KEMPEN PRU15:

PROGRAM BERMULA 1 JULAI 2022

Saya akan mula berkempen secara tersusun setiap minggu bermula 1 Julai 2022 sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15). Jangkaan saya ialah Dewan Rakyat akan dibubarkan seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baru.

Tumpuan utama saya ialah untuk meyakinkan pengundi-pengundi dari tiga kumpulan iaitu:

  • Pengundi tegar KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan
  • Pengundi atas pagar yang akan mengundi di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan
  • Pengundi kali pertama (dari kalangan pengundi muda bawah 25 tahun dan mereka yang tidak pernah mengundi selama ini) di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan

Saya berpendapat bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan boleh menjadi blok terbesar di Dewan Rakyat selepas PRU15 sekiranya:

  • Jumlah pengundi tegar pelbagai bangsa yang sebelum ini mengundi KEADILAN dan Pakatan Harapan dapat ditingkatkan untuk mencecah 70% jumlah keluar mengundi (dari purata 60% sedia ada sejak beberapa pilihanraya negeri, iaitu peningkatan 10%)
  • KEADILAN dan Pakatan Harapan berjaya memikat kembali 5% dari pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU14 dalam tahun 2018 dahulu untuk kembali mengundi KEADILAN dan Pakatan Harapan
  • KEADILAN dan Pakatan Harapan berjaya mendapat 30% dari jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum

Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti-parti sedia ada adalah tinggi.

Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan-sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada hari Sabtu, 2 Julai 2022 dari jam 2 petang ke 5 petang di Kuala Lumpur. Kami meletakkan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk berkempen bagi KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi marginal.

Latihan peringkat nasional akan memberi tugasan dan latihan kepada sukarelawan-sukarelawan dalam bidang khusus seperti Ejen Tempat Mengundi (PACA), kempen rumah ke rumah, kempen menelefon pengundi dan kempen media sosial.

Saya menjemput seberapa ramai rakyat Malaysia yang pernah menjadi sukarelawan, atau yang ingin menyumbang untuk hadir sebagai sukarelawan dan melalui latihan pusat pada 2 Julai ini. Mereka yang berminat boleh mula mendaftar minggu ini dan butiran pendaftaran akan diberikan di laman www.ayuhmalaysia.org

Ayuh Malaysia juga akan mengadakan satu majlis kutipan dana pada hari yang sama, Sabtu 2 Julai 2022 bermula jam 8 malam bertempat di SJKC Chung Kwo, Kuala Lumpur. Tiket-tiket boleh mula dibeli minggu ini secara atas talian di laman www.ayuhmalaysia.org

Majlis kutipan dana itu adalah untuk melancarkan Tabung Trak bagi membiayai perbelanjaan menyediakan sebuah trak kempen untuk dibawa ke seluruh negara, seperti mana saya pernah berkempen di atas trak selama dua tahun sebelum PRU14 yang lalu.

Majlis kutipan dana itu akan diteruskan di Johor Bahru pada hari Khamis, 7 Julai 2022 (8 malam) dan Pulau Pinang pada hari Sabtu, 23 Julai 2022 (8 malam). Program serupa ke bandar-bandar lain akan diumumkan kemudian.

Selain dari dua majlis ini, bermula minggu ini, siaran kempen Ayuh Malaysia akan bermula setiap 2-3 hari di laman media sosial bermula hari Jumaat, 24 Jun 2022 ini. Kandungan utama siaran kempen Ayuh Malaysia akan tertumpu kepada kupasan idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi rakyat Malaysia sekarang termasuk lima teras kempen Ayuh Malaysia yang telah diumumkan sebelum ini.

Saya akan mengumumkan jadual kempen mengikut bandar dan kerusi-kerusi Parlimen minggu ini. Kempen ini meliputi dua pendekatan:

  • Kempen dengan trak secara ceramah kepada orang ramai untuk menarik minat rakyat kepada penyelesaian masalah secara membina dan kesan undi mereka kepada pentadbiran negara
  • Diskusi dengan kumpulan tertentu mengenai isu-isu khusus yang diadakan di dalam dewan untuk mengupas pandangan pakar dan orang ramai dalam mencari penyelesaian kepada masalah-masalah negara

Kempen akar umbi sebegini akan disiarkan secara langsung melalui laman media sosial untuk diikuti seluruh rakyat Malaysia.

Saya sedang mengkaji beberapa masalah teknikal penganjuran kempen di peringkat akar umbi untuk mematuhi segala SOP yang masih perlu dititikberat sepanjang kempen ini.

Saya menyeru semua sukarelawan dan pendukung KEADILAN/Pakatan Harapan yang bersama-sama kempen saya dahulu untuk turut serta dalam kempen yang bermula 1 Julai 2022 ini. Walaupun keadaan telah banyak berubah, saya percaya kesungguhan kita mendekati rakyat akan dapat memenuhi sasaran kempen untuk meningkatkan kadar keluar mengundi serta menarik minat pengundi atas pagar dan pengundi kali pertama.

Nantikan pengumuman-pengumuman kempen minggu ini untuk membina gelombang baru Ayuh Malaysia.

RAFIZI RAMLI

2 thoughts on “KEMPEN PRU15:

  1. saudara rafiziramli, bagaimana pula kami yang tinggal di luar malaysia dapat membantu saudara rafizi berkempen?

  2. Alhamdulillah tkasih Team Ayuh Malaysia singgah dikuala Pilah mlm tadi.Apa juga pencerahan dan penerangan oleh pihak Ayuh Malaysia memang terbaik cuma satu perkara yg menjadi isu besar ketika ini ialah mengembalikan keyakinan masyarakat kpd ahli politik .
    Maksudnya rata2 masyarakat apa juga peringkat umur , taraf hidup dsbnya mempersoalkan kebolehpercayaan kpd pemain politik utk tidak lagi mengulangi langkah sheraton yg sangat mendukacitakan semua lapisan masyarakat.
    Mungkin setiap tempat berbeza isu domestiknya , soal calon juga selalu dijadikan subjet perbualan.Sebagai contoh adakah calon ni pernah bersama masyarakat yg ingin diwakilinya selama ini???.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.