Konsesi Penswastaan UiTM Puncak Alam Diberikan Kepada Syarikat Dikawal Tan Sri Rozali Ismail

Konsesi penswastaan UiTM Kampus Cawangan Puncak Alam telah dianugerahkan kepada TRIplc Ventures Sdn Bhd, sebuah syarikat 100% milik penuh TRIplc Berhad seperti yang disahkan oleh Perdana Menteri di dalam jawapan Parlimennya kepada saya bertarikh 10 April 2014.

TRIplc adalah sebuah syarikat awam yang saham-sahamnya secara majoriti dikuasai oleh Tan Sri Rozali Ismail, keluarga beliau serta individu-individu yang berkait rapat dengan beliau. Hubungan beliau dengan individu-individe lain yang memegang saham minoriti di dalam TRIplc adalah seperti berikut:

1. Individu-individu itu mengawal syarikat-syarikat yang menjadi kontraktor utama kepada syarikat yang dimiliki oleh Tan Sri Rozali Ismail seperti Puncak Niaga atau Syabas; atau

2. Individu-individu itu merupakan pemegang jawatan atau penggerak utama di dalam NGO-NGO Felda yang dinaungi atau ditubuhkan oleh Tan Sri Rozali Ismail

Saya menganggarkan sekurang-kurang Tan Sri Rozali Ismail mengawal sekurang-kurangnya 43% pegangan di dalam TRIplc melalui syarikat-syarikat milik beliau dan keluarga beliau serta syarikat-syarikat yang berkaitan dengan beliau seperti yang saya terangkan di atas. Ini menjadikan Tan Sri Rozali Ismail sebagai pemegang saham terbesar di dalam TRIplc dan pemegang konsesi penswastaan UiTM Puncak Alam iaitu TRIplc Ventures Sdn Bhd.

Semakan saya dengan Laporan Tahunan TRIplc Berhad 2013 (boleh didapati di laman web) menunjukkan pegangan Tan Sri Rozali Ismail dan individu-individu yang berkaitan dengan beliau yang dianggarkan sekurang-kurangnya 43% itu adalah melalui syarikat-syarikat berikut:

1. 12.31% pegangan peribadi atas nama beliau sendiri

2. 5.15% melalui Central Plus (M) Sdn Bhd yang dimiliki beliau dan anak-anak beliau iaitu Nur Dayana, Azlan Shah dan Nur Natasha

Download (PDF, 361KB)

3. 4.93% melalui Corporate Line (M) Sdn Bhd yang dimiliki beliau dan anak-anak beliau iaitu Nur Dayana, Azlan Shah dan Nur Natasha

Download (PDF, 269KB)

4. 0.77% pegangan peribadi atas nama anak lelaki beliau iaitu Azlan Shah Rozali

5. 5.5% pegangan peribadi atas nama adik beliau iaitu Dato’ Mat Hairi Ismail

6. 6.25% melalui Minat Bakti Sdn Bhd iaitu syarikat yang dikawal oleh kontraktor utama beliau (diterangkan di bawah)

Download (PDF, 198KB)

7. 4.69% melalui Formasi Simbolik Sdn Bhd iaitu syarikat yang dikawal oleh individu yang memegang jawatan di dalam NGO yang dinaungi beliau (diterangkan di bawah)

Download (PDF, 199KB)

8. 4.35% melalui Embun Edar Sdn Bhd iaitu syarikat yang dikawal oleh individu yang memegang jawatan di dalam NGO yang dinaungi beliau (diterangkan di bawah)

Download (PDF, 198KB)

Minat Bakti Sdn Bhd adalah syarikat bermodal RM2 yang dimiliki oleh Aidil Abdul Aziz dan Ruzlan Rahmat. Mereka adalah pengarah di dalam MRPI Pipes Sdn Bhd dan Jalur Cahaya Sdn Bhd iaitu syarikat-syarikat pembekal utama kepada Syabas dan Kumpulan Puncak Niaga yang dikawal oleh Tan Sri Rozali Ismail.

Aidil Abdul Aziz juga adalah anak kepada Tan Sri Abdul Aziz Yusuf, Pengerusi SPR yang secara kebetulannya merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor semasa proses penswastaan industri air kepada Tan Sri Rozali Ismail berjalan.

Formasi Simbolik adalah syarikat bermodal RM2 yang dimiliki oleh Borhanuddin Ramli dan Datuk Abdullah Abu Bakar. Datuk Abdullah Abu Bakar adalah Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sementara Borhanuddin Ramli adalah Bendahari GWGF. Pengerusi GWGF adalah Tan Sri Rozali Ismail sendiri.

Embun Edar Sdn Bhd adalah syarikat bermodal RM2 yang dimiliki oleh Mohd Roshidi Hassan dan Amran Mohamad. Mohd Roshidi Hassan adalah Pengerusi, Dewan Perniagaan Generasi Baru Felda Malaysia sementara Amran Mohamad adalah Pengerusi, Pertubuhan Kontraktor Generasi Felda. Kedua-dua NGO dinaungi oleh Tan Sri Rozali Ismail.

Tan Sri Rozali, Amran & Borhanuddin di dalam jet mewah Tan Sri Rozali
Tan Sri Rozali, Amran & Borhanuddin di dalam jet mewah Tan Sri Rozali

Pegangan-pegangan melalui pelbagai syarikat ini menguatkan pendirian saya bahawa UiTM Puncak Alam telah diswastakan kepada syarikat yang dikuasi oleh Tan Sri Rozali Ismail, seorang ahli perniagaan yang memegang jawatan di dalam Umno dan terkenal sebagai antara orang yang paling mendapat manfaat dari Umno.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

18 Jun 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.