Pendirian Pas Mengenai 1MDB Mengecewakan, Rasionalisasi 1MDB Adalah Pindahmilik Hutang Kepada Rakyat

Saya membaca beberapa kali laporan-laporan mengenai taklimat 1MDB oleh CEOnya Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi PAS. Saya juga menonton rakaman sidang media oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS untuk memastikan saya tidak tersalah dengar.

Kesimpulan yang dibuat oleh kepimpinan PAS selepas taklimat itu dilaporkan seperti berikut:

i. Bahawa PAS berpuas hati dengan proses rasionalisasi 1MDB;
ii. Bahawa PAS merasakan perlu ada pemantauan ke atas syarikat-syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang mengambil alih aset dan hutang 1MDB itu

Saya tidak pasti sama ada pimpinan PAS yang hadir di dalam taklimat itu faham apa makna proses rasionalisasi 1MDB yang dihukumkan sebagai “memuaskan” itu.

Proses rasionalisasi 1MDB seperti yang dijaja oleh Arul Kanda dan pimpinan Umno/Barisan Nasional ialah proses memindahkan hutang-hutang 1MDB kepada syarikat-syarikat milik penuh kerajaan melalui MOF Inc. Segala yang diterangkan oleh Arul Kanda itu sudah pun diketahui umum dan melibatkan perkara-perkara berikut:

i. Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan dana yang dibayar itu akan dapat mengurangkan hutang 1MDB disamping memindahkan hutang-hutang lain yang diwarisi semasa 1MDB membeli asetnya kepada pembeli baru itu. Contohnya, penjualan Edra kepada syarikat milik kerajaan China;

ii. Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan pembangunan di tanah-tanah itu akhirnya akan membawa keuntungan yang sebahagiannya akan dikongsi oleh Kerajaan Malaysia suatu ketika nanti. Penjualan itu juga diharap akan dapat membawa dana untuk membantu 1MDB mengurangkan hutangnya. Contohnya, penjualan tanah-tanah di Pengkalan Udara Sungai Besi kepada syarikat swasta dan syarikat milik Kerajaan China untuk dibangunkan menjadi Bandar Malaysia;

iii. Menjual aset-aset negara kepada tabung-tabung dana rakyat pada harga yang berkali ganda mahalnya atau memindahkan operasi tabung-tabung dana rakyat ke pembangunan baru yang diusahakan 1MDB walaupun tidak ada keperluan tabung-tabung tersebut membelanjakan wang untuk ibupejabat yang baru. Contohnya, penjualan tanah kepada Tabung Haji dan keputusan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk membina ibupejabat baru di Tun Razak Exchange;

iv. Memindahkan anak syarikat-syarikat 1MDB yang dibebani hutang kepada kerajaan sepenuhnya dan seterusnya mewarisi hutang-hutang tersebut. Contohnya, SRC International Sdn Bhd dipindahkan kepada MOF Inc dan mewarisi hutang RM4 bilion yang kini ditanggung rakyat.

Sebab itu saya ingin bertanya kembali kepada kepimpinan PAS: apabila mereka berpuas hati dengan kemajuan proses rasionalisasi itu, adakah mereka bersetuju dengan kaedah memindahkan hutang 1MDB kepada rakyat sedangkan wang yang dipinjam oleh 1MDB itu telah jelas lesap dan diselewengkan untuk membeli harta-harta mewah?

Di mana baiknya tindakan-tindakan merompak wang rakyat, kemudian menjual harta-harta rakyat untuk menutup lubang hutang setelah hutang-hutang itu dipindahmilik kepada kerajaan? Pada masa yang sama, kerajaan terpaksa mengutip cukai yang baru (GST), meningkatkan kutipan cukai sedia ada sehingga orang yang mati pun masih perlu membayar cukai dan memotong perbelanjaan-perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan?

Saya kecewa dengan kenyataan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan pendirian pimpinan PAS itu kerana ia akan dijadikan modal oleh Umno/Barisan Nasional untuk menghalalkan tindakan memindahkan hutang kepada rakyat.

Sewajarnya, bila Arul Kanda atau pengurusan 1MDB menawarkan untuk memberi taklimat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man perlu mengambil peluang itu untuk membawa Arul Kanda berhadapan dengan Parlimen kerana selama ini Arul Kanda mengelak daripada hadir mengambil soalan-soalan ahli parlimen, terutamanya ahli parlimen pembangkang.

Saya menasihatkan pimpinan PAS supaya lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan permainan propaganda Umno/Barisan Nasional yang hanya mahu menggunakan PAS untuk mengurangkan kritikan rakyat terhadap penyelewengan-penyelewengan yang telah berlaku di dalam1MDB.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.