Cubaan Menutup Skandal 1MDB Akan Membenamkan Umno Dalam PRU14

 Kebelakangan ini ada satu rancangan tersusun di pihak Umno untuk cuba menutup skandal 1MDB dengan taktik berikut: 

1. Mengalih perhatian rakyat kepada kononnya bukti-bukti yang ditunjukkan terutamanya melalui media seperti Sarawak Report dan The Edge mengenai skandal 1MDB setakat ini adalah palsu dengan menyabitkannya dengan Xavier Justo, bekas eksekutif 1MDB

2. Memfitnah pimpinan pembangkang termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Saudara Tony Pua dan saya kononnya kami menjadi dalang yang mereka-reka skandal ini untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak

Kedua-dua taktik ini dimainkan saban hari di media utama untuk meyakinkan anggota Umno sebenarnya skandal 1MDB ini tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata. 

Saya sedikit pun tidak rasa tergugat. Kalau pun ada lagi rakyat Malaysia yang percaya dengan dongeng bahawa skandal 1MDB ini rekaan pembangkang, ini hanyalah saki baki anggota Umno yang tidak akan bangun tersedar hatta sekiranya negara ini jatuh muflis sekali pun. 

Sehingga sekarang, Dato’ Seri Najib dan konco-konconya masih belum dapat menjelaskan beberapa isu besar:

1. Ke mana dana RM42 bilion yang diambil oleh 1MDB sehinggakan 1MDB tidak mampu membayar faedah ke atas hutang-hutangnya?

2. Kenapa wang 1MDB sebanyak USD1.83 bilion dipindahkan ke individu-individu tertentu berkaitan dengan PetroSaudi dan Jho Low seperti yang didedahkan oleh akhbar The Edge pada hari ini?

  
3. Kenapa dan bagaimana dana sebanyak yang dipercayai berasal dari 1MDB sebanyak RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak?

Soalan-soalan mudah sebegini jika tidak dijawab akan menguatkan kepercayaan rakyat bahawa ada tangan yang menggunakan 1MDB untuk kesenangan peribadi. 

Sebab itu taktik-taktik menghalang capaian ke laman web Sarawak Report, mengkambing hitamkan saya dan Tony Pua serta taktik-taktik lapuk sebenarnya akan membantu membenamkan Umno/Barisan Nasional dalam PRU14. 

Saya sebenarnya berasa gembira dengan reaksi dan tingkah laku pimpinan Umno/Barisan Nasional yang masih cuba menutup skandal 1MDB dengan memfitnah saya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tony Pua, Sarawak Repor, The Edge dan lain-lain. Reaksi sebeginilah yang menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno/Barisan Nasional yang akan membolehkan pembangkang menang dalam PRU14 kelak.

Jadi saya galakkan Dato’ Seri Najib untuk terus menggunakan taktik ini kerana saban hari ia melunturkan keyakinan rakyat terhadap Umno/Barisan Nasional.

  

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG

AHLI PARLIMEN PANDAN

Konspirasi Jahat Menutup Skandal 1MDB Melalui Laporan Polis Dan Fitnah

Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Komunikasi Strategik BN yang mendedahkan mengenai satu laporan polis yang dibuat oleh individu bernama Ramesh Rao Krishnan Naidu yang mengaitkan saya, YB Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), YB See Chee How (ADUN Batu Lintang), YB Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Bandar Kuching) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan satu fitnah.

Laporan polis yang kini disebarkan oleh laman-laman yang menyokong Dato’ Seri Najib Tun Razak menuduh kononnya seorang yang bernama Lester Melanyi yang mendakwa pernah bekerja untuk Sarawak Report membuat pengakuan bahawa kami (nama-nama yang disebut di atas) adalah dalang yang memberi arahan kepada Sarawak Report untuk memfitnah Dato’ Seri Najib Tun Razak bersabit 1MDB.

Sejak semalam juga, satu video pengakuan oleh individu yang bernama Lester Melanyi ini telah disebarkan di internet.

Saya dengan tegas ingin menyatakan perkara-perkara berikut:

1. Saya tidak pernah kenal Lester Melanyi atau berhubung dengan beliau. Kali pertama saya tahu kewujudan beliau adalah apabila Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan mengenai laporan polis seperti di atas

2. Saya tidak pernah memberi arahan kepada Sarawak Report apatah lagi memberi bahan untuk disiarkan oleh Sarawak Report

3. Saya tidak pernah berhubung atau berbincang dengan Clare Rewscastle Brown, pengendali Sarawak Report mengenai 1MDB. Sepanjang kerjaya saya, saya hanya pernah bekerjasama dengan Sarawak Report dalam satu kes iaitu skandal pembalakan di Sabah yang melibatkan sogokan RM40 juta yang didakwa melibatkan seorang bernama Michael Chia dan pimpinan kanan Umno Sabah

Kesemua perkara yang saya bawa mengenai 1MDB adalah berdasarkan laporan akhbar dalam dan luar negara dan semua soalan-soalan saya di Parlimen. Kebiasaannya apabila Menteri Kewangan tidak lagi ada ruang untuk berdolak dalih, maka Menteri Kewangan terpaksa memberi fakta mengenai 1MDB yang kemudiannya saya semak dan padankan dengan laporan-laporan lain. Setelah bertanyakan ratusan soalan sejak beberapa tahun lalu, jawapan-jawapan dari Menteri Kewangan sendiri yang memerangkap Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB ini.

Oleh yang demikian, laporan polis oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu ini adalah satu konspirasi jahat untuk cuba menutup isu 1MDB dengan memberi gambaran kononnya ia direka oleh pimpinan pembangkang sedangkan sebahagian besar pendedahan saya dan YB Tony Pua adalah berpunca dari jawapan Menteri Kewangan sendiri di Parlimen.

Saya yakin konspirasi ini tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB ini terlalu besar dan faktanya terlalu jelas untuk ditutup. Apakah selepas ini Datuk Rahman Dahlan akan membuat satu lagi pendedahan kononnya saya juga mempunyai kuasa mengarahkan Asian Wall Street Journal (AWSJ) untuk menulis mengenai 1MDB?

Saya menyeru rakyat meneliti kredibiliti nama-nama yang terbabit di dalam perkara ini:

1. Datuk Abdul Rahman Dahlan dikenali sebagai penyokong kuat Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sebagai seorang ahli politik junior yang kalah di bahagian sendiri (beliau tewas bertanding Ketua Bahagian Umno Kota Belud), beliau telah mendapat manfaat besar dari Dato’ Seri Najib Tun Razak sehingga dilantik menjadi Menteri Persekutuan. Sudah tentu beliau mempunyai kepentingan (vested interest) untuk mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan apa cara sekalipun kerana jika ada Perdana Menteri baru, besar kemungkinan beliau digugurkan dari kabinet dan kerjaya politik beliau akan tamat.

2. Ramesh Rao Krishnan Naidu yang membuat laporan ini adalah seorang pesuruh bawahan yang selalu digunakan untuk menghentam pimpinan pembangkang selain membuat laporan-laporan polis tidak berasas. Malah, beliau dilihat pernah melobi untuk dilantik menjadi senator bagi menggantikan P. Waythamorthy yang meletakkan jawatan seperti yang ditulis di laman-laman maya http://tenteramaya.blogspot.com/2014/02/ramesh-rao-krishnan-naidu-paling-layak.html

rameshrao

 

3. Lester Melanyi adalah seorang bekas wartawan yang pernah menimbulkan kontroversi dan mengundang kemarahan umat Islam dalam tahun 2006 dahulu apabila sebagai editor, akhbarnya Sarawak Tribune menyiarkan kartun Rasulullah sebagai pengganas, seperti dilaporkan http://www.thesundaily.my/node/175163

SARAWAK TRIBUNE EDITO LESTER MELANYI AND HIS WIFE WINNIE JOSEPH LEAVING STATE POLICE CID OFFICE AFTER GIVING HIS STATEMENT TO POLICE IN KUCHING YESTERDAY.
SARAWAK TRIBUNE EDITO LESTER MELANYI AND HIS WIFE WINNIE JOSEPH LEAVING STATE POLICE CID OFFICE AFTER GIVING HIS STATEMENT TO POLICE IN KUCHING YESTERDAY.

 

Hakikatnya ketiga-tiga orang ini yang membuat dakwaan ini adalah individu-individu yang berkepentingan. Ramesh Rao dan Lester Melanyi pula mempunyai latar belakang yang meragukan dan bukanlah sumber maklumat yang boleh dipercayai.

Oleh itu, saya sekali lagi menafikan dakwaan yang dibuat dan telah mengarahkan peguam-peguam saya meneliti dengan tujuan mengambil tindakan saman terhadap Ramesh Rao dan individu-individu lain dalam masa yang terdekat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Muafakat Baru Menumbangkan Umno/Barisan Nasional

Saya menyambut baik pengumuman dan pelancaran Gerakan Harapan Baru yang mengumpulkan ahli-ahli Parlimen, ADUN dan aktivis yang mempunyai rekod teruji menentang Umno/Barisan Nasional. Gerakan yang diketuai oleh YBhg Tuan Haji Mohamad Sabu dan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang telah lama berjuang menentang Umno/Barisan Nasional ini adalah satu perkembangan baik pada kala rakyat mencari-cari jawapan kepada pelbagai kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara sekarang.

Saya kenal rapat dengan tokoh-tokoh ini dan telah bersama-sama mereka memperjuangkan isu rakyat selama ini. Malah, rekod mereka berjuang untuk membawa perubahan di dalam negara adalah berkali ganda lebih lama dari saya dan pimpinan muda yang lain.

Oleh itu, saya mengalu-alukan iltizam mereka untuk terus berjuang menentang Umno/Barisan Nasional. Saya akan memberi sepenuh sokongan dan kerjasama kepada mereka untuk menjana gelombang rakyat menumpaskan Umno/Barisan Nasional menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Saya akan menyertai jelajah yang dianjurkan oleh Gerakan Harapan Baru selepas Aidilfitri.

Saya yakin pelancaran Gerakan Harapan Baru ini akan merintis kepada satu muafakat baru yang menyatukan semua pihak yang mahukan perubahan untuk menumpaskan Umno/Barisan Nasional menjelang PRU14.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

MARA Tidak Wajar Batalkan Biasiswa Ke United Kingdom dan Ireland

 Saya telah mendapat aduan dari ibu bapa pemegang-pemegang biasiswa MARA bagi kursus perubatan yang sepatutnya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland tetapi telah ditukar pada saat akhir. 

Pelajar-pelajar tajaan MARA yang berjumlah 31 orang sebelum ini telah menjalani kursus International Baccalaureate (IB) di Kolej MARA Banting di bawah Skim Pelajar Cemerlang. Tawaran asal ialah bagi menjalani kursus ijazah perubatan di universiti-universiti di United Kingdom dan Ireland sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat berikut: 

1. Mendapat keputusan purata 33 dari markah keseluruhan 45 di dalam peperiksaan IB

2. Mendapat tawaran di universiti-universiti yang diluluskan MARA bagi kursus ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland

Saya dimaklumkan bahawa setelah mereka selesai menjalani peperiksaan dan memenuhi dua syarat di atas, baru-baru ini pelajar-pelajar ini telah dimaklumkan bahawa MARA tidak lagi mampu untuk menghantar mereka melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland seperti perjanjian asal penajaan. Alasan yang diberi adalah MARA tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi memandangkan keadaan ekonomi negara dan tukaran wang yang tidak baik. 

Mereka diminta untuk menguruskan sendiri urusan membuat permohonan kemasukan ke universiti-universiti di negara lain. Oleh kerana permohonan ke universiti-universiti di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Canada telah ditutup, maka pelajar-pelajar cemerlang ini hanya ada pilihan di universiti-universiti di India, Indonesia dan Malaysia. 

Sudah tentu pelajar-pelajar cemerlang ini dan keluarga mereka tidak boleh menerima alasan MARA mengenai keadaan kewangan bila mana MARA terlibat di dalam pembelian hartanah bernilai RM375 juta di Australia. Dari jumlah itu, RM129 juta dipercayai melibatkan urusniaga yang meragukan sehingga MARA terpaksa membayar lebih dari harga pasaran.

Oleh kerana pelajar-pelajar cemerlang ini telah memenuhi syarat-syarat penajaan, maka wajarlah pihak MARA dan Kerajaan Persekutuan menunaikan janji seperti syarat-syarat penajaan iaitu untuk menghantar mereka melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di United Kingdom dan Ireland. 

Saya akan menghantar aduan secara rasmi kepada YB Datuk Nurjazlan Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dan ahli-ahli PAC supaya membawa perkara ini apabila MARA dipanggil memberi keterangan mengenai pembelian-pembelian hartanah di Australia. 

Saya juga menyeru supaya YB Dato’ Seri Shafie Afdal dengan segera menyelesaikan perkara ini dengan mengekalkan program penajaan pelajar cemerlang ke United Kingdom dan Ireland sebelum kredibiliti MARA di mata rakyat terus jatuh. 

Saya akan membantu keluarga pelajar-pelajar terbabit dengan membawa isu ini sehinggalah mereka mendapat tempat seperti perjanjian penajaan mereka dengan MARA.

 

 

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG

AHLI PARLIMEN PANDAN

Individu Terbabit Di Dalam Urusniaga MARA Perlu Tampil Memberi Penjelasan

Pembelian empat hartanah oleh MARA Inc di Melbourne, Australia telah menimbulkan kontroversi apabila harga yang dibayar adalah lebih mahal dari harga pasaran yang dilaporkan. Kesemua urusniaga itu juga menunjukkan bagaimana syarikat yang membeli hartanah-hartanah ini dari pasaran hanya memegangnya buat beberapa bulan sebelum MARA Inc membelinya pada harga yang memberi keuntungan lumayan.

Individu yang terbabit di dalam 3 pembelian yang belum lagi didedahkan dan kaedah pembelian adalah seperti berikut:

746 SWANSTON STREET

swanstonst

Pembelian hartanah ini diluluskan oleh Majlis MARA pada 9 Ogos 2012 dan urusniaga disempurnakan pada 28 Ogos 2012. Pembelian ini dibuat oleh sebuah syarikat milik penuh MARA Inc bernama Thrushcross Land Holdings Limited yang didaftarkan di pusat kewangan pesisir luar pantai British Virgin Island (BVI).

Carian syarikat ini menunjukkan maklumat berikut (rujuk kepada carian syarikat yang disertakan bersama):

Download (PDF, 162KB)

• Hanya didaftarkan pada 18 Januari 2013 iaitu selepas MARA membeli hartanah 746 Swanston Street. Ini bermakna urusniaga yang disempurnakan pada 28 Ogos 2012 itu tidak menggunakan syarikat milik MARA

• NOW mengesyaki bahawa semasa hartanah ini dibeli seperti yang dilaporkan kepada pengurusan MARA, semua dokumen ditandatangani oleh individu-individu yang tiada kaitan dengan MARA bagi pihak MARA

• Pengarah-pengarah Thrushcross Land Holdings Limited adalah Datuk Mohamad Lan Allani (Pengerusi MARA Inc), Datuk Abdul Halim Abdul Rahim (CEO MARA Inc), Erwan Azizi (tiada kena mengena dengan MARA) dan Izmir Abdul Hamid (tiada kena mengena dengan MARA)

• Mengikut maklumat dari rakan penyiasat di Australia, pembelian hartanah ini dari pemilik sebelumnya ditandatangani oleh Erwan Azizi dan Izmir Abdul Hamid iaitu individu yang tidak ada kena mengena dengan MARA

• Erwan Azizi dan Izmir Abdul Hamid adalah rakan kongsi yang mempunyai banyak kepentingan perniagaan dengan pimpinan Pemuda Umno

• Erwan Azizi adalah Pengarah Eksekutif Optimus Capital Sdn Bhd (sila rujuk laporan The Edge mengenai pemilikan saham beliau).

http://www.msn.com/en-my/money/financetopstories/off-market-trades-gunung-capital-biosis-group-lbi-capital-and-tomei-consolidated/ar-AA92NTT

Selain beliau, pengarah dan pemegang saham Optimus Capital Sdn Bhd yang lain adalah seorang yang bernama Mazrul Haizad Maarof. Individu ini (Mazrul Haizad Maarof) adalah abang ipar kepada Dazma Shah Daud, EXCO Pemuda Umno

• Erwan Azizi juga adalah pengarah bukan eksekutif Biosis Group Berhad yang dipengerusikan oleh Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia

Seperti yang telah dilaporkan minggu lepas, hartanah ini dijual pada harga AUD$23.5 juta seperti rekod di Australia tetapi jumlah yang diluluskan oleh MARA adalah AUD$41.8 juta (bersamaan RM138.6 juta). Ada ketirisan sebanyak RM63 juta yang perlu dijawab oleh individu-individu yang saya namakan pada hari ini iaitu Erwan Azizi, Izmir Abdul Hamid dan Mazrul Haizad Maarof yang merupakan individu yang rapat dengan pemegang jawatan Pemuda Umno iaitu Dazma Shah Daud dan Khairul Azwan Haron.

333 EXHIBITION STREET

exhibitionst

ini dibeli oleh seorang ahli perniagaan iaitu Dato’ Ding Pei Chai, Pengarah Eksekutif sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur iaitu DKLS Industries Berhad. Beliau menubuhkan dan memiliki syarikat Carlton Garden Pte Ltd yang berdaftar di Singapura; yang kemudiannya memiliki saham di dalam Peters Equity Pty Ltd yang ditubuhkan di Australia bagi tujuan membeli hartanah ini.

Download (PDF, 75KB)

Download (PDF, 169KB)

Carlton Garden ditubuhkan pada 23 November 2012 dan Peters Equity ditubuhkan pada 18 Disember 2012. Syarikat-syarikat ini ditubuhkan sekitar pembelian hartanah 333 Exhibition Street yang dilaporkan dalam Oktober 2012 dan disempurnakan dalam Februari 2013 pada harga AUS$22 juta, seperti laporan Quintessential Equity sebelum ini.

MARA Inc kemudiannya membeli Carlton Garden Pte Ltd di Singapura pada harga AUS$31 juta yang secara langsung membolehkan MARA Inc memiliki Peters Equity Pty Ltd yang memiliki hartanah 333 Exhibition Street. Harga yang dibayar oleh MARA Inc untuk memperolehi hartanah ini adalah RM33 juta lebih mahal dari harga yang dibayar oleh Dato’ Ding Pei Chai beberapa bulan sebelum itu.

51 QUEEN STREET

51queenst

Hartanah ini juga dibeli oleh Dato’ Ding Pei Chai dan kaedah jual beli dengan MARA Inc adalah sama seperti yang berlaku dengan hartanah 333 Exhibition Street melalui dua syarikat iaitu Marinn Property Pte Ltd yang ditubuhkan di Singapura yang kemudiannya memiliki sepenuhnya saham di dalam Queville Pty Ltd yang ditubuhkan di Australia.

Download (PDF, 75KB)

Download (PDF, 167KB)

Marinn Property Pte Ltd ditubuhkan pada 14 November 2012 dan Queville Pty Ltd ditubuhkan pada 17 Disember 2012 iaitu sekitar pembelian hartanah 51 Queen Street seperti yang dilaporkan sebelum ini.

MARA Inc kemudiannya membeli saham Marinn Property Pte Ltd dalam bulan Mac 2013 yang membolehkan MARA memiliki Queville Pty Ltd yang memiliki hartanah 51 Queen Street pada harga yang dianggarkan RM18 juta lebih mahal dari harga yang dibayar oleh Dato’ Ding Pei Chai beberapa bulan sebelum itu.

Saya telah duduk sendiri mendengar penjelasan yang diberikan oleh Dato’ Ding Pei Chai yang menyatakan beliau menjual pada harga yang dipersetujui oleh MARA. Beliau juga mengakui bahawa harga yang dibeli oleh MARA itu memberi keuntungan kepada beliau dan beranggapan urusniaga itu baik bagi beliau.

 

Siasatan dan tindakan yang diambil ke atas individu-individu yang terbabit di dalam skandal MARA ini mestilah juga membabitkan mereka yang berada di belakang tabir yang bertindak sebagai pengatur atau broker kepada urusniaga yang merugikan MARA ini.

Saudara Khairy Jamaluddin perlu tampil ke hadapan memberi penjelasan bagaimana individu-individu yang berkaitan dengan pimpinan Pemuda Umno telah terlibat dan berkait dengan skandal ini. Maklumat yang diberikan kepada saya menyatakan bahawa mereka ini terlibat sebagai pengatur kepada urusniaga-urusniaga ini dan berkemungkinan mendapat keuntungan dari urusniaga ini – maka wajarlah Saudara Khairy Jamaluddin memberi penjelasan yang sebaiknya.

RAFIZI RAMLI
AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif NOW
6 Julai 2015