Datin Seri Rosmah Mansor Menggunakan Jet Peribadi (“Private Jet”) Mewah Yang Disewa Untuk Ke Istanbul Mewakili PERMATA

Seperti yang saya nyatakan semalam, Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini sebenarnya medan untuk membandingkan parti mana yang paling peka dengan kesusahan rakyat terbanyak. Isu yang paling mendesak dan dirasai oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ialah beban sara hidup yang melampau akibat dasar-dasar Umno/Barisan Nasional seperti pelaksanaan GST, penghapusan subsidi, harga pasaran bagi bahan api, potongan mendadak bantuan pembiayaan pendidikan tinggi dan lain-lain.

Sewajarnya parti yang paling peka dengan perkara ini juga paling lantang membongkar pembaziran yang berlaku dan meletakkan pertanggungjawaban kepada penjawat awam dan keluarga mereka yang dilihat bermewah sementara rakyat terus tertekan.

Oleh sebab itu, hari ini saya tampil untuk membongkar satu lagi pembaziran melibatkan isteri Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang saya yakin tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang waras. Saya berharap pengundi di Kuala Kangsar/Sungai Besar dan rakyat umumnya dapat menilai kesungguhan parti-parti politik yang ada melindungi wang rakyat berdasarkan reaksi mereka kepada pendedahan saya hari ini.

Pada 27 May 2016 (dua minggu yang lalu), Datin Seri Rosmah Mansor telah menghadiri satu majlis di Istanbul. Majlis yang bernama Global Good Governance Award 2016 itu telah menganugerahkan “3G Children Welfare Award” kepada PERMATA iaitu sebuah program yang dibiayai oleh wang rakyat dan dinaungi oleh Datin Seri Rosmah Mansor. Beliau hadir sendiri sebagai penaung untuk menerima anugerah itu.

(Peristiwa ini dilaporkan secara meluas, rujuk laporan The Star bertajuk “Rosmah: Permata Will Do Even Better After Winning Award” dalam Lampiran).

thestarrosmah

Apa yang tidak dilaporkan dan tidak diketahui ialah aturan perjalanan beliau ke Istanbul untuk menerima anugerah tersebut.

Saya boleh mengesahkan bahawa beliau telah menaiki sebuah jet peribadi (“private jet”) ACJ319 bernombor pendaftar A6-CJE yang disewa khas dari syarikat penerbangan Emirates. Butiran mengenai jet peribadi ACJ319 A6-CJE ini disertakan di dalam Lampiran.

acjemirates

airbus

Saya juga telah menyemak jadual perjalanan jet peribadi ACJ319 A6-CJE ini seperti yang tunjukkan di dalam Lampiran secara terperinci dan dirumuskan seperti dibawah (berdasarkan rekod perjalanan seperti di bawah yang dipadankan dengan perjalanan jet di dalam Lampiran):

23 Mei 2016 1857 – bertolak dari UAE ke Subang
25 Mei 2016 0513 – bertolak dari Subang ke UAE
25 Mei 2016 1301 – bertolak dari UAE ke Istanbul
26 Mei 2016 1956 – bertolak dari Istanbul ke UAE
27 Mei 2016 0156 – bertolak dari UAE ke Kuala Lumpur

summary itinerary

dubaikl

kldubai

dubaiistanbul

istanbuldubai

Oleh kerana Datin Seri Rosmah Mansor hadir sebagai mewakili PERMATA, maka timbul persoalan sama ada sewaan sebuah jet peribadi untuk perjalanan ke Istanbul itu menggunakan wang rakyat.

Maka, saya ingin mengajukan soalan-soalan ini kepada Datin Seri Rosmah Mansor sendiri dan Dato’ Seri Najib Tun Razak:

1. Kenapa Datin Seri Rosmah Mansor tidak menggunakan penerbangan komersil untuk perjalanan ke Istanbul yang sudah tentu jauh lebih murah berbanding menyewa sebuah jet peribadi ACJ319 hanya untuk beliau?

2. Siapa yang membuat tempahan jet peribadi tersebut dan siapa yang membayar kos sewaan tersebut?

3. Kenapa Datin Seri Rosmah Mansor sebagai seorang awam diberikan pelepasan menggunakan lapangan terbang di Pengkalan Udara Subang yang sepatutnya khusus untuk kegunaan ketenteraan dan bukan penerbangan awam seperti ini?

Pada kala pelbagai peruntukan rakyat dipotong, gaya hidup yang menggunakan jet peribadi yang disewa khusus untuk satu perjalanan adalah melampau dan tidak sensitif. Saya dimaklumkan MARA telah memotong elaun makan bagi pelajar di Institut Kemahiran MARA (IKM) dari RM250 sebulan kepada RM125 sebulan; tetapi pada masa yang sama isteri Perdana Menteri bermewah dengan sebuah jet peribadi yang disewa.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.