Prestasi Kewangan Tabung Haji Merudum 36%, Kadar Keuntungan Seperti Menyimpan Deposit Tetap Di Bank

Berikutan dengan pengumuman kadar keuntungan (hibah) sebanyak 4.25% (semua pendeposit) dan tambahan 1.5% kepada pendeposit yang belum menunaikan haji, saya mengumpulkan maklumat dari sumber-sumber berikut untuk membuat analisa awal prestasi kewangan Tabung Haji:

1. Laporan The Sun mengenai pecahan perolehan mengikut jenis pelaburan http://www.thesundaily.my/news/2151541

2. Laporan The Star mengenai jumlah aset boleh dicairkan oleh Tabung Haji untuk memenuhi tuntutan pengeluaran deposit oleh penabung http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/11/02/tabung-haji-refutes-allegations-of-inability-to-pay-depositors/

3. Laporan NST mengenai sebab kenapa jumlah dividen diterima adalah rendah bagi tahun 2016 berbanding 2015 http://www.nst.com.my/news/2017/02/209241/tabung-haji-distribute-rm288b-hibah-depositors

4. Laporan Kosmo mengenai jumlah 5.5 juta pendeposit yang belum menunaikan haji

Berdasarkan semua angka-angka ini, saya membandingkan prestasi kewangan Tabung Haji bagi tahun 2016 berbanding tahun-tahun sebelumnya berdasarkan 3 kayu ukur utama:

i. Prestasi Tabung Haji menguruskan simpanan pendeposit yang diukur menggunakan kadar % untung bersih berbanding jumlah deposit yang disimpan di Tabung Haji

ii. Prestasi Tabung Haji mengagihkan keuntungan hasil dari pelaburan kepada pendeposit yang diukur menggunakan kadar % keuntungan yang diagihkan berbanding jumlah deposit yang disimpan di Tabung Haji

iii. Kesan prestasi Tabung Haji di dalam (i) dan (ii) kepada keupayaan kewangan pendeposit warga emas dan kurang berpendapatan untuk menunaikan ibadah haji

Analisa ini saya tunjukkan di dalam Lampiran A, Lampiran B dan Lampiran C yang saya sertakan bersama.

Download (PDF, 39KB)

 

Download (PDF, 30KB)

 

Download (PDF, 25KB)

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai prestasi kewangan Tabung Haji yang baru diumumkan bagi tahun 2016 adalah seperti berikut:

1. (Rujuk Lampiran A) Prestasi Tabung Haji Menguruskan Simpanan Pendeposit
Prestasi tahun kewangan 2016 adalah yang terburuk sejak 2012 dengan menyaksikan kadar % untung bersih hasil dari pelaburan Tabung Haji menggunakan wang pendeposit merudum sebanyak 36% dari 5.96% (2015) kepada 3.83% (2016).

Pada kadar keuntungan bersih 3.83% dari pelaburan menggunakan wang pendeposit sebanyak RM64.74 bilion , ia tidak banyak berbeza dengan kadar keuntungan yang diberikan dari pelaburan simpanan tetap di bank (sekitar 3.2% ke 3.6%). Maksudnya, sesiapa sahaja boleh memberikan kadar pulangan sekitar 3.83% tanpa membelanjakan ratusan juta wang penabung dengan menyimpan kesemua RM64.74 bilion itu di dalam simpanan tetap di bank.

2. (Rujuk Lampiran B) Pelaburan Tabung Haji Di dalam Kertas Hutang
Menggunakan maklumat seperti yang dilaporkan media, saya mengunjurkan perincian perolehan dari portfolio pelaburan Tabung Haji seperti Lampiran B.

Bagi mereka yang memberi alasan bahawa Tabung Haji lebih banyak membuat untung dari rugi hasil pelaburan saham-sahamnya, unjuran menunjukkan bahawa walaupun rakyat memerhatikan prestasi pelaburan Tabung Haji secara dekat sejak 2015, ia tetap mengalami penurunan perolehan (bermakna keuntungan dari saham tidak setinggi 2015).

Keuntungan dari jual beli saham yang lebih rendah ini adalah selepas kejatuhan harga saham-saham seperti FGV, THHE dan lain-lain telah pun diambil kira dalam tahun kewangan yang lepas mengikut piawai perakaunan.

Lebih membimbangkan, perincian portfolio menunjukkan perolehan dari Tabung Haji memberi hutang kepada pihak lain (melalui jual beli kertas hutang) meningkat sebanyak 19% bagi tahun 2016. Ia memberi gambaran Tabung Haji meningkatkan risiko di dalam pasaran hutang, lalu timbul persoalan: kertas-kertas hutang mana yang dibeli? Ada risiko Tabung Haji terus membeli kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia atau agensi atau syarikat yang dikawal Kerajaan Persekutuan seperti mana ia memberikan pinjaman kepada 1MDB satu ketika dahulu.

3. (Rujuk Lampiran A) Prestasi Tabung Haji Mengagihkan Keuntungan Kepada Pendeposit
Agihan keuntungan sebanyak RM2.88 bilion berbanding wang pendeposit sebanyak RM64.74 bilion yang digunakan untuk melabur adalah bersamaan dengan kadar agihan 4.45%, iaitu hanya 1% lebih baik dari kadar keuntungan di simpanan tetap yang tidak datang dengan risiko pelaburan seperti yang ditunjukkan oleh Tabung Haji kebelakangan ini.

Sebab itu saya mengulangi kritikan saya supaya menteri-menteri yang bertanggungjawab cuba memahami kegelisahan rakyat yang mengeluarkan wang dari Tabung Haji kerana mereka hilang kepercayaan. Seperti yang saya sebut di atas, adalah tidak susah untuk mencapai pulangan sekitar 4% dari pelaburan iaitu dengan menyimpan dana itu di simpanan tetap.

4. (Rujuk Lampiran C) Agihan bonus pendeposit belum menunaikan haji yang lebih rendah melewatkan tempoh mengumpul wang selama 1 tahun
Oleh kerana kadar bonus kepada mereka yang belum menunaikan haji turun dari 3% (2015) kepada 1.5% (2016), ia ada kesan besar kepada keupayaan kewangan pendeposit berpendapatan rendah atau warga emas untuk menunaikan haji.

Kiraan saya menunjukkan purata baki simpanan pendeposit yang belum menunaikan haji ialah RM2,500 seorang. Jika seorang pendeposit menyimpan RM50 sebulan di dalam akaun yang berbaki RM2,500 – pengurangan bonus naik haji dari 3% (2015) ke 1.5% (2016) adalah bersamaan dengan kelewatan mencapai syarat keupayaan kewangan (iaitu baki di dalam akaun melebih RM10,000) selama satu tahun.

Maka saya pulangkan kepada Tabung Haji dan menteri yang bertanggungjawab bahawa sebenarnya, prestasi Tabung Hajilah yang boleh melambat-lambatkan rakyat yang susah dari mengerjakan ibadah haji, bukannya kenyataan-kenyataan saya.

Saya akan menumpukan minggu ini untuk membentangkan lebih banyak analisa mengenai prestasi kewangan Tabung Haji dan kos menunaikan haji bagi rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

2 thoughts on “Prestasi Kewangan Tabung Haji Merudum 36%, Kadar Keuntungan Seperti Menyimpan Deposit Tetap Di Bank”

  1. Saya rasa sekarang perlu juga periksa kedatangan pengundi hantu sebab di kejiranan saya sekarang ini mencurigakan….Ramai warga Indonesia datang ke rumah jiran yang mendapat kerakyatan kerana berkahwin dengan warga Malaysia…bahasa yang digunakan tidak dapat difahami kesemua tiba-tiba mula mewarnakan rambut…mungkin tidak benar tapi tidak sia-sia jika berhati-hati….

  2. Saudara rafizi, tqvm for the very informative statement tapi apa yg menjadi persoalan dan masalah penabung ialah kemana hendak dibawa wang simpanan jika dikeluarkan dari tabung haji, memang ramai sudah tidak berkeyakinan dgn integriti tabung haji tetapi kita juga mempunyai limitasi untuk menabung di institusi lain seperti ASN n ASB yg tidak dipastikan halal haramnya, mohon penjelasan lanjut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.