Kerajaan Membayar RM109 Juta Lebih Mahal Untuk Membeli Jet Peribadi ACJ320

24 MAC 2015

Sebelum ini, saya telah mendedahkan kos sebanyak RM465 juta yang akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan selama 15 tahun untuk membayar pembelian jet peribadi baru ACJ320. Saya juga telah mendedahkan kos naiktaraf kabin sebanyak RM28 juta yang telah dimasukkan di dalam harga keseluruhan jet peribadi ini. Sehingga kini, tidak ada satu penafian pun dari Perdana Menteri mengenai maklumat kos ini.

Saya ingin menyatakan pada hari ini bahawa kos RM465 juta itu sebenarnya lebih tinggi dari harga sebenar yang sepatutnya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan jika jet peribadi ACJ320 itu dibeli terus oleh Kerajaan Persekutuan tanpa melalui syarikat swasta.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan telah menggunakan khidmat sebuah syarikat swasta iaitu Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd (“JPO”) untuk membeli jet peribadi ACJ320 yang kemudiannya dijual pula kepada Kerajaan Persekutuan.

Maklumat harga dan nilai pasaran jet peribadi ACJ320 ini boleh diperolehi dari perunding penerbangan antarabangsa iaitu Ascend Flight Global Consultancy. Maklumat mengenai takrifan dan kaedah penilaian harga sesebuah jet atau helicopter boleh diperolehi di lamannya iaitu http://www.ascendworldwide.com/2014/03/the-ascend-approach-to-aircraft-valuation.html

Dalam siasatan oleh National Oversight & Whistleblowers (NOW) mengenai kes ini, NOW telah berjaya mendapatkan nilaian harga semasa jet peribadi ACJ320 ini seperti yang dipaparkan di laman Ascend Flight Global Consultancy seperti berikut (capaian kepada maklumat ini hanya terhad kepada syarikat atau individu yang melanggan khidmat Ascend):

flightgobal

Berdasarkan maklumat dari Ascend Flight Global Consultancy ini, nilaian harga ACJ320 oleh Ascend Flight Global Consultancy adalah seperti berikut:

1. Harga pasaran (“half life market value”) berdasarkan urusniaga terkini bagi jet sama model dan sama umur – USD70.4 juta atau RM246.4 juta (pada kadar tukaran RM3.50 kepada USD1)

2. Harga asas (“half life base value”) berdasarkan nilai ekonomi yang boleh dijana oleh jet sama model dan sama umur – USD62.86 juta atau RM220 juta

Ini bermakna harga sebenar jet peribadi ACJ320 ini adalah di antara RM220 juta hingga RM246 juta.

Melalui salinan perjalinan jual beli di antara JPO dan Air Luther AG, saya boleh mengesahkan bahawa JPO bersetuju membayar USD89 juta iaitu USD19 juta lebih mahal dari harga maksima mengikut nilaian semasa. Dari harga USD89 juta itu, USD8 juta adalah bagi naiktaraf kabin seperti yang saya dedahkan semalam dan baki USD11 juta (bersamaan RM39 juta) adalah bayaran yang melebihi harga pasaran semasa.

Tidak cukup dengan pembayaran yang melebihi harga pasaran ini, JPO kemudiannya menjual pula jet peribadi ACJ320 ini pada harga sewa beli yang menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membayar lebih tinggi dari kos sekiranya ia membeli sendiri jet peribadi tanpa melalui JPO.

Dengan menggunakan harga ACJ320 pada USD89 juta seperti yang dijual oleh Air Luther AG, sekiranya Kerajaan Persekutuan membeli sendiri jet peribadi ini terus dari Air Luther AG, jumlah bayaran bagi tempoh 15 tahun pada kadar faedah 4% setahun (iaitu kadar pinjaman yang biasa dibuat oleh Kerajaan Persekutuan) adalah RM395 juta.

Jumlah ini adalah RM70 juta lebih murah dari jumlah perjanjian sewa beli di antara Kerajaan Persekutuan dan JPO.

Maka, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menjawab soalan-soalan ini:

1. Kenapa Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar harga yang RM39 juta lebih mahal dari harga pasaran mengikut nilaian harga sebenar ACJ320?

2. Kenapa Kerajaan Persekutuan tidak membeli terus ACJ320 dari Air Luther sedangkan itu lebih murah? Tindakan membeli dari JPO menyebabkan Kerajaan Persekutuan membayar RM70 juta lebih mahal berbanding jika Kerajaan Persekutuan membeli terus dari Air Luther.

Keseluruhannya, bukan sahaja pembelian jet peribadi baru ACJ320 ini adalah membazir, ia juga dibuat pada kos yang jauh lebih tinggi dari harga nilaian maksima jet itu.

Berdasarkan perkiraan saya, Kerajaan Malaysia membayar RM109 juta lebih mahal dari harga sebenarnya (iaitu RM39 juta harga yang lebih mahal dari nilaian maksima harga pasaran dan RM70 juta melalui perjanjian sewa beli yang lebih mahal berbanding jika Kerajaan Persekutuan membeli terus).

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

2 thoughts on “Kerajaan Membayar RM109 Juta Lebih Mahal Untuk Membeli Jet Peribadi ACJ320”

  1. bergaduh hari-hari pun susah diri sendiri…barang mahal….setiap rumah persendirian perlu solar energy….setiap kedai…kalau boleh kilang pun….setiap rumah baru dibina perlu ada dual function tenaga….eletrik + solar….dan rumah lama kene pasang jugak…panasonic kene buat sistem bayaran pembayaran ansuran pemasangan solar….baru rakyat mampu beli….baru bila letrik naik…xda kesan sangat pada pengguna…dan solar itu perlu dilengkapi dng qualiti produk yg lebih tahan lama….
    kene ada sumber tenaga lain kita terlalu bergantung dng TNB….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.