“Mana Wang Felda RM4.3 Billion?”: Tan Sri Shahrir Samad Sepatutnya Cari RM11.4 Bilion Wang Felda, Bukan RM4.3 Billion

Lebih kurang 2 minggu lalu, pada 11 Februari 2017, Tan Sri Shahrir Samad dalam satu temuramah eksklusif dengan Sinar Harian telah bertanyakan mengenai RM4.3 bilion yang seolah-olah beliau tidak pasti ke mana perginya wang itu hasil dari penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGV). Kenyataan beliau itu menimbulkan kontroversi besar kerana ia seolah-olah pengesahan utama ada masalah kewangan yang meruncing di Felda.

Walaupun saya ingin memberi reaksi segera, saya juga ingin bersangka baik bahawa Tan Sri Shahrir Samad memang ikhlas untuk menyelesaikan penyelewengan yang berlaku di Felda. Saya berharap beberapa hari selepas itu, beliau sendiri akan membongkarkan ke mana sebenarnya wang RM4.3 bilion ini dibelanjakan supaya rakyat dapat menilai apakah ia berbaloi dengan hasilnya.

Namun itu tidak berlaku. Sebaliknya beliau mengubah kenyataan beliau beberapa hari selepas itu dengan menuduh ia telah diputarbelitkan.

Setelah lebih dua minggu menunggu, saya mengambil keputusan untuk menegur Tan Sri Shahrir Samad kerana penilaian beliau mengenai jumlah wang Felda yang telah dibelanjakan (apabila beliau bertanya “mana wang Felda RM4.3 bilion”) bukan sahaja tidak tepat, malah menyembunyikan angka yang sebenar.

Jumlah RM4.3 bilion yang beliau sebut hanya menyentuh hasil dari penjualan saham FGV kepada rakyat. Jumlah itu adalah sebahagian sahaja dari keseluruhan wang rakyat yang telah dikendalikan dan dibelanjakan Kumpulan Felda (baik sebagai pelaburan yang merugikan, projek yang terbengkalai, rasuah, ketirisan, perbelanjaan berboros, rasuah politik, perbelanjaan yang tinggi melebihi kos sebenarnya dan lain-lain) sejak tahun 2010 iaitu sejak Tan Sri Isa Samad mengambil alih kepimpinan Felda.

Oleh itu, saya bentangkan kira-kira yang lebih tepat yang menunjukkan bahawa jumlah sebenar yang sepatutnya dibentangkan kepada rakyat (wang rakyat yang telah dibelanjakan oleh kepimpinan dan pengurusan Felda sejak 2010) bukanlah RM4.3 bilion, tetapi berjumlah RM11.4 bilion seperti yang saya tunjukkan di bawah.

Rujuk Lampiran kira-kira yang disertakan bersama.

Download (PDF, 36KB)

 

Jumlah wang rakyat yang dikendalikan oleh Kumpulan Felda sejak 2010 adalah jumlah keseluruhan dari bentuk sumber wang seperti berikut:

1. Baki wang yang ada ditangan Felda semasa Tan Sri Isa Samad mula-mula mengambil alih kepimpinan Felda pada hujung tahun 2010. Baki ini dilaburkan dalam bentuk pembelian saham, bon dan disimpan di bank

2. Pinjaman yang telah dibuat oleh Kumpulan Felda sejak tahun 2010 selepas Tan Sri Isa Samad mengambil alih

(Wang yang dijana dari hasil perniagaan akan ditunjukkan dalam bentuk baki akhir tunai iaitu wang terkini yang ada di tangan. Jika perniagaan untung, baki wang akan menjadi lebih tinggi. Jika baki wang lebih rendah, bermakna operasi perniagaan tidak menguntungkan atau banyak dalam bentuk hutang.)

Baki wang yang ada ditangan Felda pada hujung tahun 2010 boleh dikira berdasarkan angka-angka yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengenai pelanggaran had pelaburan Felda.

 

Baki wang di dalam akaun Felda dilaporkan terus di dalam laporan itu di dalam Jadual 23.2 (mukasurat 314) iaitu berjumlah RM4.584 bilion di akhir 2010. Baki wang di dalam akaun peneroka boleh dianggarkan dengan membuat andaian bahawa kesemua pelaburan Felda di dalam saham berjumlah RM536 juta bagi tahun 2010 (seperti yang ditunjukkan di Jadual 23.3 mukasurat 315) adalah di dalam saham siar harga kerana itu paling konservatif dan tidak melanggar peraturan Felda yang menghadkan pelaburan kepada 68% dari jumlah baki tunai. Itu membolehkan saya mengira bahawa baki tunai di akaun peneroka pada akhir 2010 ialah RM788 juta.

Ini menjadikan baki tunai yang diwarisi oleh Tan Sri Isa Samad semasa beliau mengambilalih kepimpinan Felda adalah RM5.372 bilion (iaitu RM4.584 bilion dicampur RM788 juta).

Sejak 2010, Felda juga mengambil pelbagai hutang terutamanya dengan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Sebahagian dari pinjamin ini diberikan pula kepada anak-anak syarikat seperti FGV, sebahagiannya digunakan oleh Felda sendiri. Semakan penyata kewangan terakhir yang dimuktamadkan iaitu tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan jumlah hutang kumpulan Felda (sebahagian besarnya dengan KWSP) telah mencecah RM7.769 bilion.

Jumlah baki tunai terkumpul bagi kumpulan Felda bagi tempoh yang sama ialah RM1.706 bilion.

Maka, jumlah wang rakyat yang telah dikendalikan dan dibelanjakan oleh Kumpulan Felda adalah RM11.354 bilion (iaitu Baki di tangan @ 2010 + Pinjaman 2010 ke 2014 – Baki di tangan @ 2014).

Sebab itu saya menegaskan berkali-kali bahawa masalah kewangan Felda adalah lebih meruncing dan jumlah wang yang berkemungkinan besar telah lesap adalah lebih tinggi dari RM4.3 bilion yang disebut.

Malah, beberapa siri penangkapan oleh SPRM setakat ini hanya melibatkan pengurusan kanan berpangkat pertengahan dan jumlah penyelewengan yang terbabit iaitu beberapa ratus juta adalah terlalu sedikit berbanding jumlah RM11.354 bilion yang perlu dijawab oleh Tan Sri Shahrir Samad.

Saya akan terus menunggu untuk memberi peluang kepada Tan Sri Shahrir Samad menjawab soalan cepumas ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

One thought on ““Mana Wang Felda RM4.3 Billion?”: Tan Sri Shahrir Samad Sepatutnya Cari RM11.4 Bilion Wang Felda, Bukan RM4.3 Billion”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.