Kajiselidik Sentimen Pengundi Dan Isu Utama Menjelang PRU14

Download (PDF, 458KB)

LATAR BELAKANG

Senario politik yang berubah secara mendadak sejak 2015 telah mewujudkan persaingan politik di antara tiga pakatan politik yang utama yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara ini.

Ini menyukarkan sebarang ramalan mengenai kecenderongan pengundi memandangkan senario politik yang ada sekarang tidak boleh dibandingkan dengan pilihanraya-pilihanraya umum sebelum ini.

Untuk membantu penganalisa politik meramalkan keputusan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dengan lebih tepat, kefahaman mengenai sentimen pengundi terhadap isu-isu utama yang dipertarungkan oleh parti-parti politik yang bertanding adalah penting.

Kajiselidik ini dibuat untuk mendapatkan data yang mewakili semua lapisan pengundi (mengikut kaum, jantina, umur dan negeri) untuk menjawab soalan-soalan berikut:

1. Apakah isu-isu utama yang penting kepada pengundi menjelang PRU14?

2. Bagaimanakah pengundi dipengaruhi oleh isu-isu yang dibawa oleh parti-parti politik setakat ini?

3. Apakah tahap sokongan terkini pengundi mengambil kira sentimen mereka terhadap isu-isu utama yang sedang berlegar?

KAEDAH DAN SAMPEL

Kajiselidik melibatkan temuramah melalui telefon di antara analis kajiselidik (penemuramah) dan pengundi (ditemuramah) menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kajiselidik dijalankan dari 5 Jun 2017 ke 14 Julai 2017.

Pengundi dipilih dan didail secara rawak oleh sistem kajiselidik berkomputer INVOKE.

Seramai 2.67 juta orang pengundi berdaftar didail secara rawak. Dari jumlah itu, 160,761 orang pengundi mengangkat telefon dan 17,107 orang pengundi menjawab kesemua soalan yang ditanya.

Keputusan hasil dari kajiselidik melibatkan 17,107 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut agregat seperti berikut:

i. Keputusan 17,107 orang pengundi diagregatkan mengikut umur, jantina dan kaum supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara

ii. Keputusan 17,107 orang pengundi diagregatkan mengikut taburan pengundi di setiap negeri supaya melambangkan kedudukan kerusi parlimen di seluruh negara

Pengundi ditanya apa isu yang paling penting dalam PRU kali ini.

Pengundi dibacakan enam (6) kenyataan yang berkisar mengenai isu-isu semasa. Pengundi diminta menjawab dengan memilih:

1) Sangat bersetuju
2) Bersetuju
3) Tidak bersetuju
4) Sangat tidak bersetuju
5) Lain-lain/tidak pasti/enggan jawab JANGAN BACA

Setiap kenyataan ditulis untuk cenderong kepada pendirian parti tertentu mengenai sesuatu isu untuk membezakan pengundi tegar dan atas pengundi atas pagar bagi sesuatu parti. Pengundi juga ditanya untuk memilih parti mana yang akan diundi dalam PRU14 dan parti mana yang mereka mengundi dalam PRU13.

Jawapan-jawapan pengundi kepada 6 kenyataan berhubung isu-isu semasa digunakan untuk mengenal pasti kecenderongan pengundi yang tidak menamakan parti yang akan diundi dalam PRU14.

DAPATAN KAJISELIDIK

1. Pengundi menamakan isu-isu ekonomi rakyat sebagai isu terpenting; jauh mengatasi skandal/rasuah pada nisbah 5:1. Senarai isu-isu utama pengundi mengikut ranking:

a. kos sara hidup/GST/harga barang (47% responden Melayu, 29% responden Cina, 47% responden India)
b. ekonomi (9% responden Melayu, 17% responden Cina, 4% responden India)
c. skandal/penyelewengan (10% responden Melayu, 15% responden Cina, 14% responden India)
d. pekerjaan/gaji (7% responden Melayu, 5% responden Cina, 10% responden India)

2. Peratusan pengundi Melayu yang sangat bersetuju/bersetuju dengan 6 kenyataan yang ditanya:

a. Kenaikan gaji tidak mencukupi kerana kegagalan kerajaan – 73%
b. Harga minyak naik kerana subsidi dipotong, sepatutnya dapat subsidi – 69%
c. Lambakan pekerja asing kerana kegagalan kerajaan – 65%
d. GST disebabkan skandal kewangan seperti 1MDB – 59%
e. Hubungan baik kerajaan dengan China jejas kedaulatan – 55%
f. RUU355 satu helah politik Dato’ Seri Najib – 30%

3. Peratusan pengundi Cina yang sangat bersetuju/bersetuju dengan 6 kenyataan yang ditanya:

a. Kenaikan gaji tidak mencukupi kerana kegagalan kerajaan – 65% setuju
b. Harga minyak naik kerana subsidi dipotong, sepatutnya dapat subsidi – 61%
c. Lambakan pekerja asing kerana kegagalan kerajaan – 43%
d. GST disebabkan skandal kewangan seperti 1MDB – 50%
e. Hubungan baik kerajaan dengan China jejas kedaulatan – 37%
f. RUU355 satu helah politik Dato’ Seri Najib – 24%

4. Peratusan pengundi India yang sangat bersetuju/bersetuju dengan 6 kenyataan yang ditanya:

a. Kenaikan gaji tidak mencukupi kerana kegagalan kerajaan – 76%
b. Harga minyak naik kerana subsidi dipotong, sepatutnya dapat subsidi – 73%
c. Lambakan pekerja asing kerana kegagalan kerajaan – 68%
d. GST disebabkan skandal kewangan seperti 1MDB – 64%
e. Hubungan baik kerajaan dengan China jejas kedaulatan – 59%
f. RUU355 satu helah politik Dato’ Seri Najib – 26%

TAHAP SOKONGAN TERKINI PENGUNDI

Pengundi Melayu – BN (35%), PH (36%), PAS (14%), Belum buat keputusan (15%)
Pengundi Cina – BN (22%), PH (53%), PAS (1%), Belum buat keputusan (23%), Tidak mengundi (1%)
Pengundi Cina – BN (44%), PH (42%), PAS (3%), Belum buat keputusan (10%), Tidak mengundi (1%)

PEMERHATIAN UTAMA

Tiga isu yang paling penting untuk pengundi ialah:

1. Kos sara hidup dan harga barang, meliputi GST dan subsidi minyak
2. Gaji yang dirasakan tidak naik setimpal dengan kenaikan harga barang
3. Lambakan pekerja asing yang dirasakan menyempitkan peluang pekerjaan

Tiga isu ini (yang boleh dirujuk sebagai isu ekonomi rakyat) adalah jauh lebih penting kepada pengundi semua kaum berbanding isu penyelewengan semata-mata.

Berdasarkan sentimen pengundi terhadap tiga isu utama ini yang melihat BN gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik (dalam ketiga-tiga isu), sokongan pengundi Melayu sebenarnya sudah pun berpihak kepada PH.

Kedudukan undi Melayu adalah hampir setara di antara BN dan PH iaitu sekitar 35% ke 36%. Sokongan 35% ini juga konsisten dengan semua kajiselidik yang dijalankan setiap bulan sejak Disember 2016 mengenai sokongan pengundi Melayu terhadap BN.

Kedudukan undi Cina dan India dilihat menyerupai pola pengundian dalam PRU13 yang lalu, mengambil kira pengundi-pengundi yang belum membuat keputusan.

Kajiselidik ini dibuat di antara bulan Jun dan Julai 2017 sebelum PH mengumumkan struktur dan menamakan pimpinan minggu lalu.

Dengan tahap sokongan seperti ini setakat Julai 2017, ada kemungkinan munasabah bahawa BN akan tewas dalam PRU14 sekiranya PH berjaya menawarkan penyelesaian kepada tiga isu utama yang menjadi isu paling penting kepada pengundi.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE

2 thoughts on “Kajiselidik Sentimen Pengundi Dan Isu Utama Menjelang PRU14”

  1. Pengundi Cina – BN (22%), PH (53%), PAS (1%), Belum buat keputusan (23%), Tidak mengundi (1%)
    Pengundi Cina – BN (44%), PH (42%), PAS (3%), Belum buat keputusan (10%), Tidak mengundi (1%)

  2. Minta saudara Rafizi membuat tinjauan dan kaji selidik berkenaan sentimen dan sokongan pengundi Melayu di kawasan Felda dan luar bandar. Tetapi hemat saya seeloknya keputusan kajian hanya dihebahkan buat tatapan Pakatan Harapan sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.