Cukai Ayam dan Itik: Saya Tidak Pusing-U, Ahli Parlimen Kuala Nerus Terkeliru

12 - 2018 - 28 - 2

Saya sedia maklum satu ciapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, yang mengutuk saya kononnya semasa kempen PRU14, saya menghentam cadangan PAS untuk memperkenalkan cukai ke atas keuntungan saham.

Semasa ada perbincangan mengenai cukai baru yang mungkin diperkenalkan semasa Belanjawan 2019 yang lepas, saya ditanya mengenai jenis-jenis cukai yang boleh dipertimbangkan.

Dari dahulu lagi saya menyebut mengenai keadaan sekarang yang mana keuntungan atas urusniaga saham tidak dicukai, jadi saya beri pandangan saya bahawa jika hendak diperkenalkan saham baru, cukai atas keuntungan urusniaga saham (“capital gains tax” dalam bahasa Inggeris) wajar dipertimbangkan.

Ini mengundang sindiran Ahli Parlimen, yang mengaku PAS (dan beliau) turut sama mencadangkan satu cukai ke atas keuntungan urusniaga saham sebagai sebahagian dari manifesto PAS dalam PRU14.

Saya simpan tulisan beliau (Ahli Parlimen Kuala Nerus) sendiri mengenai cadangan cukai pegangan saham yang dibawa oleh PAS ini.

Rujuk tulisan beliau ini di laman web Berita PAS sendiri, di capaian:
https://berita.pas.org.my/manifesto-pas-hapus-gst-ganti-dengan-cukai-orang-kaya-ikut-model-zakat/

Keseluruhan teks tulisan beliau itu saya sertakan untuk penelitian warga maya sekalian:

MANIFESTO PAS : Hapus GST Ganti dengan Cukai Orang Kaya Ikut Model Zakat
Rabu, 11 April 2018 | 24 Rejab 1439H

Oleh :
Ustaz Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
AJK Kerja PAS Pusat

1. GST yang dikenakan berdasarkan perbelanjaan adalah cukai zalim yang mesti dihapuskan. Ia menambah pendapatan negara dengan cara yang salah, mengcekik 6% pemilikan dari poket rakyat termasuk golongan miskin dan menyebabkan kenaikan harga barang.

2. Alternatif yang dikemukakan oleh PAS ialah cukai terhadap pemilikan orang kaya sebagaimana model zakat Islam terhadap pegangan saham di Bursa Malaysia dan simpanan korporat dengan dikenakan cukai 2.5% apabila cukup tempoh setahun pemilikan dan melepasi nisab nilai harta RM17,500. Cukai ini adalah hak milik rakyat miskin pada pemilikan golongan kaya.

3. Nilai pegangan saham di Bursa Malaysia ialah RM1.9 trilion untuk Disember 2017. Pada kadar cukai serendah 2.5% ini sahaja pun, Kerajaan boleh mendapat hasil sebanyak RM47.5 bilion; melepasi jumlah kutipan GST pada tahun 2017 yang hanya berjumlah RM44 bilion sahaja.

4. Simpanan rakyat Malaysia di bank pula untuk 2017 ialah RM1.7 trilion berbanding 2015 sebanyak RM1.66 trilion. Dengan anggaran RM500 bilion dimiliki oleh korporat, jika dikenakan cukai 2.5% mengikut model zakat Islam terhadap wang simpanan apabila cukup tempoh setahun dan melepasi nisab RM17,500, maka Kerajaan boleh mendapat hasil sebanyak RM12.5 bilion. Menjadikan jumlah keseluruhan pendapatan negara dari kedua-dua sistem cukai alternatif ini ialah RM60 bilion bagi 2017.

5. Sebenarnya, inilah nilai pendapatan yang hilang akibat Kerajaan gagal mengenakan cukai kepada pemilikan harta orang kaya menurut model zakat dan sistem ekonomi Islam yang menjadi hak milik rakyat marhaen.

6. PAS mengemukakan manifesto yang sangat praktikal menurut kaedah ekonomi Islam. Apabila sistem ekonomi Islam diterima pakai, rakyat dan negara mendapat manfaat dan keadilan.

Sekian.

12 - 2018 - 28 - 312 - 2018 - 28 - 4

 

Rujuk perenggan dua dalam penulisan beliau di atas, yang secara jelas menyebut:

1. Cukai ini adalah ke atas pemilikan saham, bukan ke atas keuntungan jual beli saham. Maksudnya, kalau ada saja saham, maka kena bayar cukai 2.5% apabila mencukupi syarat iaitu dipegang selama lebih setahun dan nilai saham melebihi RM17,500

2. Tidak ada mana-mana perenggan pun dari tulisan beliau sendiri yang menyebut mengenai urusan jual beli saham dan keuntungan atas jual beli saham itu

Maknanya – saya bercakap pasal ayam, beliau bercakap pasal itik tetapi beliau terkeliru yang itik beliau itu adalah ayam yang saya gambarkan.

Saya merujuk kepada Capital Gains Tax ke atas saham, iaitu cukai sekiranya saham-saham yang dijual mendatangkan untung. Ada banyak syarat-syarat yang dikenakan termasuk mengambil kira bila saham itu dibeli, nilai kosnya dan lain-lain. Tujuan Capital Gains Tax selalunya untuk mengurangkan spekulasi dan mencukai keuntungan atas angin.

Konsep yang sama digunakan untuk mencukai keuntungan atas jual beli rumah untuk mengelakkan segelintir pihak membeli rumah untuk melonjakkan harga rumah, kemudian dijual dengan cepat untuk mendapat keuntungan atas angin tanpa niat memiliki rumah tersebut.

Itu – ayam.

Itik-nya begini:

Ahli Parlimen Kuala Nerus mencadangkan supaya asalkan ada saham yang dimiliki melebihi setahun, maka terus dikenakan cukai sebanyak 2.5%.

Semasa mereka mencadangkan cukai ini, saya rasa mereka kurang teliti mengenai siapa yang memiliki saham-saham di Bursa Malaysia.

Sekitar 70% saham-saham (yang hendak dicukai itu) di Bursa adalah terdiri dari beberapa institusi simpanan rakyat, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), PERKESO dan Tabung Haji.

Mereka memegang amanah melaburkan duit rakyat terbanyak.

Sekiranya PAS melaksanakan cukai (itik) seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, bermakna setiap tahun puluhan bilion dicukai dari simpanan rakyat (yang memegang saham itu secara tidak langsung melalui KWSP, PNB, KWAP dan lain-lain).

Maka, setiap tahun tabungan jemaah haji di Tabung Haji juga makin kurang, simpanan pencen pekerja di KWSP juga makin kurang dan lama-lama, samalah seperti mengambil duit simpanan rakyat untuk diberikan kepada kerajaan.

Ini sangat berbeza dengan cukai (ayam) ke atas keuntungan urusniaga saham yang saya cadangkan, kerana cukainya sangat berlainan. Cukai CGT ini boleh disasarkan kepada urusniaga tertentu sahaja yang tidak melibatkan wang pelaburan rakyat melalui institusi-institusi ini dan khusus kepada aktiviti pengambilan keuntungan atas angin.

Saya tidak buat pusingan-U.

Saya nampak Ahli Parlimen Kuala Nerus yang terkeliru: sama ada dia tidak faham apa itu CGT sehingga dia terkeliru ia sama seperti cukai (itik) yang dicadangkan PAS dahulu; atau dia pura-pura lupa yang PAS dulu mencadangkan untuk mencukai simpanan rakyat di dalam tabung-tabung seperti KWSP, PNB, KWAP dan lain-lain.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.