Category Archives: LTAT

Dialog “Hargai Perajurit” Di Seluruh Negara

IMG_8948

Sejak dari Mac 2016, saya telah membawakan isu kebajikan pesara tentera yang bermula dengan masalah kelewatan pembayaran caruman mereka di dalam LTAT selepas meninggalkan persaraan. Saya juga telah membongkarkan bagaimana 1MDB telah terlambat membayar kepada anak syarikat LTAT yang diberikan kontrak memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara di seluruh Malaysia. 1MDB juga telah menggunakan wang yang diperuntukkan kerajaan untuk dibayar kepada anak syarikat LTAT untuk membayar faedah pinjamannya.

Saya telah ditahan, dibicarakan dan berdepan dengan hukuman penjara mandatori akibat membawa isu ini. Saya juga telah disaman oleh LTAT dan kes ini sedang berjalan di mahkamah.

Malangnya, saya tidak melihat apa-apa perubahan kepada nasib pesara tentera. Masih ramai pesara yang baru meninggalkan perkhidmatan yang terpaksa menunggu berbulan (kalau bukan bertahun) untuk mendapatkan wang caruman mereka. Alasan yang diberikan oleh LTAT atau UGAT samalah seperti cuba mencuci tangan tanpa menyelesaikan masalah ini. Dividen LTAT bagi tahun 2015 adalah yang paling rendah sejak dalam sejarah.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak pernah memberi maklumbalas mengenai perkara-perkara ini setiap kali saya menimbulkannya.

Pada masa yang sama, saya terus menerima aduan kelewatan pembayaran dari pesara-pesara melalui borang bitly.com/pesaratentera . Terbaru, saya akan mengemukakan 95 lagi senarai pesara-pesara yang belum menerima bayaran caruman mereka kepada LTAT dan UGAT untuk diselesaikan segera kerana mereka telah menunggu lama untuk mendapatkan hak mereka.

Pesara tentera adalah antara kumpulan pengundi Melayu yang paling berpengaruh di dalam masyarakat walaupun mereka jarang menyedarinya. Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) mengaggarkan terdapat sekitar 450,000 veteran tentera dan setiap tahun secara purata seramai 5,000 askar akan tamat perkhidmatan. Jika setiap veteran mempunyai keluarga (isteri dan anak-anak) seramai 4 orang, maka terdapat sekitar 1.8 juta pengundi yang rata-ratanya Melayu dari kalangan veteran tentera.

Oleh kerana saya juga sedar saya mungkin mempunyai masa beberapa bulan sahaja lagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara, saya telah umumkan bahawa hal ehwal kebajikan pesara tentera adalah antara agenda utama saya.

Selain dari membicarakan mengenai kebajikan veteran, saya juga akan mengupas dan mendedahkan perkara-perkara berikut:

1. Keadaan pengkalan tentera dan kemudahan tentera yang diabaikan atau dikomersilkan seperti mana projek Bandar Malaysia oleh 1MDB
2. Prospek pelaburan jangka pendek dan sederhana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
3. Keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan dan kebajikan kepada rakyat keseluruhannya

Saya akan melawat setiap kem tentera yang besar di seluruh Malaysia dan akan memenuhi jemputan kumpulan-kumpulan pesara tentera yang menjemput saya berdialog dengan mereka melalui satu program yang diberi nama Hargai Perajurit: Misi Angkat Kebajikan Perajurit.

Dialog pertama akan diadakan di Setiawangsa iaitu berdekatan kem tentera utama di Lembah Klang pada hari Rabu, 7 September 2016 jam 9 malam di Jalan 24/56, Keramat Wangsa, Kuala Lumpur dan akan disertai oleh YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid, YBhg Brig Jeneral (B) Dato’ Abdul Hadi Khattab dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad selain saya sendiri.

Saya akan umumkan tarikh bagi dialog di Lumut, Butterworth, Kuantan, Telok Kemang dan kem-kem lain dari semasa ke semasa. Saya juga mencabar bekas-bekas jeneral dan pegawai berpangkat tinggi dalam tentera untuk turut sama hadir bagi membuktikan kepedulian mereka kepada nasib anak buah mereka yang diabaikan selama ini.

Saya yakin undi protes paling besar terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak akan bermula dari kumpulan keluarga veteran tentera yang berjumlah 1.8 juta orang ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Terus Perjuang Nasib Rakyat Walau Penjara Menanti

Keputusan mahkamah hari ini yang bersetuju pihak pendakwa telah membuktikan prima facie (ada asas kukuh pertuduhan terhadap saya) sudah pun saya duga.

Saya mengikuti dengan dekat persediaan pembelaan yang dikemukakan oleh pasukan peguam saya yang diketuai oleh YB Gobind Singh Deo, Saudara Saiful Izham Ramli, Saudara Ahmad Nizam Abdul Hamid dan kumpulan peguam muda yang lain. Saya yakin hujah kami adalah kukuh dan akan memastikan kes pembelaan kelak akan menunjukkan kelemahan-kelemahan pendakwaraya yang sepatutnya mendorong mahkamah membebaskan saya.

Pun begitu, saya pasrah dengan kemungkinan bahawa saya hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum proses mahkamah selesai dan saya dijatuhkan hukuman penjara. Kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) membawa hukuman wajib penjara sekurang-kurangnya satu tahun.

Saya tidak menyesal dan tidak akan berubah pendirian atau pendekatan. Dalam perkara yang jelas betul atau salahnya, tanggungjawab seorang insan adalah berkata benar. Soal kesan akibat berkata benar itu wajarlah diserahkan kepada Allah SWT semata-mata kerana kalau kita yakin kita berkata benar demi mencari keredhaan Allah SWT, kita juga yakin Allah SWT akan melindungi kita dan keluarga kita.

Kalaulah semua pimpinan masyarakat dan agamawan dalam masyarakat mengambil pendirian begini, lebih mudahlah kita melawan kezaliman dalam masyarakat tidak kira betapa kuatnya kuasa pemerintah.

Oleh itu, saya akan terus membawa isu-isu rakyat terbanyak lebih-lebih lagi dalam konteks kemelut politik pemimpin negara sekarang.

Saya telah membuat satu kajiselidik ringkas yang disertai oleh 718 responden sejak 2 minggu lalu. Kajiselidik ini disebarkan secara meluas melalui media sosial dan whatsapp. Soalan penuh kajiselidik boleh disemak di https://poll.fbapp.io/exatdu

Kajian ini bertujuan membantu saya memilih isu yang penting untuk rakyat dalam keadaan keseluruhan fokus ahli politik dan kebanyakan NGO sejak setahun lalu adalah 1MDB semata-mata serta usaha-usaha menukar Perdana Menteri.

Sedang saya bersetuju sepenuhnya dengan sebarang usaha menukar Perdana Menteri serta merta kerana saya bimbang ada usaha menutup skandal 1MDB dengan menggunakan dana-dana awam seperti Tabung Haji, KWAP, KWSP, PNB, Perkeso dan lain-lain, saya juga khuatir keghairahan bercakap mengenai 1MDB dan memecat Perdana Menteri semata-mata tanpa membela nasib rakyat terbanyak akan menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan dilihat terpisah dari rakyat.

Dapatan dari kajiselidik tersebut disertakan bersama-sama kenyataan ini.

image

image

image

image

Ringkasan penting dari dapatan tersebut adalah seperti berikut:

1) 97% dari 718 responden berpendapat ada bukti kukuh Dato’ Seri Najib Tun Razak terlibat di dalam skandal 1MDB

2) Hanya 67% berpendapat pendedahan baru mengenai 1MDB akan mempengaruhi keputusan mereka mengenai 1MDB

3) 92% berpendapat isu-isu kebajikan rakyat lebih penting diketengahkan berbanding Rang Undang-undang 355

4) Responden menyenaraikan “memperjuangkan isu rakyat untuk membela rakyat” sebagai tugas terpenting yang mereka mahu wakil rakyat laksanakan; lebih tinggi dari mendedahkan skandal 1MDB dan menukar Perdana Menteri semata-mata

Dapatan-dapatan ini memberi panduan kepada saya bahawa tumpuan pimpinan Pakatan Harapan dan wakil rakyat sewajarnya untuk kembali membela nasib rakyat dengan memperjuangkan penyelesaian kepada masalah-masalah harian mereka.

Kupasan skandal 1MDB tidak boleh berlegar kepada berapa banyak wang yang telah diselewengkan dan kemewahan keluarga Perdana Menteri semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kepada kesannya kepada kehidupan seharian rakyat dalam bentuk kos pendidikan tinggi yang makin tinggi, kos sara hidup, kelewatan bayaran caruman LTAT kepada pesara tentera, penggunaan dana awam dalam projek yang tidak sesuai dan lain-lain.

Oleh sebab inilah saya jarang mengulas mengenai skandal 1MDB dan polemik politik menukar Perdana Menteri semata-mata kerana ia wajar diimbangi dengan pembelaan rakyat yang ada kesan nyata pada kehidupan harian mereka.

Saya akan gunakan saki baki beberapa bulan yang saya ada (mengambil kira kemungkinan saya akan dijatuhkan hukuman penjara) untuk membawa isu-isu rakyat agar dapat menjadi tumpuan umum. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:

1) Risiko keruntuhan model pembiayaan pendidikan tinggi melalui PTPTN yang akan bawa kesan besar kepada rakyat. Saya akan bentangkan kertas kajian saya di Kongres Mahasiswa Kebangsaan Ke-2 pada 17 September 2016 ini.

2) Membela pesara tentera dan perajurit untuk memastikan kebajikan mereka terjaga dan mendapat bayaran caruman yang tepat pada masa. Saya akan umumkan siri dialog dengan pesara tentera esok.

3) Membela golongan muda dengan menumpukan kepada persoalan peluang pekerjaan yang lebih adil, soal penggajian dan undang-undang muflis yang tidak adil. Saya akan lancarkan satu NGO khusus untuk memperjuangkan isu-isu ini dalam bulan Oktober.

4) Menjaga wang rakyat dalam tabung-tabung rakyat seperti Tabung Haji, Felda, KWAP, PNB dan KWSP. Saya akan menyambung kembali pendedahan saya mengenai kelemahan pengurusan di Tabung Haji selepas Hari Raya Aildiladha minggu depan.

Saya mengecam semua pimpinan perkhidmatan awam di peringkat atasan yang bersekongkol memangsakan rakyat kerana pentingkan kedudukan dan pangkat.

Saya mengecam semua pimpinan di syarikat-syarikat dan tabung milik rakyat yang menjadi pengatur bagi membolehkan penguasa memakan harta rakyat.

Saya mengecam semua pimpinan politik yang secara langsung atau tidak langsung membenarkan rakyat terus dimangsakan dan dipijak walaupun negara sudah bebas dari pentadbiran penjajah 59 tahun lalu.

Saya mengecam semua pimpinan masyarakat yang memberi pelbagai alasan untuk tidak lantang bersuara membidas pihak-pihak yang mempunyai kuasa sehingga golongan muda berdepan dengan risiko mewarisi hutang negara yang diluar kemampuan mereka menanggungnya.

Anda bergembira dan bermewah dengan habuan gaji dan kedudukan yang anda ada sedangkan sumbernya itu datang dari rakyat. Anda akan diadili suatu hari nanti dan saya doakan anda berpeluang memperbetulkan kesilapan lalu.

12 bulan akan datang adalah pecutan terakhir yang perlu meletakkan rakyat di hadapan. In Sya Allah masa beberapa bulan yang berbaki ini saya akan memberi sepenuh komitmen kepada kebajikan rakyat.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Setiausaha Agong/Naib Presiden KEADILAN

1 September 2016

Isu Kelewatan Pembayaran Pampasan Pencen Tentera Berterusan, Menteri Perlu Campur Tangan

Sejak saya mula menyuarakan mengenai kelewatan pembayaran pampasan pencen kepada pesara tentera oleh LTAT seawall Mac 2016, LTAT begitu pantas mengambil tindakan setiap kali saya mengeluarkan kenyataan. Lazimnya LTAT membalas kenyataan saya dalam tempoh 24 jam dan diteruskan dengan tindakan undang-undang. LTAT juga begitu gah mencabar saya menghantar senarai pesara tentera yang belum mendapat bayaran pampasan walaupun itu sebenarnya tugas mereka.

Walaupun sebenarnya saya kurang selesa dengan sikap bongkak yang dipamerkan oleh kepimpinan dan pengurusan LTAT (apatah lagi mereka ini adalah bekas-bekas jeneral yang sepatutnya prihatin dengan kebajikan dan kesusahan pesara tentera), saya tetap membawa isu ini tanpa mengira karenah LTAT yang mengambil tindakan saman dan lain-lain.

Saya berkeras menyuarakan perkara ini kerana sehingga kini tidak ada tanda-tanda bahawa masalah kelewatan pembayaran pampasan pencen oleh LTAT kepada pesara tentera telah diselesaikan. Saya terus menerima aduan terutamanya melalui laman media sosial oleh pesara-pesara tentera bahawa mereka masih belum menerima pampasan walaupun ada yang telah bersara/berhenti lebih 6 bulan. Saya juga telah menyemak sendiri beberapa laman berkaitan Jabatanarah Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) yang sering dijadikan alasan sebagai punca kelewatan pembayaran pampasan pencen kepada pesara.

Saya sertakan beberapa petikan aduan kepada saya dan komen-komen di laman Facebook UGAT (https://www.facebook.com/pages/Jabatan-Urusan-Gaji-Angkatan-Tentera-UGAT/278003592283252) seperti berikut:


Saya juga pada mulanya ingin menulis surat kepada Pengarah UGAT untuk memohon satu temujanji agar saya mendapat penerangan dari UGAT mengenai punca berlaku kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara.

Malangnya, saya tidak dapat mencari sebarang maklumat mengenai UGAT yang membolehkan orang awam atau pesara menghubungi mereka di laman-laman utama Angkatan Tentera seperti Direktori Kementerian Pertahanan (http://www.mod.gov.my/ms/hubungi-kami/direktori.html) atau Direktori Markas Angkatan Tentera (http://www.mafhq.mil.my/index.php/my/mengenai-kami/direktori?view=employee&id=65)

Setiap kali saya menimbulkan isu kelewatan pembayaran pampasan kepada pesara, LTAT berkeras bahawa tidak berlaku kelewatan kerana LTAT telah membayar mengikut masa piawai setelah LTAT menerima dokumen dari UGAT. Apabila pesara menghubungi UGAT untuk mendapat jawapan, mereka menghadapi kesukaran untuk berhubung kerana telefon tidak diangkat. Jika pun mereka hadir sendiri ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pegawai UGAT, kosnya terlalu mahal dan menambahkan beban mereka sedangkan pampasan pencen itu adalah wang mereka yang mereka carum selama ini.

Akhirnya pesara tentera tidak ubah diperlakukan seperti bola apabila disepak dari LTAT ke UGAT balik ke LTAT dan berpusing ke UGAT. Bayaran pampasan pencen mereka masih terlewat dan kalau dibayar pun ia berlaku berbulan-bulan selepas mereka tamat perkhidmatan.

Ini satu penganiayaan kepada pesara tentera dan sepatutnya sebarang masalah komunikasi dan pentadbiran di antara UGAT dan LTAT diselesaikan dengan secepat mungkin agar pesara tentera mendapat pampasan pencen dalam tempoh yang segera selepas mereka tamat perkhidmatan. Lebih teruk lagi, sepanjang penganiayaan ini berlaku saya tidak dengar Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein campur tangan untuk menyelesaikan masalah ini. Beliau cepat ambil kesempatan menggunakan isu LTAT untuk mengkritik saya tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah pentadbiran dalaman LTAT dan Angkatan Tentera sehingga kelewatan bayaran pampasan berterusan.

Oleh yang demikian, saya membuat permohonan terbuka untuk berjumpa dengan Pengarah UGAT agar saya dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi UGAT sehingga menyebabkan kelewatan ini (seperti yang dipersembahkan oleh LTAT). Saya boleh dihubungi di email [email protected] sekiranya UGAT sudi duduk berbincang dengan saya; memandangkan saya tidak ada maklumat bagaimana berhubung dengan UGAT.

Saya juga mendesak supaya Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein memberi kenyataan segera dan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini dengan berjanji bahawa segala proses dan prosedur akan diperkemaskan secepat mungkin dan semua pesara yang belum menerima pampasan dibayar dalam tempoh seminggu.

Jika ini tidak berlaku saya akan mula menjelajah ke kem-kem tentera di seluruh negara untuk “menghasut” angkatan tentera dan pesara tentera mengenai kegagalan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Umno (Baru) menjaga kebajikan mereka.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

LTAT Perlu Jawab Mengenai Dividen Dan Bonus, Jumpa Di Mahkamah

ltatdividen110816

Pada 24 Julai 2016, saya telah mengemaskini status di Facebook yang menyentuh mengenai pengumuman dividen oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) seperti berikut:

ltatbonusfb

Kenyataan saya di Facebook itu bertujuan untuk memastikan pencarum LTAT dari kalangan askar yang masih berkhidmat mendapat gambaran yang jelas mengenai prestasi sebenar LTAT.

Pada 1 Ogos 2016, LTAT melalui peguamnya Azzat & Izzat telah menghantar satu surat tuntutan ke Pusat Khidmat Parlimen Pandan seperti yang saya lampirkan bersama kenyataan ini.

IMG_8512

IMG_8513

Antara lain, LTAT tidak berpuas hati dengan kenyataan saya bahawa “bonus 6% dalam bentuk unit amanah adalah kepada anggota tertentu sahaja dan bukan semua anggota yang akan mendapat bonus unit amanah ini”. Surat tuntutan itu menuntut supaya saya memohon maaf dan tidak lagi membuat apa-apa kenyataan mengenai LTAT atas alasan ada satu kes saman LTAT terhadap saya yang kini sedang berjalan di mahkamah.

Saya mahu menjawab isu yang jelas terlebih dahulu iaitu peranan dan hak saya sebagai Ahli Parlimen untuk mengawal selia, menyemak dan menjadi timbang tara kepada mana-mana penjawat awam atau organisasi yang berkepentingan awam baik milik kerajaan atau swasta.

Arahan dari LTAT melalui peguam mereka kepada saya yang menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen agar saya menutup mulut dan tidak membuat sebarang kenyataan mengenai LTAT adalah sombong dan keterlaluan. Malah saya menganggap ia sebagai satu penghinaan kepada institusi parlimen di negara ini apabila satu badan awam yang diketuai oleh seorang bekas penjawat awam boleh berkelakuan sebegitu bongkak sedangkan mereka makan gaji dari simpanan anggota tentera bawahan yang memberi amanah kepada mereka untuk menjaga kebajikan anggota tentera. Sikap badan pengurusan LTAT yang sebegini adalah sangat dikesali dan langsung tidak melambangkan ketelusan dalam mereka menguruskan dana pesara tentera.

Jika LTAT melalui peguam mereka cuba menggertak saya untuk menutup mulut atas alasan ada kes saman LTAT yang sedang dibicarakan di mahkamah, saya merujuk kepada penghakiman Yang Arif S. Nantha Balan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Haron terhadap saya berhubung skandal pembelian hartanah MARA di Australia bahawa “secara umumnya, peraturan berhubung tindakan menghina mahkamah tidak boleh digunakan untuk mengekang perbincangan awam mengenai sesuatu perkara yang berkepentingan awam walaupun perkara tersebut sedang melalui proses perbicaraan di mahkamah”.

Oleh yang demikian, saya berharap LTAT tidak lagi mengambil sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan menggertak Ahli Parlimen daripada menimbulkan sebarang isu mengenainya kerana itu satu penghinaan terhadap institusi parlimen.

Mengenai kenyataan saya yang mahu disaman oleh LTAT, surat tuntutan LTAT secara tidak langsung mengesahkan dan mengakui bahawa dividen 6% yang diumumkan bagi tahun 2015 adalah yang paling rendah sejak LTAT ditubuhkan.

LTAT hanya mahu berselindung di sebalik kerahsiaan maklumatnya berkenaan pemberian bonus 6% kerana sebagai orang awam, saya tidak mempunyai maklumat yang terperinci mengenai pemberian bonus ini. Sepatutnya LTAT mengambil langkah proaktif menerangkan polisi pemberian bonus kepada orang ramai jika ia benar-benar telus dan bukannya bersembunyi di sebalik kerahsiaan maklumatnya untuk menutup mulut wakil rakyat seperti saya.

Saya sebut bahawa LTAT perlu menerangkan mengenai pemberian bonus kerana saya membuat kesimpulan bahawa bukan semua anggota tentera yang mencarum di LTAT yang diberikan bonus unit amanah berdasarkan maklumat-maklumat dari Laporan Tahunan 2014 LTAT sendiri.

Sila semak maklumat-maklumat berikut:

1 – mukasurat 27 Laporan Tahunan 2014 LTAT di bawah tajuk “DIVIDEN DAN BONUS”

IMG_8514

Ayat yang berbunyi “Dividen dan bonus sebanyak 15% ini meliputi dividen 7%, bonus 1% dan bonus khas 7% di dalam bentuk unit amanah saham untuk ahli yang aktif” secara umumnya difahami bahawa hanya ahli-ahli tertentu yang aktif sahaja yang berhak mendapat bonus khas dalam bentuk unit amanah saham ini. Jika semua pencarum LTAT akan mendapat bonus khas ini, maka tiada keperluan untuk menerangkan bahawa hanya ahli yang aktif yang layak mendapat.

2 – mukasurat 28 Laporan Tahunan 2014 LTAT di bawah tajuk “PENGAGIHAN KEUNTUNGAN”

IMG_8515

Secara matematik, perincian agihan keuntungan oleh LTAT menunjukkan bahawa “Faedah Unit Amanah pada kadar 7.0%” seperti yang ditunjukkan di atas hanya diagihkan kepada pencarum tertentu sahaja. Pembuktian matematik adalah seperti berikut:

i. Dividen 7% kepada semua pencarum yang menelan belanja RM566.3 juta bermakna jumlah tabungan kesemua pencarum ialah [ RM566.3 / 7% ] sebanyak RM8.09 bilion

ii. Oleh itu, jika bonus khas dalam bentuk unit amanah pada kadar 7% ini diberikan kepada semua pencarum, sepatutnya keuntungan yang diagihkan boleh dikira iaitu [RM8.09 bilion @ 7% ] sebanyak RM566.3 juta.

iii. Walau bagaimana pun, Laporan Tahunan 2014 LTAT menunjukkan bahawa hanya RM195.7 juta yang diagihkan dalam bentuk unit amanah kepada pencarum pada kadar 7%.

iv. Ini bermakna jumlah tabungan yang digunakan untuk mengira jumlah yang perlu diagihkan adalah lebih kecil dari RM8.09 bilion.

v. Malah, jika dikira agihan keuntungan RM195.7 juta pada kadar 7% bermakna jumlah tabungan yang digunakan untuk mengira agihan ialah [RM195.7 / 7%] iaitu RM2.796 bilion.

vi. Kesimpulan dari kiraan matematik yang mudah ini ialah hanya sebahagian dari pencarum yang jika dikumpulkan kesemua simpanan mereka berjumlah RM2.796 bilion; yang layak menerima bonus khas dalam bentuk unit amanah.

Jika ini adalah polisi agihan keuntungan dalam bentuk unit amanah bagi tahun 2014, saya tidak nampak bagaimana ia boleh bertukar bagi tahun 2015. Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menimbulkan perkara ini agar ia tidak mengelirukan pencarum, pesara tentera dan kaum keluarga mereka. Lebih-lebih lagi saya tergolong di dalam kumpulan itu kerana bapa mertua saya adalah seorang pesara tentera.

Saya telah melalui 7 kes saman di mahkamah setakat ini dan mempunyai pengetahuan yang memadai mengenai undang-undang saman malu (defamation laws). Saya yakin bahawa kenyataan saya mengenai dividen dan bonus khas yang kini ingin disaman oleh LTAT adalah tidak berniat jahat, berkepentingan awam dan tidak menyeleweng dari segi fakta yang diperolehi dari sumber awam.

Oleh yang demikian, saya akan menunggu satu lagi saman dari LTAT dan akan berjumpa dengan pengurusan LTAT di mahkamah. Seperti juga kes saman sedia ada dari LTAT, saya berhasrat untuk memanggil seberapa ramai pengurusan teratas dari Tan Sri Anwar (Pengerusi) ke Tan Sri Lodin (CEO) dan yang lain-lain untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Sementara menunggu saman dari LTAT itu, saya akan terus membela pesara-pesara tentera dan pencarum tentera yang masih berkhidmat. Saya juga menyeru supaya bekas-bekas jeneral dan pimpinan angkatan tentera menyertai saya, Brig-Jen (B) Abdul Hadi Abdul Khatab dan YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid untuk membela kebajikan tentera baik yang masih berkhidmat dan telah bersara.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

LTAT Secara Tidak Langsung Sahkan Berlaku Kelewatan

Saya sedia maklum kenyataan media Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bertarikh 4 April 2016 mengenai senarai 110 pesara tentera yang saya kemukakan kepada LTAT minggu lepas.

Kenyataan beliau memperincikan perkara berikut:

1. 69 dari pesara yang saya kemukakan dibayar di antara 16 Mac 2016 dan 4 April 2016
2. Dokumen bagi 23 pesara tentera baru diperolehi dari Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) dan pembayaran sedang diproses
3. Dokumen bagi 16 pesara belum diterima dari UGAT

Kenyataan beliau mengesahkan bahawa semasa saya mula-mula membawa isu ini iaitu 21 Mac 2016, sebahagian besar (jika tidak kesemuanya) dari pesara tentera ini belum menerima bayaran gratuiti caruman LTAT. Saya kesal kerana beliau terus berkeras mahu menafikan bahawa ada masalah kelewatan pembayaran kepada pesara sehingga berbulan lamanya tidak kiralah di mana masalah itu (sama ada di peringkat UGAT atau LTAT).

Saya juga berminat untuk mengetahui bagi 69 pesara yang baru menerima bayaran caruman LTAT, bilakah sebenarnya bayaran itu dibuat? Jika LTAT tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, saya cabar LTAT menyenaraikan secara terperinci tarikh sebenar pembayaran dibuat bagi setiap dari 69 pesara itu kerana saya khuatir sekiranya sebahagian besar dari mereka (jika tidak kesemuanya) hanya dibayar pada 4 April 2016 iaitu beberapa hari selepas saya mengemukakan senarai kepada LTAT.

Saya terus menerima aduan kelewatan pembayaran dari pesara tentera. Hari ini saya akan menghantar senarai kedua terdiri dari 81 pesara tentera yang belum mendapat bayaran dan ganjaran pencen sepenuhnya termasuk caruman LTAT. Dari jumlah 81 pesara tentera ini, 75 orang masih belum menerima caruman LTAT sejak mereka tamat perkhidmatan.

Saya desak supaya pengurusan LTAT dan Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT) mengambil tanggungjawab untuk menyemak semula proses dan prosedur kelulusan pembayaran supaya pesara-pesara tentera tidak berdepan dengan masalah birokrasi atas alasan dokumen tidak dikemukakan oleh UGAT sehingga mereka tidak menerima bayaran caruman sehingga berbulan-bulan lamanya. Individu seperti Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan pesara tentera dan adalah menjadi tanggunjawab beliau untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran.

Mengenai tindakan undang-undang yang diambil oleh LTAT, saya mencabar Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor sebagai Pengerusi LTAT dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT menyaman saya atas kapasiti peribadi dan menggunakan wang mereka sendiri untuk membayar kos guaman. Saya kesal jika mereka menggunakan wang caruman pesara tentera untuk menyaman saya sedangkan setakat ini mereka gagal menafikan fakta-fakta yang saya kemukakan.

Saya akan berdepan dengan mereka berdua ini dan akan memanggil saksi-saksi dari kalangan pesara tentera yang lewat dibayar caruman untuk memberi keterangan. Saya juga akan mengambil peluang ini untuk menanyakan soalan-soalan berhubung penglibatan LTAT dengan 1MDB terutamanya yang melibatkan peranan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. Saya yakin ia akan menjadi satu perbicaraan yang mendapat perhatian dunia.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN