Kadar Tol Boleh Dikekalkan, Harga Minyak Boleh Diturunkan Lagi

Kenaikan kadar tol (selain dari tambang LRT) di sebahagian besar lebuhraya-lebuhraya utama yang menghubungkan Lembah Klang dengan seluruh negara bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah ia membawa risiko buruk kepada perkembangan ekonomi negara.

Tahun 2015 telah menyaksikan pelbagai dasar dan kenaikan yang meningkatkan beban sara hidup isirumah keluarga Malaysia. Pada 1 April 2015, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang terbukti menaikkan harga barang dan beban cukai kepada rakyat.

Mekanisme penetapan harga minyak yang menghapuskan subsidi dan menggunakan harga rujukan di dalam Dollar Amerika Syarikat (USD) juga merugikan rakyat bila mana harga minyak terus kekal mahal sedangkan harga minyak RON95, diesel dan RON97 di negara-negara lain jatuh secara berkadar dengan harga minyak mentah di pasaran. Harga minyak di Malaysia kekal mahal (malah dinaikkan bulan ini) kerana kegagalan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengawal kejatuhan nilai matawang ringgit berbanding USD menjadikan ringgit matawang tercorot di Asia.

Dengan kenaikan kadar tol dan tambang LRT yang bakal berkuatkuasa, setiap isirumah terutamanya di Lembah Klang akan terpaksa membayar lebih. Kos pengangkutan juga akan meningkat di seluruh negara dan akan menaikkan lagi harga barang. Kesannya, pendapatan boleh belanja (disposable income) setiap isirumah di seluruh negara akan berkurangan akibat dasar-dasar ini.

Dalam suasana ekonomi Malaysia yang kurang mendapat keyakinan pelabur antarabangsa (yang telah menarik berbilion ringgit pelaburan keluar dari Malaysia dalam tahun ini), pertumbuhan ekonomi negara lebih banyak bergantung kepada kemampuan rakyat Malaysia berbelanja. Jika kuasa beli pengguna kukuh, kegiatan ekonomi rancak dan ekonomi boleh terus berkembang walaupun sentimen pelabur antarabangsa kurang memberangsangkan.

Sebab itu, kedangkalan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melonggokkan beban ekonomi negara kepada rakyat sebenarnya tindakan membunuh diri kerana ia membawa risiko melembapkan pertumbuhan ekonomi negara ekoran kurangnya kuasa beli pengguna.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dilancarkan di sidang Parlimen minggu depan. Salah satu teras utama pendekatan ekonomi Pakatan Harapan yang dikupas ialah langkah-langkah inovatif dan praktikal untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat bagi mengekalkan kuasa beli pengguna.

Kami yakin bahawa kadar tol boleh dikekalkan dan harga minyak sewajarnya lebih murah dengan melaksanakan cadangan-cadangan berikut:

MEKANISME MENGEKALKAN KADAR TOL

Alasan yang selalu digunakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan kadar tol adalah kononnya kerajaan tidak lagi mampu menanggung pampasan yang tinggi kepada pemegang konsesi.

Sebelum ini pun, parti-parti Pakatan Harapan konsisten menegaskan bahawa perjanjian yang berat sebelah dengan pemegang konsesi perlu dirunding semula untuk mengelakkan pampasan yang melampaui batas. Pun begitu, selagi Pakatan Harapan tidak berkuasa di Putrajaya, langkah ini tidak dapat dijalankan.

Oleh yang demikian, satu lagi langkah inovatif dan praktikal yang boleh dilaksanakan segera ialah memberi hak kepada pemegang-pemegang konsesi terbabit untuk mendapat keutamaan terbabit di dalam projek-projek lebuhraya akan datang sebagai pertukaran untuk tidak menaikkan kadar tol.

Hak untuk mendapat keutamaan (sering dirujuk sebagai “first right of refusal”) adalah amalan biasa di dalam perjanjian komersil. Dengan cara ini, pemegang konsesi sedia ada tidak perlu bimbang tentang keuntungan yang berkurangan kerana mereka mempunyai potensi untuk terus terlibat di dalam projek lebuhraya kerajaan yang akan datang dengan syarat perjanjian akan datang ditetapkan secara adil mengikut kadar keuntungan munasabah.

Pakatan Harapan menyeru supaya Menteri Kerja Raya lebih kreatif dalam membela rakyat dan merundingkan semula dengan pemegang konsesi dengan tawaran “first right of refusal” dalam projek lebuhraya akan datang pada kadar keuntungan berpatutan sebagai pertukaran mengekalkan kadar tol sedia ada.

MEKANISME MENURUNKAN HARGA MINYAK

Rakyat Malaysia terus menanggung harga minyak yang mahal akibat dari beberapa kesilapan dan kelemahan pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak walaupun harga minyak mentah dan minyak siap diproses (“refined products”) kekal murah di pasaran antarabangsa.

Kesilapan pertama ialah apabila formula menetapkan harga bulanan RON95, diesel dan RON97 menggunakan harga rujukan di dalam USD. Formula penetapan harga secara prinsipnya adalah:

Harga RON95 = Kos minyak mentah dan memproses minyak mentah menjadi RON95 + Jaminan keuntungan kepada syarikat minyak dan stesen petrol

Sejak tahun 1980an, kerajaan Barisan Nasional menggunakan harga rujukan dari Singapura di dalam USD untuk menentukan kos minyak mentah dan memproses minyak mentah sedangkan maklumat yang lebih tepat boleh diperolehi terus dari syarikat-syarikat minyak di Malaysia.

Kelemahan kedua ialah kegagalan mentadbir matawang ringgit sehingga ia jatuh merudum berbanding USD. Oleh itu, walaupun harga minyak di dalam USD sebenarnya kekal murah, apabila ia diterjemahkan ke dalam ringgit menggunakan formula, tiba-tiba ia menjadi mahal akibat faktor matawang (bukan kerana harga minyak yang mahal).

Pakatan Harapan menyeru supaya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merombak kembali sistem penetapan harga minyak yang menggunakan harga rujukan di dalam USD untuk melindungi rakyat Malaysia dari kesan kejatuhan matawang ringgit akibat kelemahan Barisan Nasional sendiri.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan akan terus mengeluarkan cadangan-cadangan tuntas menjelang pembentangan Belanjawan Pakatan Harapan minggu depan.

 

JAWATANKUASA EKONOMI PAKATAN HARAPAN

13 OKTOBER 2015

YB Rafizi Ramli

Ahli Parlimen Pandan

YB Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang

Dr Dzulkifly Ahmad

Pengarah Strategi AMANAH

     
YB Wong Chen

Ahli Parlimen Kelana Jaya

   

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.