Menteri Panggil Mesyuarat Tergempar, Harga Pasaran RON95 Jatuh RM1.62 Seliter

Selepas kenyataan-kenyataan saya yang mengkritik sistem penetapan harga minyak yang dilaksanakan sekarang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Dato’ Hassan Malek telah memanggil satu mesyuarat tergempar pada 9 Januari 2015 iaitu sehari selepas saya mendesak supaya sistem yang berasaskan stok konsainan (consignment stock) dilaksanakan dan harga minyak diturunkan setiap minggu.

Bersama-sama ini disertakan agenda mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau pada 9 Januari 2015 yang menunjukkan beliau sedia maklum dengan semua isu yang saya bangkitkan.

mesyminyak

Saya juga ingin menarik perhatian rakyat kepada harga pasaran sebenar RON95 seperti yang ditetapkan mengikut formula Barisan Nasional sendiri. Lampiran A menunjukkan bahawa harga RON95 telah jatuh ke paras RM1.62 seliter pada 9 Januari 2015. Keadaan ini akan berterusan dan tidak mustahil menjelang akhir Januari 2015 harga RON95 (mengikut formula yang ditetapkan oleh Barisan Nasional sendiri) akan jatuh ke paras RM1.50 seliter.

Download (PDF, 135KB)

Malangnya, dengan sistem penetapan harga setiap sebulan sekali seperti yang dijalankan sekarang, rakyat Malaysia masih terus membayar RM1.91 seliter walaupun harganya jauh lebih rendah. Perbezaan harga di antara 30 – 40 sen seliter yang dibayar oleh rakyat Malaysia terus dikutip sebagai cukai tersembunyi oleh Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Menteri KPDNKK, Dato’ Hassan Malek segera membentangkan kepada rakyat apakah hasil mesyuarat tergemparnya yang dibuat pada 9 Januari 2015?

Apakah Barisan Nasional akhirnya bersetuju untuk menurunkan harga setiap minggu supaya rakyat boleh menikmati harga petrol dan diesel yang lebih rendah?

Apakah Barisan Nasional bersetuju untuk mengarahkan agar sistem stok konsainan (consignment stock) dilaksanakan segera oleh syarikat-syarikat minyak supaya semakan harga setiap minggu dapat dijalankan tanpa menjejaskan kelangsungan operasi stesen minyak?

Saya juga menyeru supaya Menteri KPDNKK membentang perkara-perkara ini dalam mesyuarat Kabinet minggu ini dan satu keputusan diumumkan secepat mungkin bagi mengelakkan rakyat terus menjadi mangsa.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden & Setiausaha Agung
Ahli Parlimen Pandan

12 Januari 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.