa geran kepada kedua-dua syarikat ini.

Download (PDF, 517KB)

Download (PDF, 648KB)

Jawapan MOSTI yang bertarikh 16 Jun 2014 dilampirkan yang jelas menunjukkan bahawa MOSTI sendiri mengakui ia pernah memberi geran-geran berjumlah RM14.19 juta kepada kedua-dua syarikat ini. Malah, kedua-dua syarikat berkaitan dengan NSE ini telah gagal menyempurnakan projek dan projek telah ditamatkan.

Lebih dari itu, jawapan MOSTI sendiri bertentangan dengan kenyataan awal Timbalan Menteri bahawa dana maksimum adalah RM3 juta bagi setiap projek. Dana yang diberikan kepada Global Network Technology Sdn Bhd adalah RM5.995 juta untuk satu projek dan RM3.733 juta untuk projek kedua; sementara dana kepada NSE Pomar Sdn Bhd adalah R4.463 juta.

Saya tidak pasti sama ada Timbalan Menteri MOSTI tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai geran-geran yang diberikan oleh kementerian beliau atau beliau cuba menyembunyikan maklumat dari orang awam mengenai keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh syarikat-syarikat yang sering mendapat geran dari MOSTI seperti NSE ini (atau anak-anak syarikatnya).

Sebab itu penafian kosong yang dibuat oleh MOSTI pada hari Khamis, 12 Jun 2014 tidak membawa apa-apa makna selagi Perdana Menteri dan Menteri MOSTI tidak membuat akuan bersumpah bahawa mereka tidak pernah menandatangani surat-surat bersabit kelulusan geran RM100 juta kepada NSE.

Download (PDF, 83KB)

Tanpa penafian dalam bentuk akuan bersumpah, surat dari Menteri MOSTI yang saya lampirkan bolehlah dikira benar, apatah lagi apabila Perdana Menteri dan Menteri MOSTI enggan menjawab soalan berkenaan kesahihan surat-surat itu di dalam Parlimen.

Saya yakin bahawa banyak lagi ketirisan dalam pentadbiran dan pemberian geran seperti ini yang berlaku yang belum didedahkan. Jika MOSTI dan Perdana Menteri terus mengamalkan pemberian geran yang besar sehingga mencecah ratusan juta ini kepada syarikat-syarikat tertentu, rakyatlah yang akan terus terbeban dengan pelbagai cukai baru dan lain-lain untuk menampung ketirisan ini.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

18 Jun 2014

Skandal MOSTI: Projek Diunjurkan Mendapat Perolehan RM70 Juta Setahun Tetapi Dibiayai Oleh Geran Percuma

Sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd (“NSE”) telah berjaya mendapatkan geran sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersilnya untuk membekalkan stim air (steam) kepada sebuah projek industri di Kerteh.

Bersama-sama ini saya sertakan dokumen dari NSE sendiri yang dihantar ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pejabat Perdana Menteri di dalam proses untuk mendapatkan geran tersebut yang memperincikan kos projek dan unjuran perolehan/keuntungan yang bakal diperolehi.

Download (PDF, 1.69MB)

Projek membekalkan stim air ini menelan kos sebanyak RM130 juta (rujuk dokumen).

Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya dalam tahun 2015, perolehan tahunan adalah sebanyak RM68 juta setahun dan akan terus meningkat hingga mencecah kepada RM78 juta menjelang tahun 2023. Keuntungan operasi tahunan pula adalah diunjurkan sebanyak RM27 juta dalam tahun 2015 dan dijangka mencecah RM31 juta setahun menjelang 2023.

Maknanya, dengan geran berjumlah RM100 juta itu yang saya simpulkan tidak perlu dibayar balik kerana ia satu geran dan bukan pinjaman – syarikat NSE ini akan mendapat untung besar setiap tahun dari projek komersilnya tanpa perlu mengeluarkan modal kerana kos projek dibiayai oleh rakyat melalui geran kerajaan.

Sebab itu, saya mendesak Perdana Menteri menerangkan bagaimana beliau dan Menteri MOSTI boleh meluluskan geran sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersil yang keuntungannya hanya mengkayakan kroni sedangkan beribu-ribu pensyarah yang mengusahakan kajian berhempas pulas untuk mendapatkan geran yang jumlahnya jauh lebih kecil setiap tahun.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

12 Jun 2014

Skandal Geran MOSTI: Perdana Menteri & Menteri Enggan Jawab Di Parlimen, Sahkan Kesahihan Surat

Sebelum ini, saya telah mendedahkan bagaimana geran di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang sepatutnya digunakan untuk memacu aktiviti R&D telah disalahgunakan untuk membiayai projek komersil yang tidak pasti nilai R&Dnya.

Ini berikutan satu surat yang diminitkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Menteri MOSTI, Datuk Dr Ewon Ebin yang memberi sokongan agar dana sebanyak RM100 juta diberikan kepada sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd.

Oleh kerana Perdana Menteri enggan memberi sebarang maklum balas seperti lazimnya, saya pernah menggesa supaya kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri MOSTI membuat akuan bersumpah bahawa surat-surat itu adalah palsu, seperti berikut:

1. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang diminitkan beliau itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau meminitkan sesuatu mengenai perkara itu;

Download (PDF, 1.19MB)

2. Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang ditandatangani beliau bertarikh 21 Januari 2014 itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau menandatangani surat itu.

Download (PDF, 83KB)

Seperti lazimnya juga, kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri MOSTI mendiamkan diri dan tidak memberi sebarang maklumbalas kepada desakan saya itu.

Oleh sebab itu, saya telah mengajukan dua soalan mengenai perkara ini untuk mengesahkan sama ada Perdana Menteri dan Menteri MOSTI ada menandatangani kedua-dua surat yang saya dedahkan sebelum ini yang membongkarkan skandal geran MOSTI ini.

Saya menerima jawapan dari Setiausaha Dewan semalam bahawa soalan-soalan itu ditolak atas alasan seperti yang diberikan di dalam surat dari Setiausaha Dewan seperti yang dilampirkan bersama.

Download (PDF, 609KB)

Download (PDF, 603KB)

Saya merumuskan bahawa ini mengesahkan bahawa kedua-dua surat itu adalah sahih dan memang betul Perdana Menteri memberi sokongan agar dana RM100 juta dari geran MOSTI diberikan kepada sebuah syarikat yang mengusahakan projek komersil yang tidak mendapat sokongan institusi kewangan.

Keengganan Dato’ Seri Najib Razak dan Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah dan enggan menjawab di Dewan Rakyat menjadi bukti bahawa kesemua surat dan dokumen yang saya tampilkan selama ini adalah benar dan sahih.

Dalam tempoh sidang Parlimen minggu ini dan minggu depan, saya akan terus mendedahkan beberapa dokumen lain yang mengesahkan bagaimana syarikat ini tidak layak untuk menerima geran sebanyak RM100 juta dan menguatkan lagi kenyataan saya bahawa berlaku salahguna di dalam pentadbiran pemberian geran apabila geran-geran diberikan kepada syarikat atau projek yang tiada nilai tambah R&D.

Malah, saya berpendapat bahawa penyelewengan geran seperti ini selama ini tidak disiasat dan dihalusi oleh rakyat sehingga telah berlaku ketirisan yang wajar disiasat secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

11 Jun 2014

Skandal Geran MOSTI: Timbalan Menteri Cuba Buat Silap Mata, PM & Menteri Wajar Buat Akuan Bersumpah

Saya sedia maklum kenyataan Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr Abu Bakar Mohammad Diah yang menafikan bahawa kementeriannya pernah memberi apa-apa geran kepada syarikat NSE Resources Corporation Sdn Bhd.

Di dalam sidang medianya yang dipetik Malaysiakini semalam, beliau menegaskan perkara-perkara berikut:

1. Senarai 4,556 penerima geran dari MOSTI di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 menunjukkan tiada geran yang diberikan kepada NSE Resources Corporation Sdn Bhd

2. Beliau mempersoalkan kesahihan surat-surat dan dokumen yang saya dedahkan setakat ini melibatkan kementerian beliau, Pejabat Perdana Menteri dan NSE Resources Corporation Sdn Bhd.

Saya telah menyemak dengan wartawan Malaysiakini yang melaporkan sidang media terbabit dan beliau mengesahkan bahawa senarai 4,556 penerima geran yang “didedahkan” oleh Timbalan Menteri itu adalah bagi Rancangan Malaysia Ke-9. Malah, jilid-jilid penerima dibawah Rancangan Malaysia Ke-9 itu ada dipamerkan kepada wartawan (lihat dibawah).

 

MOSTIprojects9MP

Sekiranya Timbalan Menteri itu lebih berhati-hati, beliau sewajarnya tahu bahawa Rancangan Malaysia Ke-9 adalah bagi tempoh 2006 hingga 2010. Maknanya, senarai 4,556 penerima geran R&D MOSTI yang kononnya didedahkan beliau semalam adalah senarai geran bagi tahun 2006 hingga 2010, sedangkan skandal geran yang saya bongkarkan melibatkan kelulusan MOSTI bertarikh 21 Januari 2014.

Sudah tentulah kelulusan geran RM100 juta yang diberikan kepada NSE Resources Corporation Sdn Bhd ini, yang baru sahaja diluluskan awal tahun ini, tidak tersenarai di dalam senarai penerima geran bagi tempoh 2006 hingga 2010!

Saya tidak pasti sama ada Timbalan Menteri itu benar-benar terlepas pandang mengenai perkara ini atau beliau ingin cepat-cepat menutup perkara ini dengan menampilkan senarai penerima bagi tempoh berlainan untuk mengelirukan rakyat.

Malah, kenyataannya itu juga bertentangan dengan rekod yang disebut oleh NSE Resources Corporation Sdn Bhd sendiri yang mengakui pernah menerima dua geran R&D dari MOSTI sebelum ini. Perkara ini dipaparkan di laman web NSE Resources Corporation Sdn Bhd di url http://www.nserc.com.my/page.aspx?p=14 yang saya pamerkan seperti berikut:

 

nsercgrant

Kenyataan beliau semalam menimbulkan lebih banyak keraguan dan menunjukkan seolah-olah beliau ingin menyembunyikan sesuatu mengenai perkara ini. Apatah lagi sehingga sekarang, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dan Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin sendiri belum menafikan bahawa surat-surat yang dikeluarkan dan ditandatangani/diminitkan itu adalah palsu dan tidak sahih, seperti yang dituduh oleh Timbalan Menteri.

Oleh yang demikian, untuk benar-benar membuktikan bahawa surat-surat yag saya tampilkan sebagai bukti itu adalah palsu, maka saya mencabar:

1. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang diminitkan beliau itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau meminitkan sesuatu mengenai perkara itu;

2. Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang ditandatangani beliau bertarikh 21 Januari 2014 itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau menandatangani surat itu.

Keengganan Dato’ Seri Najib Razak dan Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah bakal menjadi bukti bahawa kesemua surat dan dokumen yang saya tampilkan sekarang adalah benar dan sahih.

RAFIZI RAMLI

Ahli Parlimen Pandan

24 April 2014