Hayati Perjuangan Dengan Meletakkan Kepentingan Parti Di Atas Kepentingan Peribadi

Generasi Reformasi memulakan kempen dengan objektif utama untuk membawa isu-isu dan program utama yang perlu diangkat AMK untuk sampai ke Putrajaya. Ini termasuklah menjaguhi isu-isu yang dekat dengan anak muda, fokus kepada pembinaan organisasi dan menyiapkan barisan pimpinan muda yang baru.

Sepanjang kempen, kami telah tekankan bahawa matlamat akhir Generasi Reformasi bukanlah untuk merebut jawatan tetapi memastikan barisan kepimpinan baru AMK mengambil kira isu-isu dan program utama ini. Tanpa penglibatan Generasi Reformasi dalam pemilihan kali ini, besar kemungkinan kempen pemilihan berkisar sekitar individu dan bukannya isu-isu anak muda.

Matlamat itu telah dicapai. Mesej reformasi dalaman yang kami bahawa sudah sampai ke semua negeri dan ribuan anggota yang kami temui di 13 lokasi yang telah kami jelajahi.

Pada masa yang sama, Pilihanraya Umum 13 (PRU13) sudah pasti semakin dekat dan pelbagai persediaan mendesak perlu juga diberikan perhatian di dalam keghairahan sebahagian besar pimpinan parti di dalam pemilihan kali ini. Ada peranan strategik yang perlu dimainkan oleh pimpinan anak muda dalam menghadapi PRU13.

Mengambil kira pandangan kepimpinan parti dan keperluan mendesak ini, saya telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat untuk bertanding bagi jawatan Ketua AMK Pusat agar dapat memainkan peranan ini serta-merta.

Saya berbesar hati kerana rakan-rakan senior di dalam Generasi Reformasi juga turut berkorban untuk tidak meneruskan hasrat bertanding dan bersama-sama menumpukan kepada usaha gerak kerja mendesak pilihanraya, sebagai tanda solidariti dengan saya. Ia pengorbanan yang besar dan melambangkan keikhlasan mereka berjuang untuk parti, bukannya kedudukan peribadi. Saya ucapkan terima kasih dan tahniah atas pengorbanan ini kepada:

YB Amirudin Shari, ADUN Batu Caves  (calon Timbalan Ketua AMK)

YB Sim Tze Tzin, ADUN Pulau Jerejak (calon Naib Ketua AMK)

Sdr Halimey Abu Bakar, mantan Ketua AMK Selangor (calon EXCO)

Sdr Emmiza Hasmi Zul, mantan Timb Ketua Cabang Kampar (calon EXCO)

Sdr M A Tinagaran, Ketua Cabang Ipoh Barat (calon EXCO)

Pun begitu, gagasan yang dibawa oleh Generasi Reformasi tetap relevan dan penting untuk meniupkan nafas baru kepada AMK. Saya dan rakan-rakan akan terus berkempen dan membantu calon-calon kami yang bertanding pada pemilihan kali ini.

Saya menyeru supaya anggota AMK untuk memberikan mandat yang besar kepada pimpinan-pimpinan berikut dari Generasi Reformasi yang akan meneruskan agenda reformasi dalaman di dalam AMK (sementara kami yang lain memainkan peranan dalam parti dalam bentuk lain):

YB Kesavan Subramaniam, ADUN Hutan Melintang (calon Naib Ketua AMK)

Sdr Jaffery Jameon, Ketua AMK Kota Kinabalu (calon EXCO)

Sdr Yahya Sijari, Ketua AMK Bagan Datoh (calon EXCO)

Sdr Mohamad Azihan Che Seman, Timb Ketua AMK Gombak dan EXCO AMK Selangor (calon EXCO)

Sdr Saifullah Zulkifli, mantan Naib Presiden PKPIM dan Setiausaha Biro Antarabangsa PKR (calon EXCO)

Sdr Naim Jusri, mantan Presiden Rakan Siswa Islah KARISMA dan Pegawai Khas ADUN Batu Tiga (calon EXCO)

Saya juga ingin menyatakan sokongan secara terbuka kepada YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang akan bertanding kerusi Naib Presiden kerana beliau juga berkongsi pendapat yang sama mengenai isu-isu anak muda dan agenda reformasi dalaman yang kami bawa selama ini.

Generasi Reformasi juga menasihatkan semua anggota AMK supaya memilih calon yang paling layak bagi setiap kerusi yang ditandingi berdasarkan visi, prestasi kerja setakat ini, kemahiran urus tadbir, penerimaan pengundi muda, ilmu pengetahuan yang dalam dan keikhlasan berkhidmat tanpa mengira barisan yang dianggotai oleh mereka. Pilihlah mereka yang meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Akhir sekali, saya dan rakan-rakan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah membantu dan memberikan sokongan setakat ini. Mesej yang kami bawa adalah lebih besar dari pemilihan jawatan parti, maka kami akan terus menggerakkan anak muda ke arah itu dalam apa jua kapasiti yang ada di dalam dan luar parti.

MOHD RAFIZI RAMLI

Ahli Majlis Pimpinan Pusat/Ketua Cabang Kemaman

Parti Keadilan Rakyat

16 Oktober 2010

Bagi pihak Generasi Reformasi

YB AMIRUDIN SHARI, ADUN BATU CAVES & TIMBALAN KETUA CABANG GOMBAK

YB SIM TZE TZIN, ADUN PANTAI JEREJAK & KETUA CABANG BAYAN BARU

YB KESAVAN SUBRAMANIAM, ADUN HUTAN MELINTANG & TIMBALAN KETUA CABANG BAGAN DATOH

6 thoughts on “Hayati Perjuangan Dengan Meletakkan Kepentingan Parti Di Atas Kepentingan Peribadi”

  1. Atas semangat politik baru, saya mohon saudara perjelaskan:

    1. Siapa kepimpinan parti yang `nasihatkan’ saudara berundur dari pemilihan ketua AMK? Apa relevannya nasihat beliau/mereka sampai saudara sanggup mengenepikan agenda-agenda perubahan yang saudara gembar-gemburkan sebelum ini. Benar, saudara ada berkata `Sepanjang kempen, kami telah tekankan bahawa matlamat akhir Generasi Reformasi bukanlah untuk merebut jawatan tetapi memastikan barisan kepimpinan baru AMK mengambil kira isu-isu dan program utama ini’ tapi terus terang saya katakan, saya tidak yakin yang Chegubard dan Sam mampu melaksanakan agenda-agenda tersebut (kalau tak, dah lama mereka buat dan ketengahkan). Jawatan itu tetap perlu sebagai wadah pelaksanaan kata-kata (sekadar pendapat 2 sen saya). Buat apa bagi manifesto dsb kaIau akhirannya, tarik diri? Tak kesian ke pada mereka-mereka yang telah termakan kata-kata saudara?

    2. Mula-mula Sam umum bertanding naib presiden, kemudian u-turn (selepas mendapat pencalonan kedua tertinggi). Tiba-tiba, Hasmi umum tarik diri (terus-terang saya agak seronok kerana saya agak optimis yang pengundi Hasmi akan beralih kepada saudara). Tup-tup di saat-saat akhir saudara pula umum tarik diri. Apa semua ni? Seolah-olah ada tangan ghaib yang menggerakkan dan membuat ketetapan dari awal. Kenapa di saat-saat akhir tarik diri? Nasihat atasan? Kenapa tidak tetapkan pendirian dari awal? Kenapa dalam pemilihan kali ini macam jadi satu trend untuk tukar-tukar statement? kejap nak bertanding, kejap tak nak bertanding (vice versa), kejap nak bertanding x, tiba-tiba bertanding y, kejap cakap tak nak bertanding kalau k bertanding, bila k umum nak bertanding tak tarik diri pulak? adakah ini gambaran pimpinan keadilan? berbolak balik dalam percakapan, tiada pendirian? Minta pendapat (kalaupun bukan penjelasan) saudara.

    3. peranan strategik serta-merta? persediaan mendesak menjelang PRU 13? meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan peribadi? gah bunyinya tapi terlalu umum, tidak jelas. Minta saudara perjelaskan secara detail. Apa peranan yang lebih strategik sebagai sebahagian daripada persediaan mendesak dan serta-merta menjelang PRU 13 selain daripada menarik 4.6 juta pengundi muda untuk mengundi pakatan melalui kapasiti sebagai ketua AMK? kerja bawah tanah? Sungguh saya tak faham.

    Saya tak tahu samada saudara membuat keputusan menarik diri ini atas kerelaan sendiri ataupun sebaliknya. Maafkan saya kalau soalan-soalan saya ini seolah-olah menambah luka, ataupun mendesak, dan tidak kena pada tempat dan ketikanya. Tapi sebagai seorang anak muda yang terkilan, saya mohon penjelasan saudara. Saya yang masih hijau ini perlukan penjelasan kenapa tiba-tiba abang yang seorang ni buat begini. Saya tahu keputusan saudara ini sudah semestinya dibuat atas perkiraan dan penilaian yang sedalam-dalamnya, tapi kalau boleh tolong kongsikan detailnya. Apapun saya harap saudara teruskanlah perjuangan dan idealisme saudara. Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada saudara sebagai suara baru anak muda.

    Oh sebelum terlupa, saya menanti-nantikan bahagian kedua di belakang tabir pejabat anwar ibrahim.

    -Din adalah seorang anak muda yang baru nak berjinak-jinak dengan politik, berkira-kira nak masuk keadilan, tapi dah rasa macam malas la pulak-

  2. Sdr Din

    Saya faham dengan semua soalan2 itu, dan kalau saya berada di tempat rakan2 pun saya akan bertanyakan yg sama.

    Saya akan emailkan jawapannya, x manis klu ditulis di sini 🙂

  3. Kejutan, tp yg penting, mesej sudah merebak, isinya dah melata. Media sudah termakan umpan. Hehe, tahniah shekh, apa yg kita cuba buat sikit2 buat masa ni, sejak Generasi Reformasi diumum ialah memperkenalkan idea2 baru yg dtg dr Sedara dan meramaikan teman2 sekeliling yg bertanya, “Sey, siapa Rafizi Ramli yg ko letak dkt status tu?”

    Rasanya tugasan menghadap Pilihanraya sgt sibuk. Selamat bertungkus lumus shekh. Haha tak tidur2 la gamaknya ni.

  4. ha2 dah lama aku x tido.

    ramai politikus x ramai sbb sembang di kedai kopi smpai 4 pg ha ha, tp bnyk persoalan makro yg juga perlu difikirkan dgn baik.

    tk syeikh kerana setia & banyak membantu, bila nk singgah di ampang/kemaman utk minum2?

  5. Bro!! duk Ampang kee??? kenapa macam tak tahu punn…?? hehe……

    yee….janji temu minum bersama Srikandi juga jgn dilupakan ya….huhu…..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.