Jumpa Di Mahkamah Rahman Dahlan, Saman Juga Kenyataan PH Sabah Rahman Tidak Nampak Muka Di Kota Belud

Saya sedia maklum laporan media bahawa Dato’ Seri Rahman Dahlan telah melantik peguam Datuk M Reza Hassan dari Tetuan Raja Riza & Associate untuk memulakan tindakan saman di mahkamah berhubung kenyataan saya mengenai kos penganjuran Ekspo Negaraku.

Saya belum menerima apa-apa surat dari firma tersebut tetapi saya mengalu-alukan tindakan saman itu. Sebelum ini pun, saya pernah disaman oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Haron menggunakan firma guaman yang sama dalam kes pembelian bangunan di Australia oleh MARA pada harga yang berkali ganda lebih mahal.

Kes MARA itu telah saya menangi sehingga ke peringkat terakhir dan saya pun masih menunggu bayaran dari anak guam Tetuan Raja Riza & Associate yang sehingga kini belum dilangsaikan. Oleh itu, saya mengalu-alukan untuk bertemu sekali lagi dengan peguam-peguam dari Tetuan Raja Riza & Associate yang kali ini mewakili Dato’ Seri Rahman Dahlan pula.

Kes Mahkamah Bantu Kembangkan Tafsiran Undang-Undang Dalam Kes Berkepentingan Awam

Sebenarnya, kes saman di mahkamah banyak juga membantu mengembangkan lagi tafsiran dan duluan undang-undang (“legal precedents”) dalam perkara-perkara berhubung kenyataan-kenyataan berkepentingan awam.

Sebagai salah seorang yang paling banyak naik mahkamah kerana kenyataan-kenyataan saya mengenai skandal awam yang diikuti dengan saman oleh pihak yang terbabit, saya bertuah menyaksikan bagaimana beberapa keputusan besar telah dibuat yang memberi sedikit perlindungan kepada penjawat awam dan aktivis menyiasat kes-kes berkepentingan awam.

Misalnya, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif S Nantha Balan mengesahkan ada beberapa kategori kenyataan bersabit kepentingan awam yang tidak boleh disifatkan sebagai fitnah, termasuklah kenyataan bagi menyokong bahawa ada asas satu siasatan dijalankan ke atas sesuatu perkara.

(Rujuk laporan media mengenai penghujahan hakim dan prinsip yang ditetapkan oleh kes-kes ini:

Court orders Khairul Azwan to pay Rafizi RM73k
https://www.malaysiakini.com/news/359728

Umno Youth deputy chief loses bid to sue Rafizi
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/08/30/umno-youth-deputy-chief-loses-bid-to-sue-rafizi/ )

Oleh itu, peluang ke mahkamah sekali lagi dalam kes melibatkan Dato’ Seri Rahman Dahlan ini akan membolehkan isu undang-undang bersabit bagaimana penjawat awam seperti saya menjalankan tugas; diperhalusi dan diperkukuhkan lagi.

Saya dan barisan peguam akan bersedia dengan pelbagai soalan menarik apabila Dato’ Seri Rahman Dahlan masuk kandang saksi untuk memberi keterangan nanti.

Kos RM37 Juta Untuk Ekspo Sebulan

Saya faham kenapa Dato’ Seri Rahman Dahlan bersungguh-sungguh mahu menyaman saya.

Beliau mahu mengalihkan tumpuan rakyat dari isu sebenar yang sehingga kini langsung tidak dijawabnya:

1. Beliau mengakui di Dewan Negara kos penganjuran Ekspo Negaraku adalah RM37 juta untuk sebulan. Malah beliau menyebut lagi bahawa kos itu berbaloi berbanding dengan ekspo di Itali yang kononnya lebih mahal.

Namun, sehingga sekarang beliau belum menjawab kenapa Unit Perancang Ekonomi di bawah pimpinan beliau membelanjakan sehingga RM37 juta dalam keadaan Kerajaan Persekutuan mengutip cukai GST, mengejar orang perseorangan dan syarikat untuk mengutip cukai pendapatan dari tahun-tahun yang lalu dan harga barang terus kekal mahal.

2. Sehingga sekarang beliau tidak menjawab langsung kenapa kontrak berjumlah RM37 juta itu langsung tidak ada rekod di dalam sistem perolehan kerajaan? Ia tidak dianugerahkan melalui tender terbuka, tender terhad atau rundingan terus. Tidak ada rekod perolehan kerajaan dari Perbendaharaan yang menunjukkan syarikat “event manager” itu pernah melalui apa-apa proses perolehan seperti penganjuran acara-acara lain.

Jadi beliau boleh sahaja bercakap dengan gah di luar tetapi apabila masuk ke kandang saksi nanti, beliau akan ditanya dan jawapan beliau tertakluk kepada peraturan mahkamah mengenai perkara-perkara besar yang cuba dielakkan itu.

Sebab itu saya mengalu-alukan tindakan saman beliau.

Kes ini mungkin berlanjutan sehingga selepas Barisan Nasional bukan lagi kerajaan, tetapi sekurang-kurangnya rakyat yang membayar cukai akan dapat mendengar sendiri kenapa RM37 juta dibelanjakan untuk menganjurkan ekspo yang menjulang dan membodek Perdana Menteri?

Banjir di Kota Belud

Malah, sebenarnya saya membawa isu tersebut untuk menunjukkan kepada pengundi-pengundi Dato’ Seri Rahman Dahlan bagaimana dia gah menghabiskan duit rakyat RM37 juta sedangkan beliau dilaporkan belum menjenguk Kota Belud yang teruk dilanda banjir.

Laporan media semalam menyiarkan dakwaan yang sehingga kini Dato’ Seri Rahman Dahlan belum lagi kelihatan turun padang di Kota Belud, seperti dilaporkan Malaysian Insight:

Pemimpin Umno Kota Belud tak lawat mangsa banjir, kata Pakatan https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/27598/

Kalau berita ini pun tidak betul, bolehlah Dato’ Seri Rahman mengambil tindakan undang-undang lagi.

Di mata rakyat, dalam keadaan banjir di Kota Belud dan suasana ekonomi yang menekan, jumlah RM37 juta wang rakyat itu jauh lebih baik membantu mangsa banjir di Kota Belud atau digunakan untuk tujuan menurunkan harga atau membantu rakyat biasa. Saya yakin tidak ada rakyat yang bersetuju RM37 juta itu lebih sesuai dibelanjakan untuk membodek Perdana Menteri seperti itu berbanding menggunakannya untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kota Belud.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Jumpa Di Mahkamah Rahman Dahlan, Saman Juga Kenyataan PH Sabah Rahman Tidak Nampak Muka Di Kota Belud”

  1. Excellent article Saudara Rafizi Ramli. Manusia seperti saudara memperkukuhkan semangat hidup rakyat jelata yang putus asa. I am so grateful people like you exist. Allah/God bless you. Sincerely, dengan ikhlas, Mariani Adlan-Rose.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.