Debat 1MDB: Berapakah Yang Rakyat Perlu Bayar

Saya berpeluang berdebat dengan Saudara Lokman Noor Adam, pakar pemikir JASA yang kini sedang giat menjelajah negara membela 1MDB. Bersama-sama saya juga adalah YB Ong Kian Ming.

Kata Lokman Noor Adam – beliau tampil berdebat kerana kami tidak berani berdebat dengan Arulkanda. Saya rasa lebih kepada Arulkanda tidak berani bersua muka dengan kami lalu dihantar Lokman Noor Adam.

Sebarluaskan video debat ini agar rakyat dapat mengerti dengan lebih mendalam bahaya 1MDB kepada kita.

Bahagian 1

 

Bahagian 2

Peluang Kerjaya: Pegawai Data dan Media

Template-Portrait-1200

Saya menjemput calon-calon yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai pasukan saya sebagai Pegawai Data dan Media seperti berikut:

TUGASAN DAN TANGGUNGJAWAB UTAMA

  1. Menyelia dan menyenggara pengkalan data bersaiz sederhana yang mengandungi maklumat sukarelawan, pengundi dan lain-lain
  2. Membangunkan sistem komunikasi yang berkesan supaya maklumat elektronik dapat dihantar kepada sukarelawan, pengundi dan kumpulan sasaran yang lain secara berterusan dan berkala
  3. Mengendalikan sistem komunikasi dengan menghantar berita dan maklumat secara berkesan kepada sukarelawan, pengundi dan kumpulan sasaran yang lain
  4. Mengendalikan beberapa laman web untuk memastikan maklumat dikemaskini dari semasa ke semasa
  5. Menghasilkan rekagrafik dan video secara berkala untuk memastikan mesej kempen yang berkesan

KEMAHIRAN UTAMA

  1. Kemahiran membangunkan dan mengendalikan pengkalan data
  2. Kemahiran membangunkan sistem komunikasi melibatkan sebaran melalui aplikasi maklumat terkini
  3. Kemahiran membangunkan dan mengendalikan laman web
  4. Kemahiran membangunkan dan menyunting video
  5. Kemahiran rekagrafik

KELAYAKAN

  1. Mempunyai ijazah atau sekurang-kurangnya diploma dalam bidang berkaitan
  2. Mempunyai pengalaman bekerja; walau bagaimana pun graduan yang belum mempunyai pengalaman digalakkan memohon
  3. Mahu menyumbang kepada perubahan politik di dalam negara dan terlibat di dalam kegiatan politik KEADILAN dan reformasi

Gaji yang ditawarkan ialah RM2,500 sebulan.

Pemohon yang berminat boleh menghantar CV (mengandungi maklumat Facebook, Twitter dan Instagram pemohon) bersama-sama contoh rekaan grafik/video yang pernah dihasilkan ke email [email protected] sebelum 25 Disember 2015.

Hanya calon yang disenaraipendek akan dipanggil untuk temuduga.

Pemotongan Rebat ICPT Akan Menyebabkan Bil Elektrik Naik 2% Secara Purata

   

Keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mengurangkan rebat ICPT (Imbalance Cost Pass-Through) daripada 2.25 sen/kWj sebelum ini kepada 1.52 sen/kWj sebenarnya samalah dengan menaikkan tarif elektrik kerana kesan akhirnya adalah pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 300 kWj sebulan (atau melebihi RM77 sebulan) akan menyaksikan kenaikan 2.2% ke atas bil elektrik setiap isirumah.

ICPT adalah rebat yang dikira setiap 6 bulan untuk memastikan sebarang penjimatan atau kenaikan kos operasi penjanaan elektrik ditanggung terus oleh rakyat. Jika ada penjimatan kerana kos bahan api menurun, maka ICPT menjadi rebat yang akan menurunkan bil elektrik. Jika sebaliknya (kos bahan api naik atau kos pembelian elektrik dari penjana bebas meningkat), ICPT menjadi duti tambahan kepada tarif sedia ada.

Dalam 6 bulan yang lepas, TNB telah menyaksikan penurunan kos sebanyak RM1.32 bilion akibat dari pengurangan penggunaan gas asli cecair (LNG), harga arang batu yang lebih murah di pasaran dunia dan operasi stesen janakuasa arang batu yang lebih cekap. Malangnya, penurunan kos ini direncatkan oleh kenaikan kos gas asli sebanyak RM560 juta akibat dari tindakan kerajaan menaikkan harga gas asli yang dijual kepada TNB dari RM15.20 setiap mMBTU kepada RM18.20 setiap mMBTU.

Akibat dari kenaikan kos gas asli itu, penjimatan telah dikurangkan dan rebat ICPT juga telah berkurangan sebanyak 32% (dari 2.25 sen/kWj kepada 1.52 sen/kWj). Ini bermakna setiap unit kWj elektrik selepas ini akan menjadi lebih mahal sebanyak 0.73 sen/kWj atau kenaikan purata 2.2%.

Kedua-dua keputusan iaitu menaikkan kos gas asli dari RM15.20 setiap mMBTU kepada RM18.20 setiap mMBTU dan mengurangkan rebat ICPT sebanyak 32% kepada 1.52 sen/kWj adalah keputusan Kabinet yang dipengerusikan Dato’ Seri Najib Tun Razal sendiri.

Perlu diingatkan bahawa keputusan menaikkan harga gas asli dibuat dalam keadaan harga pasaran minyak mentah dan gas asli dunia semakin turun. Ini bermakna dalam keadaan yang sepatutnya kos penjanaan elektrik semakin turun, kerajaan mengambil keputusan menaikkan harga gas asli semata-mata untuk meneruskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang menjadi tunjang pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu sehingga kini rakyat Malaysia tidak menikmati sepenuhnya kebaikan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia. Harga petrol dan diesel kekal mahal kerana kejatuhan matawang ringgit akibat formula penetapan harga yang didasarkan kepada dollar Amerika Syarikat. Kini, kos elektrik yang ditanggung rakyat pula naik gara-gara program penghapusan subsidi yang menyebabkan kos gas asli meningkat walaupun secara umumnya harga minyak mentah dan gas asli semakin menurun di pasaran dunia.

Saya ingin bertanya kepada Saudara Khairy Jamaluddin sama ada beliau hadir dalam kedua-dua mesyuarat Kabinet yang membuat dua keputusan yang menaikkan harga gas asli dan kos elektrik yang ditanggung rakyat. Jika beliau hadir dan bersetuju, maka beliau juga perlu bertanggungjawab dan tidak mencuci tangan kononnya beliau telah bersuara menentang keputusan-keputusan kerajaan yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat.

Tahun 2016 akan terus menyaksikan kenaikan harga barang selagi Dato’ Seri Najib Tun Razak kekal berkuasa.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Khairy Jamaluddin Wajar Letak Jawatan: Bersuara Tetapi Gagal Bela Rakyat Dalam Jemaah Menteri

Saya tertarik dengan intipati ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Saudara Khairy Jamaluddin yang dilaporkan cuba mempertahankan rekodnya dalam isu-isu kebajikan rakyat. Media melaporkan ucapan beliau yang menyebut bahawa beliau sering bersuara di dalam Jemaah Menteri membantah kenaikan harga termasuklah kenaikan tol baru-baru ini.

Walau bagaimana pun, percubaan beliau yang kononnya membela rakyat di dalam Jemaah Menteri tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat kerana kenaikan-kenaikan ini terus berlaku. Secara tidak langsung, ucapan beliau pada hari ini merupakan pengakuan terbuka bahawa beliau gagal membawa suara orang muda yang begitu tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dan pandangan beliau tidak dipedulikan di dalam Jemaah Menteri yang dipimpin Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Malah, pendirian Saudara Khairy Jamaluddin dalam isu-isu penting negara seperti pelaksanaan GST, perjanjian TPP dan skandal 1MDB juga jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang apologis (peminta maaf) bagi pihak kerajaan dan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Di dalam Parlimen, tidak pernah sekali pun beliau bersuara menentang GST walaupun umum mengetahui GST adalah punca kenaikan harga barang yang mendadak akhir-akhir ini.

Sebab itu, saya berharap Saudara Khairy Jamaluddin berhenti dari cuba meraih simpati rakyat di gelanggang sendiri seperti di Perhimpunan Agung Umno. Jika beliau betul-betul mahu membela rakyat dan ada maruah, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan kadar segera sebagai bantahan kepada dasar-dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang beliau sendiri akui menekan rakyat. Saya percaya jika beliau meletakkan jawatan, tindakan itu boleh menggoncang kedudukan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan mempercepatkan lagi beliau turun dari kerusi Perdana Menteri.

Saudara Khairy Jamaluddin juga sepatutnya memberi sedikit sokongan moral kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Shafiee Afdal yang sedang menjalankan tanggungjawab mereka dalam merungkai skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri.

Pun begitu, saya tidak begitu yakin bahawa Saudara Khairy Jamaluddin akan berani mengambil tindakan-tindakan sebegini. Paling kurang, saya berharap beliau sanggup berdebat secara terbuka mengenai isu-isu rakyat dan orang muda dengan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pengerusi Eksekutif NFC Didapati Tidak Bersalah Pecah Amanah: Adakah Kerajaan Bersetuju Dana Penternakan Lembu Digunakan Untuk Membeli Kondo Mewah?

menerong4

nfc

Saya tidak sedikit pun terkejut dengan keputusan mahkamah yang mendapati Dato’ Seri Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC) tidak bersalah dalam satu pertuduhan pecah amanah menggunakan dana NFC sebanyak RM9,758,140 untuk membeli 2 unit kondominium mewah di One Menerong, Bangsar.

Saya akan menunggu perincian perbicaraan sebelum boleh membuat komen lanjut tetapi saya boleh mengagak tertuduh mengemukakan bukti bahawa pembelian tersebut telah diluluskan mengikut prosedur dan peraturan syarikat. Atas sebab itu, oleh kerana pembelian kondo tersebut telah diluluskan maka tidak berlaku sebarang pecah amanah.

Jika ini yang berlaku di dalam perbicaraan, ia memberi makna berikut:

1. Kelulusan itu diberikan sama ada di dalam mesyuarat Lembaga Pengarah atau Mesyuarat Agung Tahunan (Annual General Meeting) yang dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan sebagai mewakili Kerajaan Malaysia yang mempunyai saham istimewa di dalam NFC;

2. Wakil-wakil kerajaan di dalam Lembaga Pengarah hanya boleh memberi kelulusan pembelian kondominium tersebut dengan persetujuan dan arahan dari pegawai atasan kerajaan iaitu Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian;

3. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah meluluskan supaya NFC boleh menggunakan dana yang diberikan untuk penternakan lembu bagi tujuan membeli kondominium.

Dengan keputusan mahkamah ini, secara langsung pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi mesej bahawa ia tidak sedikit pun peduli dengan kemarahan rakyat mengenai skandal NFC ini yang menyebabkan Ketua Wanita Umno, Dato’ Seri Shahrizat Jalil terpaksa meletakkan jawatan.

Jika sebelum ini skandal NFC hanya terpalit kepada keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, keputusan hari ini mengesahkan bahawa skandal NFC ini bukan sahaja melibatkan keluarga bekas menteri itu tetapi keseluruhan Umno kerana pimpinan Umno di dalam kerajaan memberi izin dana NFC digunakan untuk membeli kondominium.

Saya mengingatkan pimpinan Umno supaya jangan terlalu ghairah berselindung di sebalik alasan pembelian atau perbelanjaan yang tidak munasabah mematuhi prosedur untuk lari dari tindakan undang-undang (seperti mana juga alasan yang digunakan di dalam skandal YaPEIM) kerana rakyat menilai kewajaran perbelanjaan itu berlaku; bukan semata-mata sama ada ia telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah atau tidak.

Keputusan pada hari ini dan sangkaan saya bahawa wakil kerajaan telah membenarkan pembelian ini (jika benar) mengesahkan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada iltizam untuk memerangi penyelewengan atau rasuah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: