Category Archives: Skandal @ Balak di Sabah

Delegasi PKR Serah Bukti Baru Kepada ICAC Untuk Buka Semula Kes RM40 Juta Membabitkan Dato’ Seri Musa Aman

Delegasi PKR ke Hong Kong mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan James To, pemimpin Parti Demokrat di dalam Majlis Perundangan Hong Kong pada 21 November 2012. Beliau adalah Naib Pengerusi, Panel Keselamatan (Vice Chairman, Security Panel) Majlis Perundangan Hong Kong yang bertanggungjawab memantau kebebasan dan keberkesanan badan penguatkuasa undang-undang di Hong Kong, termasuklah Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC).

Dalam pertemuan itu, beliau telah mengaturkan supaya satu perjumpaan segera diadakan dengan pegawai-pegawai ICAC untuk menerima bukti baru dari Malaysia berhubung kes dakwaan rasuah RM40 juta yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Musa Aman.

James To juga telah menyatakan sokongan beliau untuk membawa kes ini dan telah hadir bersama-sama dengan delegasi PKR untuk menyerahkan bukti baru kepada ICAC pagi ini, jam 9 pagi.

Mengambil kira kenyataan terbuka Kevin Zevros, Ketua Pendakwa Hong Kong bahawa beliau bersedia untuk membuka semula siasatan sekiranya mendapat bukti baru, delegasi PKR telah menyerahkan satu laporan (dan dokumen sokongan) mengenai 3 perkembangan baru yang boleh membantu siasatan ini:

1. Kenyataan Dato’ Seri Lajim Ukin bahawa beliau tidak pernah tahu menahu bagaimana Umno telah mendapat sumbangan derma RM40 juta, seperti alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan siasatan ICAC

2. Kenyataan Dato’ Seri Wilfred Bumburing bahawa beliau tahu wang RM40 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang (bukannya akaun Umno) yang menguatkan lagi pandangan ramai bahawa wang itu bukanlah derma kepada Umno

3. Pendedahan bahawa anak Dato’ Seri Nazri Aziz telah mendapat habuan dalam bentuk sebuah kereta mewah menimbulkan keraguan bahawa Dato’ Seri Nazri Aziz mempunyai kepentingan di dalam kes ini yang boleh mempengaruhi kesahihan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa Malaysia kepada ICAC

Delegasi PKR percaya bahawa ketiga-tiga bukti baru ini mengesahkan bahawa dakwaan pihak berkuasa Malaysia bahawa wang RM40 juta itu merupakan derma kepada Umno adalah tidak benar. Oleh kerana ICAC terpaksa menutup penyiasatan sebelum ini kerana pihak berkuasa Malaysia memberikan gambaran yang tidak tepat, bukti-bukti baru ini diharapkan dapat membuka semula kes RM40 juta membabitkan Dato’ Seri Musa Aman.

 

Selain dari perbincangan mengenai ketiga-tiga perkembangan tersebut, delegasi PKR telah bersetuju untuk menyerahkan lebih banyak bukti termasuklah bukti transaksi di Hong Kong kepada ICAC dalam tempoh tiga minggu akan datang untuk membantu siasatan ICAC.

Saya percaya isu ini tidak akan mati seperti sebelum ini dengan sokongan dan minat yang ditunjukkan oleh pimpinan Hong Kong dan media di sini. Misi delegasi ini telah pun mendapat liputan di dalam media tempatan dan satu sesi penerangan khas kepada pihak media akan diadakan pada jam 3 petang ini.

 

Dengan perkembangan-perkembangan ini, saya berharap siasatan kes ini akan membuahkan hasil. Sewajarnyalah pihak berkuasa di Malaysia pun menunjukkan minat dan komitmen yang sama untuk menyiasat kes ini dengan sempurna.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
22 NOVEMBER 2012

Kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong Mengesahkan Pihak Berkuasa Malaysia Menghentikan Siasatan Terhadap Dato’ Seri Musa Aman Dan Michael Chia

Saya merujuk kepada laporan ekslusif oleh Teoh El Sen yang disiarkan oleh portal berita Free Malaysia Today bertajuk “Hong Kong Willing To Re-open RM40m Case” bertarikh 20 November 2012. Laporan ekslusif tersebut memuatkan petikan wawancara dengan Kevin Zervos, Ketua Pendakwaraya Hong Kong mengenai siasatan kes rasuah RM40 juta yang disabitkan dengan Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia.

Dari laporan dan wawancara tersebut, beberapa perkara kini dapat disahkan:

1. Pihak berkuasa Malaysia (sama ada SPRM, Peguam Negara atau kedua-duanya sekali) yang memaklumkan kepada Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) bahawa wang RM40 juta adalah sumbangan politik kepada Umno

2. Wang RM40 juta memang dibekukan di dalam sebuah akaun Michael Chia (walaupun namanya tidak disebut) dan disyaki pihak berkuasa Hong Kong disimpan bagi pihak Dato’ Seri Musa Aman (walaupun namanya tidak disebut)

Keterangan Kevin Zervos itu mengesahkan bahawa Dato’ Seri Nazri Aziz tidak berterus terang di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila beliau memaklumkan bahawa keputusan ICAC menghentikan siasatan adalah oleh kerana ICAC mendapati wang RM40 juta tersebut adalah sumbangan kepada Umno.

Dato’ Seri Nazri Aziz sekali-kali tidak pernah menyatakan kepada Dewan Rakyat bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia bahawa wang RM40 juta itu adalah sumbangan politik.

Apabila pihak berkuasa Malaysia yang memaklumkan perkara tersebut kepada ICAC, ia mengesahkan desas-desus selama ini bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak berkuasa Malaysia.

Malah, kenyataan Kevin Zervos itu adalah lebih berat, kerana ia membayangkan bahawa pihak berkuasa Malaysia (sama ada SPRM, Peguam Negara atau kedua-duanya sekali) bersekongkol untuk menghentikan siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia dengan memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai wang RM40 juta itu, tanpa siasatan yang telus dan bebas.

Saya juga yakin pihak berkuasa Malaysia tidak pun menyerahkan bukti-bukti dan hasil siasatan yang menyokong kesimpulannya bahawa wang RM40 juta itu adalah sumbangan politik yang berpunca dari hasil yang sah di sisi undang-undang.

Mengambil kira perkembangan terkini ini, saya menyeru pihak-pihak berkenaan mempertimbangkan perkara berikut:

1. Parlimen mempertimbangkan tindakan sewajarnya kepada Dato’ Seri Nazri Aziz yang boleh dikira cuba menyalahmaklumkan (mislead) Parlimen dengan kenyataannya bahawa seolah-olah kesimpulan bahawa wang RM40 juta itu adalah sumbangan politik kepada Umno dibuat oleh ICAC sendiri, sedangkan ia dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia kepada ICAC

2. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Seri Abu Kassim Mohamaed perlu berterus terang segera kepada Parlimen dan rakyat mengenai status sebenar siasatan SPRM terhadap tuduhan rasuah RM40 juta dan menjelaskan sama ada SPRM bertanggungjawab memaklumkan kepada ICAC bahawa wang itu kononnya sumbangan politik kepada Umno sehingga ICAC terpaksa menghentikan siasatan.

Saya juga menyambut baik kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong bahawa beliau sudi untuk membuka semula kes ini jika ada bukti baru. KEADILAN akan menumpukan sepenuh perhatian untuk mengumpulkan bukti-bukti baru ini agar satu siasatan dapat dimulakan segera oleh ICAC.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

21 NOVEMBER 2012

Laporan Kepada Jawatankuasa Semakan ICAC Untuk Menyemak/ Membuka Semula Kes Rasuah RM40j

KENYATAAN MEDIA

20 November 2012

“FACT FINDING MISSION” KE HONG KONG:
LAPORAN KEPADA JAWATANKUASA SEMAKAN ICAC UNTUK MENYEMAK/ MEMBUKA SEMULA KES RASUAH RM40j MELIBATKAN DATO’ SERI MUSA AMAN, DATO’ SERI NAZRI AZIZ DAN MICHAEL CHIA

 

National Oversight & Whistleblowers (NOW) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu rombongan ke Hong Kong bertujuan mengumpul maklumat lanjut dan menyampaikan perkembangan terkini kepada pihak-pihak berkuasa dan berkepentingan di Hong Kong mengenai siasatan kes rasuah RM40 juta yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Musa Aman, Dato’ Seri Nazri Aziz dan Michael Chia.

Ini bertepatan dengan kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menggunakan nama dan reputasi Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) untuk menggugurkan dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia.

Sedangkan sehingga kini, tidak ada satu pengesahan pun dari ICAC yang mengiyakan kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz itu, ditengah-tengah tuduhan bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama dari pihak berkuasa Malaysia yang sengaja melengah-lengahkan kes tersebut.

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan perkembangan terkini dari siasatan terhadap tuduhan rasuah melibatkan hartawan Ananda Krishnan di India, apabila pihak berkuasa India turut menyuarakan bantahan terhadap pihak berkuasa Malaysia yang dilaporkan sengaja tidak memberi kerjasama untuk melengah-lengahkan kes tersebut.

Jelas bahawa ada perkaitan yang membimbangkan di antara kedua-dua kes; apabila pihak berkuasa Malaysia dituduh tidak memberi kerjasama kepada pihak berkuasa lain yang menyiasat kes rasuah individu tertentu yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional.

Oleh itu, adalah menjadi keutamaan untuk mengesahkan kebenaran kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz dengan merujuk kembali perkara ini kepada ICAC dan pihak berkuasa Hong Kong. Sekiranya ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana pihak berkuasa Malaysia tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya, ini adalah satu skandal besar yang perlu disiasat dengan lebih lanjut oleh SPRM dan pihak berkuasa di negara ini.

Pendedahan terbaru bahawa keluarga Dato’ Seri Nazri Aziz ada mendapat habuan dalam bentuk sebuah kereta mewah dianggarkan berharga RM1 juta dari Michael Chia menguatkan lagi persepsi bahawa tindakan Dato’ Seri Nazri Aziz membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia adalah berunsurkan rasuah yang perlu disiasat segera.

Saya telah menghubungi ICAC dan sementara ia menjelaskan ia perlu menjaga kerahsiaan siasatan, ICAC juga memaklumkan bahawa wujud mekanisme semakan semula siasatan melalui sebuah badan yang dipanggil Operations Review Committee (Jawatankuasa Semakan ICAC).

Oleh yang demikian, satu rombongan yang turut disertai wakil-wakil rakyat akan berkunjung ke Hong Kong untuk memulakan proses permohonan kepada Jawatankuasa Semakan ICAC untuk:

1. Memaklumkan fakta-fakta kes yang menyebabkan ICAC terpaksa menutup kes ini untuk mengesahkan sama ada dakwaan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak memberikan kerjasama benar atau tidak;

2. Membuka semula siasatan terhadap dakwaan rasuah RM40 juta dan pengubahan wang haram (money laundering) terhadap Dato’ Seri Musa Aman, Dato’ Seri Nazri Aziz dan Michael Chia mengambil kira perkembangan terkini termasuklah kenyataan-kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz di Parlimen dan keterlibatan keluarga beliau menerima habuan dari Michael Chia

Rombongan ini yang disertai oleh saya, YB William Leong (AP Selayang), YB Hee Loy Sian (AP Petaling Jaya Selatan) dan YB Chang Li Kang (ADUN Teja) akan berlepas ke Hong Kong esok (21 November 2012).

Dalam rangka lawatan ini, rombongan akan menemui ahli Majlis Perundangan Hong Kong (Legislative Council) seperti berikut:

Leung Kwok-Hung, pengerusi League of Social Democrats
James To Kun-Sun, wakil Parti Demokratik
Raymond Wong Yuk-Man dan pimpinan parti People’s Power
Pimpinan Civic Party

Rombongan juga akan mengadakan pertemuan dengan NGO dan media untuk menerangkan kesan kes ini kepada reputasi ICAC. Satu sidang penerangan akan diadakan pada hari Khamis, 22 November 2012 yang akan turut disertai oleh wakil-wakil parti politik, NGO dan media.

Sesi penerangan dan pertemuan dengan ahli-ahli Majlis Perundangan Hong Kong adalah bertujuan untuk mendapatkan kerjasama mereka untuk berunding dengan Jawatankuasa Semakan ICAC untuk menyemak kembali kes tersebut.

Akhir sekali, rombongan akan bertemu dengan wakil ICAC untuk menyampaikan permohonan rasmi agar kes ini disemak kembali mengambil kira kesannya kepada reputasi antarabangsa ICAC, apabila namanya digunakan di Malaysia untuk membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia dalam suasana yang menimbulkan penuh tanda tanya.

Misi ini adalah misi yang pertama dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan di Hong Kong.

Satu sidang media akan diadakan di ibu pejabat KEADILAN pada hari Jumaat, 23 November 2012 jam 4 petang sejurus rombongan tiba dari Hong Kong.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Eksekutif

Dato’ Seri Nazri Aziz Tidak Wajar Bersembunyi Di Sebalik Institusi Parlimen

Saya memang sudah menjangka tindakan seterusnya yang akan diambil oleh Dato’ Seri Nazri Aziz adalah dengan menggunakan kuasanya untuk menghalang saya dari membuat sidang media di Parlimen.

Beliau seharusnya sedar bahawa Parlimen adalah institusi tertinggi milik rakyat di negara ini. Ia wajar disemarakkan dengan isu rakyat baik di dalam atau luar dewan. Tindakan Dato’ Seri Nazri Aziz dan pengurusan Parlimen menghadkan akses rakyat biasa untuk ke Parlimen dan bersuara melalui sidang media hanya akan merendahkan martabat dan kedudukan Parlimen.

Pada fikiran saya, Dato’ Seri Nazri Aziz sekali lagi mengambil tindakan yang berunsurkan “conflict of interest” kerana sidang-sidang media yang akan datang mungkin akan berkisar mengenai beliau. Sebelum ini beliau tidak pernah mempunyai apa-apa halangan dengan sidang media yang dibuat di Parlimen.

Malah, ketika isu NFC dibongkarkan dan bekas rakan kabinet beliau Dato’ Seri Shahrizat Jalil menjadi topik hangat sidang media, beliau langsung tidak bersuara melahirkan tentangan terhadap sidang-sidang media di Parlimen. Beliau juga dipetik berkali-kali melalui sidang media di Parlimen turut sama mendesak Dato’ Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan.

Jelasnya, hanya apabila beliaulah yang menjadi bahan sasaran sidang-sidang media kebelakangan ini ekoran persoalan mengenai hubungan beliau dan Michael Chia, barulah timbul soal hak menggunakan Parlimen untuk sidang media.

Sebab itu saya terus mengulangi saranan saya supaya Dato’ Seri Nazri Aziz mengambil sikap yang lebih terbuka dan tenang seperti Dato’ Seri Shahrizat Jalil dalam menghadapi persoalan mengenai integriti dan perhubungan beliau dengan ahli perniagaan yang disiasat.

Keputusan terbaru Parlimen ini sedikit pun tidak merencatkan rancangan KEADILAN untuk menumpukan perhatian kepada kes Dato’ Seri Nazri Aziz. Sidang media akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak media akan dimaklumkan lebih awal.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
8 NOVEMBER 2012

KEADILAN Dedah Video Yang Mengaitkan Anak Dato’ Seri Nazri Aziz Dan Kenderaan Hummer WNX 9776

Sehingga kini, tidak ada sebarang penafian dari Dato’ Seri Nazri Aziz atau anaknya, Nedim Nazri Aziz bahawa dia (Nedim) telah mendapat manfaat dari penggunaan kereta mewah Hummer WNX 9776 yang dimiliki oleh Michael Chia.

Kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz langsung tidak menafikan perkara ini, malah beliau mempertahankannya sebagai hak anak beliau untuk menggunakannya.

Pun begitu, KEADILAN faham bahawa beban untuk mengemukakan bukti bahawa kenderaan Hummer WNX 9776 itu memang digunakan oleh Nedim Nazri Aziz dan keluarganya terletak dibahu kami.

Hari ini, KEADILAN tampil mengemukakan 7 rakaman video untuk diteliti oleh pihak media dan rakyat yang boleh membuktikan dakwaan kami sebelum ini.

(Video dibekalkan kepada pihak media bersama-sama dengan koleksi gambar yang belum disiarkan lagi. Video dan koleksi gambar yang sama akan dimuatnaik ke internet melalui Youtube dan laman rafiziramli.com)

Video-video tersebut adalah seperti berikut:

 Video 1: rakaman yang membuktikan bahawa kenderaan Hummer WNX 9776 dikendalikan oleh pemandu peribadi dan pengawal keselamatan keluarga Nedim Nazri Aziz. Kenderaan itu juga disimpan di Clearwater Residence, tempat kediaman keluarga Nedim Nazri Aziz.

 Video 2: rakaman yang menunjukkan seorang pembantu rumah turun dari Clearwater Residence dan memindahkan barang ke Hummer WNX 9776. Kami mengesyaki dia adalah pembantu rumah keluarga Nedim Nazri Aziz.

 Video 3: rakaman yang menunjukkan kenderaan Hummer WNX 9776 keluar masuk ke Clearwater Residence.

 Video 4: Rakaman sebelah malam yang menunjukkan sebuah kereta sports Audi (berwarna hijau walaupun tidak terang warnanya di dalam video) mengekori kenderaan Toyota Vellfire hitam secara dekat di lobi Clearwater Residence. Toyota Vellfire hitam adalah kenderaan yang digunakan isteri/keluarga Nedim Abdul Aziz. Kami percaya kereta sports Audi berwarna hijau dipandu sendiri oleh Nedim Abdul Aziz.

 Video 5: Rakaman sebelah malam yang menunjukkan pemandu peribadi dan pengawal keselamatan yang sama (sebelum ini dirakam dengan Hummer) memandu/mengendalikan Toyota Vellfire yang digunakan oleh keluarga Nedim Nazri Aziz. Ini membuktikan bahawa Hummer WNX 9776 digunakan oleh Nedim dan keluarganya.

 Video 6: Rakaman yang menunjukkan kolam renang di satu unit di Clearwater Residence, yang sama dengan petikan skrin (screen shot) kolam renang di kondominium Nedim Nazri Aziz seperti yang ditwitnya

 Video 7: Rakaman siang yang menunjukkan sebuah kereta sports Audi berwarna hijau yang mengekori dengan dekat Hummer WNX 9776. Kami percaya bahawa Nedim Nazri Aziz bergerak di dalam konvoi. Hummer WNX 9776 adalah untuk kegunaan pengawal peribadinya sementara dia memandu kereta sports Audi hijau.

Dengan pendedahan video-video ini, terpulanglah kepada Dato’ Seri Nazri Aziz dan anaknya Nedim Nazri Aziz sama ada mahu menafikan atau mengesahkan bahawa keluarga mereka mendapat manfaat terus dari seorang ahli perniagaan yang disiasat atas tuduhan rasuah.

KEADILAN yakin melalui penyiasatan kami bahawa Hummer WNX 9776 itu memang dibekalkan oleh Michael Chia sebagai manfaat kepada keluarga Dato’ Seri Nazri Aziz.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
2 NOVEMBER 2012