Category Archives: MARA

Kelewatan Elaun Siswazah Yang Dibiaya Kerajaan (Biasiswa Atau Pinjaman)

Saya merujuk kepada kenyataan PTPTN mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada siswazah di 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti yang dilaporkan semalam.

Sebelum ini pun, saya telah menerima aduan-aduan mengenai kelewatan pembayaran pembiayaan kepada siswazah, baik yang mendapat pinjaman atau biasiswa dari badan-badan kerajaan. Saya telah mengumpulkan maklumat dan dapat mengesahkan bahawa berlaku kelewatan yang ketara dalam beberapa kes yang sangat membebankan siswazah dan keluarga.

Saya sertakan 2 dari 15 email yang kandungannya hampir sama mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada siswazah tajaan IPTA di politeknik:

Email 1



Email 2

 

Kedua-dua email ini secara jelas menunjukkan kelewatan yang perlu diterangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Malah, bukan ini sahaja aduan yang saya terima mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada pelajar-pelajar. Saya telah juga mendapat aduan yang sama dari pelajar-pelajar di bawah tajaan MARA di luar negara yang mendakwa berlaku kelewatan pembayaran elaun; serta pelajar-pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Oleh yang demikian, kelewatan pembayaran oleh PTPTN dan kelewatan pembayaran pembiayaan oleh badan-badan kerajaan yang lain seperti JPA bukan sesuatu yang berlaku sekali sahaja (“isolated cases”). Saya bimbang sekiranya kelewatan pembayaran pembiayaan ini sebenarnya adalah simptom kepada masalah yang lebih besar iaitu keupayaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memenuhi keperluan kewangan sektor pendidikan; terutamanya setelah peruntukan kepada IPTA telah dipotong secara mendadak.

Saya menyeru supaya menteri-menteri yang bertanggungjawab iaitu Dato’ Seri Idris Jusuh (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Dato’ Seri Johari Ghani (Menteri Kewangan II) memberi maklumbalas segera dengan menyiarkan rekod pembayaran pembiayaan pendidikan kepada pelajar-pelajar tajaan (biasiswa atau pinjaman) badan-badan kerajaan supaya rakyat boleh menentukan bahawa kelewatan ini bukan berpunca dari meruncingnya kedudukan kewangan kerajaan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1415580235143146/?type=3&theater

Youtube |
https://www.youtube.com/watch?v=fIJMoV7DISs

Keputusan Kes Saman Naib Ketua Pemuda Umno Terhadap Rafizi Ramli: Skandal MARA

img_9857
Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi S Nanthabalan pagi ini menolak saman Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mendakwa saya memfitnah beliau semasa mendedahkan #skandalMARA (pembelian hartanah mahal di Australia). YA Hakim memutuskan pihak beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan media saya adalah satu fitnah dan berniat jahat terhadap beliau.

Ada dua asas penghakiman yang dibacakan YA Hakim yang ada kesan besar kepada masyarakat:

1) bahawa sesuatu komen yang tidak berniat jahat dan bersifat kepentingan awam yang memenuhi syarat “Komen Tahap 3” (Level 3 comments) mengikut prinsip di dalam kes rujukan Chase (di United Kingdom) memenuhi pembuktian “justification” yang digunapakai di dalam kes-kes saman sivil.

2) sesuatu kes yang berkepentingan awam masih boleh dibincangkan di luar mahkamah dan pihak yang terbabit bebas memberi komen mengenai kes itu selagi ia tidak campur tangan dengan prosiding perbicaraan.

Kes rujukan Chase adalah sangat penting kerana seseorang boleh membuat pembelaan “justification” yang dikira tidak memfitnah apabila membuat kenyataan mengikut prinsip berikut:

1) Komen Tahap 1 – menuduh bahawa seseorang itu telah melakukan perlakuan yang menjadi isu dalam saman. Maka orang kena saman perlu membuktikan secara tepat ia telah berlaku (“smoking guns”)

2) Komen Tahap 2 – menuduh bahawa seseorang itu terlibat di dalam perlakuan yang menjadi isu dalam saman, walaupun tidak semestinya dia menjadi orang utama. Maka orang kena saman perlu membuktikan bahawa orang kena tuduh wajar disiasat walaupun tidak semestinya orang kena tuduh benar-benar bersalah

3) Komen Tahap 3 – menuduh bahawa ada berlaku perlakuan yang menjadi isu dalam saman, walaupun tidak semestinya orang kena tuduh terlibat. Maka orang kena saman perlu membuktikan bahawa ada kewajaran isu dalam saman disiasat

Keputusan YA Hakim S Nanthabalan hari ini menyokong bahawa aktivis anti-rasuah sepertj saya dan National Oversight & Whistleblowers (NOW) ada hak untuk membongkar penyelewengan tanpa perlu bimbang mengenai saman di mahkamah selagi pendedahan itu berniat baik dan mematuhi prinsip-prinsip di atas.

Saya gembira kerana hari ini mahkamah menghargai khidmat awam yang pemberi maklumat lakukan selama ini berhadapan dengan banyak risiko.

Mohon disebarkan seluasnya.

Skandal Pembelian Hartanah MARA: Apa Tindakan Pemuda UMNO Untuk Dapatkan Balik Dana MARA Yang Diselewengkan?

050316 Ulangkaji MARA-01

Kes saman Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap saya mengenai satu kenyataan media berhubung skandal pembelian hartanah MARA di Australia bermula hari ini. Peguam saya, YB William Leong (Ahli Parlimen Selayang) mendapat pelepasan dari Yang Arif S Nantha Balan untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan saya memfailkan satu affidavit memasukkan transkrip perbicaraan di Mahkamah Melbourne sebagai bahan bukti pihak saya.

Perbicaraan penuh akan bermula pada 6 dan 7 Jun 2016 ini.

Sementara kes ini melalui proses undang-undang di mahkamah, fakta-fakta berhubung urusniaga yang melibatkan MARA dan beberapa individu yang dikaitkan dengan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO itu terus mendapat liputan.

Sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan atau pengumuman yang mengesahkan bahawa dana MARA yang diselewengkan oleh individu-individu tertentu ini telah dipulangkan kepada MARA. Dalam keadaan peruntukan untuk membiayai program pendidikan MARA dipotong mendadak sehingga biasiswa MARA dihapuskan dan jumlah penerima pinjaman pendidikan dikurangkan, kegagalan mendapatkan kembali dana MARA yang diselewengkan ini adalah satu pengabaian tanggungjawab di pihak kerajaan dan UMNO.

Sebab itu saya berhak bertanyakan kepada Khairul Azwan Harun – sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, apakah langkah-langkah yang telah beliau ambil untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana yang diselewengkan ini kerana jumlahnya besar dan dapat membantu ramai pelajar Bumiputra? Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Pergerakan Pemuda UMNO untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana ini? Sudahkan sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana anggota Pemuda UMNO yang dinamakan secara khusus di dalam dokumen-dokumen rasmi dan transkrip perbicaraan di Australia?

Jumlah yang diselewengkan bukanlah sedikit. Fakta-fakta berikut adalah hasil dari pengumuman MARA sendiri, jawapan menteri di Parlimen atau dokumen urusniaga yang dilaporkan secara meluas:

1. Sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Ltd telah dibeli oleh MARA Inc dalam tahun 2014. Jumlah yang dibayar oleh MARA untuk membeli Thrushcross Land Holdings Ltd adalah A$86.9 juta (bersamaan RM260.7 juta) iaitu A$64.4 juta (bersamaan RM193.2 juta) bagi pembelian syarikat dan A$22.5 juta (RM67.5 juta) untuk membayar hutang syarikat itu. Jawapan ini diberikan oleh Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar di Parlimen.

2. Thrushcross Land Holdings Ltd dimiliki oleh individu-individu yang berkait dengan pimpinan Umno dan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno. Perkara ini saya huraikan dalam kenyataan media saya http://rafiziramli.com/2015/07/individu-terbabit-di-dalam-urusniaga-mara-perlu-tampil-memberi-penjelasan/

3. Thrushcross Land Holdings Ltd membeli dua bangunan asrama pelajar pada harga yang jauh lebih rendah iaitu Unilodge Swanston Street pada harga A$23.5 juta (bersamaan RM70.5 juta) dan Dudley House pada harga A$22.6 juta (bersamaan RM67.8 juta). Jumlah kos pembelian dua asrama pelajar ini hanyalah A$46.1 juta sedangkan syarikat itu dijual pada harga A$64.4 juta kepada MARA Inc. Selain itu, MARA Inc juga mengambil alih hutang Thrushcross Land Holdings Limited dengan WBC Finance dan WBC Commercial Bill sebanyak A$22.5 juta.

4. Ini bermakna, MARA Inc bukan sahaja membeli 2 asrama pelajar itu pada harga yang lebih mahal; malah ia juga membayar hutang yang digunakan oleh pemilik Thrushcross Land Holdings Ltd ini untuk membeli 2 asrama pelajar itu yang kemudiannya dijual kepada MARA Inc.

5. Akibat dari penyelewengan ini, MARA Inc terpaksa menjual kedua-dua bangunan asrama ini dan hasrat penjualan itu telah diiklankan. Perunding hartanah antarabangsa iaitu Colliers menganggarkan bahawa setiap satu asrama itu bernilai A$30 juta pada harga semasa.

6. Maka, MARA Inc akan kerugian sebanyak A$26.9 juta (bersamaan RM80.7 juta) iaitu jumlah yang dibayar A$86.9 juta tolak bidaan pembeli pada harga semasa A$60 juta.

7. Ini juga bermakna pemilik Thrushcross Land Holdings Limited iaitu individu-individu yang berkait dengan pemimpin UMNO dan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO ini memperolehi keuntungan durian runtuh sebanyak A$40.8 juta (bersamaan RM122.4 juta).

8. Dari jumlah RM122.4 juta keuntungan atas angin itu, sebanyak A$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta) dibayar kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan individu dan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO.

Saya khuatir penyelewengan dana MARA yang membawa kesan besar kepada pelajar Bumiputra ini didiamkan begitu sahaja dan dana yang diselewengkan tidak dirampas dari individu-individu terbabit.

Oleh yang demikian, saya mencabar Saudara Khairy Jamaluddin atau Saudara Khairul Azwan Harun atau kedua-duanya sekali berdebat mengenai penyelewengan dana MARA ini untuk membuktikan bahawa Pemuda UMNO telah menjalankan tanggungjawabnya menjaga dana awam Bumiputra tersebut.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Aduan Pembiayaan Pendidikan Tinggi

Aduan-Pendidikan Tinggi-01

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai MARA dan jawapan Dato’ Jazlan Yaakub janji beliau untuk menambah biasiswa dan pembiayaan pendidikan.

Kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab dan mempolitikkan pembiayaan pendidikan pada ketika banyak keluarga dan pelajar-pelajar di semua peringkat sekarang terpaksa berdepan dengan kesukaran kewangan akibat pemotongan pelbagai peruntukan pembiayaan pendidikan di semua peringkat oleh semua agensi di bawah pentadbiran beliau.

Salah satu beban kewangan terbesar sekarang ini ialah perubahan dasar melibatkan PTPTN yang menghadkan jumlah pembiayaan PTPTN. Peraturan bahawa hanya pemohon dari keluarga yang menerima BR1M boleh dipertimbangkan untuk pembiayaan penuh telah menyebabkan ribuan keluarga terperangkap dengan beban kewangan yang mereka tidak jangka. Begitu juga dengan perubahan dasar mendadak melibatkan skim-skim di bawah MARA, myBrain, penajaan PhD dan lain-lai. Malah saya terus mendapat aduan bahawa ramai pemohon pembiayaan MARA masih belum mendapat pembiayaan berbeza dengan kenyataan menteri dan Pengerusi MARA.

Oleh itu, saya akan terus membawa isu pembiayaan pendidikan tinggi yang banyak menekan keluarga. Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan pembiayaan pendidikan tinggi untuk mengisi borang aduan di bit.ly/pendidikantinggi agar saya boleh perjuangkan secara berkesan bermula minggu ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Nazim Rahman Perlu Buat Akuan Bersumpah Nafikan Penglibatan Beliau Di Dalam Syarikat-Syarikat Midwest Equity Sdn Bhd, Union Properties Sdn Bhd Dan Union Services & Management Sdn Bhd

Saya telah menggesa MARA untuk membuat siasatan dan jika didapati bersalah mengambil tindakan terhadap Ahmad Nazim Abdul Rahman, CEO Pelaburan MARA Berhad sejak 20 Oktober 2015 kerana dokumen-dokumen yang saya ada dengan jelas menamakan beliau sebagai salah seorang pegawai tinggi MARA yang terbabit di dalam pembelian Dudley House pada harga yang tinggi dan melibatkan pembayaran komisen/rasuah kepada individu-individu tertentu.

Selepas saya menamakan beliau secara terang-terangan pada 20 Oktober 2015 yang lalu, beberapa kemudian beliau menulis email yang panjang merayu supaya perkara ini tidak dipanjangkan. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau tidak bersalah. Saya tidak berhajat untuk menjawab atau memaparkan email beliau kepada umum kerana ia bersifat peribadi.

Walau bagaimana pun tindakan beliau membuat laporan polis terhadap saya dan NOW (National Oversight & Whistleblowers) boleh dikira sebagai keengganan beliau berterus terang kerana fakta-fakta yang saya kemukakan boleh sahaja beliau bidas dengan mudah sekiranya ia tidak betul.

Malah, sewajarnya beliau mengambil tindakan saman terhadap saya di bawah undang-undang sivil sekiranya beliau merasakan pendedahan saya adalah tidak benar dan memfitnah.

Malangnya kebelakangan ini, penjawat awam di agensi kerajaan seperti MARA dan Tabung Haji tidak mengambil tindakan sama kerana mereka terpaksa mengemukakan bukti di mahkamah menolak pendedahan saya. Sebaliknya mereka membuat laporan polis di bawah undang-undang jenayah dengan menggunakan polis tanpa perlu mereka membela diri di mahkamah seperti di bawah undang-undang sivil.

Saya telah dedahkan selama ini kaitan di antara Ahmad Nazim Abdul Rahman dan skandal pembelian Dudley House oleh MARA seperti berikut:

1. “Tuntutan Saman” terhadap Wanissa Properties Pty Ltd (pemaju Dudley House) di mukasurat 9 dan 10 dengan terang menamakan Ahmad Nazim Abdul Rahman sebagai pegawai MARA/individu yang menghantar invois-invois berbentuk bayaran komisen sebanyak AUD$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta) kepada Wanissa Properties Pty Ltd (pemaju dan penjual Dudley House kepada MARA); dan

Download (PDF, 360KB)

2. “Carta Pemilikan Saham” (disertakan bersama) yang difailkan di Mahkamah Australia secara jelas menunjukkan perkaitan Ahmad Nazim Abdul Rahman dengan syarikat-syarikat dan individu-individu yang terbabit dan dinamakan di Mahkamah Australia.

Download (PDF, 38KB)

Dokumen-dokumen ini adalah hasil siasatan firma guaman yang mewakili pentadbir kepada subkontraktor yang muflis kerana Wanissa Properties Pty Ltd dan telah difailkan di Mahkamah Australia.

Saya nyatakan sekali lagi perkaitan Ahmad Nazim Abdul Rahman dengan syarikat-syarikat dan individu-individu yang terbabit di dalam skandal ini seperti berikut:

i. Pemaju kepada Dudley House ialah sebuah syarikat yang bernama Wanissa Properties Pty Ltd. Syarikat ini menjual Dudley House kepada MARA pada harga yang lebih mahal kerana melibatkan bayaran komisen/rasuah sebanyak AUD$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta)

ii. Wanissa Properties Pty Ltd dimiliki oleh 2 orang ahli perniagaan Malaysia iaitu Dato’ Azizi Yom Ahmad dan Dato’ Abdul Ghani Yusof

iii. Kedua-dua ahli perniagaan ini juga mempunya pegangan di dalam sebuah lagi syarikat iaitu Midwest Equity Sdn Bhd. Selain mereka, saham Midwest Equity Sdn Bhd turut dipegang oleh sebuah syarikat bernama Optimal Capital Group of Companies

iv. Optimal Capital Group of Companies dimiliki dan dikawal oleh Mazrul Haizad Maarof. Beliau adalah abang ipar kepada Dazma Daud, EXCO Pemuda UMNO

v. Optimal Capital Group of Companies dan syarikat-syarikat lain yang dikawal oleh Mazrul Haizad Maarof iaitu Leuven Capital Sdn Bhd dan TRR Heritage Sdn Bhd telah menghantar invois sebanyak AUD$4.75 juta kepada Wanissa Properties Pty Ltd sebagai bayaran komisen atas khidmat mereka merundingkan penjualan Dudley House kepada MARA

vi. Invois-invois itu diemail oleh Ahmad Nazim Abdul Rahman kepada Wanissa Properties Pty Ltd seperti yang disebut di dalam “Tuntutan Saman”

Download (PDF, 301KB)

vii. Ahmad Nazim Abdul Rahman adalah salah seorang ahli lembaga pengarah Midwest Equity Sdn Bhd bagi tempoh 28 Jun 2013 hingga 11 November 2013

viii. Beliau juga adalah bekas ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat lain yang dimiliki/dikawal oleh Mazrul Haizad Maarof dan/atau Dazma Daud iaitu Union Properties Sdn Bhd dan Union Services & Management Sdn Bhd

Fakta-fakta ini adalah terlalu jelas untuk dinafikan. Beliau mempunyai penglibatan di dalam syarikat-syarikat yang dimiliki dan dikawal oleh individu-individu yang dinamakan di dalam dokumen-dokumen Mahkamah Australia.

Oleh itu, saya mencabar supaya Ahmad Nazim Abdul Rahman membuat akuan bersumpah bahawa beliau tidak pernah menjadi ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat yang dinamakan iaitu Midwest Equity Sdn Bhd, Union Properties Sdn Bhd dan Union Services & Management Sdn Bhd. Jika beliau tidak berani membuat akuan bersumpah, maka jelaslah beliau terlibat di dalam skandal ini dan beliaulah yang patut disiasat, bukannya saya atau NOW.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN