Pembelian PT Eagle High Plantations: Deposit RM654 Juta Yang Dibayar FGV Mesti Dikembalikan

Walaupun berita pembelian PT Eagle High Plantations oleh Felda telah menjadi pengetahuan umum, ada beberapa perkara yang mungkin rakyat terlepas pandang dan perlu diberi perhatian segera.

Rancangan asal pembelian saham-saham milik sahabat baik Dato’ Seri Najib ini sebenarnya bukanlah melibatkan Felda tetapi syarikat senaraian Felda Global Ventures Berhad (FGV). Felda digunakan setelah pembelian oleh FGV gagal atas sebab-sebab yang masih belum diketahui sehingga kini.

Oleh itu, pada 12 Jun 2015, FGV telah mengumumkan kepada Bursa bahawa ia (melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu FGV Kalimantan Sdn Bhd) telah menandatangani satu Perjanjian Awal (atau “Heads of Agreement”) dengan PT Rajawali Capital International dan PT Rajawali Copora (iaitu syarikat-syarikat milik Tan Sri Peter Sondakh) bagi pembelian 37% saham milik PT Rajawali di dalam PT Eagle High Plantations.

Saya sertakan salinan Perjanjian Awal itu yang mengandungi syarat-syarat jual beli saham tersebut.

Download (PDF, 41KB)

Selain dari harga yang dilihat terlalu tinggi, cadangan pembelian saham PT Eagle High Plantations ini juga mendapat kritikan hebat kerana syarat pembayaran deposit yang terlalu tinggi.

Rujuk mukasurat 2 Perjanjian Awal, di bawah Perkara 2.2 bertajuk “Deposit”.

Perjanjian Awal mensyaratkan FGV membayar deposit sebanyak RM654 juta kepada PT Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh sebagai cengkeram sementara rundingan-rundingan lain untuk memuktamadkan perjanjian ini berjalan.

Syarat pembayaran deposit yang terlalu tinggi pada nilai RM654 juta ini telah mengundang maklumbalas dari Bursa Malaysia yang mengeluarkan notis rasmi bertarikh 15 Jun 2015 kepada FGV untuk menerangkan sebab deposit sedemikian tinggi diperlukan. Saya sertakan notis rasmi pertanyaan-pertanyaan Bursa Malaysia kepada FGV mengenai perkara ini.

Maka, pada 17 Jun 2015, FGV telah memberikan jawapan-jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia itu termasuk mengenai pembayaran deposit yang tinggi itu.

Saya sertakan jawapan FGV mengenai deposit (merujuk kepada mukasurat dua di bawah tajuk “Query 2”) yang menyatakan bahawa sekiranya perjanjian jual beli saham di antara FGV dan PT Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh ini tidak dapat dimuktamadkan atas apa-apa sebab sekali pun, kesemua deposit berjumlah RM654 juta bersama-sama keuntungan faedah wang itu disimpan di dalam bank sementara ia dipegang oleh PT Rajawali, mestilah dikembalikan kepada FGV.

Download (PDF, 103KB)

Pengesahan bahawa rancangan jual beli saham itu ditamatkan dibuat oleh FGV dalam satu notis kepada Bursa Malaysia bertarikh 23 Disember 2016, iaitu hari yang sama Felda mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian membeli saham-saham PT Eagle High Plantations dari PT Rajawali.

Download (PDF, 60KB)

Oleh kerana perkara ini berlaku dihujung tahun 2016 dan laporan keputusan kewangan FGV bagi suku keempat 2016 belum dikeluarkan, sehingga kini tidak ada maklumat mengenai deposit berjumlah RM654 juta ini. Semakan notis-notis yang difailkan di Bursa Malaysia juga tidak menunjukkan sebarang notis berkenaan perkara ini.

Oleh itu, saya mengambil langkah awal untuk memastikan deposit itu dipulangkan kepada FGV mengikut syarat Perjanjian Awal dengan bertanyakan soalan-soalan ini:

1. Adakah FGV membayar deposit berjumlah RM654 juta itu kepada PT Rajawali dalam bulan Jun 2015 seperti kehendak Perjanjian Awal?

2. Jika ya, sudahkan PT Rajawali telah memulangkan kembali deposit RM654 juta itu bersama dengan keuntungan faedah simpanan dan bilakah deposit dan keuntungan itu dipulangkan kepada FGV?

3. Jika belum dipulangkan, bilakah akan dipulangkan?

4. Jika belum ada tarikh tetap jumlah itu dipulangkan, adakah deposit RM654 juta itu akan digunapakai sebagai sebahagian dari urusniaga pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations yang kini telah dibeli oleh Felda?

Saya mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan tidak ada cubaan untuk menggunakan wang deposit RM654 juta itu untuk digunakan pula untuk membayar saham-saham PT Eagle High Plantations dalam keadaan Felda menghadapi masalah kewangan untuk membayarnya.

Jika syarat Perjanjian Awal dipatuhi dan wang deposit RM654 juta ini telah dikembalikan kepada FGV, FGV sepatutnya tidak ada masalah untuk menjawab soalan-soalan saya di atas.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN


Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.