Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Komunikasi Strategik BN yang mendedahkan mengenai satu laporan polis yang dibuat oleh individu bernama Ramesh Rao Krishnan Naidu yang mengaitkan saya, YB Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), YB See Chee How (ADUN Batu Lintang), YB Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Bandar Kuching) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan satu fitnah.
Laporan polis yang kini disebarkan oleh laman-laman yang menyokong Dato’ Seri Najib Tun Razak menuduh kononnya seorang yang bernama Lester Melanyi yang mendakwa pernah bekerja untuk Sarawak Report membuat pengakuan bahawa kami (nama-nama yang disebut di atas) adalah dalang yang memberi arahan kepada Sarawak Report untuk memfitnah Dato’ Seri Najib Tun Razak bersabit 1MDB.
Sejak semalam juga, satu video pengakuan oleh individu yang bernama Lester Melanyi ini telah disebarkan di internet.
Saya dengan tegas ingin menyatakan perkara-perkara berikut:
1. Saya tidak pernah kenal Lester Melanyi atau berhubung dengan beliau. Kali pertama saya tahu kewujudan beliau adalah apabila Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan mengenai laporan polis seperti di atas
2. Saya tidak pernah memberi arahan kepada Sarawak Report apatah lagi memberi bahan untuk disiarkan oleh Sarawak Report
3. Saya tidak pernah berhubung atau berbincang dengan Clare Rewscastle Brown, pengendali Sarawak Report mengenai 1MDB. Sepanjang kerjaya saya, saya hanya pernah bekerjasama dengan Sarawak Report dalam satu kes iaitu skandal pembalakan di Sabah yang melibatkan sogokan RM40 juta yang didakwa melibatkan seorang bernama Michael Chia dan pimpinan kanan Umno Sabah
Kesemua perkara yang saya bawa mengenai 1MDB adalah berdasarkan laporan akhbar dalam dan luar negara dan semua soalan-soalan saya di Parlimen. Kebiasaannya apabila Menteri Kewangan tidak lagi ada ruang untuk berdolak dalih, maka Menteri Kewangan terpaksa memberi fakta mengenai 1MDB yang kemudiannya saya semak dan padankan dengan laporan-laporan lain. Setelah bertanyakan ratusan soalan sejak beberapa tahun lalu, jawapan-jawapan dari Menteri Kewangan sendiri yang memerangkap Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB ini.
Oleh yang demikian, laporan polis oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu ini adalah satu konspirasi jahat untuk cuba menutup isu 1MDB dengan memberi gambaran kononnya ia direka oleh pimpinan pembangkang sedangkan sebahagian besar pendedahan saya dan YB Tony Pua adalah berpunca dari jawapan Menteri Kewangan sendiri di Parlimen.
Saya yakin konspirasi ini tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB ini terlalu besar dan faktanya terlalu jelas untuk ditutup. Apakah selepas ini Datuk Rahman Dahlan akan membuat satu lagi pendedahan kononnya saya juga mempunyai kuasa mengarahkan Asian Wall Street Journal (AWSJ) untuk menulis mengenai 1MDB?
Saya menyeru rakyat meneliti kredibiliti nama-nama yang terbabit di dalam perkara ini:
1. Datuk Abdul Rahman Dahlan dikenali sebagai penyokong kuat Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sebagai seorang ahli politik junior yang kalah di bahagian sendiri (beliau tewas bertanding Ketua Bahagian Umno Kota Belud), beliau telah mendapat manfaat besar dari Dato’ Seri Najib Tun Razak sehingga dilantik menjadi Menteri Persekutuan. Sudah tentu beliau mempunyai kepentingan (vested interest) untuk mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan apa cara sekalipun kerana jika ada Perdana Menteri baru, besar kemungkinan beliau digugurkan dari kabinet dan kerjaya politik beliau akan tamat.
2. Ramesh Rao Krishnan Naidu yang membuat laporan ini adalah seorang pesuruh bawahan yang selalu digunakan untuk menghentam pimpinan pembangkang selain membuat laporan-laporan polis tidak berasas. Malah, beliau dilihat pernah melobi untuk dilantik menjadi senator bagi menggantikan P. Waythamorthy yang meletakkan jawatan seperti yang ditulis di laman-laman maya http://tenteramaya.blogspot.com/2014/02/ramesh-rao-krishnan-naidu-paling-layak.html
3. Lester Melanyi adalah seorang bekas wartawan yang pernah menimbulkan kontroversi dan mengundang kemarahan umat Islam dalam tahun 2006 dahulu apabila sebagai editor, akhbarnya Sarawak Tribune menyiarkan kartun Rasulullah sebagai pengganas, seperti dilaporkan http://www.thesundaily.my/node/175163
Hakikatnya ketiga-tiga orang ini yang membuat dakwaan ini adalah individu-individu yang berkepentingan. Ramesh Rao dan Lester Melanyi pula mempunyai latar belakang yang meragukan dan bukanlah sumber maklumat yang boleh dipercayai.
Oleh itu, saya sekali lagi menafikan dakwaan yang dibuat dan telah mengarahkan peguam-peguam saya meneliti dengan tujuan mengambil tindakan saman terhadap Ramesh Rao dan individu-individu lain dalam masa yang terdekat.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN