Panel Pakar Dari Kalangan Rakyat Untuk Menggubal Dasar

Malaysia berada di persimpangan yang sangat kritikal. Bukan sahaja ruang kewangan negara semakin sempit (akibat salah urus dan sektor ekonomi yang semakin mencabar), masalah-masalah yang membebankan rakyat tidak lagi boleh diselesaikan dengan kerangka dan pendekatan pemikiran yang sama.

Misalnya masalah kenaikan harga barang yang telah berlaku sejak lebih sedekad lalu. Kekalahan UMNO/BN dalam PRU12 (2008) sebenarnya banyak berpunca dari kenaikan mendadak harga barang sehingga BN disamakan dengan jolokan “Barang Naik”.

Namun, selama lebih sedekad, pendekatan UMNO/BN (yang menjadi kerajaan sepanjang 2008 hingga 2022 kecuali 2018 ke 2020) tetap sama: apabila kemarahan rakyat memuncak, ada campur tangan di sana secara tidak terancang (“ad hoc”) yang tidak menyelesaikan masalah punca (“root cause”) kepada krisis kenaikan harga barang.

Begitu juga dengan masalah perumahan yang dihadapi rakyat. Pendekatan UMNO/BN selama ini hanyalah dengan menggunakan dana rakyat untuk disuntik kepada syarikat-syarikat perumahan milik kerajaan yang fungsi dan model perniagaannya sama dengan syarikat pemaju swasta. Akhirnya, berlaku lambakan rumah yang tidak mampu dimiliki rakyat kerana tidak tepat dengan kedudukan dan kehendak ekonomi rakyat.

Masalah-masalah utama rakyat yang saya gagaskan dalam lima kelompok isu memerlukan pendekatan yang lebih radikal dan futuristik. Negara memerlukan idea-idea untuk dijadikan dasar yang lebih praktikal, berteknologi dan membawa rakyat ke arah masyarakat moden yang tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah.

Lima kelompok isu itu telah saya huraikan sebelum ini, iaitu:

  1. Merubah landskap ekonomi negara untuk beralih dari kegiatan pertanian komoditi semata-mata ke arah industri pemakanan bersepadu berteraskan teknologi yang menekankan penyertaan kumpulan ekonomi yang pelbagai (individu, usahawan kecil, syarikat kecil sehinggalah kepada syarikat konglomerat). Ini untuk memastikan keterjaminan sumber makanan negara dan menyelesaikan masalah rantaian bekalan untuk mengawal kenaikan harga barang.
  2. Merubah portfolio penjanaan dan penggunaan tenaga negara ke arah tenaga boleh diperbaharui (“renewable energy”). Selain mengelakkan pergantungan kepada sumber alam yang harganya turun naik, ia juga membantu menurunkan beban elektrik isi rumah. Paling penting, ia akan dapat melonjakkan guna pakai tenaga profesional berkemahiran dalam sektor ini untuk mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi.
  3. Merubah pendekatan penyediaan perumahan di negara ini dari segi model pemilikan (dari pembiayaan berfaedah rumah yang belum siap dibina ke arah pembelian rumah sudah siap dibina dan pemilikan berkonsep sewa-untuk-dimiliki) dan kos pembinaan, dengan melonjakkan aplikasi teknologi pada skala industri.
  4. Merubah pendekatan pedagogi dan capaian pendidikan ke arah aplikasi digital secara besar-besaran untuk memastikan pendidikan bermutu disediakan kepada seberapa ramai rakyat tanpa kekangan kos, sementara pelaburan sebenar ditumpukan kepada pembangunan perisian pendidikan (“software and content”) bukannya pembinaan infrastruktur semata-mata.
  5. Merubah portfolio sumber tenaga kerja dan modal insan negara untuk beralih kepada tenaga kerja berasaskan teknikal, teknologi, keusahawanan dan vokasional (TTKV) dengan meningkatkan aplikasi teknologi dan mesin dalam bidang-bidang yang banyak menggunakan tenaga manual seperti pembinaan dan perladangan. Secara langsung, ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji berpatutan dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Perkara-perkara melibatkan dasar dan program kerajaan seperti ini tidaklah menarik seperti polemik politik yang dimainkan oleh segelintir ahli politik. Namun, adalah menjadi tanggungjawab pimpinan politik untuk mengajak seluruh masyarakat menumpukan perhatian dan idea kepada perkara-perkara ini kerana masalah yang berpunca dari isu-isu ini akan terus membebankan rakyat.

Oleh itu, saya mengajak semua rakyat Malaysia yang mempunyai idea dan kepakaran dalam bidang-bidang ini untuk tampil menyumbangkan idea untuk membina kerangka dasar yang kami boleh bawa kepada rakyat untuk dipertimbangkan.

Usaha ini akan melibatkan proses berikut:

  1. Saringan sukarelawan yang menawarkan untuk menyertai kumpulan dasar bagi setiap isu
  2. Agihan sukarelawan mengikut kumpulan masing-masing
  3. Proses membangunkan dasar dan program khusus, termasuk menganggarkan kos pelaksanaan serta pindaan kepada akta dan peraturan sedia ada untuk melancarkan pelaksanaan
  4. Sesi “pitching” iaitu menjelaskan kerangka idea dan pelan pelaksanaan kepada orang ramai di bandar-bandar utama seluruh negara

Saya menjemput semua yang berminat untuk mendaftar di capaian https://ayuhmalaysia.org/expert-contribution dan menyertai kumpulan sukarelawan rakyat yang membangunkan dasar-dasar ini.

Satu bengkel utama yang mengumpulkan semua tenaga pakar yang tampil akan dianjurkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang. Setakat pendaftaran dibuka 12 jam lalu, lebih 100 dari tenaga profesional pelbagai bidang telah mendaftar. Saya yakin gerakan Ayuh Malaysia akan dapat mengumpulkan lebih 500 tenaga profesional dalam masa terdekat bagi tujuan ini.

Selain dari kempen politik biasa, kita juga wajar keluar dari kepompong polemik politik yang dimainkan UMNO/BN dalam usaha kita meyakinkan rakyat. Bagi rakyat biasa yang cintakan kemajuan dan kemakmuran negara yang adil, kita juga bertanggungjawab menyumbang idea dan kehendak kita ke arah Malaysia yang kita ingini.

RAFIZI RAMLI

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.