FIC London Hotel Pte Limited, Pemilik Hotel Felda Grand Plaza Kensington – Telah Ditutup. Siapa Pemilik Hotel Ini Sekarang?

Saya telah tunjukkan sepanjang minggu lepas bagaimana isu pelaburan Felda di London bernilai lebih RM1 bilion bukan saja persoalan keputusan pelaburan yang membazir (kerana harga yang dibayar terlalu mahal dan dicemari penyelewengan),bahkan secara rasminya Felda tidak pun memiliki hartanah-hartanah yang dibeli itu.

Saya telah melakukan carian rasmi dengan Pejabat PendaftarTanah UK dan terbukti bahawa menurut dokumen rasmi hakmilik pemilikan, sekurang-kurangnya dua hartanah mahal yang dibayar oleh Felda telah didaftarkan atas nama syarikat-syarikat yang berdaftar BVI (British Virgin Island), yang tidak ada kena mengena dengan Felda dan pemilik syarikat-syarikat itu masih tidak diketahui sehingga hari ini.

Maklumat yang sahih dari dokumen hakmilik rasmi telah membuktikan bahawa hartanh-hartanah berikut bukan dimiliki oleh Felda, sebaliknya milik syarikat-syarikat BVI berikut:

i. Grand Plaza Kensington Hotel dibeli dengan harga £60 juta (anggaran RM330 juta) pada tahun 2014 yang secara rasmi dimiliki oleh FIC London Hotel Pte Limited yang ditubuhkan di BVI

ii. Felda House yang dibina dengan anggaran kos RM380 juta dalam tahun 2015 dan secara rasmi dimiliki oleh FIC Global Limited yang juga ditubuhkan di BVI

Download (PDF, 84KB)

(Saya lampirkan bersama geran-geran hakmilik hartanag sebagai bukti. Pembaca juga boleh menyemak kenyataan media terdahulu mengenai hartanah ini dan pelaburan Felda di London di http://rafiziramli.com/category/felda/)

Saya menantikan Tan Sri Shahrir Samad untuk memberi maklum balas kepada pendedahan ini tetapi beliau terus senyap sejak minggu lalu setelah menuduh saya tidur dalam isu ini.

Paling kurang, saya ada juga berharap agar ada sedikit penafian untuk menunjukkan saya tersilap kerana lebih baik saya dibuktikan salah daripada kemungkinan yang lagi satu iaitu sekurang-kurangnya RM1 bilion dana awam telah diselewengkan kepada syarikat-syarikat misteri yang tidak diketahui pemiliknya.

Sehingga hari ini, masih belum ada sebarang jawapan baik dari Felda, Tan Sri Shahrir, SPRM mahupun Dato’ Seri Najib.

Jika itu sudah dikira teruk, saya terpaksa membawa satu lagi perkembangan yang lebih teruk pada hari ini.

Saya boleh mengesahkan bahawa syarikat BVI yang memiliki Grand Plaza Kensington Hotel (seperti yang terkandung di dalam geran hakmilik) telah pun ditutup.

Syarikat tersebut, FIC Hotel London Pte Limited telah dibubarkan dari senarai syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island (BVI) pada 3 Mei 2016 yang kerana tidak membayar yuran tahunan.

Saya lampirkan Bersama warta rasmi Kerajaan BVI Vol L, No 27 bertarikh 19 Mei 2016
(yang boleh dimuat turun dari https://data.occrp.org/text/2658944?dq=strike%20off%20list%203rd%20may,%202016&page=1)
yang secara rasmi menyenaraikan FIC Hotel London Pte Limited sebagai salah satu syarikat yang dibubarkan dan dibatalkan pendaftarannya selaras dengan undang-undang BVI.

 

 

Saya harap kenyataan media saya pada hari ini mendapat perhatian orang ramai serta pengurusan tertinggi Felda yang selama ini berdiam diri kerana mereka berdepan dengan risiko hotel yang dibeli pada harga yang mahal dengan wang Felda itu bukan sahaja didaftarkan atas nama syarikat lain, kini Felda akan kehilangan hotel dan wang pelaburan untuk selama-lamanya (jika ini tidak diselesaikan segera).

Saya dengan ini meminta penjelasan penuh dari Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrir mengenai status pelaburan Felda di Grand Plaza Kensington Hotel di London:

i. Setelah FIC London Hotel Pte Limited disahkan telah dibubarkan pada kala syarikat itu secara rasmi adalah pemilik hotel RM330 juta yang dibeli oleh Felda (mengikut geran hakmilik), bagaimana Felda merancang untuk mendapatkan kembali hakmilik hotel tersebut?

ii. Jika Felda ingin mendapatkan kembali hakmilik hotel itu, Felda tidak mempunyai pilihan selain mengesan dan mendedahkan pemilik sebenar FIC London Hotel Pte. Siapakah yang berada di belakang penubuhan FIC London Hotel Pte Limited? Adakah Felda akan membuat kenyataan umum menjawab pelbagai persoalan yang saya timbulkan dalam siri pendedahan Felda yang saya buat sejak minggu lepas?

 

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

One thought on “FIC London Hotel Pte Limited, Pemilik Hotel Felda Grand Plaza Kensington – Telah Ditutup. Siapa Pemilik Hotel Ini Sekarang?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.