Maklumbalas Kepada Rahman Dahlan: Syarikat RM2 MRL Sdn Bhd Tidak Dimiliki Kerajaan Malaysia, Najib Terburu-Buru Kerana Masalah Hutang 1MDB Atau Wang Pilihanraya?

111016_ecrl_hutang_1_copy_2

Saya telah meneliti jawapan-jawapan yang diberikan oleh Dato’ Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu temuramah ringkas yang diberikan kepada SinarTV. Secara ringkasnya, Dato’ Rahman Dahlan mendakwa bahawa:

1. Syarikat bermodal RM2 yang mewakili Kerajaan Malaysia iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Oleh itu, walaupun modalnya hanyalah RM2 ia masih lagi sebuah syarikat yang kukuh kerana dimiliki Kementarian Kewangan

2. Jumlah kontrak yang dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat milik Kerajaan China iaitu CCCC sebanyak RM46 bilion hanyalah melibatkan pembinaan sistem keretapi dari Tumpat ke Gombak sepanjang 600 km. Ia tidak termasuk sistem dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km.

3. Kerajaan Barisan Nasional menganggarkan sistem keretapi dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km yang kosnya belum dimuktamadkan bernilai RM9 bilion. Oleh itu, jumlah kos yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah RM55 bilion.

Saya ingin memberi maklumbalas dan bidasan bagi setiap perkara yang ditimbulkan seperti berikut:

i. MRL dimiliki oleh Kementerian Kewangan
Saya sertakan paparan skrin dari maklumat syarikat MRL Sdn Bhd yang saya perolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semasa saya mendedahkan mengenai syarikat RM2 ini dua hari lalu di lobi Parlimen:

ssm1
Mengesahkan MRL ditubuhkan pada 26 September 2016

ssm2
Mengesahkan MRL hanya bermodal berbayar RM2

ssm3
Mengesahkan bahawa pengarah-pengarahnya adalah individu yang bekerja dengan Kementerian Kewangan

ssm4
Mengesahkan bahawa saham RM2 dimiliki individu bukan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

Sementara saya tidak mahu memanjangkan isu syarikat RM2 ini kerana saya yakin dua orang pegawai kanan Kementerian Kewangan itu telah menjadi kambing hitam, saya perlu memperbetulkan pembohongan fakta oleh Dato’ Rahman Dahlan.

Setakat hari ini, MRL Sdn Bhd tidak dimiliki oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) seperti yang didakwa oleh beliau semalam. Ia dimiliki oleh dua orang individu yang bekerja di Kementerian Kewangan. Jika MRL Sdn Bhd dimiliki oleh MOF Inc, maka dua saham bernilai RM1 setiap satu itu akan didaftarkan di atas nama MOF Inc.

Maka apabila Dato’ Rahman Dahlan mendakwa isu modal berbayar RM2 itu sepatutnya tidak ditimbulkan kerana MRL Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc, itu sebenarnya satu pembohongan.

Malah, jika pun kedua-dua orang pemilik saham sekarang iaitu Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail bersetuju memindahkan saham mereka kepada MOF Inc, apa proses kelulusan yang akan digunapakai untuk membenarkan MOF Inc yang dimiliki rakyat mewarisi hutang bernilai RM46 bilion yang ditandatangani oleh sebuah syarikat yang pada masa kontrak ditandatangani tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Malaysia?

Kenyataan Dato’ Rahman Dahlan semalam mengesahkan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk menggunakan muslihat yang sama yang digunapakai semasa memindahkan hutang 1MDB melalui SRC International kepada rakyat: SRC berhutang RM4 bilion semasa ia masih anak syarikat penuh 1MDB, selepas wang sudah diambil maka MOF Inc bersetuju menerima pemindahan saham dari 1MDB kepada MOF Inc.

Akhirnya, hutang RM4 bilion yang sebenarnya diambil oleh 1MDB melalui SRC telah dimiliknegarakan dan dibebankan kepada rakyat.

Perkara yang sama juga akan berlaku dengan MRL yang mengendalikan ECRL ini.

ii. Perbezaan kos RM46 bilion dan RM55 bilion
Jawapan-jawapan yang diberikan Dato’ Rahman Dahlan mengenai panjang sistem keretapi dari Tumpat ke Gombak sepanjang 600 km dan lain-lain boleh dipatahkan dengan laporan-laporan lain yang menyebut pelbagai angka lain.

Namun saya mahu menumpukan kepada perkara yang paling pokok: kenapa Dato’ Seri Najib terlalu terburu-buru untuk menandatangani kontrak menganugerahkan kerja-kerja bernilai RM46 bilion ini kepada syarikat milik Kerajaan China sekarang?

Adakah perkara yang paling mustahak dan menjadi keutamaan tertinggi ialah satu laluan keretapi dari Tumpat ke Pelabuhan Klang sehingga Dato’ Seri Najib tidak boleh menunggu sehingga rundingan pakej pembinaan keseluruhan dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang dimuktamadkan dahulu?

Bukankah jika kontrak pembinaan EPCC dirundingkan secara bersekali dan dalam satu pakej iaitu dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang, secara logiknya ia lebih murah kerana kontraktor tidak perlu membuat kerja dua kali, tidak perlu membayar kos mobilization dan de-mobilisation dua kali dan kontraktor boleh mendapatkan harga material yang lebih murah kerana membeli secara pukal (“economies of scale”)?

Sebab itu, isu sebenarnya ialah kenapa projek ini ditandatangani dan dilaksanakan secara terburu-buru?

Saya bimbang ia berkaitan dua peristiwa besar yang boleh berlaku dalam tahun 2017: pembayaran hutang-hutang 1MDB termasuk satu bayaran berjumlah RM14 bilion (atau USD3.5 bilion) kepada IPIC jika 1MDB kalah dalam proses timbangtara (“arbitration”) dan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kedua-dua ini menelan belanja yang besar dan wang segera diperlukan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “Maklumbalas Kepada Rahman Dahlan: Syarikat RM2 MRL Sdn Bhd Tidak Dimiliki Kerajaan Malaysia, Najib Terburu-Buru Kerana Masalah Hutang 1MDB Atau Wang Pilihanraya?”

  1. I’ve read comments by YB & wht had been said by RD. YB shd also deliberate whether the project are viable for country present economy scenario..look at the present MRT projects, the GST, tax system, reduction & abolishing subsidies, the highway concessions rates & upgrading, the gov’t staffing structures ST whims & fancies of only PM eg those hired directly by the PM’s department, the enforcement officials of PBTs, Police, Customs, Immigration & KPDNKK etc, the leakages mentioned in AG gov’t audit reports must be focused & rectified besides the new projects coming in bfo are being implemented.. There are too many weaknesses need to be addressed to by the govt presently bfo embarking mny more mega projects.. Keep it up YB & must be on the toes bfo taking over Ptrjya nxt GE14, rgds

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.