Harga Barang Dari Pengilang Turun Dalam Tempoh Januari 2014 Hingga Januari 2015, Harga Import Tidak Berubah

3 MAC 2015

Dalam keresahan orang ramai dan pengguna yang tertekan dengan harga barang yang tinggi, sehingga sekarang menteri dan kementerian yang terbabit tidak memberi jawapan yang empirikal apakah punca-punca kenaikan harga barang ini. Penurunan harga minyak bagi tempoh dua bulan iaitu Januari hingga Februari 2015 pun gagal diterjemahkan kepada penurunan harga barang.

Setakat ini, satu-satunya alasan yang diberikan oleh menteri ialah menuduh peniaga Cina memanipulasi harga dengan tidak menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah turun.

Saya menunggu sehingga laporan Indeks Harga Pengeluar (atau “Producer Price Index”) bagi bulan Januari 2015 dikeluarkan dahulu oleh Jabatan Statistik sebelum membuat komen terperinci mengenai perkara ini. Indeks Harga Pengeluar mengukur perubahan harga barang berasaskan harga yang dijual oleh kilang. Ia penting untuk memantau sama ada harga dari kilang benar-benar tidak turun seperti yang didakwa oleh menteri terbabit.

Download (PDF, 165KB)

Saya lampirkan rumusan ringkas laporan Indeks Harga Pengeluar bagi Januari 2015 yang baru dikeluarkan oleh Jabatan Statistik pada 27 Februari 2015 (Jumaat lalu). Laporan bagi Januari 2015 ini adalah penting kerana ini adalah bulan pertama yang mana harga minyak diturunkan.

Fakta-fakta berikut adalah penting:

1. Pada akhir Januari 2015, Indeks Harga Pengeluar menunjukkan bahawa harga dari kilang bagi barang-barang yang dikilang di Malaysia telah menurun sebanyak 0.4% berbanding Disember 2014. Jika dibandingkan dengan harga pada Januari 2014 (setahun lalu), harga barang-barang yang dikilang di Malaysia telah turun sebanyak 7%

ppi1

2. Walau bagaimana pun, harga barang-barang yang diimport hanya turun sebanyak 0.2% berbanding harga setahun yang lalu. Oleh itu, penurunan pada paras 0.4% berbanding harga barang import dalam Disember 2014 tidak mempunyai kesan yang besar

Fakta-fakta ini penting untuk menerangkan bahawa walaupun harga barang yang dikilang di Malaysia telah menurun berbanding setahun yang lalu, harga barang import kekal pada harga yang sama (rujuk graf 1 dalam laporan Jabatan Statistik). Dalam ekonomi yang masih banyak bergantung kepada barang import terutamanya makanan, ini sudah tentu mempengaruhi harga barang yang dibayar oleh pengguna.

ppi2

Oleh sebab itulah, saya berkali-kali menegaskan bahawa kejatuhan nilai ringgit bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah kerana ia mempengaruhi harga import. Laporan Indeks Harga Pengeluar ini mengesahkan bahawa kejatuhan nilai ringgit akan terus menyebabkan harga barang kekal mahal walaupun pengeluar dan pengilang di Malaysia telah menunjukkan penurunan harga.

Laporan ini juga menimbulkan persoalan: jika harga di peringkat kilang bagi barangan tempatan telah turun, kenapa ia tidak diterjemahkan kepada harga yang lebih rendah bagi pengguna? Ini bermakna undang-undang yang ada untuk mengawal harga barang dan memastikan peruncit tidak mengambil kesempatan tidak berkesan atau tidak dilaksanakan secara berkesan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.