Mohd. Rafizi Ramli, nama yang mungkin tidak begitu terserlah sebelum ini, menjadi tumpuan media selepas menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Angkatan Muda Keadilan. Pada usia 33 tahun, beliau kini menyandang jawatan Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Dengan kata lain, beliau salah seorang yang berada di sisi Anwar Ibrahim.
Rafizi Ramli menyertai PKR pada tahun 1999, dan dilantik sebagai EXCO Pemuda Keadilan pada tahun 2001. Namun, beliau meletak jawatan pada tahun 2004. Ketika mengungkit tindakannya yang kontroversi ini, beliau berkata, “Konotasi saya meletakkan jawatan kerana protes AMK membuka pintu kepada pemudi adalah salah. Pertikaian lebih rumit dan delicate dari itu – saya tidak bersetuju dengan cara pimpinan Pemuda pada masa itu memaksakan keputusan kepada kami, tanpa ruang yang cukup untuk dibincangkan secara demokrasi. Itu dua perkara yang berbeza.”(*Sila rujuk nota akhir)
Beliau bertanding dalam pasukan yang menggelar diri sebagai “Generasi Reformasi”, mencungkil pertikaian daripada “reformis yang turun ke jalan raya” sebelum ini. Bagaimanapun, yang berikut adalah satu wawancara yang dijalankan melalui email, bersama Mohd. Rafizi Ramli yang menawarkan diri sebagai calon Ketua AMK dalam pemilihan PKR hujung November ini.
1. Penilaian anda terhadap situasi/prestasi AMK sekarang. Pada pendapat anda, apakah masalah pokok yang membelenggu AMK kini?
Persoalan asas AMK sekarang adalah persoalan yang sama kepada mana-mana organisasi – apakah peringkat peningkatan yang seterusnya, setelah berjaya membina satu imej dalam masa satu dekad.
Selama sedekad, Pemuda Keadilan/Angkatan Muda Keadilan berada di hadapan membawa isu-isu salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan Barisan Nasional kepada rakyat.
Sumbangan ini banyak membantu PKR dan PR meyakinkan rakyat untuk berubah semasa PRU12.
Atas kejayaan itu jugalah, AMK sekarang berada di persimpangan – setelah berjaya membentuk imej sedemikian rupa, apakah bentuk peningkatan yang seterusnya?
Saya ajukan kepada AMK dan parti bahawa masanya sudah sesuai untuk AMK mencapahkan bentuk-bentuk isu yang diperjuangkan agar meliputi isu mendesak anak muda seperti kos sara hidup, pembiayaan pendidikan melalui PTPTN yang membebankan, kerjaya yang berkualiti, masalah perumahan – walaupun ini bukan isu tradisional yang sebelum ini biasa dengan AMK. Tetapi kita perlu mengangkat isu ini ke peringkat nasional kerana inilah isu yang menarik minat anak muda di luar, terutamanya 4.6 juta pengundi muda.
Pada masa yang sama, untuk memastikan mesej kita sampai dan diyakini ahli dan pengundi, AMK perlu juga mengukuhkan organisasi di peringkat akar umbi kerana hanya dengan organisasi yang kuat, kita dapat menyampaikan mesej secara berkesan kepada rakyat.
2. Ramai pemimpin muda dalam PKR yang agak menyerlah secara individu. Malah, PKR menjadi pilihan golongan muda selepas PRU ke-12, kerana dilihat sebagai harapan masa depan. Ironinya, dari segi organisasinya, AMK agak lemah. Mengapakah situasi ini berlaku?
PKR lahir di tengah-tengah perjuangan rakyat yang secara tiba-tiba bangkit menentang kezaliman BN, setelah bertahun-tahun diadu-dombakan.
Secara langsung, tekanan kepada PKR dan pemimpinnya juga luar biasa sejak sedekad yang lalu. Pelbagai bentuk sekatan, ugutan dan tindakan diambil yang menyebabkan rakyat secara keseluruhannya tidak begitu berani mendekati PKR.
Jadi kami membesar dalam keadaan perlu bersuara lantang tetapi tidak cukup sokongan organisasi di belakang. Sebahagiannya kerana tidak mempunyai sumber dan masa untuk menumpukan perhatian membina organisasi itu kerana isu-isu nasional yang mendesak sering dijadikan keutamaan, sebahagiannya juga kerana tidak ramai yang sanggup tampil ke depan menjadi aktivis dan pemimpin akar umbi kerana tekanannya kuat.
Tetapi keadaan selepas tahun 2008 berbeza kerana kita ramai ahli baru yang berduyun-duyun menyertai PKR dan AMK. Sebab itu bagi saya ini adalah persimpangan yang baik untuk mula mengukuhkan organisasi, kita tidak ada alasan untuk mensia-siakan dokongan rakyat ini.
3. Apa yang anda lakukan sepanjang beberapa tahun ini, sebagai cubaan untuk mengatasi masalah yang dikatakan di atas?
Saya banyak menumpukan masa membina akar umbi di Terengganu, selain membantu pentadbiran parti dan penggubalan dasar parti di peringkat pusat.
Perkara yang paling saya tekankan di dalam gerak kerja di Terengganu adalah untuk menghidupkan seramai mungkin anggota sedia ada untuk menyumbang dan membina kekuatan akar umbi, kerana PKR juga tidak lari dari masalah sama organisasi yang lain iaitu ramai ahli tetapi sebilangan kecil yang aktif.
Untuk mencapai perkara ini, kepimpinan cabang perlu pastikan seberapa ramai ahli mereka menerima maklumat yang berterusan dan ada aktiviti dari semasa ke semasa yang menghidupkan ukhuwwah sesama anggota di peringkat akar umbi. Apabila perkara ini berlaku, barulah kita boleh mengenalpasti anggota yang berbakat dan disesuaikan dengan tugasan masing-masing.
Sebab itu, kita tidak boleh rendahkan peranan sistem komunikasi untuk membina jentera akar umbi. Di Terengganu, kami mensasarkan setiap cabang mempunyai 200 orang anggota aktif yang dijaringkan dengan sistem sms yang berterusan dan email (bagi mereka yang mempunyai email). Apabila jaringan ini telah wujud, barulah mudah untuk menyebarkan maklumat dan membuat culaan anggota mana yang cergas dan tidak.
Proses ini perlu dilakukan walaupun rumit. Ia tidak popular dan tidak nampak gah, tetapi inilah bentuk-bentuk kerja akar umbi yang membina organisasi.
4. Anda bertanding atas nama pasukan “Generasi Reformasi”, menganjurkan pendekatan yang lebih bercorak “elit”, apabila mendakwa zaman berdemonstrasi di jalan raya telah berlalu. Namun demikian, penindasan dan ketidak-adilan yang berlaku 12 tahun lalu, masih wujud dalam sistem politik negara terkini, misalnya akta draconianyang mengekang kebebasan, mencabul keadilan dan sebagainya.
Persoalannya, apakah reaksi AMK terhadap kewujudan akta draconian, malah, seandainya perlu berdepan dengan senario seperti Anwar dipenjarakan, kenaikan harga minyak dan sebagainya?
Saudara membuat kesimpulan sendiri dan terbawa-bawa dengan tuduhan yang dibuat di blog-blog.
Saya pernah mengajukan soalan ini dalam pertemuan-pertemuan dengan aktivis akar umbi – kalau elit itu dimaksudkan berpendidikan tinggi dan berlatar belakangkan profesional, adalah tidak bertanggungjawab kalau ada sekelompok di dalam parti yang cuba menyekat golongan ini aktif di dalam parti, kerana budaya itu adalah budaya lapok UMNO yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Perbezaan kita berbanding dengan UMNO adalah kerana kita meraikan semua pihak dan mengalu-alukan penyertaan golongan berpendidikan dan profesional, sebab itu kita nampak lebih menarik berbanding parti-parti BN di mata rakyat.
Jadi kalau ada angin-angin tidak sihat di kalangan anggota AMK yang sudah terbawa-bawa dengan perangai takut bayang-bayang sendiri ala UMNO dengan memainkan isu elit ini, saya rasa ia perlu diperbetulkan dan ditentang, jika perlu.
Mengenai demonstrasi, saya juga kesal kerana ada pihak yang cepat melatah dan memutar belitkan kenyataan. Ini tidak sihat kerana kita dipandang rakyat – dan rakyat yang membaca faham bahawa saya tidak pun pernah mengatakan kita perlu meninggalkan demonstrasi.
Yang saya sebut adalah kita perlu keluar dari imej demonstrasi jalanan semata-mata dan mula juga membawa isu-isu yang selama ini kita tidak begitu dekat, seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Maksud saya kita perlu versatile, hak yang wajib diperjuangkan seperti kebebasan berhimpun dan bersuara perlu terus dibawa, tetapi janganlah itu sahaja yang boleh dibawa oleh AMK.
Pimpinan AMK seharusnya boleh mengapalai rapat umum yang besar (tidak kiralah apa isunya – harga minyak naik atau ISA), tetapi boleh juga duduk di dalam forum ilmiah mengupas isu ekonomi dan sosial secara tersusun dan intelek. Pimpinan sebegini yang boleh memikat rakyat, sebab itu saya syorkan supaya AMK membuat anjakan supaya mengembangkan lagi pendekatan kita dengan rakyat.
5. Anda cuba menawarkan satu pasukan belia/pemuda yang berkemampuan untuk mengetengahkan dasar yang memanfaatkan rakyat, khususnya dari segi ekonomi. Namun, matlamat anda akan lebih bermakna seandainya PKR-Pakatan Rakyat berkuasa sebagai kerajaan. Persoalannya, bagaimana jika ia tidak berlaku? Dan bagaimana pula AMK di bawah pimpinan anda menunjukkan keprihatinan terhadap isu setinggan, remaja dan sebagainya?
Kita bawa politik baru, ia langsung tidak ada kena mengena sama ada kita berada di dalam kerajaan atau tidak. Politik baru maknanya gagasan yang bertunjangkan idea, apa yang dipanggil thought leadership bukannya ketaksuban kepada tubuh badan pemimpin semata-mata.
Tidak ada parti politik yang patut turun gelanggang dengan prasyarat ia akan berkuasa, gerakan siasah bermakna kita bawa gagasan untuk meyakinkan rakyat – jadi isu sama ada berkuasa atau tidak, bagi saya tidak relevan.
Dari segi keprihatinan kepada isu-isu rakyat, saya rasa sekarang pun, sejak mengumumkan untuk bertanding, Generasi Reformasilah yang mempelopori isu-isu sebegini untuk dibawa kepada anggota AMK dan rakyat. Kalau tidak, saya sendiri sebelum ini khuatir pemilihan 2010 hanya berkisar kepada persoalan individu (atau individual cultism) semata-mata – sebab itu kami yang paling awal gagaskan beberapa isu rakyat yang pokok yang perlu dijawab oleh calon-calon yang ingin bertanding.
6. Penilaian anda terhadap Gerakan Reformasi sejak tahun 1998. Pada pandangan anda, apakah bentuk dan halatuju baru untuk Gerakan Reformasi ini, selepas 12 tahun?
Pertama, ia tidak boleh lari dari semangat asas yang mengikatnya dulu iaitu kebersamaan. Gerakan reformasi pada tahun 1998 tidak pernah membezakan sesiapa dan mengalu-alukan sumbangan semua pihak, maka kita tidak hairan apabila PAS, DAP dan NGOs boleh duduk bersama merancang gerak kerja.
Tetapi kita juga telah melepasi peringkat semangat dan pemahaman, jadi sewajarnya di dekad ini semangat reformasi itu diterjemahkan kepada pelaksanaan, apatah lagi apabila kita sudah menguasai negeri-negeri penting dan di ambang ke Putrajaya.
Sebab itu, manifesto Generasi Reformasi menggagaskan supaya roh reformasi yang diikat oleh semangat kebersamaan itu, diterjemahkan untuk dilaksanakan melalui organisasi yang berkesan di bawah kepimpinan yang berketrampilan.
Jadi jika saudara tanyakan apakah bentuk dan hala tuju baru gerakan reformasi – ia adalah membina keberkesanan melalui organisasi dan menampilkan pimpinan yang berketrampilan, agar ideal reformasi itu dapat dilaksanakan selepas 12 tahun diperjuangkan.
7. Penilaian anda terhadap Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO. Setujukah anda bahawa beliau memiliki keupayaan bukan sahaja dari segi perbahasan dasar, tetapi juga berpidato ketika dalam ceramah, malah ketika berdemonstrasi?
Saya berpendapat Khairy berkebolehan, tetapi beliau juga berdepan dengan cabaran tertentu di dalam UMNO. Kebolehan peribadi beliau, kalau tidak berjaya membawa perubahan kepada UMNO, akan sia-sia begitu sahaja.
8. Penilaian anda terhadap Nasrudin Hassan Tantawi (gambar kiri), Ketua Dewan Pemuda PAS dan Anthony Loke selaku Ketua DAPSY. Apakah yang membezakan anda dengan dua orang ketua sayap pemuda dalam Pakatan Rakyat?
Saya tidak banyak berurusan dengan mereka, apatah lagi mereka pemimpin yang lebih senior dan berpengalaman. Saya tidak fikir perbezaan antara kami akan menjadi isu, kerana seperti mana PKR, PAS dan DAP saling melengkapi di dalam PR, pemimpin sayap muda ketiga-tiga parti juga akan saling melengkapi.
9. Sila nyatakan tiga perkara yang akan anda lakukan dalam tempoh jawatan seandaiya anda terpilih sebagai Ketua AMK.
Pertama, membina organisasi dengan memastikan selepas 3 tahun, kesemua 202 cabang PKR seluruh Malaysia mempunyai AMK yang berfungsi dan lengkap.
Kedua, meletakkan fokus kepada menampilkan pimpinan bawah 30 tahun sebagai pewaris yang akan mengambil alih kepimpinan AMK sepenggal lagi – maka mereka perlu diberikan ruang sebesar-besarnya untuk diuji dan memimpin.
Ketiga, membawa isu-isu mendesak anak muda yang saya sebut sebelum ini ke peringkat nasional agar ia akhirnya mendapat pembelaan pimpinan tertinggi PR dan BN, bukan sahaja dipandang sebagai isu belia semata-mata.
10. Pada pandangan anda, apakah kelebihan diri anda berbanding calon Ketua AMK yang lain?
Saudara perlu tanya anggota-anggota di bawah, mereka lebih arif dan memahami kerana mereka yang akan memilih.