Anggaran Kos Menyewa Jet Peribadi ACJ319 A6-CJE Sebanyak RM86 Juta Untuk Dua Bulan

Saya ambil maklum jawapan Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor semalam yang mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Datin Seri Rosmah Mansor memang menggunakan jet peribadi yang disewa khas itu bagi tujuan ke Istanbul untuk menerima satu anugerah bagi pihak PERMATA

2. Kos menyewa jet peribadi tersebut ditanggung oleh wang rakyat kerana tempahan dibuat oleh Kerajaan Malaysia

3. Kerajaan Malaysia menyewa jet peribadi tersebut untuk tempoh 2 bulan atas alasan satu lagi jet peribadi sedang disenggara

Untuk menilai kewajaran Kerajaan Malaysia berbelanja menyewa jet peribadi ini, saya sertakan gambar-gambar di dalam pesawat (gambar sebenar ACJ319 A6-CJE) di dalam Lampiran agar rakyat boleh melihat sendiri betapa mewahnya gaya kehidupan pembesar-pembesar negara yang ditanggung oleh rakyat.

IMG_7111 (1)

IMG_7112 (1)

IMG_7114 (1)

IMG_7115

IMG_7117

Semakan saya dengan syarikat-syarikat yang menawarkan khidmat menyewa jet peribadi mewah ACJ319 menunjukkan bahawa kadar sewaan adalah mengikut jam; iaitu USD15,000 setiap jam.

(Rujuk paparan dari Paramount Business Jets LLC yang saya sertakan di bawah)

pricequote-media

Menggunakan kadar sewaan tersebut, anggaran kasar boleh dibuat seperti berikut:

Jumlah jam sewaan 30 hari X 2 X 24 jam 1,440 jam
 

Kadar sewaan (USD) sejam

 

USD15,000

 
 

Kadar sewaan (RM) sejam

 

USD15,000 X 4

 

RM60,000

 

Anggaran kos ditanggung rakyat

   

RM86.4 juta

 
Saya akan menjawab beberapa alasan yang diberikan oleh Datuk Rizal Mansor di dalam satu kenyataan yang berasingan. Namun, saya hanya ingin mempersoalkan kewajaran membelanjakan RM86.4 juta dana rakyat dalam keadaan rakyat benar-benar tersepit akibat GST, penghapusan subsidi, kenaikan harga, potongan mendadak biasiswa dan pembiayaan pendidikan melalui MARA, PTPTN dan lain-lain.

Saya boleh senaraikan beberapa contoh mudah bagaimana RM86.4 juta ini boleh dibelanjakan untuk rakyat:

1. Ia boleh menanggung biasiswa penuh untuk pelajar paling cemerlang di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan (awam atau swasta) sebanyak RM45,000 untuk kursus ijazah bagi 1,920 pelajar cemerlang

2. Ia boleh diberikan sebagai pinjaman MARA sebanyak RM20,000 kepada seramai 4,320 anak-anak Bumiputra untuk membiayai pendidikan mereka

3. Ia boleh digunakan untuk menghantar 86 daripada 300 pelajar cemerlang SPM 2013 yang sepatutnya belajar di universiti ternama seluruh dunia tetapi biasiswa itu dibatalkan atas alasan kerajaan tidak cukup wang

4. Jika diberi kepada pelajar miskin yang cemerlang di sekolah dalam bentuk Biasiswa Kecil Menengah sebanyak RM500 seorang, jumlah ini akan memanfaatkan 172,800 keluarga

Tidak ada alasan yang boleh diberikan oleh mana-mana pemimpin Umno/Barisan Nasional untuk mewajarkan pembaziran tahap mega yang dianggarkan memakan RM86.4 juta wang rakyat ini.

Oleh sebab itu, pemimpin dan calon BN di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak lagi boleh bercakap mengenai membela rakyat selagi mereka tidak berani menegur Datin Seri Rosmah Mansor agar berhenti bermewah menggunakan wang rakyat seperti ini.

Saya seru supaya pengundi-pengundi yang selama ini menyokong Umno/BN tetapi rasa jelek dengan pembaziran wang rakyat seperti ini memilih untuk membuang undi protes dengan mengundi calon Pakatan Harapan dari AMANAH di kedua-dua kerusi; atau pun tidak keluar mengundi langsung di dalam PRK ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.