Category Archives: Skandal @ Geran MOSTI

Barisan Nasional Luluskan RM50 Juta Dana Berasingan Kepada NSERC

Sebelum ini, saya telah sertakan perutusan surat-menyurat di antara sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd (NSERC) dan Dato’ Ser Najib Tun Razak yang meminitkan pertimbangan agar NSERC diberikan dana sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersilnya.

Mengikut rekod NSERC sendiri, di dalam satu surat kepada Kerajaan Negeri Terengganu bertarikh 27 Januari 2014, selain dari dana awam berjumlah RM100 juta di bawah geran R&D yang dikelolakan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), syarikat yang sama juga telah dianugerahkan satu lagi dana berasingan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air). Salinan surat dari NSERC kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengenai perkara ini ada dilampirkan bersama.

Download (PDF, 187KB)

Ini bermakna, sebuah syarikat swasta iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd telah berjaya mendapat peruntukan dana awam sebanyak RM150 juta dari dua kementerian berbeza untuk mengusahakan projek komersilnya. Malah, jumlah RM150 juta ini melebihi dari kos projeknya yang dimaklumkan kepada MOSTI iaitu RM130 juta.

Jumlah RM150 juta adalah satu jumlah yang sangat besar dan tidak wajar dibenarkan diperuntukkan kepada sebuah projek komersil milik syarikat swasta seperti ini.

Sejak saya mendedahkan perkara ini bermula hari Isnin lepas, tidak ada satu kenyataan pun dari Perdana Menteri atau kementerian-kementerian terbabit. Saya hanya dihubungi melalui SMS oleh seorang yang mengakui pegawai Dato’ Seri Najib Tun Razak memohon untuk berbincang dan mengesahkan maklumat yang saya dedahkan.

Bukti-bukti yang saya tampilkan setakat ini adalah jelas dan tidak perlulah saya duduk berbincang dengan sesiapa mengenai perkara ini. Saya masih menunggu tindakan dan penerangan rasmi dari pihak kerajaan mengenai skandal yang membabitkan geran R&D dan teknologi hijau yang terbesar setakat ini.

Dato’ Seri Najib wajar melakukan perkara-perkara berikut ekoran dari pendedahan ini:

1. Menghentikan serta-merta kelulusan pemberian dana berjumlah RM150 juta dari dua kementerian ini sehingga siasatan lanjut dimulakan;

2. Membentuk satu panel pakar yang bebas untuk menilai kandungan dan potensi R&D dan pengkomersilan produk yang dicadangkan oleh NSERC dan memastikan proses saringan yang sama dipatuhi untuk mendapatkan geran R&D seperti mana pemohon geran R&D yang lain;

3. Menubuhkan satu panel khas dari Jabatan Ketua Audit Negara untuk menyiasat serta merta keputusan meluluskan dana sebanyak RM150 juta dari kedua-dua kementerian ini.

Yang paling penting, Dato’ Seri Najib perlu menerangkan kepada rakyat apakah hubungan istimewa di antara NSERC dan beliau, atau ahli keluarga beliau, atau Umno, atau sesiapa di kalangan pimpinan Barisan Nasional (jika ada) – yang membolehkan NSERC diberi layanan sedemikian rupa sehinggakan diluluskan dana RM150 juta secara percuma untuk mengusahakan satu projek oleh syarikat tersebut.

Jika tiada apa-apa makluman dari pihak Dato’ Seri Najib, saya akan membuat satu laporan SPRM mengenai perkara ini minggu depan.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

23 April 2014

Dana R&D Disuntik Ke Projek Komersil Yang Tidak Mendapat Keyakinan Bank

Saya sertakan utusan surat-menyurat di antara pemohon (NSE Resources Corporation Malaysia Sdn Bhd) dan Dato’ Seri Najib Tun Razak lanjutan dari pendedahan semalam bagaimana dana untuk tujuan R&D telah digunakan untuk membiayai projek komersil.

Download (PDF, 1.19MB)

Dari surat ini, saya dapat mengesahkan bahawa:

1. Dato’ Seri Najib memberi arahan sendiri melalui minit supaya permohonan geran RM100 juta yang berlainan dari tujuan geran R&D dipertimbangkan oleh MOSTI

2. Projek yang diusahakan oleh NSE Resources adalah untuk membekalkan stim ke sebuah kilang yang sedang dibina di Kerteh

3. Kontrak pembekalan stim pada harga RM55 satu tan itu adalah satu kontrak swasta yang melibatkan NSE Resources dan pemilik kilang lain tanpa melibatkan sebarang pegangan modal oleh kerajaan, maka sebarang keuntungan akan dimiliki oleh NSE Resources

Perenggan (7) surat dari NSE Resources ini secara jelas menunjukkan bahawa projek komersil ini tidak mendapat dokongan dari institusi kewangan kerana syarikat itu menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank. Ini sepatutnya secara serta merta menimbulkan kebimbangan di pihak Dato’ Seri Najib dan kerajaan kerana projek komersil yang tidak melepasi saringan kewangan dari institusi kewangan (seterusnya sukar mendapatkan pinjaman) membayangkan aliran tunai dan kedudukan kewangan yang tidak baik. Secara langsung, ada risiko besar bahawa pulangan dari projek tidak mencukupi untuk membayar balik sebarang dana yang disuntik ke dalam projek ini.

Sewajarnya, Dato’ Seri Najib mengambil sikap tidak campur tangan dan berhati-hati kerana ia melibatkan dana awam sebanyak RM100 juta yang sepatutnya digunakan bagi tujuan R&D. Keputusan beliau memberi saranan kepada Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi untuk mempertimbangkan permohonan ini, apatah lagi dalam bentuk geran, adalah satu salahguna dana rakyat yang terang dan nyata.
Pada pendapat saya, projek komersil ini tidak menepati syarat-syarat untuk mendapat geran atau bantuan modal sebesar ini berdasarkan perkara berikut:

1. Teknologi dan perusahaan menghasilkan stim atau syngas dari bahan kayu atau bahan lain bukanlah teknologi terkini atau unik kepada Malaysia. Semakan menunjukkan bahawa boiler yang menggunakan kaedah ini sudah lama dipasarkan (contohnya melalui syarikat http://www.superiorgasification.com/) . Oleh itu, penghasilan stim atau syngas dari bahan kayu seperti yang diusahakan oleh NSE Resources tidaklah wajar mendapat suntikan dana sebanyak RM100 juta dalam bentuk geran seolah-olah ia teknologi terkini yang akan melonjakkan nama Malaysia, sedangkan ia hanyalah perusahaan biasa yang ada di pasaran.

2. Pembekal stim atau syngas untuk Kawasan Perindustrian Kerteh (yang mana kilang pembeli sedang dibina) sudah pun ada, jadi tidak timbul keperluan kilang stim milik NSE Resources ini menjadi daya tarikan pelaburan di situ. PETRONAS sudah mempunyai satu kilang iaitu Centralised Utilities Facilities (CUF) yang dimiliki oleh PETRONAS Gas yang menghasilkan stim pada kadar 720 tan sejam atau 6.3 juta tan setahun, iaitu 6 kali ganda yang diperlukan oleh kilang baru milik CJ Arkema itu.

Utusan surat-menyurat yang saya bekalkan hari ini secara jelas menunjukkan penglibatan Dato’ Seri Najib yang mengarahkan supaya dana awam RM100 juta diberikan kepada sebuah syarikat untuk mengusahakan projek komersil yang diragui untung ruginya oleh bank-bank.

Saya pasti geran RM100 juta ini tidak melalui proses saringan teknologi oleh panel pakar R&D yang dilantik oleh MOSTI seperti mana penyelidik-penyelidik tulen terpaksa lalui.

Dato’ Seri Najib tidak boleh terus lari dari persoalan penyelewengan sebegini – atau hanya menyertai larian anti-rasuah – beliau perlu beri penjelasan kerana ada beberapa dokumen lagi yang akan saya dedahkan.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

22 April 2014

Perdana Menteri Campur Tangan Dalam Urusan Geran MOSTI, Anugerah RM100 Juta Kepada Projek Komersil

Kenyataan Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Md Diah semalam yang menafikan berlakunya salahguna dalam pengurusan geran R&D MOSTI menunjukkan beliau sendiri tidak arif dengan perkara yang berlaku di bawah kementerian beliau.

Beliau turut dipetik sebagai berkata bahawa setiap geran R&D perlu melalui proses penilaian yang ketat. Proses itu turut melibatkan pembentangan kepada satu jawatankuasa yang dianggotai oleh kumpulan pakar.

Saya boleh mendedahkan bahawa salah satu geran yang terbesar pernah diberikan di bawah skim geran R&D MOSTI ini adalah hasil campur tangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri yang membayangkan ia tidak mengikuti prosedur yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri itu.

Saya sertakan surat kelulusan dari Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri MOSTI kepada NSE Resources Corporation (M) Sdn Bhd yang secara terang-terangan menunjukkan bagaimana keputusan mengenai geran R&D dibuat dan diluluskan dengan arahan dan campur tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Download (PDF, 83KB)

 

Lebih dari itu, pemberian geran kepada syarikat ini adalah bagi sebuah projek komersil yang melibatkan dana awam sebanyak RM100 juta diberikan kepada satu syarikat sahaja. Ini bertentangan dengan prosedur dan tatacara biasa pemberian geran R&D di bawah MOSTI seperti berikut:

1. Geran R&D diberikan dalam jumlah yang kecil bagi satu projek/geran. Geran maksima yang dilaporkan bagi satu projek (mengikut Laporan Tahunan MOSTI) ialah sebanyak RM2 juta dibawah Technology Acquisition Fund (TAF)

2. Geran R&D diberikan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi, bukannya satu projek komersil yang melibatkan dana ratusan juta

Jika syarikat ini diberikan geran sedemikian rupa besarnya iaitu RM100 juta, apakah MOSTI bersedia mengumumkan bahawa syarikat-syarikat lain yang mengusahakan projek komersil seumpama itu atau terlibat di dalam industri teknologi juga boleh memohon geran untuk membiayai projek-projek mereka?

Oleh kerana jumlah RM100 juta yang diberikan ini adalah dalam bentuk geran, maka NSE Resources Corporation (M) Sdn Bhd mungkin tidak perlu membayar balik satu sen pun kepada kerajaan. Kita telah menyaksikan bagaimana pinjaman mudah kepada NFC (bukannya geran) pun tidak dibayar balik kepada kerajaan, apatah lagi jumlah RM100 juta yang diberikan sebagai geran.

Ini hanyalah satu projek yang menunjukkan bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak campur tangan dengan memberi arahan kepada MOSTI agar geran RM100 juta diberikan kepada sebuah projek komersil. Kita tidak tahu berapa banyak lagi campur tangan dan arahan seperti ini yang dibuat oleh beliau selama ini kerana peruntukan geran R&D adalah besar iaitu sebanyak RM1.1 bilion.

Saya menunggu penerangan dan penafian dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datuk Dr Ewon Ebin mengenai pemberian dana RM100 juta ini kerana saya ada dokumen-dokumen lain yang lebih lengkap.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

21 April 2014

Tiada Seliaan Ketat Dan Pertanggungjawaban Dalam Geran Mosti

Sementara sepenuh perhatian diberikan kepada projek-projek besar yang dikendalikan Umno/Barisan untuk memastikan ketirisan dan rasuah tidak berlaku, sejumlah dana yang besar telah dibelanjakan setiap tahun melalui geran-geran yang dikendalikan oleh Kementerian Sains, Teknolgi dan Inovasi (MOSTI).

Ekoran dari Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang memberi tumpuan kepada prestasi pengurusan Skim Jaminan Dana Pembiayaan Teknologi Hijau, saya telah mengambil langkah untuk menyemak prestasi dan seliaan yang terbabit ke atas geran-geran yang dikendalikan oleh MOSTI kerana ia melibatkan kementerian yang sama.

Hasil semakan ke atas laporan-laporan tahunan MOSTI, pewartaan dan berita, jumlah dana kerajaan seperti berikut telah diagihkan sebagai geran Penyelidikan & Pembangunan (R&D):

 Mengikut Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), RM1.7 bilion telah diperuntukkan bagi tahun 2006 hingga 2010 bagi tujuan R&D

 Di antara tahun 2009 hingga 2013, sejumlah RM1.152 bilion telah dibelanjakan sebagai geran R&D iaitu sebanyak RM900 juta kepada Tabung STI (ScienceFund, Technofund, Innofund, Human Capital Development Fund), sebanyak RM246 juta kepada Tabung CRDF (Commercialization of R&D Fund) dan sebanyak RM6 juta kepada Tabung TAF (Technology Acquisition Fund)

Jumlah RM1.152 bilion bagi tempoh terkini bukanlah satu jumlah yang kecil. Jumlah ini sudah tentu menimbulkan kontroversi jika tidak memberikan pulangan yang sewajarnya bila mana kerajaan Barisan Nasional terus memotong subsidi untuk menjimatkan perbelanjaan, sedangkan jumlah yang dijimatkan itu dibelanjakan pula kepada geran-geran R&D seperti ini.

Semasa meluncurkan MOSTI Commercialisation Year 2014, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin mengakui bahawa hanya 20 hasil kajian R&D yang dikomersilkan setiap tahun. Beliau juga mengakui kadar itu rendah dan mensasarkan supaya ia ditingkatkan 3 kali ganda iaitu 60 hasil kajian yang dikomersilkan setiap tahun.

Kenyataan menteri itu membayangkan bahawa walaupun kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion dalam tempoh 5 tahun, hanya 20 hasil kajian R&D yang berjaya dikomersilkan setiap tahun. Ini adalah satu jumlah pengkomersilan yang cukup rendah jika dibandingkan dengan jumlah dana awam yang dibelanjakan kerajaan.

Ia menimbulkan persoalan – ke manakah sebenarnya dana ini digunakan? Benarkah ia digunakan sepenuhnya bagi tujuan pengkomersilan R&D atau ia digunakan bagi tujuan-tujuan lain?

Dalam dua minggu ini, saya akan mendedahkan beberapa penyalahgunaan dana R&D MOSTI yang menunjukkan bagaimana dana awam digunakan bagi tujuan selain dari R&D. Ia juga akan menunjukkan bagaimana kaedah geran (memberi wang tanpa perlu dibayar balik) digunakan sewenang-wenangnya untuk membantu individu tertentu sedangkan rakyat biasa berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman, apatah lagi geran.

Malah, salah satu dari keputusan yang memberi geran MOSTI pada jumlah yang sangat besar dan menimbulkan tanda tanya melibatkan campur tangan Dato’ Seri Najib Razak sendiri.

Pendedahan-pendedahan ini saya harap dapat membuka mata rakyat agar kaedah pemberian geran dan peruntukan dana yang berbilion ringgit yang tidak telus dikaji kembali dalam keadaan rakyat menghadapi kesukaran harga barang naik kerana potongan subsidi.

Sidang media yang seterusnya adalah pada hari Jumaat, 18 Mei jam 10 pagi mengenai penyalahgunaan dana MOSTI.


RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

15 April 2014