Kenapa Perumahan FELDA Diswastakan Kepada Syarikat Asing Yang Tidak Dikenali?

Seperti yang saya sebut sebelum ini, salah satu dari fokus utama saya dalam meneliti kelemahan pengurusan Felda (dan anak syarikatnya) serta kesannya kepada rakyat ialah projek-projek dan perbelanjaan yang bersabit dengan perumahan Felda. Ini juga salah satu dari bidang tumpuan utama Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda yang baru seperti yang beliau umumkan dan dilaporkan dua hari lepas.

Sebab itu hari ini, saya akan mendedahkan bagaimana projek perumahan Felda yang dijadikan umpan politik oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak selama ini kepada warga Felda berkemungkinan akan terus bermasalah, malah mencetuskan satu lagi skandal besar yang memalukan Dato’ Seri Najib. Justeru, saya percaya permasalahan perumahan Felda adalah antara krisis pertama yang perlu ditangani oleh Tan Sri Shahrir Samad yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan Felda.

Saya telah menyemak pelbagai kenyataan dan temuramah dengan Tan Sri Isa Samad yang dilaporkan secara meluas oleh pihak media. Saya sertakan tiga keratan akhbar dari sumber Bernama dan Utusan Malaysia yang memberi gambaran betapa tenatnya kedudukan projek perumahan Felda sekarang:

1. Keratan akhbar bertarikh 16 Ogos 2016 bertajuk “Sebanyak 8,400 unit rumah generasi kedua Felda siap tahun hadapan” yang dipetik dari Bernama. Tan Sri Isa Samad mengaku bahawa Felda ketika itu sedang berusaha untuk mendapatkan pinjaman bank sebanyak RM2 bilion bagi membiayai projek ini, tetapi menghadapi kesukaran kerana bank yang dirundingi sebelum itu telah mengurangkan pinjaman.

Download (PDF, 35KB)

 

2. Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Oktober 2016 bertajuk “11,400 unit PGBF mula dibina awal tahun depan”. Sekali lagi Tan Sri Isa Samad mengesahkan Felda telah menggunakan sehingga RM400 juta tetapi memerlukan RM1 bilion lagi bagi tujuan perumahan warga Felda.

Download (PDF, 330KB)

 

3. Keratan berita dari Bernama bertarikh 6 September 2016 bertajuk “Perumahan Felda Dijangka Bermula Dalam Tempoh Sehingga Dua Bulan Lagi”. Berita ini melaporkan bagaimana Felda telah menandatangani satu perjanjian pendanaan swasta bagi projek yang jumlah pembangunan kasarnya adalah RM1 bilion, dengan sebuah syarikat dari Singapura bernama Putra Star Investment Holdings Pte Ltd

Download (PDF, 388KB)

 

Berita ini berlalu begitu sahaja tanpa menimbulkan sebarang kontroversi. Akibatnya, orang ramai terutamanya peneroka Felda dan generasi baru Felda tidak tahu bahawa rumah-rumah yang dijanjikan kepada mereka itu bergantung kepada pembiayaan dari sebuah syarikat Singapura yang tidak diketahui asal usulnya. Bukan sahaja persoalan projek perumahan rakyat mengambil wang sebuah syarikat asing itu sudah cukup kontroversi kerana ia seolah-olah warga Felda berhutang dengan syarikat asing di atas rumah yang mereka miliki, malah syarikat yang dipilih itu juga menimbulkan tanda tanya.

Saya sertakan maklumat dari kerajaan Singapura mengenai latar belakang Putra Star Investment Holdings Pte Ltd yang dilampirkan bersama.

Download (PDF, 110KB)

 

Ia sebuah syarikat yang ditubuhkan sebagai sebuah syarikat perdagangan biasa dan bukannya syarikat kewangan (mungkin ia tidak ada lesen kewangan pun untuk memberikan pinjaman kepada Felda). Modalnya hanyalah USD1 juta, sedangkan ia akan membiayai projek berjumlah lebih RM1 bilion iaitu lebih 200 kali ganda dari modalnya. Ia dimiliki oleh tiga orang yang tidak dikenali iaitu 1 orang warga Singapura (Ng Peter Titan) dan 2 orang warga Malaysia (Theresa Ng dan Charissa Ng). Saya percaya mereka ada pertalian darah.

Saya mahu Tan Sri Shahrir Samad menjelaskan apakah kriteria yang digunakan untuk melantik syarikat ini? Dari mana syarikat ini akan mendapat dana lebih RM1 bilion yang hendak dipinjamkan kepada Felda? Apakah syarat-syarat yang telah ditandatangani oleh Felda bagi pihak peneroka?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Kenapa Perumahan FELDA Diswastakan Kepada Syarikat Asing Yang Tidak Dikenali?”

  1. IsaPen is a blatant sadistic lyer..may Allah teach wht is best for ths maniac.. I hate to curse people but his doings are really dumb & fool.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.