Saluran Generasi Reformasi di Youtube

Selepas sebulan, telah banyak pertemuan, debat, diskusi dan kempen yang berjalan melibatkan calon-calon Generasi Reformasi. Kami mengambil keputusan untuk membuat satu saluran khas Generasi Reformasi di Youtube untuk memuatkan pembentangan manifesto, perdebatan dan pelbagai video yang lain.

Memandangkan kita berdepan dengan sebahagian besar anggota AMK yang agak kurang aktif, walaupun jumlah keahlian adalah ramai – kami cuba sedaya upaya untuk menghubungi kumpulan ini untuk membawa mereka bersama-sama ke arus perdana parti.

Salah satu caranya adalah dengan berhubung secara terus dan menghantar klip-klip video untuk mereka teliti, tanpa perlu hadir ke majlis ceramah atau penerangan parti.

Cara ini agak eksperimental dan belum tentu dapat menjamin undi (ha ha), tetapi paling kurang kami menyumbang untuk membawa lebih ramai aktivis ke pangkuan parti.

Setakat ini hasilnya agak membanggakan apabila di beberapa tempat yang kami lawati, ada sekumpulan ahli parti yang turun menyertai roadshow kami walaupun tidak pernah melibatkan diri dengan aktiviti parti sebelum ini.

Saya mohon kerjasama Saudara-saudari untuk terus mengikuti saluran Generasi Reformasi di Youtube, apabila lebih banyak video dan klip akan disajikan untuk kebaikan bersama.

Jelajah Malaysia: Malam Ini Shah Alam, Esok Melaka

Program roadshow turun padang untuk menyampaikan manifesto diteruskan minggu ini.

Malam ini, kami akan bertemu rakan-rakan dari sekitar Shah Alam, Kota Raja, Kelang dan Kapar di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri, Seksyen 7, Shah Alam.

Esok kami akan berada di Melaka, bertempat di Hotel Grand Continental, Bandar Hilir bermula jam 830 malam.

Minggu depan pada 5 Oktober (Selasa) kami bergerak ke Subang (Hotel Empire) untuk bertemu rakan-rakan dari sekitar Subang, Kelana Jaya dan Petaling Jaya, sebelum ke Seremban (Hotel Seri Malaysia) pada keesokan harinya (6 Oktober, Rabu).

Semua program bermula jam 830 malam.

Saya jemput seramai mana ahli dan calon-calon yang ingin bertanding untuk hadir, bertemu muka dan membentangkan visi dan misi masing-masing.

Manifesto Generasi Reformasi: Kebersamaan, Keberkesanan, Ketrampilan

Reformasi adalah satu proses. Dizaman yang berbeza ia mengambil nama dan bentuk yang berbeza. Reformasi adalah satu kelangsungan, sudah menjadi resam manusia mencari yang benar, menolak yang batil dan berusaha mencari penambaikan.

1998 akan tetap kekal sebagai batu surat utama dalam sejarah moden Malaysia meledaknya semangat rakyat menuntut keadilan dan menolak penyelewengan penguasa. Ratusan ribu rakyat Malaysia yang turun membanjiri jalan-jalan pada tahun itu membuka mata masyarakat keseluruhannya bahawa sudah terlalu lama penyelewengan dan pembodohan rakyat dibenarkan berleluasa.

Reformasi 1998 menjunjung kebersamaan. Dalam ratusan ribu yang setia dengan rapat umum, si penjaja duduk di sebelah jurutera, guru memimpin pesara, adik didokong surirumah, pegawai bank bersalaman dengan si penghutang tegar disebelah! Roh reformasi yang meruntuhkan strata kaum, agama dan duniawi sesama kita membawa kita bersama-sama menuntut yang adil, menolak yang zalim.

Proses reformasi berterusan dengan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. Jiwa reformasi yang membuak-buak disusun melalui struktur hingga ke ceruk desa dan pinggir bandar. Reformis kini sudah berjawatan politik, maka semangat tidak gentar dijalan diterjemahkan untuk membina organisasi politik dan sosial di desa dan pinggir bandar. Roh reformasi yang menyuntik kebersamaan sesama kita, mengajar kita keberkesanan organisasi dalam meneruskan proses reformasi. Hanya organisasi yang berkesan dapat membawa mesej pembaharuan kepada rakyat.

Sedekad berlalu dan gelombang kedua sekali lagi mengingatkan massa bahawa reformasi itu satu proses. Kekecewaan 1999, keperitan 2004 dijawab dengan kejutan 2008. Roh reformasi yang meniupkan kebersamaan, membina keberkesanan organisasi akhirnya berjaya menonjolkan satu barisan kepimpinan yang berketrampilan yang diterima rakyat.

Reformasi adalah satu proses. Satu generasi telah hidup dengan suka duka dan roh reformasi. Generasi reformasi ini pelbagai latar belakangnya, umurnya, gayanya, miripnya. Berbeza semuanya tetapi disatukan oleh satu roh yang akan terus kekal, untuk mencari yang benar dan menolak yang zalim.

Kini kita diambang peringkat yang seterusnya. Cabarannya lain dan bentuknya berbeza – tetapi jangan kita tinggalkan roh reformasi yang menjunjung kebersamaan, menekankan keberkesanan dan menampilkan ketrampilan kepada rakyat!

Cabaran Kita Generasi Reformasi

  • Menggamit imaginasi dan kepercayaan 4.6 juta pengundi muda yang akan menentukan kerusi Putrajaya dalam PRU13
  • Meneruskan idealisme anak muda yang menjadi tulang belakang tercetusnya reformasi 1998 walaupun dalam suasana, bentuk dan gaya yang berbeza
  • Membina kekuatan moral dan ketrampilan, yang berpaksikan ilmu untuk menjadi generasi yang layak mewarisi tampuk pemerintahan negara ini
  • Mengukuhkan organisasi parti supaya keseluruhan 160,000 kekuatan AMK dapat digemblengkan untuk menterjemahkan perjuangan dan idealisme

Landasan Kita Ke Putrajaya

  • Imej dan pendekatan AMK perlu berorientasikan kehendak pengundi muda di luar, maka AMK perlu mengangkat isu-isu mendesak anak muda ke peringkat nasional, supaya kita bercakap bahasa mereka. Isu-isu ini termasuklah kos sara hidup yang melambung, gaji dan kerjaya yang tidak berkualiti, kaedah pembiayaan pendidikan PTPTN yang menekan orang muda, perumahan berkualiti, keterbukaan politik dan budaya serta kebebasan internet.
  • Mengukuhkan organisasi dengan membina kekuatan dari bawah ke atas supaya kita dapat bergerak dan menyampaikan mesej dengan berkesan kepada rakyat. Tumpuan khusus kepada melengkapkan jentera di semua medan tempur supaya kekuatan organisasi menggunakan keseluruhan keahlian parti.
  • Membina barisan pimpinan pelapis yang teguh dengan idealisme perjuangan, mahir dengan ilmu politik dan siasah supaya tanggungjawab membawa perubahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

7 Program Strategik Menyuntik Dinamism

1)      Penubuhan Koperasi AMK sebagai tapak kewangan, sasaran modal awal RM200,000

2)      Jentera PRU13 di 100 kerusi sasaran digerakkan menjelang Februari 2011

3)      Penubuhan Skuad Komunikasi AMK, sasaran 1,000 orang untuk menang perang media baru

4)      Penubuhan Biro Mobilisasi untuk meningkatkan keberkesanan mobilisasi anggota

5)      Kenalpasti dan latih 200 pimpinan AMK bertaraf nasional

6)      Mengakar-umbikan gerak kerja AMK melalui konsep inkubator program

7)      Memutihkan dan melengkapkan senarai keahlian

Jelajah Ampang: Pelancaran Manifesto Generasi Reformasi

Saya berkesempatan untuk turun padang bersama-sama rakan-rakan dari AMK sekitar Ampang, Gombak dan Pandan untuk membentangkan manifesto dan pelan rancangan 7 perkara yang ingin kami tekankan. Program Jelajah di Ampang ini adalah yang pertama dari 19 program serupa menjelajah Malaysia sehingga akhir Oktober 2010.

Saya mengambil sedikit risiko dengan menganjurkan program jelajah ini. Budaya berpolitik, baik dalam Keadilan sekali pun, setakat ini nampak lebih selesa dengan kempen-kempen bersembunyi. Pada pemerhatian saya, setakat ini lebih banyak masa dan tenaga ditumpukan untuk bertemu dengan pimpinan peringkat cabang atau AMK Cabang untuk meyakinkan mereka, seterusnya berharap pimpinan ini akan meyakinkan anggota di peringkat akar umbi.

Kaedah ini baik dan sangat berkesan, cuma saya ingin mencuba sedikit kelainan dengan menguji potensi 90% anggota yang tidak begitu aktif selama ini. Jadi usaha kumpulan kami lebih tertumpu kepada menghubungi terus anggota-anggota ini dan cuba meyakinkan mereka untuk turun menyertai program jelajah.

Sasaran saya mudah – jika kami berjaya menyuntik semangat kepada anggota yang sebelum ini tidak aktif untuk turun menyertai program parti sempena pemilihan ini, kami sudah membantu sedikit sebanyak menguatkan organisasi parti.

Sebab itu saya ambil sedikit masa semasa program di Ampang untuk menerangkan bahawa proses yang berjalan sepanjang pemilihan, adalah sama penting dengan keputusan pemilihan nanti. Melalui program jelajah yang menjemput semua calon turun padang berbahas dan menerangkan visi masing-masing, secara tidak langsung kita mencungkil lebih banyak bakat kepimpinan baru untuk diketengahkan.

Begitu juga dengan visi yang dibentangkan oleh setiap calon – sudah pasti ada pelbagai visi yang praktikal dan boleh dilaksanakan, tidak kiralah siapa yang akan menang nanti.

Proses percambahan idea dan mencungkil bakat baru ini, disamping menyuburkan amalan demokrasi dan berbahas dengan sihat di dalam AMK – adalah satu matlamat utama kami sepanjang tempoh berkempen.

Alhamdulillah semuanya berjalan baik. Ada beberapa soalan yang ditanyakan yang saya kira perlu diberi perhatian, termasuklah keluhan anggota dari masyarakat India yang merasakan AMK tidak begitu pentingkan program dan kebajikan untuk mereka.

Program selepas ini akan menjelajah ke 18 tempat di seluruh Malaysia untuk bertemu anggota dan menerangkan manifesto Generasi Reformasi.

Pemilihan 2010: Adab Bersaing Dalam Jamaah

Saya diminta memberi komen mengenai beberapa perkembangan terbaru kempen pemilihan parti bagi sessi 2010 – 2013, kebetulan saya berada di Kemaman untuk majlis hari raya kecil-kecilan untuk ahli-ahli cabang Kemaman.

Pandangan saya mudah – rakyat sedang memerhatikan kita. Kita juga perlu faham bahawa musuh kita yang lebih besar adalah diluar sana, jadi tindak tanduk kita akan dimanipulasi untuk melemahkan kita. Sebab itu saya selalu meminta rakan-rakan supaya menumpukan perhatian kepada perbincangan dasar dan program, bukan yang berbentuk peribadi.

Saya juga mohon supaya kita kurangkan politiking yang berlebihan – pelbagai rundingan senyap-senyap yang kadang-kadang boleh dikira sebagai menikam kawan dari belakang (di depan kita mengaku bersama, di belakang lain katanya).

Pokoknya rakyat sedang memerhatikan kita. Kalau kita berjaya melalui pemilihan satu ahli satu undi ini dengan tenang, beradab, mencerminkan kematangan – keyakinan rakyat akan bertambah.

Tetapi kalau kita kurang berhemah dan tidak berfikir panjang dalam menyerang peribadi masing-masing, maka rakyat akan tawar hati dan musuh kita akan ambil kesempatan itu untuk menyerang kita pula.

Dalam apa-apa persaingan, adab berjamaah jangan dilupakan.

%d bloggers like this: