Sijil Pendaftaran Syarikat BVI Yang Ditunjukkan Timbalan Menteri Adalah Syarikat Baru, Bukan Yang Pemilik Hotel Felda Di London

Sejak saya mula-mula mendedahkan bahawa pemilik Hotel Grand Plaza Kensington yang dibeli oleh Felda tidak didaftarkan atas nama anak syarikat Felda (sebaliknya di atas nama sebuah syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island, BVI) pada 13 Oktober 2017 lalu, pimpinan Umno dan pengurusan Felda mengambil masa selama 9 hari sebelum memberikan apa-apa maklum balas.

Akhirnya semalam iaitu 22 Oktober 2017, satu sidang media diadakan secara mengejut oleh Dato’ Razali Ibrahim (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diamanahkan menjaga Felda), Tan Sri Shahrir Samad (Pengerusi Felda) dan Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim (Pengerusi Lembaga Pengara Felda Investment Corporation Sdn Bhd) yang kononnya menjadi syarikat induk yang memiliki hotel tersebut.

Saya telah menonton video sidang media tersebut dan membaca laporan-laporan dari media pro Umno (BERNAMA, Utusan, Berita Harian, NST) dan media yang lebih bebas (Sinar Harian dan The Sun) seperti berikut (untuk mempastikan maklum balas saya mengambil kira semua perkara penting dan fakta yang dikemukakan) :

1. http://www.sinarharian.com.my/video/felda-tak-kisah-rafizi-cuma-tanya-soalan-1.746511
2. http://www.sinarharian.com.my/video/berita-semasa/felda-dua-syarikat-di-london-hak-penuh-fic-1.746506
3. http://www.sinarharian.com.my/nasional/flh-fgl-milik-felda-investment-1.746670
4. http://www.sinarharian.com.my/lanai/felda-jual-hotel-di-london-1.746813
5. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/10/293838/fic-clarifies-confusion-over-companys-investment-status
6. https://www.malaysiakini.com/news/399135
7. http://www.thesundaily.my/news/2017/10/22/razali-counters-accusations-against-felda-london-investment
8. http://www.thesundaily.my/news/2017/10/22/flh-fic-global-ltd-both-wholly-owned-fic-fic-chairman
9. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/340656/pembangkang-main-isu-pelaburan-felda-untuk-keliru-rakyat

Berikut adalah maklum balas saya kepada perkara-perkara yang ditimbulkan Dato’ Razali Ibrahim, Tan Sri Shahrir Samad dan Dato’ Syed Mohamed Syed Ibrahim:

Penubuhan Syarikat Yang Didaftarkan di BVI Adalah Perkara Biasa

Dato’ Syed Mohamed dilaporkan berkata FIC mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat bernama FIC London Hotel Pte Limited yang didaftarkan di BVI kerana kononnya ini amalan umum di UK untuk menjimatkan cukai.

Saya ingin mengingatkan menteri-menteri bahawa saya mempunyai pengalaman sebagai akauntan yang dilatih dalam hal ehwal percukaian di United Kingdom dan pusat kewangan pesisir luar pantai seperti BVI, Jersey dan Isle of Man hasil dari pengalaman saya bekerja di firma audit di London dahulu.

Saya juga pernah menguruskan hal ehwal kewangan berpuluh-puluh buah anak syarikat Petronas yang terlibat di dalam aktiviti carigali di seluruh dunia yang didaftarkan di pelbagai negara. Saya pernah terlibat secara langsung dalam perancangan cukai sebelum keputusan dibuat untuk memilih negara mana anak-anak syarikat ini didaftarkan.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan Tan Sri Shahrir Samad bahawa dalam banyak-banyak anak syarikat Felda yang ada harta atau operasi di United Kingdom, hanya dua syarikat ini yang ditubuhkan di BVI. Syarikat-syarikat lain sama ada ditubuhkan di Malaysia atau di United Kingdom sendiri, seperti berikut:

i. FIC Grand Plaza Limited – aktiviti menguruskan Grand Plaza Serviced Apartments, ditubuhkan di United Kingdom
ii. Grand Plaza Kensington Limited – aktiviti menguruskan Grand Plaza Kensington Hotel, ditubuhkan di United Kingdom
iii. FIC Management Houses Pte Limited – aktiviti menguruskan Felda House dan Grand Felda House, ditubuhkan di United Kingdom
iv. FIC UK Properties Sdn Bhd – memiliki Grand Plaza Serviced Apartments, ditubuhkan di Malaysia

Jika benar Felda menubuhkan dua buah syarikat di BVI itu (FIC London Hotel Pte Limited dan FIC Global Limited) bagi tujuan penjimatan cukai, kenapa pula hanya dua buah syarikat itu yang Felda mahu menjimatkan cukai? Kenapa pula empat syarikat lain terutamanya FIC UK Properties Sdn Bhd yang mempunyai aset besar (sama seperti dua syarikat di BVI itu) tidak dipindahkan asetnya ke BVI untuk menjimatkan cukai?

Saya berasa malu apabila seorang pengerusi Lembaga Pengarah FIC boleh memanggil sidang media dan memberi alasan tersebut kerana beliau seperti kurang arif tentang perancangan percukaian melibatkan pelaburan hartanah di United Kingdom.

Perkara yang berlaku adalah sebaliknya – dengan menubuhkan dua buah syarikat BVI yang menjadi pemilik kepada dua hartanah mahal di United Kingdom, (jika benar syarikat-syarikat itu milik Felda), Felda sebenarnya membayar cukai yang lebih tinggi, berdasarkan perkara-perkara berikut:

i. Syarikat BVI adalah syarikat bukan residen yang mengutip sewa dari hartanahnya di United Kingdom. Syarikat-syarikat ini perlu membayar cukai pendapatan (income tax) yang perlu dibayar oleh penyewa (deducted at source, withholding tax) pada kadar 20% dan ada banyak halangan mengenai jenis-jenis perbelanjaan yang dibenarkan ditolak dari kutipan sewa

ii. Sejak 2013, HM Revenue & Customs (atau LHDN UK) telah memperkenalkan pelbagai peraturan untuk menyempitkan lagi ruang pelabur hartanah tidak membayar cukai di UK dengan menubuhkan syarikat bukan residen seperti BVI. Bermula dari 2016, HMRC telah memperkenalkan undang-undang yang tidak lagi membolehkan syarikat bukan residen yang mempunyai hartanah mahal di London tidak membayar cukai syarikat (corporation tax) di UK

iii. Kadar cukai syarikat di UK sekarang adalah 19% iaitu lebih rendah dari cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh syarikat-syarikat BVI ini (iaitu 20%). Malah, menjelang 2020 kadar cukai syarikat akan diturunkan kepada 17% sahaja berbanding 20% yang dibayar BVI.

(Rujuk rencana-rencana berkaitan perancangan cukai UK di:
https://www.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/601032/Non-resident_companies_chargeable_to_Income_Tax_and_non-resident_CGT_-_consultation.pdf
https://www.lexology.com/library/detail.aspx?g=e9356d6a-20dc-45cb-81d6-405ebcb4414f)

Saya tidak perlu menghuraikan dengan lebih panjang untuk membuktikan bahawa alasan syarikat-syarikat itu ditubuhkan di BVI adalah tidak masuk akal. Ia menunjukkan ada benda yang disembunyikan dan alasan itu hanya untuk mengelirukan rakyat yang tidak faham selok belok pelaburan antarabangsa.

 

Syarikat BVI Baru Ditubuhkan Kerana Ada Strategi Pelaburan Baru

Dato’ Syed Mohamed juga dilaporkan mengesahkan FIC London Hotel Pte Limited memang ditubuhkan di BVI (bagi tujuan pelaburan itu). Namun menurut beliau, apabila struktur (strategi) pelaburan FIC berubah maka satu lagi syarikat iaitu FIC London Hotel (Private) Limited ditubuhkan.

FIC telah menggunakan (kononnya) syarikat baru itu dan membiarkan syarikat asal iaitu FIC London Hotel Pte Limited terbatal pendaftarannya.

Alasan inilah yang digunakan Dato’ Razali Ibrahim untuk menghentam saya kerana kononnya menyembunyikan maklumat dengan hanya menunjukkan satu syarikat yang sudah dibubar dan tidak kedua-dua syarikat.

Saya ingin bertanya kepada pengurusan Felda – strategi atau struktur pelaburan FIC yang bagaimanakah yang telah berubah sehinggakan (kononnya) satu lagi syarikat yang namanya sama (hanya sedikit sangat perbezaan) ditubuhkan untuk melaksanakan strategi pelaburan itu?

Hakikatnya, struktur, strategi dan kesan pelaburan menggunakan syarikat BVI adalah tidak berubah, sama ada menggunakan FIC London Hotel Pte Limited atau FIC London Hotel (Private) Limited. Ia masih melibatkan anak syarikat milik penuh Felda yang ditubuhkan di UK iaitu Grand Plaza Kensington Limited membayar sewa yang mahal kepada sebuah syarikat BVI yang tidak diketahui pemiliknya.

Malah alasan itu juga tidak menepati garis masa kerana kononnya FIC London Hotel Pte Limited ditubuhkan terlebih dahulu sebelum pembelian hotel tersebut dan tidak sesuai dipakai apabila hotel dibeli.

Saya sertakan kembali aturan masa syarikat-syarikat BVI yang ditubuhkan:

i. Mengikut laman https://www.whatdotheyknow.com iaitu laman kerajaan UK yang membolehkan rakyat membuat permohonan mendapatkan maklumat-maklumat sulit di bawah peruntukan Freedom of Information(FOI), syarikat FIC London (Private) Limited ditubuhkan pada 5 November 2014 iaitu pada tarikh berkuatkuasa pembelian hotel oleh Felda (rujuk di bawah):

i. Pada masa yang sama, penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 menunjukkan bahawa nama asal FIC London Hotel (Private) Limited (yang dirujuk oleh Dato’ Razali Ibrahim sebagai FLH dalam sidang media semalam) ialah Somellier Limited yang namanya hanya ditukar kepada FLH pada 6 Mei 2015 (lihat keratan penyata kewangan di bawah):

 

Sebenarnya jawapan Dato’ Razali Ibrahim semalam memang masuk perangkap yang saya telah tunggu lama – iaitu satu lagi syarikat bernama Somellier Limited yang ditukar namanya kepada FLH dan disatukan di dalam penyata kewangan Felda sebagai anak syarikat.

Ini bermakna, semasa hakmilik Grand Plaza Kensington Hotel didaftarkan pada 5 November 2014, syarikat yang dirujuk FLH oleh Dato’ Razali Ibrahim semalam masih bernama Somellier Limited (dan bukannya syarikat yang memiliki geran hakmilik kerana nama pemilik ialah FIC London Hotel (Private) Limited yang ditubuhkan dari asal bertarikh 5 November 2014 juga, bukannya diambil alih dan ditukar nama seperti Somellier Limited).

Kemungkinan besar, ada berlaku penyelewengan besar apabila satu syarikat ditubuhkan menggunakan nama FIC London Hotel (Private) Limited yang tuan punyanya tidak diketahui. Syarikat itu kemudiannya memindahkan hakmilik ke atas namanya dan saya mengesyaki selepas itu mengubah namanya kepada FIC London Hotel Pte Limited. Ini syarikat pemilik asal hotel yang kini telah dibubarkan.

Pada masa yang sama, satu syarikat lain yang bernama Somellier Limited dibeli dan ditukar nama kepada FIC London Hotel (Private) Limited lalu disebut di dalam penyata kewangan Felda 2015 yang diaudit. Ini yang dirujuk sebagai FLH oleh Dato’ Razali Ibrahim semalam.

Sijil Saham dan Pendaftaran FLH Yang Dipegang Dato’ Razali Bertarikh 13 Oktober 2017

Saya yakin penjelasan saya setakat ini cukup untuk menunjukkan bahawa kemungkinan besar harta Felda berjumlah RM330 juta itu telah pun diselewengkan sepenuhnya.

Kalau ada yang masih belum yakin, saya ingin tunjukkan laporan-laporan media semalam, iaitu dari Sinar Harian dan The Sun yang kedua-duanya melaporkan bahawa sijil pendaftaran FLH yang disebut-sebut oleh Dato’ Razali itu sebenarnya bertarikh 13 Oktober 2017:

Tarikh 13 Oktober 2017 ini sangat penting kerana ia tarikh saya mula-mula mendedahkan bahawa hotel itu dimiliki oleh sebuah syarikat BVI yang bukan milik Felda dan tidak diketahui pemiliknya:

 

 

Saya berpendapat peristiwa-peristiwa ini berlaku:

i. Setelah saya mendedahkan geran hakmilik, pengurusan Felda baru sedar bahawa ia berkemungkinan besar tidak memiliki geran hotel tersebut
ii. Mereka (atau pihak menteri) membuat semakan dan membuat keputusan untuk menubuhkan satu lagi syarikat di BVI yang namanya sama dan dimiliki sepenuhnya oleh Felda
iii. Tan Sri Shahrir dan Dato’ Razali terpaksa menunggu sehingga 9 hari agar syarikat itu siap dibentuk sepenuhnya sebelum boleh memberi jawapan kepada pendedahan-pendedahan saya. Sebab itu mereka diam selama lebih seminggu

Saya bersimpati dengan Tan Sri Shahrir dan dapat merasakan beliau pasrah bahawa beliau kini terperangkap dalam masalah yang besar yang ditinggalkan kepada beliau. Saya menasihati beliau agar meletak jawatan dengan segera dari kerusi Pengerusi Felda agar beliau tidak terus menjadi mangsa. Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada beliau.

Pun begitu, saya yakin ada berlaku penyelewengan besar yang melanggar banyak undang-undang. Apabila Dato’ Razali Ibrahim menunjukkan sijil pendaftaran syarikat yang baru ditubuhkan pada 13 Oktober 2017 untuk mendiamkan saya, saya berpendapat beliau sendiri telah melanggar banyak undang-undang dan boleh dituduh bersubahat dalam penyelewengan ini.

Oleh itu, saya akan membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi mengenai perkara ini pada jam 1030 pagi esok agar siasatan seluas-luasnya dijalankan untuk menjejaki kembali harta peneroka yang berkemungkinan besar hilang di London akibat penipuan yang licik.

Orang ramai dan media dijemput hadir.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.