Shahrizat dan Perbicaraan BAFIA: Antara Lembu dan Kondo

Sebentar tadi, saya mengangkat sumpah memberi keterangan membela diri atas tuduhan menzahirkan maklumat sulit perbankan milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Saya telah memilih untuk menyediakan Penyataan Saksi terlebih dahulu untuk memudahkan proses soal jawab dan membolehkan keterangan saya membela diri dibaca oleh orang ramai. Esok saya akan disoal balas oleh pendakwaraya iaitu Lailawati Ali di hadapan hakim YA Zamri Bakar.

Mohon baca dan sebarkan Penyataan Saksi di bawah untuk memahami selok-belok kes ini:

PERNYATAAN SAKSI SD1 (YB Rafizi Ramli) – Final

Saya tidak dituduh memfitnah atau mereka-reka cerita. Saya hanya dituduh membocorkan maklumat sulit perbankan milik suami Dato’ Seri Shahrizat dan syarikat-syarikat milik keluarga mereka. Jika bersalah, saya boleh dihukum denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali. Saya adalah orang pertama yang didakwa di bawah seksyen kerahsiaan BAFIA.

Perbicaraan akan bersambung esok jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen (Jenayah 3), Tingkat 8, Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Doakan supaya Allah permudahkan urusan saya di mahkamah esok dan dalam beberapa kes yang didengari di mahkamah dalam 2-3 minggu akan datang.

Saya berasa tenang dan lega semasa membacakan Penyataan Saksi di atas. Tidak ada rasa takut, tidak ada rasa bersalah. Terpulanglah kepada Yang Arif Hakim untuk menghakimi saya, terpulang kepada pendakwaraya untuk membuktikan kenapa saya patut dipenjarakan, masing-masing kita ada tanggungjawab dan tugas yang kita perlu jawab di hadapan Allah SWT kelak.

Satu hari nanti, saya akan menulis buku mengenai skandal ini. Oleh kerana Sheila Majid tengah panas sekarang, mengambil inspirasi dari “Antara Anyir dan Jakarta”, saya mungkin menamakan buku itu “Antara Lembu dan Kondo”.

 

INVOKE Sambut Baik Kesudian SPR Benarkan Wakil Calon Tidur Dalam Lokap Jaga Peti Undi

Soal kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan PRU14 adalah perkara yang merisaukan banyak pihak. Beberapa perkembangan terkini, termasuklah pemindahan pengundi-pengundi yang didaftarkan pada satu alamat yang sama, atau pemindahan pengundi awal di kem tentera yang belum siap, menambahkan lagi kecenderungan rakyat bahawa perkara-perkara ini berlaku untuk memberi kelebihan kepada Umno/Barisan Nasional.

Ada 6 kerusi Parlimen marginal yang keputusannya bakal ditentukan oleh anggota keselamatan yang akan mengundi secara undi awal. Kerusi-kerusi ini adalah:

  1. Teluk Kemang
  2. Lumut
  3. Setiawangsa
  4. Tambun
  5. Merbok
  6. Segamat

Pengundi dari kalangan anggota keselamatan akan membuang undi beberapa hari lebih awal (dirujuk sebagai pengundi awal) dan peti undi itu akan disimpan di balai polis sebelum dikeluarkan untuk dibawa bagi pengiraan pada hari pengundian.

Sebelum ini, ada kerisauan munasabah bahawa proses menyimpan peti undi di balai polis selama beberapa hari tanpa ada wakil dari calon boleh membuka ruang kepada penipuan dan pelbagai manipulasi.

Sebab itu, saya mengalu-alukan kesediaan Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengubah prosedurnya bagi membenarkan wakil-wakil calon berada di balai polis sepanjang masa supaya peti-peti undi awal ini tidak dibuka, dipinda atau dimanipulasi. Kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah itu dilaporkan oleh Sinar Harian semalam.

12-06-2017-1

Saya memetik kenyataan Tan Sri Mohd Hashim seperti dilaporkan semalam – “SPR tidak mempunyai halangan jika ada pihak yang mahu tidur bersama tong kertas undi dalam lokap”.

Memandangkan INVOKE dibawah kelolaan saya memang sedang rancak melatih Ejen Tempat Mengundi/Ejen Mengira Undi (PACA) untuk ditempatkan di pusat-pusat mengundi di kerusi marginal di seluruh negara, saya akan mula menyusun supaya ada sukarelawan INVOKE yang menjadi PACA yang akan bertugas menjaga peti undi di dalam lokap sepanjang beberapa hari sebelum pengiraan berlaku, terutamanya di 6 kerusi parlimen marginal di atas.

Saya akan menulis secara rasmi kepada Tan Sri Mohd Hashim untuk menyatakan minat INVOKE untuk menempatkan wakil-wakil calon menjaga peti undi di balai polis, kalau pun mereka terpaksa bermalam di dalam lokap. Saya berharap SPR tidak menarik balik tawaran ini.

Saya juga ingin membawa satu perkara ke perhatian orang ramai iaitu peraturan terbaru SPR yang membenarkan dokumen selain dari kad pengenalan dan pasport untuk dijadikan dokumen pengenalan diri semasa proses mengundi. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh SPR seperti yang ditaklimatkan kepada orang ramai dan terkandung di dalam risalah taklimat SPR.

Saya sertakan petikan dari risalah taklimat SPR mengenai perkara ini:

12-06-2017-5

Saya khuatir tindakan membenarkan (b) resit pengenalan sementara, (d) lesen memandu dan (e) kad kuasa yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan akan memberi ruang kepada penipuan pilihanraya apabila dokumen pengenalan palsu dalam bentuk (b), (d) dan (e) akan digunakan secara berleluasa.

Untuk mengelakkan kekecohan pada hari pengundian, saya memohon supaya SPR membatalkan peraturan yang memberi kelonggaran kepada dokumen-dokumen pengenalan yang lain dan hanya menerima kad pengenalan dan pasport antarabangsa.

Saya akan menulis kepada SPR secara rasmi esok dan akan diedarkan kepada rakyat agar perkara ini diketahui umum. Saya juga akan bekerjasama dengan JK Kebebasan Pilihanraya PH yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mantan Pengerusi SPR dan kini Naib Presiden PPBM untuk memastikan SPR tidak menukar peraturan pilihanraya dengan sewenang-wenangnya yang menjejaskan ketelusan dan kebebasan PRU14.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Najib Enggan Dedahkan Pecahan Kutipan LHDN, Sembunyikan Jumlah Kutipan Denda Dan Faedah Yang Ditanggung Rakyat

Selain dari cukai GST, golongan berpendapatan sederhana kini ditekan pula dengan cukai pendapatan tambahan yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Saya telah membawa perkara ini sejak pertengahan tahun ini tetapi kurang dihiraukan oleh pihak kerajaan.

Kebimbangan saya ialah keputusan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN akan menyebabkan LHDN terpaksa memenuhi sasaran kutipan tertentu kerana pendapatan (dirujuk di dalam dokumen bajet sebagai fii) LHDN tertakluk kepada berapa jumlah cukai yang dikutip oleh LHDN. Contohnya, bagi 2018 pentadbiran Dato’ Seri Najib telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion sebagai fii atas khidmat LHDN mengutip cukai dari orang ramai, seperti helaian bajet yang berikut:

12-06-2017-6.png

Baru-baru ini pada 27 November 2017, akhbar perniagaan The Edge melaporkan (capaian di http://www.theedgemarkets.com/article/irb-launches-operasi-mega-reach-higher-tax-target-rm1347b-2018) bahawa LHDN telah melancarkan Ops Mega untuk mengutip cukai dari orang ramai dan syarikat bagi tujuan memenuhi sasaran kutipan cukai sebanyak RM134.7 bilion bagi 2018. Ini bermakna, LHDB dibayar sebanyak 1.63% dari jumlah kutipan cukai yang dipungut bagi pihak kerajaan.

12-06-2017-7

Sebab itu saya telah melahirkan kebimbangan sebelum ini mengenai keputusan dan tindakan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN dengan mengambil kaedah memberi insentif kewangan sebagai komisen kepada jumlah cukai yang dikutip. Lebih-lebih lagi apabila keperluan kewangan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah jauh lebih tinggi yang menyebabkan LHDN terpaksa berusaha mengutip sasaran cukai yang bertambah tinggi setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi tidak berkembang pada kadar yang sepadan dengan kekayaan Malaysia dan gaji pekerja tidak naik, saya telah suarakan sebelum ini kebimbangan sekiranya LHDN lebih cenderung untuk mengenakan denda dan mengutip faedah atas cukai-cukai yang didakwa tidak dibayar di tahun-tahun lepas. Sementara syarikat besar mempunyai wang untuk membayar peguam dan akauntan, rakyat biasa tiada pilihan kecuali membayar sahaja jika tidak mahu faedah dan denda terus meningkat setiap tahun.

Saya telah mengemukakan satu soalan di Parlimen baru-baru ini untuk mengenal pasti sama ada peningkatan kutipan cukai oleh LHDN adalah disumbangkan oleh keuntungan syarikat/gaji pekerja yang lebih tinggi atau disebabkan lebih banyak denda atau faedah yang dikenakan kepada rakyat.

Sepatutnya soalan saya ini dapat dijawab dengan mudah, tetapi jawapan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib adalah panjang berjela tanpa sedikit pun menjawab soalan tersebut:

12-06-2017-2

12-06-2017-3

12-06-2017-4

Akhirnya, Dato’ Seri Najib tidak mahu mendedahkan pecahan mengikut cukai sebenar yang dikutip, denda yang dikenakan dan faedah yang dikutip atas denda dan cukai yang lewat dibayar. Saya yakin ini berpunca kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa rakyat akan menjadi bertambah marah sekiranya peningkatan kutipan cukai oleh LHDN sebenarnya bukan disebabkan oleh pertambahan pendapatan rakyat/keuntungan syarikat sebaliknya denda dan faedah yang dikenakan untuk memenuhi sasaran kutipan cukai rakyat.

Saya akan melancarkan satu laman online untuk membolehkan orang ramai yang merasa dianiaya dengan tuntutan denda dan faedah yang tidak berpatutan dari LHDN untuk mendapatkan khidmat akauntan sukarela membantu rakyat biasa yang tidak mampu membayar peguam atau akauntan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

 Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Felda Pecat CEO Hotel Grand Plaza Kensington Dari Lembaga Pengarah, Isa Samad Kekal

Sepanjang November 2017, saya memberi ruang kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shahrir Samad dan pengurusan Felda untuk mengambil segala tindakan yang perlu untuk meletakkan kembali Felda di landasan yang betul. Sebab itu saya tidak mengadakan sebarang kenyataan media atau membawa isu-isu berkaitan Felda di Parlimen supaya pentadbiran Dato’ Seri Najib boleh membuktikan keikhlasan mereka dalam menyelamatkan Felda.

Keikhlasan ini boleh dinilai berdasarkan tindakan-tindakan berikut:

1. Mengambil tindakan secara telus ke atas mereka yang bertanggungjawab, secara langsung atau tidak, ke atas pelbagai kerugian, penyelewengan, rasuah dan keputusan-keputusan kepimpinan dari Perdana Menteri hingga pengurusan Felda yang menyebabkan kerugian, penyelewengan dan rasuah tersebut;

2. Membersihkan kepimpinan Felda dari peringkat paling bawah hingga ke atas dari mana-mana individu yang didapati terbabit di dalam keputusan-keputusan, sama ada secara langsung atau tidak, yang menyebabkan kerugian, penyelewengan dan rasuah; dan

3. Memaklumkan langkah-langkah ini secara terbuka kepada peneroka Felda, rakyat dan pasaran kewangan supaya mereka ada keyakinan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berniat untuk menyembunyikan segala keburukan yang telah berlaku dan benar-benar mahu menyelamatkan Felda.

Sekiranya ini berlaku, saya sendiri tidak perlu lagi terus menyiasat dan membongkarkan segala kepincangan yang berlaku di Felda.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku.

Sepanjang Parlimen berlangsung di bulan November, saya hanya tersenyum sinis melihat pentadbiran Dato’ Seri Najib seolah-olah menarik nafas lega kerana saya tidak banyak menimbulkan isu-isu berkaitan Felda.

Malah, saya dapat merasakan mereka telah mengambil peluang tersebut untuk membuat beberapa pertukaran secara senyap-senyap tetapi tetap melindungi tokoh-tokoh besar yang ada kaitan dengan Umno yang masih dikekalkan di dalam pengurusan syarikat-syarikat Felda di United Kingdom.

Pada 17 Oktober 2017, Grand Plaza Kensington Limited iaitu anak syarikat Felda yang menguruskan Grand Plaza Kensington telah memfailkan satu notis menamatkan perkhidmatan Mohammed Jeffri sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

12-05-2017 - 1

Mohammed Jeffri sebelum ini adalah ahli Lembaga Pengarah Grand Plaza Kensington Limited yang juga bertanggungjawab menguruskan keseluruhan operasi hotel itu. Beliau adalah de facto CEO hotel tersebut dan dikenali kerana pernah juga menguruskan hotel Malaysia yang lain sebelum itu.

Sementara saya tidak akan memberi apa-apa komen setakat ini mengenai tindakan menamatkan khidmat de facto CEO hotel tersebut dari Lembaga Pengarah dan akan menunggu jawapan Felda mengenai tindakan itu, saya terkejut kerana tindakan penamatan yang sama tidak dikenakan ke atas pegawai-pegawai kanan yang lain yang terlibat dari awal dalam keputusan membeli hotel itu pada harga yang dijangkakan RM100 juta lebih mahal dari sepatutnya.

Saya sertakan paparan skrin dari senarai ahli Lembaga Pengarah hotel tersebut yang masih dalam perkhidmatan:

12-05-2017 - 2

Sementara de facto CEO dipecat dari Lembaga Pengarah hotel atas sebab-sebab yang belum dinyatakan, Tan Sri Isa Samad yang diketahui sedang dalam siasatan atas pelbagai tuduhan dikekalkan di dalam Lembaga Pengarah.

Lebih teruk lagi, sebenarnya hotel itu kini hanya ada 2 orang Lembaga Pengarah yang masih dalam perkhidmatan iaitu Tan Sri Isa Samad dan Dato’ Hanapi Suhada, bekas Pengarah Besar Felda.

12-05-2017 - 3

Semakan dengan carta organisasi Felda yang terkini menunjukkan bahawa Pengarah Besar Felda yang terkini adalah Dato’ Ab Ghani Mohd Ali dan bukannya Dato’ Hanapi Suhada yang tidak ada dalam mana-mana jabatan di dalam Felda:

12-05-2017 - 4

Ini bermakna, pengurusan hotel milik Felda di London itu semakin menjadi cacamerba dengan perkembangan terkini:

1. Kedua-dua Lembaga Pengarah tidak ada kena mengena dengan Felda atau tidak bertanggungjawab dengan rakyat
2. Kedua-dua Lembaga Pengarah terlibat dengan keputusan pembelian dan pengurusan di peringkat awal sebelum isu ini dibongkarkan
3. Satu-satunya orang yang ada tanggungjawab menguruskan hotel itu iaitu Mohammed Jeffri telah dipecat dari Lembaga Pengarah

Siapa sebenarnya yang mengeluarkan arahan memecat Mohammed Jeffri? Kenapa dia dipecat? Jika ada penyelewengan, adakah satu laporan polis telah dibuat di United Kingdom oleh Felda? Jika Felda yang memecat beliau, kenapa beliau dipecat sedangkan dua orang lagi ahli Lembaga Pengarah yang tidak ada kena-mengena dengan Felda tidak dipecat? Jika bukan Felda yang memberikan arahan tersebut, siapa sebenarnya yang memberikan arahan yang tidak masuk akal itu?

Jika bukan Felda yang memberikan arahan, adakah ia bermakna Felda tidak memiliki hotel ini?

Semua soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrir kerana saya akan memulakan siri pembongkaran saya yang boleh berlarutan sehingga lebih sebulan selagi isu ini tidak diselesaikan dengan setelus mungkin.

Saya mulakan dengan mendesak Felda untuk memecat Tan Sri Isa dan Dato’ Hanapi dari Lembaga Pengarah Grand Plaza Kensington Limited dan digantikan dengan orang-orang yang berkelayakan dan benar-benar mewakili Felda.

Jika Felda gagal melakukan ini dalam masa seminggu, itu menguatkan lagi tuduhan bahawa Felda tidak memiliki hotel ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Subsidi Minyak Jika Harga RON95 Kekal RM2.50 Ke Atas Bagi Tiga Bulan Berturut-Turut: U-Turn Yang Tidak Ikhlas

Saya sertakan kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam untuk mengumumkan keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa Kerajaan Persekutuan akan mula memperkenalkan kembali subsidi minyak sekiranya harga RON95 dan diesel kekal melebihi paras RM2.50 seliter bagi tiga bulan berturut-turut.
MOF Subsidy Minyak

Sudah tentu saya orang yang paling lega dengan keputusan tersebut, kerana akhirnya Dato’ Seri Najib mengenepikan ego dan kepentingan politik sempit beliau untuk mengakui bahawa kaedah subsidi minyak yang dilaksanakan dengan harga siling perlu dilaksanakan dan dasar itu tidak akan membunuh ekonomi negara, seperti propaganda ekonomi yang disebarkan Barisan Nasional selama ini.

Lebih penting, Dato’ Seri Najib terpaksa membuat pusingan “U” yang paling besar dalam dasar ekonomi beliau selama ini iaitu memperkenalkan kembali subsidi minyak setelah bertahun-tahun cuba menggambarkan kononnya pendirian saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan mengenai subsidi minyak adalah tidak bertanggungjawab.

Sebab itu, setelah beliau mengaku kalah dalam isu subsidi minyak ini, saya mengajak rakyat untuk menilai secara terperinci fakta-fakta harga minyak, pendapatan lebihan Kerajaan Persekutuan dan kos untuk menurunkan harga minyak RON95 dan diesel. Tujuannya untuk menilai sendiri betapa mudahnya untuk menurunkan harga minyak tetapi tidak diendahkan Dato’ Seri Najib selama ini.

Saya sertakan satu lampiran pengiraan dan saya kongsikan fakta-fakta ini dalam bentuk soalan seperti berikut:

Pendapatan Luar Jangka Kerajaan Persekutuan Akibat Kenaikan Harga Minyak – 2017

1. Berapakah harga minyak mentah dunia (Brent) yang akan menyebabkan harga RON95 ditetapkan pada RM2.50 seliter?
Menggunakan data-data harga RON95 yang telah ditetapkan selama 6 bulan dibandingkan harga minyak mentah dunia pada minggu yang sama, satu model statistik dapat dibangunkan untuk meramalkan pada harga minyak mentah yang berapa yang menyebabkan harga RON95 ditetapkan pada RM2.50 seliter?

Kiraan saya menunjukkan bila harga minyak mentah dunia mencecah USD64 se-tong, formula yang dipakai pentadbiran Dato’ Seri Najib akan menetapkan RON95 pada harga RM2.50 seliter.

Harga pada hari ini ialah USD62.16 se-tong dan bulan ini, minyak mentah pernah mencecah USD64.27 se-tong. Ini bermakna, prospek harga RON95 semahal RM2.50 seliter bukanlah satu yang luar biasa dan boleh berlaku dalam minggu-minggu akan datang.

bloombergcrude

2. Berapakah keuntungan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan setiap kali harga minyak mentah dunia naik?
Saya telah menunjukkan sebelum ini pada puratanya bagi setiap kenaikan USD1 dollar se-tong, sekitar 40% dari kenaikan itu akan dibayar terus kepada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, cukai petroleum, duti dan lain-lain. Ini tidak termasuk keuntungan PETRONAS, cukai-cukai lain dan dividen yang dibayar.

Sebab itu saya mengkritik keras tindakan menghapuskan subsidi kerana itu samalah seperti Kerajaan Persekutuan membolot kesemua untung dari kenaikan harga minyak apabila sebahagian lebihan pendapatan (akibat kenaikan harga minyak itu) langsung tidak dikembalikan dalam bentuk subsidi minyak untuk dinikmati semua.

Alasan bahawa keuntungan itu dikembalikan dalam bentuk BR1M tidak boleh dipakai, kerana alasan yang sama digunakan untuk menerangkan kenapa GST dikutip. Pada saya, apa-apa yang dibayar sebagai BR1M adalah melalui GST dan seharusnya sebahagian lebihan pendapatan akibat kenaikan harga minyak dikembalikan dalam bentuk subsidi minyak.

Anggaran saya menunjukkan sejak 1 Januari 2017, pentadbiran Dato’ Seri Najib telah mengutip lebihan pendapatan sebanyak sekitar RM2.5 bilion akibat kenaikan harga minyak mentah dunia.

Anggaran ini tidak banyak berbeza dengan jawapan yang diberikan Menteri Kewangan Kedua, iatu setiap kenaikan USD1 harga minyak mentah dunia akan menyumbang sekitar RM300 juta setahun kepada Kerajaan Persekutuan.

minyakusd

3. Adakah Dato’ Seri Najib akan beri subsidi selepas ini dan harga RON95 akan kekal pada RM2.50 sahaja sebagai harga siling?
Tidak.

Saya cukup kesal apabila kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya akan memperkenalkan subsidi bersama-sama harga siling RM2.50 sekiranya harga RON95 dan diesel kekal melepasi RM2.50 selama 3 bulan berturut-turut.

Maka, setiap kali harga RON95 jatuh di bawah paras RM2.50 seliter walaupun minggu-minggu lain kekal di atas RM2.50, itu akan “reset” perkiraan 3 bulan berturut-turut dan membolehkan Dato’ Seri Najib menyimpan lebihan pendapatan tanpa memulangkan satu sen pun subsidi minyak. Contohnya, jika harga pada minggu 1=RM2.64/l, minggu 2=RM2.58/l, minggu 3=RM2.43/l dan minggu 4=RM2.81/l; syarat “mesti kekal melebihi 3 bulan berturut-turut” akan menyebabkan jam harga itu ditetapkan pada permulaan minggu yang baru (reset).

Jadi, saya tidak menolak walaupun bunyinya ada kesediaan di pihak Dato’ Seri Najib untuk memberikan kembali subsidi, helahnya ialah besar kemungkinan itu tidak akan berlaku kerana untuk mengekalkan harga minyak melebihi USD64 se-tong secara berterusan selama 3 bulan, satu krisis dunia yang besar telah pun berlaku.

Malah, jika pun harga minyak mentah kekal melebihi USD64 se-tong selama 3 bulan berturut-turut, pentadbiran Dato’ Seri Najib telah mengutip RM4.2 bilion sejak 1 Januari 2017 sebelum memulangkan sedikit dalam bentuk subsidi.

Sebab itu saya mengecam sikap tidak ikhlas yang acuh tidak acuh ini dalam membantu meringankan bebanan rakyat. Tindakan menunggu sehingga lebihan pendapatan mencecah sekurang-kurangnya RM4.2 bilion sebelum mahu diperkenalkan kembali subsidi adalah mementingkan diri, apatah lagi kos subsidi untuk menurunkan 10 sen harga RON95 hanyalah sekitar RM47 juta seminggu (atau RM2.4 bilion setahun).

Oleh itu, saya mendesak pentadbiran Dato’ Seri Najib membatalkan syarat harga RON95 mesti kekal melebihi RM2.50 seliter untuk 3 bulan berturut-turut dan sebaliknya memperkenalkan terus harga siling pada paras RM2.30 seliter dan membiayai subsidi mingguan seperti berikut:

i. Jumlah kutipan tahunan GST ke atas RON97 yang dianggarkan RM68 juta digunakan untuk membayar subsidi untuk menurunkan harga RON95 dan diesel ke paras bawah RM2.30 seliter; dan

ii. Jumlah terkumpul lebihan pendapatan akibat kenaikan harga minyak mentah dunia yang dianggarkan sudah melebihi RM2.5 bilion digunakan serta merta untuk menanggung kos subsidi RM47 juta seminggu untuk menurunkan (dan mengekalkan) harga minyak pada harga siling RM2.30 seliter.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

%d bloggers like this: