Krisis Hutang 1MDB: Bank Negara Malaysia Perlu Bertindak Tegas

Laporan terbaru Bloomberg bahawa 1MDB sekali lagi memohon menanggungkan pembayaran hutang RM2 bilion kepada bank-bank Malaysia mengesahkan bahawa syarikat itu sedang berhadapan dengan masalah aliran tunai. Ini adalah kali ketiga 1MDB memohon penangguhan pembayaran.

Perkembangan ini juga menimbulkan tanda tanya ke manakah wang yang kononnya telah dibawa balik dari Pulau Cayman seperti yang dinyatakan oleh CEO baru 1MDB iaitu Arulkanda Kandasamy. Jika benar semua dana yang berjumlah sekitar RM7 bilion itu telah dibawa pulang, seharusnya 1MDB tiada masalah untuk membayar tunggakan hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB itu.

Saya kira rakyat Malaysia keseluruhannya menerima hakikat bahawa 1MDB adalah satu syarikat yang mempunyai masalah kewangan dan membawa risiko tinggi kepada sistem kewangan negara dan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Yang lebih penting, hakikat ini perlu juga diterima oleh badan-badan kerajaan yang bertanggungjawab menyelia sistem kewangan negara dan sistem perbankan iaitu Bank Negara Malaysia. Saya faham bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mungkin berada dalam keadaan serba salah kerana 1MDB dinaungi dan didokong hebat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, tetapi sudah sampai masanya beliau bertindak bebas demi menjaga kepentingan rakyat.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Bank Negara Malaysia tidak membenarkan penangguhan pembayaran tunggakan RM2 bilion sekali lagi kerana ia memberi isyarat yang berbahaya kepada pasaran di saat matawang Malaysia terus jatuh. Penangguhan pembayaran RM2 bilion oleh 1MDB ini akan memberi isyarat bahawa risiko keberhutangan 1MDB kepada kestabilan sistem kewangan dan perbankan negara adalah tinggi dan menyebabkan pelabur asing terus menarik balik pelaburan mereka dari sistem kewangan dan perbankan kita. Ini akan menjatuhkan lagi nilai matawang ringgit.

Tanggungjawab Bank Negara Malaysia yang paling utama adalah untuk mempastikan nilai terbaik bagai matawang ringgit dan menjaga kestabilan sistem kewangan dan perbankan negara; bukannya melindungi sebuah syarikat bermasalah seperti 1MDB. Selama ini saya cuba sedaya upaya untuk tidak melibatkan Bank Negara Malaysia kerana saya sedia maklum kesulitan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menghadapi tekanan akibat masalah 1MDB; tetapi masanya sudah tiba untuk beliau membuat keputusan yang tegas.

Dengan kuasa yang ada pada Bank Negara Malaysia di bawah Akta Anti Penggubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act), saya juga menyeru supaya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz secara terbuka mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa dana yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion yang dilaporkan sudah dibawa balik dari Pulau Cayman oleh 1MDB benar-benar telah kembali dan telah memasuki sistem perbankan Malaysia;

2. Nyatakan di institusi kewangan mana wang berjumlah RM7 bilion itu dipegang untuk membuktikan bahawa dana RM7 bilion itu benar-benar telah dibawa pulang;

3. Bahawa 1MDB mempunyai dana yang cukup untuk melangsaikan tunggakan hutang sebanyak RM2 bilion kepada Maybank dan RHB yang telah dua kali tertangguh.

Jika Bank Negara Malaysia tidak mampu mengesahkan soalan-soalan mudah ini, ia menguatkan spekulasi bahawa dana RM7 bilion dari Pulau Cayman itu mungkin tidak pernah dibawa pulang ke Malaysia.

Jika penarafan negara (sovereign rating) jatuh akibat 1MDB, Bank Negara Malaysia perlu mengambil tanggungjawab juga kerana tidak tegas dan telus dalam menyelesaikan risiko yang dibawa 1MDB kepada sistem perbankan dan kewangan negara.

Memandangkan keadaan ini menjadi lebih rumit dengan permohonan penangguhan yang terbaru ini, saya memohon agar Tan Sri Zeti Akhtar meluangkan masa dalam tempoh dua minggu akan datang untuk bertemu dengan delegasi Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi mendengar sendiri pandangan kami mengenai 1MDB.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

28 Januari 2015

S

Harga Minyak Naik Bagi Industri Dan Sektor Komersil Kerana Cukai Jualan Yang Dikenakan

Saya sering ditanya (terutamanya dari kalangan penyokong Umno) kenapa harga barang masih tidak turun sedangkan harga minyak telah turun. Soalan-soalan ini adalah ekoran dari kempen senyap yang dibuat di laman-laman sosial kononnya peniaga-peniaga Cinalah yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah turun.

Satu fakta yang tidak diketahui oleh orang ramai adalah harga minyak kepada industri dan sektor komersil sebenarnya tidak turun seperti petrol dan diesel yang dijual kepada orang ramai, malah telah dinaikkan dengan pengenalan cukai jualan ke atas petrol dan diesel kepada industri dan sektor komersil.

Bagi pengilang dan pengusaha komersil yang menggunakan diesel dan petrol dalam kuantiti yang banyak, mereka tidak dibenarkan membeli dari pam minyak seperti orang ramai. Sebab itu kita tidak melihat lori-lori tangki dari pengilang dan pengusaha komersil mengisi petrol dan diesel ke dalam tangki besar mereka di stesen-stesen minyak biasa.

Pengilang dan pengusaha komersil membeli diesel dan petrol dalam jumlah pukal terus dari syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron dan lain-lain. Petrol dan diesel ini digunakan di dalam enjin di kilang, sebagai bahan bakar dan pelbagai kegunaan industri yang lain.

Saya mengesahkan bahawa harga petrol dan diesel kepada industri dan sektor komersil ini telah dinaikkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak apabila satu Pekeliling Perbendaharaan yang bernombor rujukan SR(8.09)102/21-1Vol.58(38) telah dibocorkan kepada saya minggu lepas. Saya telah berjanji untuk melindungi pemberi maklumat itu dengan tidak menyiarkan pekeliling terbabit tetapi maklumat nombor rujukan cukup untuk pihak media bertanyakan kepada Kementerian Kewangan.

Pekeliling Perbendaharaan SR(8.09)102/21-1Vol.58(38) itu memaklumkan syarikat-syarikat minyak peraturan berikut:

1. Kerajaan akan mengenakan cukai jualan ke atas penjualan petrol dan diesel kepada industri dan sektor komersil berkuatkuasa 1 Januari 2015. Cukai ini dikenakan ke atas harga yang ditetapkan kerajaan (iaitu harga yang dibayar orang ramai).

2. Cukai jualan yang ditetapkan adalah diesel (40sen setiap liter), RON95 (58.62sen setiap liter), RON97 (58.62sen setiap liter) dan diesel B5 (40sen setiap liter).

3. Pada setiap bulan, Kementerian Kewangan akan mengeluarkan pekeliling memaklumkan diskaun cukai jualan. Diskaun bagi bulan Januari 2015 adalah diesel (9.4sen setiap liter), RON95 (22.72sen setiap liter), RON97 (6.08sen setiap liter) dan diesel B5 (12.89sen setiap liter).

4. Cukai jualan yang dikenakan (selepas diskaun) kepada industri dan sektor komersil bagi Januari 2015 adalah diesel (30.6sen setiap liter), RON95 (35.9sen setiap liter), RON97 (52.54sen setiap liter) dan diesel B5 (27.11sen setiap liter).

Rakyat perlu tahu bahawa sebenarnya pengilang dan industri lojistik yang tertakluk di bawah kategori industri dan komersil tidak menikmati penurunan harga minyak, sebaliknya terpaksa membayar harga yang lebih tinggi.

Oleh kerana cukai jualan yang dikenakan, pengilang dan industri terpaksa membayar harga RM2.269 seliter (RON95) dan RM2.236 seliter (diesel) berbanding harga biasa RM1.91 seliter (RON95) dan RM1.93 seliter (diesel). Ini bermakna pengilang dan industri membayar dua bentuk cukai kepada kerajaan sekarang ini iaitu cukai jualan yang diumumkan melalui pekeliling setiap bulan dan cukai petrol/diesel tersembunyi akibat perbezaan ketara di antara harga pasaran dan harga yang ditetapkan kerajaan.

Saya memberi perhatian kepada isu-isu seperti ini (termasuk system penetapan harga yang memangsakan pengusaha stesen minyak, syarat AP makanan yang mewujudkan monopoli) kerana ia menjadi penghalang untuk menurunkan harga barang.

Pentadbiran Dato’ Seri Najib mengambil tindakan tidak bertanggungjawab mengenakan cukai senyap-senyap kepada industri untuk menambah pendapatan dengan harapan rakyat mengalihkan kemarahan kepada industri dan peniaga, bukannya kerajaan. Sedangkan kerajaan mengutip ratusan juta cukai dari rakyat dan peniaga setiap bulan sejak kejatuhan harga minyak berlaku.

Untuk berlaku adil kepada semua, segala bentuk cukai yang dikenakan baik kepada rakyat atau peniaga/pengilang perlu dihentikan serta merta agar kejatuhan harga minyak betul-betul boleh diterjemahkan menjadi penurunan kos di setiap peringkat rantaian nilai iaitu dari pengilang hinggalah kepada pengguna.

Rakyat harus sedar bahawa salah satu sebab harga barang tidak turun secepat harga minyak adalah kerana pengilang dan industri tidak menikmati kejatuhan harga minyak akibat cukai jualan yang diperkenalkan Dato’ Seri Najib Tun Razak ini.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

22 Januari 2015

Hapuskan Permit Import (APs) Barang Makanan Untuk Menurunkan Harga Barang

Malaysia bergantung kepada import barang makanan yang mempunyai kesan besar kepada harga makanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Harga barang makanan import ini mempengaruhi harga barang makanan yang dikenakan oleh pengusaha restoran dan harga barang makanan yang dibeli oleh orang ramai bagi kegunaan di rumah.

Dalam jawapan di Parlimen dalam tahun 2013, Kementerian Pertanian mengakui bahawa bagi tempoh sepuluh tahun di antara 2002 hingga 2012, Malaysia membelanjakan RM221.81 bilion untuk mengimport makanan iaitu purata RM22 bilion setiap tahun. Jenis-jenis makanan yang diimport termasuk beras, gandum, gula, daging, hasil tenusu, koko, bijirin, sayuran, buah-buahan, makanan siap dan lain-lain.

Oleh yang demikian, harga barang makanan di negara ini banyak dipengaruhi oleh harga barang makanan import yang dibawa masuk. Harga barang makanan import pula dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu kawalan pasaran melalui permit import (approved permits) dan kadar tukaran matawang (selain dari turun naik harga barang makanan di pasaran dunia).

Ramai yang tidak memahami bahawa dasar Barisan Nasional yang mensyaratkan pengimportan barang makanan memerlukan permit import (AP) telah menaikkan harga barang seperti mana AP bagi kereta menyebabkan harga kereta mahal di negara ini. Permit import ini menyebabkan hanya orang dan syarikat tertentu sahaja yang boleh mengimport makanan dan menghasilkan monopoli yang boleh mengawal harga makanan tempatan.

Contoh AP makanan yang terbaik adalah AP gula dan AP beras yang kedua-duanya dikawal oleh kroni besar Umno, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Kedua-dua harga barang makanan ini dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar disebabkan AP gula dan beras yang diberikan oleh Barisan Nasional kepada beliau.

Rakyat perlu mengetahui bahawa pada ketika ini Barisan Nasional mensyaratkan bahawa 2,428 barang import perlu mendapatkan permit import (AP) yang menyebabkan hanya sesetengah syarikat sahaja yang mengawal pasaran. Selagi adanya permit import (AP) untuk membawa masuk makanan ini, selagi itulah harga barang makanan di Malaysia tidak boleh mengikuti harga pasaran.

Keadaan ini bertambah sukar sekarang dengan penurunan mendadak matawang ringgit yang menyebabkan harga barang makanan yang diimport menjadi lebih mahal. Jika tidak berhati-hati, kawalan pasaran oleh pemegang-pemegang permit import (AP) ini membolehkan mereka menaikkan harga dengan menggunakan alas an penurunan matawang ringgit.

Kedua-dua faktor ini (permit import dan kadar matawang) adalah kesan langsung dari dasar pentadbiran Barisan Nasional. Permit import dilaksanakan oleh Barisan Nasional yang mengkayakan beberapa orang kroni dan kadar matawangnyang menjunam adalah kelemahan pengurusan ekonomi negara di bawah Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya system permit import ini dimansuhkan untuk membolehkan barang makanan import dibawa masuk pada harga yang tidak dikawal oleh beberapa pihak sahaja. Saya juga mencabar supaya Barisan Nasional mendedahkan semua pemegang permit import (AP) makanan supaya rakyat dapat menilai siapakah sebenarnya yang mengawal pasaran makanan di negara ini.


MANIVANAN GOWIN
Pengerusi, Biro Kepenggunaan
Ahli Parlimen Kapar

Kumpulan Syarikat “SRC International” Ditubuhkan Sebagai Anak Syarikat 1MDB

Ekoran dari kenyataan media saya mengenai hutang RM4 bilion yang diambil oleh sebuah anak syarikat 1MDB, saya telah menjangkakan bahawa 1MDB akan membuat kenyataan bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengan 1MDB kerana ia (SRC International) kini adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Kenyataan itu mengesahkan pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB di bawah kepimpinan baru Arulkanda Kandasamy tidak ada bezanya dengan 1MDB sebelum ini dari aspek ketelusan dan tata kelola. Saya membawa isu SRC International ini untuk menguji sama ada Arulkanda Kandasamy akan berlaku telus dan menerangkan secara terperinci latar belakang dan keterlibatan 1MDB dalam SRC International.

Kenyataan 1MDB bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengannya cuba menyembunyikan satu fakta yang sangat penting: SRC International pada mulanya ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB dan kemudiannya dipindahkan kepada MOF Inc.

Sebab itu, 1MDB sewajarnya menjawab persoalan-persoalan ini:

1. Kenapa SRC International ditubuhkan dan mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat?

2. Kenapa selepas mendapat dana RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), tiba-tiba 1MDB memindahkan SRC International kepada kerajaan melalui MOF Inc?

3. Pada ketika SRC International dipindahkan kepada MOF Inc, syarikat itu telah mencatat kedudukan kewangan yang mana hutangnya telah melebihi dari aset. Adakah tindakan 1MDB memindahkan SRC International kepada MOF Inc disebabkan SRC International ini telah diketahui dari awal akan mengalami masalah kewangan?

4. Ke manakah wang RM4 bilion yang diambil dari duit pencen rakyat itu dibelanjakan?

Ini adalah soalan-soalan pokok yang wajib dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau bertanggungjawab bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan. Pada pengetahuan saya, tidak pernah sebuah syarikat yang berhutang sebegini rupa dipindahkan sewenang-wenangnya kepada kerajaan dan menyebabkan hutang kerajaan bertambah sebanyak RM4 bilion secara serta merta.

Saya sertakan bukti-bukti berikut dari laporan kewangan yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2012 yang mengesahkan bahawa SRC International adalah anak syarikat 1MDB sebelum ia dipindahkan kepada MOF Inc:

Download (PDF, 173KB)

Mukasurat 1:
“Principal Activities” mengesahkan bahawa SRC International ditubuhkan untuk terlibat di dalam aktiviti perlombongan dan tenaga seperti mana yang saya sebut sebelum ini. Ia selari dengan laporan akhbar antarabangsa bahawa SRC International merancang untuk melabor dalam lombong arang batu di Mongolia.

Mukarusat 3:
“Other Statutory Information” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini telah melebihi jumlah aset dan lazimnya syarikat sebegini dikira menghadapi risiko muflis.

Mukasurat 4:
“Directors” mengesahkan bahawa ahli-ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga dilantik sebagai Pengarah di dalam SRC International. Datuk Paduka Ismee adalah ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Datuk Shahrol Azral adalah bekas CEO 1MDB dan kini ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Vincet Koh adalah Ketua Pegawai Pelaburan (Chief Investment Officer) 1MDB. Nik Faisal Nik Ariff yang dilantik menjadi CEO SRC International adalah kenalan Jho Low dari UBG Berhad. Jawatan-jawatan penting di dalam SRC International semuanya dipegang oleh pegawai-pegawai 1MDB atau mereka yang rapat dengan Jho Low atau individu berpengaruh dalam 1MDB.

Mukasurat 10:
“Statements of Comprehensive Income” menunjukkan syarikat ini tidak mempunyai sebarang aktiviti dan menanggung kerugian walaupun telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat.

Mukarusat 11:
“Statements of Financial Position” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini melebihi jumlah aset sebanyak RM77 juta. Lazimnya, syarikat begini dikategorikan sebagai mempunyai risiko muflis yang tinggi.

Mukasurat 12:
“Non-current liability” mengesahkan SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion.

Mukasurat 32:
“Investment in subsidiary company” mengesahkan bahawa syarikat lain dari kumpulan ini yang mempunyai nama yang sama (SRC International Malaysia Limited) adalah pada asalnya milik 1MDB melaui 1MDB Real Estate Sdn Bhd. Ia telah dijual oleh 1MDB kepada SRC International pada 2 September 2011.

Mukasurat 37:
“Islamic term financing” mengesahkan bahawa 1MDB melalui SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen awam yang dijamin oleh kerajaan.

Maklumat-maklumat ini secara jelas menunjukkan bahawa 1MDB adalah dalang di belakang SRC International yang telah mengambil dana pencen sebanyak RM4 bilion. Sehingga kini, 1MDB telah gagal memberikan penjelasan ke manakah wang RM4 bilion itu telah dibelanjakan dan saya akan terus bertanya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dan 1MDB sehingga ia dijelaskan dengan baik.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

20 Januari 2015

Kerajaan Persekutuan Tidak Serius Menurunkan Harga Barang; Elak Sentimen Perkauman

Kejatuhan harga minyak mentah yang mendadak di pasaran dunia mendorong kepada kejatuhan harga petrol dan diesel di Malaysia. Walaupun harga petrol dan diesel mula jatuh, rakyat masih menunggu agar perkara yang sama berlaku dengan harga barang dan perkhidmatan yang lain.

KEADILAN sebelum ini menumpukan kepada mekanisme penetapan harga petrol dan diesel untuk memastikan rakyat tidak terus membayar cukai tersembunyi yang dikenakan Barisan Nasional sejak November 2014 lagi. Harga petrol dan diesel yang diturunkan hanya sebulan sekali menyebabkan rakyat terus membayar harga petrol dan diesel yang lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Pada ketika ini, dianggarkan rakyat membayar harga petrol dan diesel secara purata 30 sen lebih mahal dari harga pasaran sebenar. Bagi keluarga yang menggunakan secara purata 200 liter petrol atau diesel sebulan, ini bermakna mereka dicukai sebanyak RM60 sebulan. Jumlah ini besar dan sekiranya KEADILAN berjaya mendesak Kerajaan Persekutuan menukar mekanisme agar harga petrol dan diesel diturunkan setiap minggu, rakyat Malaysia mempunyai lebihan wang sebanyak RM60 sebulan untuk dibelanjakan.

KEADILAN kini beralih tumpuan kepada usaha untuk memfokuskan perhatian rakyat kepada isu-isu berkaitan harga barang. Ini termasuk mendedahkan pelbagai perjanjian dan struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga, tekanan kepada monopoli perniagaan yang mengherot harga serta desakan agar Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menurunkan harga barang.

Kempen ini akan dikendalikan secara bersepadu dengan turut disertai oleh ahli-ahli Parlimen yang lain. Saya sendiri akan menumpukan kepada isu-isu dasar dan kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutua yang boleh digunakan untuk menurunkan harga barang.

Saudara Manivanan Gowin, Ahli Parlimen Kapar dan Pengerusi Biro Kepenggunaan akan mengetuai kempen menyemak harga dan memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan dan peniaga dalam sektor barangan runcit seperti makanan, restoran dan lain-lain.

Saudara Wong Chen, Ahli Parlimen Kelana Jaya dan Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri akan mengetuai kempen menyemak tarif telekomunikasi dan Astro agar bayaran yang dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi (talian telefon, internet dan lain-lain) dan Astro berpatutan dengan mutu perkhidmatan yang setimpal.

KEADILAN berpendapat bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah tidak memadai dan melepaskan tanggungjawab dengan menyalahkan peniaga-peniaga yang kononnya tidak mahu menurunkan harga barang. Lebih teruk lagi, menteri-menteri terbabit membiarkan sahaja aktivis Umno menyebarkan dakyah kononnya harga barang tidak diturunkan kerana ketamakan golongan peniaga Cina.

KEADILAN akan menentang sikap perkauman dan tidak bertanggungjawab Umno dan menteri-menteri dalam isu harga barang ini sedangkan kuasa dan cengkaman Umno/Barisan Nasional dalam kerajaan dan perniagaan sebenarnya boleh digunakan untuk menurunkan harga barang.

Isu-isu ini akan terus dibawa dalam sidang media yang akan datang.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung
Ahli Parlimen Pandan

MANIVANAN GOWIN
Pengerusi, Biro Kepenggunaan
Ahli Parlimen Kapar

WONG CHEN
Pengerusi, Biro Perdagangan dan Industri
Ahli Parlimen Kelana Jaya

13 Januari 2015

%d bloggers like this: