Tabung Haji Perlu Lupus Pelaburan Dalam TH Heavy Engineering

071416 Lupus Pelaburan TH_1

Kenyataan saya dua hari lalu bahawa Tabung Haji kini terdedah kepada kerugian sebanyak RM554 juta berikutan masalah terkini yang melanda syarikat bersekutunya iaitu TH Heavy Engineering Berhad (THHE) masih belum dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak atau mana-mana pengurusan Tabung Haji. Dari jumlah RM554 juta itu, sebanyak RM229 juta adalah kerugian atas kertas yang telah berlaku apabila harga saham THHE merudum ke paras 6.5 sen sesaham Rabu lalu.

Saya telah tegaskan sebelum ini bahawa keputusan Tabung Haji untuk melabur di dalam THHE adalah keputusan yang mengejutkan ramai pihak kerana THHE (sebelum itu dikenali sebagai Ramunia Holdings Berhad) adalah sebuah syarikat yang bermasalah kewangan dari awal-awal lagi.

Kesilapan itu kemudiannya diteruskan setelah Tabung Haji menjadi pemegang saham terbesar THHE terutamanya keputusan-keputusan penting bersabit dengan kontrak menyediakan kemudahan FPSO untuk lapangan gas Layang (kontrak dengan JX Nippon-Carigali) seperti berikut:

1. Dakwaan bahawa keputusan THHE membeli sebuah FPSO sedia ada yang kemudiannya hendak diubahsuai menjadi FPSO mengikut spesifikasi kontrak JX Nippon-Carigali adalah merugikan. Malah ia menimbulkan keraguan sama ada harga yang dibayar untuk membeli FPSO sedia ada itu adalah harga yang adil dan tidak melibatkan sebarang penyelewengan;

2. Dakwaan bahawa keputusan awal THHE untuk melakukan sebahagian kerja-kerja ubahsuai yang diperlukan di Dubai adalah merugikan sedangkan ia mempunyai kemudahan dermaga di Pulau Indah yang tidak digunakan sepenuhnya. Akibat dari keputusan awal itu, THHE terpaksa membayar kos-kos berkaitan di Dubai dan kelewatan projek memburukkan lagi keadaan. Saya tidak pasti sama ada pengurusan baru THHE telah memutuskan untuk melakukan semua kerja-kerja ubahsuai di Pulau Indah;

3. Dakwaan bahawa satu audit oleh JX Nippon-Carigali mengenai kerja-kerja ubahsuai setakat ini mendapati bahawa FPSO milik THHE itu tidak menepati spesifikasi dan menyebabkan kelewatan yang lebih panjang.

Untuk memahami sepenuhnya perkara-perkara teknikal seperti ini, saya rujuk kepada ringkasan kerja-kerja ubahsuai oleh Blackstone Process Solutions dicapaian http://www.bps-int.com/project-fpso.php Blackstone Process Solutions adalah perunding teknologi yang dilantik THHE bagi kerja-kerja ubahsuai ini.

Saya rujuk ringkasan yang dibuat oleh Blackstone Process Solutions bahawa “The FPSO Layang Project can be considered to be more of a relocation of an FPSO requiring substantial modifications rather than a straight conversion from a tanker. In some respects this is easier (and less costly) but is challenging as it requires an in-depth knowledge of the existing systems and structures both design wise and the level of maintenance.

Ada pandangan bahawa keputusan menggunakan FPSO sedia ada yang dibeli dari satu pihak lain adalah tidak tepat kerana ia memerlukan ubahsuai yang rumit berbanding kaedah biasa menukar kapal pengangkut minyak menjadi FPSO dengan menepati spesifikasi yang disediakan.

Ini adalah soalan-soalan utama yang perlu dijawab dalam menilai punca-punca kenapa pelaburan Tabung Haji di dalam THHE merudum sehingga mendedahkan kepada risiko kerugian RM554 juta.

Saya juga merujuk kepada laporan Business Times bertarikh 7 April 2016 bertajuk “TH Heavy Engineering given another year to deliver Layang FPSO” yang dikepilkan bersama.

Download (PDF, 196KB)

Perkara penting yang ingin saya timbulkan ialah laporan bahawa PETRONAS sebenarnya telah pun cuba menyelesaikan masalah kelewatan THHE menyiapkan FPSO ini dengan mengarahkan anak syarikatnya MISC membantu THHE secara teknikal dan kewangan.

Walau bagaimana pun, usaha PETRONAS itu gagal apabila THHE tidak mahu menerima harga tawaran dari MISC untuk membeli FPSO dan menyiapkan FPSO itu bagi tujuan projek lapangan gas Layang.

Kegagalan demi kegagalan yang ditunjukkan oleh THHE sepatutnya diambil kira oleh Tabung Haji agar ia membuat keputusan tepat setakat mana Tabung Haji mahu diheret oleh THHE? Apakah Tabung Haji berpuas hati sekiranya risiko kerugian RM554 juta ini menjadi semakin besar sehingga ia tiada pilihan kecuali menyuntik lebih banyak dana ke dalam THHE atas alasan menyelamatkan THHE dengan harapan ia akan berjaya mendapat kembali wang pelaburan di masa hadapan?

Tabung Haji bukanlah satu entiti perniagaan yang boleh sesuka hati memperjudikan dananya demi mengejar keuntungan di masa hadapan. Ia dalah satu tabung amanah yang wajib cukup cermat dalam memilih pelaburan agar deposit jemaah haji sentiasa terjaga.

Keputusan membeli Ramunia Holdings Berhad dahulu adalah satu kesilapan seperti mana kesilapan beberapa pelaburan lain. Kesilapan itu perlu dihentikan sekarang dengan melupuskan pegangan Tabung Haji di dalam THHE mengambil langkah-langkah berikut:

1. Tabung Haji membuka kembali rundingan dengan PETRONAS untuk merundingkan harga yang adil untuk menjual FPSO pada keadaan sedia ada kepada MISC pada harga yang adil kepada Tabung Haji dan PETRONAS;

2. PETRONAS mempunyai kekukuhan kewangan dan kepakaran teknikal untuk menyelamatkan projek tersebut;

3. PETRONAS mempunyai kepentingan kerana kelewatan FPSO ini akan melewatkan pengeluaran gas dari lapangan gas Layang yang memungkinkan kekurangan gas untuk PETRONAS memenuhi kontrak jualan LNG dengan pembelinya.

Ini adalah keputusan-keputusan tuntas yang sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri jika Perdana Menteri itu seorang yang ada pengetahuan dan bertanggungjawab menyedari bahawa kerugian RM554 juta dana pendeposit Tabung Haji adalah satu dosa yang tidak boleh dimaafkan.

Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tabung Haji boleh terus berdiam diri mengenai perkara ini tetapi mereka tahu bahawa saya akan terus bersuara dan mendedahkan perkara-perkara lain di dalam Tabung Haji. Lebih cepat mereka bertindak menyelesaikan masalah, lebih cepat mereka menutup mulut saya.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.