Artikel 117 “Memorandum Pertubuhan” 1MDB Mendedahkan Perdana Menteri Kepada Siasatan Dan Pendakwaan Jenayah

27 MEI 2015

Saya merujuk kepada pendedahan oleh pihak media semalam mengenai Memorandum Pertubuhan (“Memorandum & Articles of Association” atau “M&A”) 1MDB yang mempunyai Artikel 117 yang mengaitkan Perdana Menteri dengan semua keputusan pelaburan dan hutang yang dibuat oleh 1MDB selama ini.

Saya telah mendapat salinan penuh M&A ini dan telah menyemak untuk mengesahkan bahawa ia adalah M&A 1MDB, seperti berikut:

1. Semakan dengan rekod terkini dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad mempunyai nombor syarikat yang sama iaitu 848230-V

2. Rekod terkini SSM juga (seperti yang dilampirkan) menunjukkan bahawa Terengganu Investment Authority Berhad telah menukar namanya kepada 1MDB pada 25 September 2009

Download (PDF, 177KB)

3. Pindaan kepada M&A telah difailkan kepada Pendaftar Syarikat melalui satu resolusi bertarikh 2 September 2009. Ini bermakna keseluruhan M&A ini besar kemungkinan difailkan untuk memenuhi proses mengambilalih dan menukar nama Terengganu Investment Authority Berhad kepada 1MDB seperti yang ditunjukkan oleh rekod terkini SSM

(Keseluruhan dokumen M&A serta resolusi-resolusi terbabit untuk memfailkan pindaan-pindaan M&A boleh dimuat turun dari https://drive.google.com/file/d/0B2GRLI8QVQQgZGhkMy1QQ2NpRzA/view?usp=sharing )

Saya sertakan Artikel 117 yang bertajuk “Reserved Matters” di dalam M&A itu. Secara ringkasnya, artikel itu menetapkan bahawa semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB serta sebarang komitmen kewangan (termasuk keputusan pelaburan) yang diambil oleh 1MDB yang boleh mempunyai kesan kepada jaminan Kerajaan Persekutuan perlulah mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Ini bermakna, kemungkinan besar Perdana Menteri tahu mengenai urusniaga-urusniaga 1MDB yang mengundang kontroversi setakat ini kerana kelulusan beliau diperlukan. Apatah lagi bon pertama yang diterbitkan oleh 1MDB dalam tahun 2009 telah dijamin Kerajaan Persekutuan. Maka, setiap urusniaga penerbitan hutang selepas itu ada kesan kepada jaminan yang diberikan Kerajaan Persekutuan itu dan tidak boleh dilaksanakan oleh 1MDB tanpa kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Saya berpendapat Perdana Menteri perlu hadir sendiri ke Parlimen untuk menerangkan perkara ini. Beliau juga perlu hadir untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) untuk menjelaskan sama ada kelulusan bertulis beliau telah diberikan bagi semua urusniaga dan pelaburan 1MDB selepas jaminan Kerajaan Persekutuan bagi bon pertama 1MDB.

Saya juga menyeru semua agensi yang menyiasat 1MDB termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara (AG) membuka kertas siasatan terhadap Perdana Menteri. Bermula dari hari ini, jika ada sebarang unsur penyelewengan jenayah di dalam 1MDB, ia akan turut menyabitkan Perdana Menteri kerana Artikel 117 jelas menunjukkan keterlibatan secara langsung Perdana Menteri dalam keputusan-keputusan 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.