Skandal Lawatan Najib Bertemu Trump: Individu Yang Memasukkan RM2 Juta Wang Ke Dalam Akaun Datin Seri Rosmah Mansur Sertai Delegasi

Setakat ini, reaksi rakyat kepada tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan harta rakyat seperti dana KWSP, Khazanah dan MAS untuk membodek Presiden Trump adalah sangat negatif. Komen-komen di media sosial sejak semalam dengan jelas menunjukkan kemarahan rakyat apabila video Dato’ Seri Najib menawarkan dana awam ini untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat mula tular.

Saya pasti Dato’ Seri Najib bimbang dengan kemarahan yang memuncak ini sehingga beliau terpaksa mempertahankan diri beliau sendiri di media sosial. Saya perhatikan beliau jarang menjawab sendiri serangan-serangan ke atas beliau dalam isu-isu lain sebelum ini.

Walau bagaimana pun, saya boleh maklumkan kepada Dato’ Seri Najib bahawa kemarahan itu tidak akan reda apabila lebih banyak maklumat terperinci mengenai lawatan tersebut mula sampai ke pengetahuan rakyat.

Hari ini, saya ingin membawa satu perkara yang perlu dijelaskan oleh Dato’ Seri Najib iaitu penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dan ahli keluarga beliau di dalam delegasi ini.

Saya telah mendedahkan butiran terperinci mengenai lawatan ke Amerika Syarikat, termasuk mengenai satu pertemuan berasingan di antara keluarga Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump di Trump Tower, New York. Setakat ini, semua butiran terperinci yang diberikan oleh sumber sulit ini adalah tepat seperti berlaku termasuklah masa perjumpaan selama 30 minit sahaja, penginapan di Trump Internasional Hotel dan tiadanya sidang media bersama. Oleh itu, saya yakin maklumat yang diberikan oleh sumber sulit ini adalah benar.

Saya membuat semakan untuk mengenal pasti sama ada Trump Tower di New York benar-benar wujud seperti yang dimaklumkan oleh sumber sulit itu; serta perkara-perkara yang boleh menguatkan lagi kredibiliti maklumat yang diberikan oleh sumber sulit tadi.

Semakan di internet mengesahkan kewujudan sebuah bangunan bernama Trump Tower di New York seperti yang disebut. Ia bukan sebuah hotel dan menawarkan kondominium mewah yang boleh disewa atau dibeli. Saya sertakan capaian dan gambar-gambar untuk dikongsi dengan orang ramai.

(Rujuk https://www.cityrealty.com/nyc/midtown-east/trump-tower-721-fifth-avenue/3531)

 

Sewa kondominium mewah di Trump Tower ini bermula pada harga USD6,000 (atau RM25,000) semalam bagi kondominium satu katil dan USD9,000 (atau RM37,000) semalam bagi kondominium dua katil. Trump Tower juga diberitakan terletak berhampiran dengan gedung-gedung membeli belah mewah yang terkenal di New York seperti Bergdorf Goodman dan Tiffany’s.

Sejak saya mula-mula berkongsi maklumat ini pada hari Isnin, sehingga sekarang tidak ada satu penafian pun dari mana-mana pihak. Sekiranya pertemuan di antara keluarga Dato’ Seri Najib – Datin Seri Rosmah dan Presiden Trump di Trump Tower ini tidak benar, sudah tentu saya ditahan polis serta merta dan paling kurang pun saya disaman serta merta.

Dalam keadaan Trump Tower menawarkan kondominium mewah yang sesuai bagi keluarga dan membolehkan apa-apa pertemuan berlaku tanpa tumpuan media Amerika Syarikat, tiadanya penafian atau kenyataan menguatkan lagi kredibiliti maklumat yang diberikan oleh sumber sulit itu mengenai pertemuan di antara keluarga Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump itu.

Kalau kehadiran ahli keluarga Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah serta pertemuan peribadi di Trump Tower itu sudah mengundang kemarahan rakyat, kehadiran seorang individu yang pernah dikenal pasti bertanggungjawab memasukkan sejumlah RM2 juta ke akaun peribadi Datin Seri Rosmah di dalam delegasi Malaysia perlu disiasat segera.

Saya mengikuti seberapa banyak liputan mengenai lawatan Dato’ Seri Najib itu dan terjumpa satu laporan yang mengejutkan.

Satu laman bernama Thinkprogress.org menyiarkan satu berita berikut:
(Rujuk laporan di https://thinkprogress.org/scandal-plagued-malaysian-prime-minister-sets-up-camp-at-trumps-d-c-hotel-7e33424093a1/)

1. Thinkprogress.org mempunyai seorang wartawan yang mengikuti lawatan delegasi Malaysia dan berada di Trump International Hotel (iaitu penginapan Dato’ Seri Najib dan delegasi Malaysia)

2. Wartawan itu melaporkan dari Trump International Hotel sejak jam 530 petang hari Isnin, ada satu konvoi sebanyak 15 kenderaan termasuk bas-bas kecil dan kenderaan pacuan 4-roda (SUV) yang mempamerkan bendera Malaysia diletakkan di luar hotel itu. Keesokan harinya sekitar jam 8 pagi hari Selasa, konvoi kenderaan itu masih lagi berada di situ

3. Salah satu kenderaan dalam konvoi delegasi Malaysia itu adalah sebuah limosin yang mempunyai nama-nama ahli delegasi Malaysia, termasuklah seorang yang bernama Roslan Sohari

(Sebahagian paparan laporan tersebut dan bukti limosin delegasi Malaysia di atas nama Roslan Sohari ditunjukkan di bawah)

Berdasarkan laporan tersebut, saya telah membuat semakan untuk mengesahkan dakwaan Thinkprogress.org itu adalah tepat.

Berdasarkan laporan-laporan oleh media antarabangsa, individu bernama Roslan Sohari memang dikaitkan dengan siasatan oleh JK Khas Siasatan 1MDB (yang melibatkan SPRM, PDRM, Bank Negara dan Peguam Negara) dalam tahun 2015 kerana memasukkan RM2 juta wang tunai ke akaun Datin Seri Rosmah Mansor.

Berita-berita berikut memetik kenyataan rasmi JK Siasatan 1MDB yang mengesahkan bahawa RM2 juta wang yang dimasukkan ke akaun Datin Seri Rosmah Mansor oleh seorang yang bernama Roslan Sohari memang merupakan satu aspek siasatan JK tersebut.

(Rujuk laporan-laporan:

http://www.straitstimes.com/asia/se-asia/task-force-reveals-rosmahs-bank-account-also-under-investigation

http://stomp.straitstimes.com/singapore-seen/from-around-the-world/task-force-investigating-bank-account-of-malaysian-pm-najibs

http://www.businesstimes.com.sg/government-economy/najibs-wife-denies-1mdb-funds-went-into-her-account

http://af.reuters.com/article/worldNews/idAFKCN0PK19W20150710)

Oleh yang demikian, tidak syak lagi bahawa individu yang bernama Roslan Sohari ini benar-benar wujud dan mempunyai kaitan rapat dengan Datin Seri Rosmah. Malah, beliau pernah disiasat sebagai sebahagian dari siasatan ke atas wang 1MDB yang hilang dalam tahun 2015 lalu.

Saya pasti rakyat mahu Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah menjawab sendiri perkara-perkara berikut:

i. Mengesahkan mengenai pertemuan peribadi di antara keluarga Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dengan Presiden Trump di Trump Tower seperti maklumat yang diberikan sumber sulit

ii. Mengesahkan sama ada satu kondominium mewah telah disewa di Trump Tower bagi tujuan (i); berapa kos sewaan keseluruhannya dan siapa yang menanggung kos itu?

iii. Mengesahkan siapa lagi ahli keluarga Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah yang ikut serta dan akan menyertai pertemuan peribadi dengan Presiden Trump seperti (i)

iv. Siapa yang menanggung keseluruhan kos bagi ahli keluarga lain Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah seperti (iii); dan

v. Kenapa Roslan Sohari menyertai delegasi ini sehingga sebuah limosin ditempah khusus untuk beliau?

Saya pasti timbulnya kembali individu bernama Roslan Sohari ini membolehkan rakyat membuka kembali kes bagaimana RM2 juta wang tunai dimasukkan ke akaun Datin Seri Rosmah yang belum mendapat sebarang penjelasan memuaskan dari Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.