Sah Harga Minyak Naik Lagi Dengan GST

Laporan akhbar Sin Chew Daily yang turut dipetik oleh laman kereta paultan.org mengesahkan bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel.

Mengikut laporan, pengesahan ini dibuat oleh Ishak Daud, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais dalam satu taklimat GST anjuran Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) minggu lalu.

Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak.

Pada kadar GST 6%, harga seliter petrol selepas ini adalah RM2.27 sen. Jika seorang pengguna biasa dianggarkan menggunakan 80 liter seminggu bersamaan 320 liter petrol sebulan, kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini bermakna bil petrol satu isi rumah biasa akan meningkat sebanyak RM50 sebulan.

Pada masa yang sama, kenaikan harga minyak ini juga akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain.

Akhirnya, bebanan bulanan setiap isi rumah akan bertambah dan saya anggarkan sekurang-kurangnya meningkat RM100 sebulan (kenaikan terus harga minyak dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain) bagi setiap isi rumah di kawasan bandar dan separa bandar.

Saya juga telah menyatakan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan melaksanakan penarikan balik subsidi minyak dengan menghadkannya kepada golongan tertentu dan sebahagian pengguna akan terpaksa membayar harga penuh tanpa subsidi.

Saya dimaklumkan keputusan itu telah dibuat tetapi belum dilaksanakan sementara memuktamadkan syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menaiktaraf semua pam minyak bagi tujuan ini.

Sudah tentu apabila ini juga dilaksanakan, bebanan akibat kenaikan harga minyak itu adalah lebih tinggi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang menyusul juga lebih tinggi.

Pada ketika pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Eksais telah mula mengesahkan mengenai kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih diam seribu bahasa dan mahu berahsia.

Saya menggesa supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan dengan segera bahawa harga minyak akan naik dengan pelaksanaan GST dan berterus terang dengan rakyat.

Pada masa yang sama, saya seru seluruh rakyat Malaysia menzahirkan bangkangan mereka kepada kenaikan harga minyak ini melalui laman-laman sosial terlebih dahulu sebelum disusuli dengan protes yang lebih besar.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

15 September 2014

One thought on “Sah Harga Minyak Naik Lagi Dengan GST”

  1. see par 2, Goods and Services Tax (Imposition of Tax For Supplies In respect of Designated Areas) Order 2014 P.U.(A) 187/2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.