Anggota KEADILAN Harus Pilih Melalui Kongres Khas

Persoalan mengenai bentuk kerjasama di antara KEADILAN dengan PAS berpanjangan kerana ia satu keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya KEADILAN semata-mata.

Keputusan sama ada KEADILAN menumpukan kepada persediaan pilihanraya bersama Pakatan Harapan sepenuhnya (termasuk bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS) atau “berada di dalam dua kolam” (bersama Pakatan Harapan tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru) adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:

1. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi KEADILAN di seluruh negara mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan KEADILAN?

2. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan tiga penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno seperti yang dihujahkan beberapa pihak?

3. Soal tanggungjawab moral – bahawa KEADILAN mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak demi membela rakyat. Keutamaan membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari pertama saya mengenalinya

Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada ketiga-tiga perkara itu banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah. Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada laporan-laporan kajiselidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan kajiselidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat berbeza.

Perbezaan pendapat yang berpanjangan

Sebab itu, kepimpinan kanan KEADILAN baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun Pakatan Harapan ditubuhkan. Malah semasa Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan telah mengumpul satu petisyen untuk memecat saya dari jawatan Setiausaha Agung pada ketika itu.

Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara dua pemikiran berbeza di dalam KEADILAN.

Di satu pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik KEADILAN mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan KEADILAN sebagai tonggak kerajaan Selangor. Hasil dari pendapat ini adalah mudah: KEADILAN tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor. Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihanraya.

Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan di dalam KEADILAN dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di satu pihak lagi merasakan KEADILAN mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan satu gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Relevannya KEADILAN di dalam politik tanahair adalah kerana KEADILAN adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata. Kemenangan yang menampakkan KEADILAN sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan KEADILAN dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti-parti lain.

Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan KEADILAN yang berpendapat begini adalah saya, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Dato’ Johari Abdul (Ketua Whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan) dan William Leong sendiri.

Parti terbahagi dua

Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara dua pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.

Maka, tugas Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi KEADILAN tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya. Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin KEADILAN membidani lahirnya Pakatan Harapan dicelah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk dari aktivis-aktivis civil society.

Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya KEADILAN membina Pakatan Harapan dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan dapat diredakan. Matlamat utama ialah untuk membina satu barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan satu lawan satu di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada di dalam Pakatan Harapan atau tidak).

Walau bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada AMANAH dan PPBM, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.

Kajiselidik yang semakin merumitkan

Pertembungan di antara dua pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kajiselidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, laporan-laporan kajiselidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.

Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan-dapatan dari Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (dari kajiselidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan tiga penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.

Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk terus berunding dengan PAS walaupun Pakatan Harapan telah jauh berlari ke depan adalah bersandarkan pembentangan terkini Profesor Dato’ Dr Redzuan Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari Unisel).

Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, bahawa pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi KEADILAN /Pakatan Harapan walaupun KEADILAN dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama dengan PAS. Oleh itu, demi mencapai pertandingan satu lawan satu, rundingan mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada KEADILAN.

Saya tidak pernah melihat data yang terperinci dari Merdeka Centre atau Institut Darul Ehsan. Kaedah dan jenis sampel kajiselidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kajiselidik INVOKE yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini.

Sudah tentu dapatan kajiselidik INVOKE sangat berbeza malah bertentangan dengan dapatan Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan itu. Seawal Januari 2017, dalam kajiselidik yang terbesar pernah dibuat di negara ini mengenai kecenderongan mengundi, kami dapati undi Umno sudah pun jatuh ke tahap 40%. Itu memungkinkan senario pertandingan 3 penjuru yang berpihak kepada Pakatan Harapan jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan Pakatan Harapan berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu. Setakat kajiselidik terkini iaitu Julai 2017, kajiselidik INVOKE menyimpulkan undi Melayu Pakatan Harapan adalah hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.

Pertembungan dua set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat satu pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan tersebut.

INVOKE ditubuhkan oleh saya, maka dapatannya dituduh berat sebelah hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan. Kaedah dan sistem yang digunakan oleh INVOKE menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.

Institut Darul Ehsan adalah milik Kerajaan Selangor dan bergantung belanjawannya kepada ehsan Menteri Besar Selangor. Malah, kajiselidik IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kajiselidik.

Bagi Merdeka Centre pula, saya tidak pernah melihat laporan kecenderongan pengundi seluruh negara yang terkini. Merdeka Centre juga tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab (response rate), bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan pelbagai soalan lain. Saya juga tahu pengurusan Merdeka Centre juga diberi tanggungjawab menguruskan satu projek bernama #teamSelangor di bawah Kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.

Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari IDE dan Merdeka Centre, kajiselidik-kajiselidik mereka yang dikemukakan untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran Dato’ Seri Azmin Ali.

Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari kajiselidik-kajiselidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Profesor Dato’ Dr Redzuan Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari Unisel) mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama KEADILAN -PAS.

Usaha yang mustahil membuahkan hasil

Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang bahawa perkara ini akan terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia mengheret sama Pakatan Harapan dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara KEADILAN -PAS yang tidak melibatkan Pakatan Harapan adalah satu usaha yang mustahil membuahkan hasil.

Saya menyebut begitu kerana KEADILAN tidak boleh merundingkan bagi pihak AMANAH dan PPBM dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu melibatkan AMANAH, PPBM (dan juga DAP). PAS berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna AMANAH dan PPBM tidak ada kerusi untuk bertanding. Saya tidak yakin KEADILAN dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada AMANAH dan PPBM semata-mata untuk memenuhi tuntutan PAS.

Contohnya, satu konfigurasi kerusi di Selangor yang disebut-sebut di bawah cadangan “satu lawan satu” yang diusahakan diantara KEADILAN dan PAS ini ialah KEADILAN bertanding 15 kerusi, DAP bertanding 15 kerusi, PAS bertanding 14 kerusi, PPBM bertanding 10 kerusi dan AMANAH bertanding 2 kerusi. Saya tahu perkara itu mustahil dicapai kerana Dato’ Seri Azmin tidak akan dapat meyakinkan DAP untuk menerima PAS di dalam kerajaan Selangor selepas ini dan beliau tidak akan dapat meyakinkan AMANAH untuk bertanding hanya 2 kerusi.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran

Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana KEADILAN tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke atas Pakatan Harapan, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan yang sedang berjalan.

Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan dari KEADILAN yang mahu berkawan tetapi menghina KEADILAN dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan hati rakan dari Pakatan Harapan hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon KEADILAN termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu.

Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, KEADILAN akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri. Apabila rundingan itu gagal akhirnya (kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), KEADILAN bukan sahaja tidak mendapat undi dari penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar Pakatan Harapan yang marah dengan tindakan membelakangkan Pakatan Harapan itu.

Selesai melalui kaedah demokrasi di Kongres Khas

Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi di kalangan pimpinan KEADILAN di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat mengenai isu ini. Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa KEADILAN dan rakyat keseluruhannya ke dalam kancah ini.

Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada dua kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat. Oleh kerana ada di kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat Pakatan Harapan, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.

Di satu pihak, yang bersetuju dengan Dato’ Seri Azmin untuk terus berunding dengan PAS termasuklah Naib-naib presiden Sdr Tian Chua, Sdr Shamdul Iskandar dan naib presiden dilantik iaitu Sdr Xavier Jeyakumar dan Sdr Dr Shaharuddin (yang menjadi wakil rundingan KEADILAN dan PAS). Pimpinan lain yang dikenali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Sdri Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sdr Sivarasa Rasiah, Dato’ Saifuddin Abdullah (yang juga KSU Pakatan Harapan), Dato’ Kamaruddin Jaafar, Sdr Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan Sdr Surendren. Ahli MPP pula termasuklah Sdri Elizabeth Wong, Sdr Hee Loy Sian, Sdri Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr Mohamad Nur Manuty, Sdri Latheefa Koya, Sdr Afif Baharuddin dan Sdri Haniza Talha.

Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada Pakatan Harapan, selain saya sendiri, termasuklah Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Sdr Nik Nazmi (Ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Sdr Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan), Dato’ Johari Abdul (Ketua Whip), Sdr Sim Tze Tzin (Pengarah Strategi), Sdr Fariz Musa (Ketua Setiausaha Pengelola), Sdr William Leong, Jeneral (B) Dato’ Hadi (Pengerusi Lembaga Disiplin) dan Sdri Christina Liew (Pengerusi Sabah) di peringkat Biro Politik. Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, Sdr Wong Chen, Sdri Rodziah Ismail, Sdri Fuziah Salleh, Sdr Manivanan, Sdr Gooi Hsiao Loong, Sdr Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Sdr Hassan Karim dan Sdr Aminuddin Haron.

Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.

Oleh yang demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut Perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.

Saya mengesyorkan supaya satu Kongres Khas kebangsaan dipanggil dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang KEADILAN dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Parti. Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing, saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota KEADILAN dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada satu pihak lagi.

Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah Kongres Khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan Pakatan Haarapan dan diri kita sendiri.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Presiden PAS Perlu Perjelas Laporan Straits Times Mengenai Kerjasama Dengan UMNO Rampas Selangor, Perbezaan Pendapat Dalam KEADILAN Perlu Diselesaikan Secara Muktamad

Saya merujuk kepada laporan Shanon Teoh (Ketua Biro akhbar Straits Times di Kuala Lumpur) yang disiarkan hari ini bertajuk “Umno, PAS plan assault on Selangor, woo former chief minister

Laporan itu dengan secara jelas menyatakan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa Dato’ Seri Hadi Awang, Presiden PAS berhubung dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri “hampir setiap hari sejak beberapa bulan” mengenai rancangan kerjasama PAS-Umno untuk merampas negeri Selangor

2. Bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim, mantan Menteri Besar Selangor disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar yang ingin diangkat melalui kerjasama ini dan telah dilihat mengunjungi pejabat Dato’ Seri Najib beberapa kali

3. Dato’ Seri Najib kerap bercakap dengan Dato’ Seri Hadi melalui telefon termasuk semasa Dato’ Seri Hadi sedang berehat selepas menjalani rawatan pembedahan dalam bulan Mei lalu

4. Satu dari perancangan ialah supaya PAS bertanding 42 kerusi untuk memastikan undi Melayu kepada Pakatan Harapan berkurangan

Ini adalah satu laporan yang membawa tuduhan berat kepada kredibiliti PAS dan Dato’ Seri Hadi sendiri. Saya faham bagaimana wartawan kanan seperti Shanon begitu teliti dengan etika kewartawanan dan hanya akan menulis laporan sebegini selepas bercakap dengan sumber-sumber sahih yang dekat dengan kedua-dua pimpinan PAS dan Umno itu.

Oleh yang demikian, saya meminta supaya Dato’ Seri Hadi membuat penjelasan segera mengenai laporan ini kerana ia ada kesan besar kepada negara dan juga mempengaruhi perkembangan politik dalaman di peringkat KEADILAN dan PH. Jika laporan ini tidak benar, maka samanlah Straits Times sepantas kilat dan buat sidang media tergempar menafikan perkara-perkara di atas (seperti kekerapan beliau berbincang dengan Dato’ Seri Najib di telefon).

Jika benar, saya mohon beliau tidak berdolak dalih dan mengesahkan sama ada kerjasama dengan Umno untuk merampas Selangor pernah ada dalam pertimbangan politik PAS sebelum ini.

Sebagai satu-satunya Naib Presiden KEADILAN yang telah menyatakan secara terbuka pendirian saya bahawa KEADILAN sebagai tonggak pakatan pembangkang nasional iaitu Pakatan Harapan (yang diumumkan oleh Presiden KEADILAN sendiri) mesti bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS, saya merasakan masanya telah tiba agar perbezaan pendapat di antara pimpinan kanan KEADILAN mengenai perkara ini diselesaikan secara muktamad.

Saya menghormati usaha-usaha sahabat pimpinan lain sebelum ini yang masih cuba untuk memujuk PAS walaupun saya yakin tidak ada satu bukti pun yang sahih yang menunjukkan pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan kekalahan besar-besaran KEADILAN (dan hilangnya tampuk pemerintahan Selangor) seperti yang diwar-warkan sebagai alasan paling kukuh memujuk PAS.

Malah, segala kajiselidik yang dijalankan secara telus dan terbuka oleh INVOKE yang kaedahnya menepati piawaian antarabangsa menunjukkan sokongan rakyat akan berpihak kepada KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam pertandingan 3 penjuru kerana kehendak rakyat ialah untuk menukar kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib dengan segera.

Sebelum ini, saya mengimbangi keperluan untuk memberikan ruang kepada sahabat-sahabat pimpinan lain di dalam KEADILAN untuk menjayakan rundingan mereka dengan PAS dengan kebimbangan saya tindakan itu dilihat sebagai tidak berprinsip dan mementingkan diri dalam keadaan apa-apa kemenangan yang hendak dicapai mestilah berpasakkan prinsip (bukannya strategi bergabung dengan sesiapa asalkan boleh menang).

Oleh itu, mengambil kira beberapa perkembangan terkini termasuklah pengumuman PAS Selangor semalam untuk bertanding di 42 kerusi dan laporan pada hari ini yang membayangkan kerjasama PAS-Umno, saya akan berunding dengan seberapa ramai pimpinan lain dalam KEADILAN ke arah memuktamadkan pendirian KEADILAN mengenai PAS dan komitmen KEADILAN kepada Pakatan Harapan.

Saya percaya perbezaan pendapat sesama kami pimpinan kanan di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat akan berterusan dan tidak akan ada titik persetujuan, maka keputusan sebesar ini hanya boleh dimuktamadkan dengan mengambil kira suara akar umbi KEADILAN yang lebih besar (bukannya diputuskan oleh beberapa kerat pimpinan kanan parti semata-mata).

Walau apa pun kaedahnya nanti, saya ingin menegaskan pendirian saya bahawa pendirian KEADILAN mengenai kerjasama dengan PAS dan komitmen kepada Pakatan Harapan perlulah dimuktamadkan dalam masa terdekat dan bukannya dibiarkan “terbuka” (“open ended”) seperti sekarang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga Minyak Ditetapkan Oleh Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak

Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya berasa malu dengan kenyataan beliau di Perhimpunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) semalam kononnya beliau “tidak ada kuasa dalam menentukan turun naik harga minyak setiap minggu”.

Saya tidak pasti sama ada Dato’ Seri Najib benar-benar percaya bahawa beliau tidak ada kuasa; atau pun itu hanya helahnya untuk menutup keadaan sebenar iaitu wang rakyat yang boleh digunakan untuk meringankan beban rakyat terutamanya mengawal harga minyak telah dibazirkan oleh pentadbiran beliau dalam projek-projek yang rugi besar seperti 1MDB, Felda dan lain-lain.

Saya yakin Dato’ Seri Najib tahu bahawa beliaulah yang mempunyai paling banyak kuasa dalam mengawal harga minyak di negara ini.

Kenyataan beliau bahawa harga minyak mingguan tidak dikawal oleh Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada harga pasaran semata-mata adalah tidak tepat.

Harga petrol (RON95 dan RON97) dan diesel ditetapkan secara mingguan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggunakan formula berikut:

Harga mingguan (RON95, RON97 dan diesel) = Harga minyak yang telah diproses mengikut harga rujukan MOPS95 terbitan Platts + Jaminan Kos Operasi & Keuntungan + GST (untuk RON97)

Harga minyak diproses: harga pasaran minyak yang telah diproses mengikut gred seperti yang diperdagangkan di Singapura dan laporan harganya diterbitkan oleh penerbitan Platts. Harga yang dilaporkan adalah di dalam Dollar AS (USD) dan perlu diterjemahkan kepada Ringgit Malaysia.

Jaminan kos operasi dan keuntungan kepada pengendali stesen petrol dan syarikat minyak: Kerajaan Persekutuan menetapkan satu kadar untuk menanggung kos operasi dan memberi keuntungan kepada pengendali stesen minyak dan syarikat minyak. Pada masa ini, kadarnya ialah 32 sen seliter (untuk pengendali stesen minyak dan juga syarikat minyak) bagi RON95/RON97 dan 23 sen seliter bagi diesel

GST: Kerajaan Persekutuan menetapkan sama ada bahan api seperti petrol dan diesel dikenakan GST dan berapa kadar GST yang dibayar

Oleh itu, Dato’ Seri Najib bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung dalam menetapkan harga minyak mingguan di negara ini seperti berikut:

SECARA LANGSUNG

i. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang membuat undang-undang bahawa harga minyak dikira berdasarkan formula yang telah ditetapkan (seperti di atas). Beliau hanya boleh mengaku beliau tidak mengawal harga minyak jika Kerajaan Persekutuan tidak menetapkan langsung bagaimana harga petrol dan diesel ditentukan oleh stesen minyak dan menyerahkan bulat-bulat kepada peniaga untuk menentukannya (seperti mana kerajaan tidak menetapkan harga goreng pisang).

ii. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa harga minyak ditetapkan setiap minggu dan perlu dipatuhi oleh semua stesen minyak.

iii. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa kadar jaminan kos operasi dan keuntungan yang dibayar kepada pengendali stesen minyak dan syarikat minyak adalah 32 sen seliter atau 23 sen seliter (bagi diesel). Harga minyak berubah mengikut berapa kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Jika Kerajaan Persekutuan menetapkan kadar yang lebih rendah dari sekarang, maka harga minyak akan turun dan begitulah sebaliknya.

iv. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa RON97 perlu dikenakan GST pada kadar 6%.

v. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memutuskan untuk menghapuskan terus subsidi minyak yang selama ini digunakan untuk mengawal harga minyak dan melindungi pengguna dari turun naik harga minyak mentah dunia. Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan berupaya memperuntukkan sehingga 20 sen subsidi seliter yang akan menurunkan harga minyak apabila ia telah melepasi paras tertentu.

SECARA TIDAK LANGSUNG

i. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berbelanja dengan boros dan berlaku banyak ketirisan dan penyelewengan sehinggakan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi.

Jumlah bayaran tahunan faedah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah sekitar RM27 bilion setahun iaitu 5 kali ganda dari anggaran jumlah yang diperlukan untuk memperuntukkan subsidi 20 sen seliter pada kuota 25% penggunaan petrol dan diesel tahunan negara.

Hutang 1MDB yang semestinya telah melepasi RM50 bilion telah menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar sekitar RM2 bilion setahun dalam bentuk faedah, sedangkan jumlah ini boleh digunakan untuk menyediakan subsidi bagi mengawal harga minyak.

Beban hutang yang tinggi ini dan belanja membayar faedah yang besar setiap tahun menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak ada wang untuk memperuntukkan subsidi minyak yang mendorong kepada tindakan Dato’ Seri Najib menghapuskan subsidi minyak.

ii. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang gagal melindungi nilai matawang ringgit sehingga nilai ringgit jatuh mendadak dari paras sekitar RM3.50 bagi setiap dolar kepada sekitar RM4.20 kini. Oleh kerana harga rujukan adalah di dalam dolar, matawang ringgit yang lemah menyebabkan harga RON95, RON97 dan diesel menjadi lebih mahal dari yang sepatutnya apabila harga rujukan ditukarkan ke dalam ringgit seperti yang dikehendaki formula.

Saya meminta Dato’ Seri Najib berhenti mencuci tangan dalam isu kenaikan harga minyak.

Beliau sewajarnya berdebat dengan kami di Parlimen mengenai cadangan-cadangan dari Pakatan Harapan untuk mengawal harga minyak yang pernah saya utarakan, iaitu pengenalan subsidi untuk mengekalkan harga minyak pada paras RM1.80 seliter yang tertakluk kepada kuota bulanan yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak; kuota bulanan itu ditentukan mengikut peratusan dari jumlah penggunaan tahunan petrol dan diesel.

Kalau saya yakin Pakatan Harapan boleh mengawal harga minyak pada paras RM1.80 seliter dan stabil pada harga itu dalam suasana pasaran dunia sekarang, beliau sepatutnya menjawab kepada rakyat kenapa beliau tidak boleh berbuat yang sama?

Tindakan cuba membodohkan rakyat kononnya beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga minyak sebenarnya hanya menampakkan beliau bodoh.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kenyataan “Rakyat Malaysia Derma Kepada Saudi” Disiasat Di Bawah Akta SKMM dan Kanun Keseksaan

Saya baru selesai memberi kenyataan di IPD Dang Wangi atas 2 kenyataan (dan satu rakaman video) mengenai pelaburan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengendalikan sistem keretapi metro di Mekah yang mengalami kerugian yang diunjurkan boleh mencecah RM142 juta.

Kenyataan saya ini dibuat berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri baru-baru ini yang boleh dibaca di http://rafiziramli.com/2017/07/projek-prasarana-di-arab-saudi-kerugian-ratusan-juta-ringgit-bagaimana-mahu-menanggung-beban-kewangan-mrt/

Saya disiasat dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (atas tuduhan memfitnah) dan Akta SKMM (atas tuduhan menyalahgunakan rangkaian dengan mengeluarkan sesuatu yang menyakitkan hati).

Saya telah menjawab semua soalan dan berpendapat pihak Peguam Negara akan mendakwa saya dalam masa terdekat sama ada di bawah Kanun Keseksaan atau Akta SKMM atau kedua-duanya sekali.

Saya faham perkara ini sensitif kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana saya menimbulkan persoalan bagaimana rakyat Malaysia terpaksa menanggung kerugian gara-gara nama keluarga diraja Saudi digunakqn untuk menutup perkara sebenar berhubung wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri.

Hakikat bahawa saya terus disiasat kerana memuatnaik kenyataan itu dan menyatakan bahawa “rakyat Malaysialah yang menderma kepada Saudi, bukannya Raja Saudi memberi derma kepada Dato’ Seri Najib” sebenarnya membantu meyakinkan lebih ramai rakyat Malaysia bahawa wang RM2.6 bilion itu bukanlah satu derma.

Saya yakin saya ada kes yang kukuh di mahkamah nanti dan kes ini hanya menambahkan jumlah kes terhadap saya dari 12 menjadi 13 yang akan mengajak lebih ramai rakyat Malaysia untuk menolak BN dalam PRU14 nanti.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden PKR

Siasatan Ke Atas Pembelian Hotel Di London: Bukankah Pelaburan Di Luar Negara Mesti Diluluskan Majlis Ekonomi Yang Dipengerusikan Perdana Menteri?

Saya adalah ahli parlimen pertama yang menyatakan bahawa Tan Sri Isa Samad akan dijadikan “kambing hitam” untuk dikorbankan bagi menyelamatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, seawal 17 Februari 2017 seperti yang dilaporkan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/372808#8S8OqMvHCWxQPA2l.97

Oleh itu, sementara saya lega kerana akhirnya ada siasatan ke atas penyelewengan wang Felda yang akan membebankan rakyat Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang, saya juga tidak mudah terpedaya bahawa siasatan ini adalah ikhlas dan menyeluruh. Saya sudah dapat menghidu seawal Februari 2017 lagi bahawa ini akan berlaku kerana memang perkiraan itu telah dibuat lebih awal.

Sebab itu, saya menyeru rakyat Malaysia dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan agar tidak ghairah bertepuk tangan dengan penahanan Tan Sri Isa Samad kerana itu belum tentu akan dapat merungkai kesemuanya sekiranya penyelewengan ini tidak disiasat secara menyeluruh.

Satu perkara yang membimbangkan saya ialah bagaimana budaya pertanggungjawaban di Malaysia ini (baik dalam politik, di tempat kerja, di jabatan kerajaan dan lain-lain) hanya memberi tumpuan kepada “kambing hitam” yang menjadi korban. Jika ada sesuatu penyelewengan atau pelaburan yang merugikan, hanya “kambing hitam” itu yang disiasat dan dihukum. Ketua atau badan yang bertanggungjawab mengawal selia dan meluluskan tindakan-tindakan “kambing hitam” itu yang akhirnya menyebabkan kerugian tidak disentuh langsung dan mereka kekal di jawatan mereka.

Sebab itu apabila sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) rugi besar, yang dihukum hanyalah Ketua Pegawai Eksekutifnya sedangkan Lembaga Pengarah yang turut bertanggungjawab membuat kesemua keputusan besar yang dilaksanakan oleh CEO tidak dikenakan tindakan.

Dalam kes pembelian hotel-hotel mewah di Kuching dan London oleh Felda yang menjadi tumpuan siasatan SPRM dan punca Tan Sri Isa Samad ditahan, beliau bukanlah individu yang tertinggi yang membuat keputusan pembelian. Ada lagi badan yang lebih tinggi yang sepatutnya telah lebih awal menolak dan membatalkan hasrat Felda untuk membeli hotel-hotel ini.

Saya merujuk pengalaman saya mengendalikan skandal pembelian tiga unit hartanah di Australia oleh MARA yang harganya dinaikkan hampir dua kali ganda. Kes itu sekarang sudah menjadi siasatan pihak berkuasa (walaupun belum ada seorang pun yang didapati bertanggungjawab) dan saya sudah pun menang saman dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno yang menuduh saya memfitnah dalam kes itu.

Dalam kes tersebut, menteri yang bertanggungjawab ketika itu (Dato’ Seri Shafie Afdal) dan pengerusi MARA ketika itu (Tan Sri Anuar Musa) dengan secara jelas mengesahkan bahawa cadangan pembelian hartanah luar negara oleh MARA itu telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Berita-berita yang melaporkan perkara ini boleh dibaca di capaian berikut:

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/node/60550
Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembelian-hartanah-di-australia-patuhi-tatacara-perolehan-kementerian-kewangan-pengerusi-mara-63518
Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/303181#pgsM5TCP9Vo3us8x.97

Malah, laporan Astro Awani dengan secara jelas juga memetik Tan Sri Anuar Musa sebagai mengesahkan bahawa “kelulusan dari Perdana Menteri (melalui Majlis Ekonomi) adalah sebahagian dari prosedurnya”.

Saya telah menyemak laman web Majlis Ekonomi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keanggotaannya, fungsinya dan terma rujukannya di capaian http://www.epu.gov.my/ms/seksyen/urus-setia-majlis-ekonomi

Dato’ Seri Najib telah menetapkan bahawa Majlis Ekonomi mengambil alih tugas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pelaburan negara. Ini disahkan juga oleh laporan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/303195#hwqo8VG5ys2PCYEG.97
yang memetik penerangan Tan Sri Anuar Musa bagaimana pembelian di luar negara (atau) yang melibatkan pinjaman luar negara perlu dibawa ke Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, pembelian hotel di London oleh Felda sudah tentu perlu melalui proses kelulusan yang sama iaitu perlu dibawa dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri di samping menteri kanan yang lain.

Jika Tan Sri Isa Samad direman dan disiasat atas dakwaan menerima suapan dari pembelian hotel tersebut yang menyeleweng duit Felda, maka Dato’ Seri Najib Razak dan anggota Majlis Ekonomi yang lain juga perlu disiasat untuk menentukan sama ada mereka juga menerima habuan/suapan kerana merekalah (Perdana Menteri dan anggota Majlis Ekonomi) yang turut meluluskan pembelian hotel di London (yang perlu dibawa ke Majlis Ekonomi kerana ia melibatkan pelaburan luar negara).

Jika ada bukti mereka tahu bahawa pembelian itu ada unsur penyelewengan kerana harganya lebih mahal tetapi mereka tetap meluluskannya, mereka perlu disiasat pula sama ada mereka mendapat habuan. Jika ada bukti mereka mendapat habuan, mereka juga perlu ditahan seperti Tan Sri Isa Samad.

Jika mereka tidak tahu ada unsur penyelewengan dalam pembelian itu tetapi gagal mengenal pasti risiko pelaburan dan gagal menyemak bahawa harga yang perlu dibayar Felda adalah terlalu tinggi, maknanya mereka tunggul yang makan gaji buta kerana gagal/cuai menjalankan amanah sebagai anggota Majlis Ekonomi. Mereka perlu dipecat atau jika mereka bermaruah, mereka perlu meletakkan jawatan.

Budaya rasuah menjadi begitu mendalam dan parah di negara kita bukan disebabkan dua tiga orang yang ditangkap terlibat di dalam penyelewengan. Mereka sebenarnya hanyalah sebahagian kecil dari satu ekosistem pentadbiran negara yang mendokong dan membenarkan rasuah berleluasa. Jika kita benar-benar mahu membanteras rasuah, kita perlu memerangi keseluruhan ekosistem rasuah ini termasuklah dengan menuntut satu teladan pertanggungjawaban yang tertinggi di kalangan menteri dan pegawai kanan kerajaan yang menduduki kerusi-kerusi penting seperti Majlis Ekonomi.

Oleh itu, walaupun Tan Sri Isa Samad telah dikambing hitamkan, itu tidak bermakna Dato’ Seri Najib boleh mencuci tangan. Beliau perlu dipanggil SPRM untuk disiasat untuk menentukan sama ada sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi, beliau telah meluluskan pembelian ini (jika dibawa) dan sebab musabab beliau berbuat demikian sedangkan jelas harga yang dibayar Felda adalah jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

%d bloggers like this: