Kerugian 1MDB Bagi Tahun Kewangan 2014 Lebih Besar Jika Tidak Kerana Nilaian Semula Aset

Keputusan kewangan 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM665 juta, iaitu satu jumlah kerugian yang begitu besar memandangkan keadaan ekonomi yang kian sukar dan menekan rakyat.

Bersama-sama ini saya sertakan petikan Penyata Untung Rugi dan Penyata Kedudukan Kewangan bagi 1MDB yang telah diaudit dan difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

1mdb - 2014Accounts1 P&L

1mdb - 2014Accounts4 BS

 

Kedua-dua penyata ini akan menunjukkan bahawa kedudukan kewangan 1MDB dan prestasinya setakat ini adalah lebih teruk dari dijangkakan.

Bagi tahun kewangan 2014, perbelanjaan 1MDB iaitu perbelanjaan pengurusan dan bayaran faedah dan khidmat kewangan telah meningkat 52% dari RM2.47 bilion (2013) kepada RM3.76 bilion (2014). Sebagai gambaran besarnya jumlah perbelanjaan ini, kos pengurusan dan faedah hutang sebanyak RM3.76 bilion adalah hampir sama dengan peruntukan BR1M bagi 2014 sebanyak RM4 bilion.

Saya juga ingin menarik perhatian rakyat kepada prestasi kewangan sebenar 1MDB. Setiap tahun, 1MDB melakukan nilaian semula ke atas harta-hartanya yang diambil kira dalam menentukan untung rugi tahunan. Bagi tahun 2013, harta-hartanya telah dinilai semula dan peningkatan sebanyak RM2.74 bilion dicatatkan sebagai keuntungan. Jika tidak kerana nilaian semula sebanyak RM2.74 bilion ini, 1MDB sebenarnya mencatat kerugian sebanyak RM1.96 bilion dalam tahun 2013.

Keadaan yang sama berlaku dalam tahun 2014. 1MDB telah membuat nilaian semula ke atas harta-hartanya dan peningkatan nilai berjumlah RM897 juta telah diambil kira. Jika nilaian semula ini tidak dibuat, prestasi kewangan sebenar 1MDB bagi tahun 2014 ialah mencatat kerugian sebanyak RM1.56 bilion.

Penyata Kedudukan Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 pula mengesahkan bahawa hutang terkini 1MDB (Borrowings) telah mencecah RM42 bilion.

Oleh yang demikian, prestasi sebuah syarikat yang rugi berbilion-bilion ringgit tiap-tiap tahun dari aktivitinya (tidak termasuk perubahan perakauan atau accounting adjustments seperti nilaian semula harta) dan berhutang sedemikian tinggi sudah tentu mengundang soalan tentang pengurusan dan kewajaran perniagaan syarikat itu.

Dalam konteks 1MDB, perkara ini lebih sensitif kerana hutang-hutang 1MDB dijamin Kerajaan Malaysia. Sebuah syarikat yang secara berterusan mengalami kerugian sebegini memberi gambaran ia bukanlah syarikat yang mampu membayar hutang-hutangnya da nada kemungkinan risiko muflis yang tinggi – yang akhirnya akan menyebabkan hutangnya ditanggung rakyat.

Malah, harta-hartanya yang dinilai semula setiap tahun untuk menutup kerugian tersebut termasuklah juga hartanah terbaik negara seperti tanah-tanah kerajaan di sekitar Kem Udara Sungai Besi yang kini dibangunkan sebagai Tun Razak Exchange. Hartanah-hartanah ini disuntik ke dalam 1MDB oleh kerajaan.

Saya mengajak rakan-rakan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional untuk turut membuka mata bahawa tidak ada sebarang syarikat kerajaan sebelum ini yang menanggung kerugian berbilion ringgit setiap tahun seperti 1MDB. Prestasi kewangan 1MDB dan risikonya kepada rakyat perlu dibahaskan secara jujur dan saya berharap apabila usul khas mengenai 1MDB difailkan di Dewan Rakyat, rakan-rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional akan turut menyokong.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

10 November 2014

Perdana Menteri Enggan Jawab Kenapa Lantik Firma Tidak Dikenali Kendali Rm7.4 Bilion Dana 1MDB

Saya telah mengemukakan satu soalan kepada Perdana Menteri berhubung dana 1MDB sebanyak RM7.4 bilion (atau USD$2.3 bilion) yang diuruskan oleh sebuah firma yang tidak begitu dikenali di Hong Kong bernama Bridge Partners.

Perdana Menteri dalam jawapannya bertarikh 30 Oktober 2014 enggan memberi jawapan yang khusus, seperti jawapan beliau yang saya lampirkan bersama-sama kenyataan ini. Jawapan itu mengelak dari menjawab soalan khusus saya iaitu:

1. Kenapa sebuah firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners dilantik mengendalikan sehingga RM7.4 bilion wang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia?

2. Berapa jumlah bayaran setiap tahun yang diberikan kepada firma yang tidak dikenali ini?

1MDB yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib sebagai dana negara (“sovereign fund”) sewajarnya mempunyai keupayaan sendiri untuk menguruskan dana rakyat seperti mana dana-dana awam yang lain.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji semuanya mempunyai jabatan sendiri yang menguruskan pelaburan dana yang dikutip dari rakyat. Melalui cara ini, tiada ketirisan wang rakyat dalam bentuk bayaran yang terpaksa dibuat kepada firma luar untuk menguruskan dana seperti yang berlaku dengan 1MDB sekarang.

Malah, syarikat besar negara seperti PETRONAS (yang bukan pun sebuah dana awam) turut mempunyai Jabatan Perbendaharaan sendiri untuk menguruskan pelaburan dananya.

Tindakan 1MDB melantik satu firma luar negara yang tidak dikenali untuk mengendalikan pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia memberi makna tersirat berikut:

1. 1MDB tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Ini menimbulkan tanda tanya kenapa 1MDB dibenarkan mengambil hutang sebegitu besar yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia sekiranya ia tiada kepakaran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dananya?

2. Firma Bridge Partners mendapat untung dari mengendalikan dana RM7.4 bilion da nada pihak tertentu yang turut mendapat keuntungan dalam bentuk komisen dan lain-lain

Kengganan Dato’ Seri Najib menjawab soalan saya mengenai lantikan Bridge Partners ini menguatkan lagi persepsi bahawa 1MDB tidak diuruskan dengan telus dan menjadi lubuk bagi pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan menggunakan dana rakyat.

Dengan hutang 1MDB yang dijangka mencecah RM40 bilion dan dijamin oleh rakyat, 1MDB kini menjadi ancaman nombor satu kepada kecairan dan kestabilan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Usaha untuk memastikan 1MDB dipertanggungjawabkan kepada rakyat perlu bermula dengan membawa kembali semua dana 1MDB ke Malaysia dan dilaporkan penuh kepada Parlimen. Ini perlu bermula dengan menghentikan lantikan firma-firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners untuk menguruskan jumlah dana 1MDB yang begitu besar.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

3 November 2014

Turunkan Harga Minyak Sejajar Dengan Kejatuhan Harga Minyak Mentah

Harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus jatuh mewajarkan semakan semula harga petrol dan diesel yang ditetapkan kerajaan. Di samping itu, fenomena harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal pada paras yang lebih rendah memerlukan penilaian semula kepada beberapa dasar menaikkan harga petrol dan diesel yang selama ini dijalankan secara agresif oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar USD$105 ke USD$108 setong di antara Mei hingga Ogos tahun ini (rujukan harga piawai Brent) tiba-tiba mula jatuh bermula Ogos. Ia jatuh dari paras USD$105 setong ke USD$85 setong pada awal Oktober dan kekal pada paras itu sehingga kini.

Penganalisa pasaran minyak mentah dunia turut meramalkan bahawa harga minyak mentah akan kekal sekitar paras itu bagi tempoh yang lebih lama sehingga ke tahun 2015.

Dalam sidang Parlimen minggu lepas, saya telah menanyakan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chua Tee Yong apakah kerajaan bersedia untuk menurunkan harga petrol dan diesel mengambil kira tekanan inflasi yang membebankan rakyat serta harga minyak mentah yang semakin susut di pasaran antarabangsa. Beliau tidak memberi komitmen sekadar menyebut kerajaan sedang memantau keadaan.

Saya telah membuat analisa jumlah subsidi petrol dan diesel yang akan ditanggung kerajaan sekiranya harga minyak mentah kekal pada harga sekitar USD$85 setong sehingga ke tahun 2015.

Bagi suku terakhir tahun ini, kerajaan akan menjimatkan RM1.45 bilion dalam bentuk subsidi yang tidak perlu dibayar kerana harga minyak mentah yang lebih rendah menyebabkan kos pengeluaran petrol dan diesel juga lebih rendah.

Jumlah subsidi petrol dan diesel bagi tahun 2015 pula dijangka berjumlah hanya RM9.5 bilion (jika harga minyak mentah kekal pada paras USD$85 setong) iaitu penjimatan sebanyak RM4.2 bilion dari jumlah subsidi bagi tahun 2014 yang dijangkakan berjumlah RM13.7 bilion.

Ini bermakna, alasan bahawa harga minyak perlu dinaikkan kerana bebanan subsidi yang tinggi tidak lagi benar akibat kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia. Jika kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel apabila jumlah subsidi meningkat, bukankan apabila jumlah subsidi turun dengan mendadak maka beban rakyat yang disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel itu boleh dikurangkan dengan menurunkan pula harga petrol dan diesel?

Penjimatan sebanyak RM1.45 bilion bagi suku terakhir tahun ini dan RM4.2 bilion yang dijangka bagi tahun 2015 itu perlulah dipulangkan kepada rakyat dan bukannya disimpan sebagai peruntukan untuk dibelanjakan oleh Perdana Menteri dan menteri-menterinya.

Keengganan Dato’ Seri Najib untuk memulangkan penjimatan ini kepada rakyat akan terus menjejaskan popularity beliau yang sudah pun merudum kerana keputusan-keputusan yang menaikkan harga barang dan membebankan rakyat.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

3 November 2014

Hapuskan Cukai Eksais, Kempen Turunkan Harga Kereta

Minggu ini, KEADILAN telah mendedahkan dalam perbahasan Belanjawan bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka akan mengutip RM17.3 bilion cukai-cukai, lesen dan bayaran pendaftaran berkaitan pemilikan dan penggunaan kenderaan di negara ini bagi tahun 2014. Cukai-cukai kenderaan yang terbesar adalah cukai eksais (RM8 bilion), cukai jualan (RM4.5 bilion), duti import (RM1.1 bilion) dan lesen kenderaan (RM2.4 bilion).

Jumlah kutipan cukai-cukai kenderaan berjumlah RM17.3 bilion ini menjadikan Malaysia salah sebuah negara yang mengenakan cukai tertinggi ke atas pemilikan dan penggunaan kereta dan kenderaan. Cukai-cukai ini juga secara langsung menaikkan harga kereta, kenderaan, alat gantian dan lain-lain sehingga menjadikan bayaran ansuran kereta bulanan dan penyenggaraan kereta menjadi salah satu tanggungan yang terbesar oleh setiap isi rumah di negara ini.

Selama ini, Kerajaan Persekutuan memberi alasan cukai-cukai yang tinggi ke atas pemilikan dan penggunaan kenderaan ini adalah wajar kerana kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang tinggi setiap tahun. Menteri-menteri berhujah bahawa kos keseluruhan operasi kenderaan (bayaran pemilikan dan kos petrol dan diesel) adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain.

Oleh kerana dua kenaikan harga minyak dalam tempoh setahun (20 sen dalam September 2013 dan 20 sen awal Oktober 2014), jumlah subsidi petrol dan diesel yang ditanggung oleh kerajaan berkurangan dengan mendadak. Bagi tahun 2014, Kerajaan Persekutuan diunjurkan menanggung subsidi petrol dan diesel sebanyak RM13.7 bilion.

Jumlah ini adalah lebih sedikit berbanding dengan cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat kepada kerajaan untuk menggunakan kereta dan kenderaan iaitu RM17.3 bagi tahun 2014.

Oleh kerana kerajaan tidak lagi menanggung subsidi yang besar untuk petrol dan diesel, maka alasan cukai-cukai kenderaan yang tinggi dikenakan tidak lagi boleh dipakai.

Oleh itu, KEADILAN akan menghidupkan kembali kempen #turunkanhargakereta yang berjaya menekan Barisan Nasional sebelum Pilihanraya Umum 13 dahulu untuk menjanjikan penurunan harga kereta sebanyak 30%. Sehingga kini, janji itu belum lagi dipenuhi atau belum ada langkah-langkah pun ke arah itu.

Kempen #turunkanhargakereta kali ini adalah lebih menyeluruh untuk meliputi perkara-perkara berikut:

1. Desakan supaya cukai eksais ke atas kereta dihapuskan secara berperingkat menjelang tahun 2017;

2. Desakan supaya alat gantian dan keperluan kereta/kenderaan tertentu dikenakan GST pada kadar sifar;

3. Kajian pasaran dan harga munasabah akan dijalankan untuk melihat margin keuntungan dan kos alat-alat gantian yang dikenakan terhadap pengguna;

4. Desakan supaya lesen-lesen dan yuran tertentu berkenaan penggunaan kenderaan/kereta dihapuskan;

5. Desakan supaya satu sistem Bus Rapid Transit (BRT) diwujudkan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Baru menjelang 2017

Kami yakin Barisan Nasional tidak lagi ada alasan untuk terus mengenakan cukai-cukai yang tinggi ke atas pemilikan dan penggunaan kereta/kenderaan yang menjadi punca keberhutangan rakyat selama ini.

RAFIZI RAMLI
Setiausaha Agong/Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

WONG CHEN
Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri KEADILAN
Ahli Parlimen Kelana Jaya

15 Oktober 2014

Ke Mana Penjimatan Subsidi Sejak Tahun 2013?

Dalam satu pertemuan dengan penjawat awam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilaporkan berkata dasar memberi subsidi kepada semua rakyat adalah dasar yang bodoh. Beliau juga dipetik sebagai berkata jika subsidi sebanyak RM24 billion setahun itu tidak diberikan, ia boleh digunakan untuk membina 40 hospital setiap tahun.

Kami menyeru supaya Datuk Ahmad Maslan menyemak kembali pengiraan subsidi supaya ia tidak mengelirukan rakyat.

Jumlah RM24 bilion yang disebut-sebut itu bukanlah semuanya digunakan untuk memberi subsidi petrol dan diesel seperti yang didakwa. Jumlah subsidi petrol dan diesel hanyalah RM13.7 bilion (diunjurkan bagi tahun 2014). Baki dari angka yang disebut sebagai subsidi itu adalah anggaran RM5 bilion untuk gas memasak LPG dan RM5 bilion lagi tanggungan BR1M.

Jumlah RM13.7 bilion ini jika dibandingkan dengan jumlah bayaran faedah hutang yang terpaksa ditanggung setiap tahun tidaklah begitu tinggi. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dijangka membelanjakan RM24.4 bilion bagi tahun 2015 hanya untuk membayar faedah dan bunga dari hutang-hutang yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan.

Sebab itu kami menyeru supaya Datuk Ahmad Maslan berhenti menghina rakyat dengan cuba memberi gambaran seolah-olah rakyatlah punca tempangnya kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan sekarang. Pemberian subsidi petrol dan diesel yang selalu diungkit oleh Datuk Ahmad Maslan itu tidak sampai separuh dari jumlah faedah dan bunga yang dibayar oleh rakyat kerana Barisan Nasional terus berhutang. Sewajarnya untuk mengurangkan belanja kerajaan, lebih berkesan sekiranya Datuk Ahmad Maslan mencari jalan untuk mengurang hutang dan memotong bayaran faedah dan bunga dari hutang-hutang tersebut.

Kami juga ingin mempersoalkan ke manakah penjimatan dari beberapa siri kenaikan harga minyak sebelum ini. Jika alasan Datuk Ahmad Maslan adalah menaikkan harga minyak boleh mengalihkan sumber kewangan negara untuk membina hospital dan kemudahan lain, berapa banyak hospital, naiktaraf pengangkutan awam dan lain-lain yang telah dilaksanakan dari penjimatan-penjimatan berikut:
1. Apabila Kerajaan Persekutuan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen dalam September 2013, unjuran penjimatan subsidi bagi tempoh September 2013 hingga September 2014 adalah RM4.7 bilion;
2. Apabila harga petrol dan diesel dinaikkan lagi 20 sen baru-baru ini, unjuran penjimatan subsidi bagi tempoh Oktober 2014 hingga Disember 2014 ialah RM1.4 bilion

Mana berpuluh-puluh hospital, sekolah, universiti, bas-bas baru yang telah disediakan oleh Barisan Nasional hasil penjimatan sebanyak RM6.1 bilion ini dalam tempoh setahun yang lalu?

Malangnya kita tahu wang ini tidak dikembalikan kepada rakyat, sebaliknya terus membiayai keborosan pimpinan kerajaan dan peruntukan-peruntukan yang tidak sampai kepada rakyat.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

WONG CHEN
Ahli Parlimen Kelana Jaya

15 Oktober 2014

%d bloggers like this: