Buku Kecil Penerangan #fahamGSTtolakGST

Buku Kecil Penerangan #fahamGSTtolakGST ini memberi penerangan menyeluruh mengenai mekanisme pelaksanaan GST dan kesannya kepada rakyat.

Video penerangan yang mengiringi Buku Kecil Penerangan #fahamGSTtolakGST ini dimuatnaik dalam masa terdekat.

Saya akan terus mengusahakan video, risalah penerangan dan infografik untuk mendidik rakyat mengenai kesan GST kepada rakyat.

Mohon muatturun dan sebarkan kepada seberapa ramai yang mungkin.

Download (PDF, 1.23MB)

Pelaburan PETRONAS Berjumlah RM15.8 Bilion Di Kanada Berisiko Tinggi

PETRONAS memeterai perjanjian pelaburannya yang terbesar mutakhir ini apabila ia memuktamadkan pembelian Progress Energy Resources Corporation yang berjumlah C$5.2 bilion (bersamaan RM15.8 bilion). Urusniaga itu dimuktamadkan akhir tahun 2012 bertujuan membolehkan PETRONAS menguasai rezab gas asli dari batuan (shale gas) di kawasan British Columbia.

Walaupun secara umumnya pelaburan PETRONAS sebelum ini tidak dipertikaikan oleh masyarakat, pelaburan sebesar RM15.8 bilion wajar diberi perhatian yang lebih.

Ini berikutan beberapa perkembangan terkini yang menunjukkan bahawa pelaburan gas asli batuan (shale gas) adalah berisiko tinggi dan syarikat-syarikat lain sudah banyak mengalami kerugian besar.

Pada ketika PETRONAS merundingkan pembelian Progress pada harga yang memecah rekod itu (sekitar tahun 2012), beberapa syarikat besar dunia yang telah lebih awal melabur di dalam gas asli batuan kerugian berbilion ringgit.

Rekod menunjukkan bahawa syarikat-syarikat terbabit mengalami kerugian berbilion ringgit akibat pelaburan di dalam rezab gas asli batuan:

1. Pada 27 Julai 2012, syarikat gas asli terbesar Kanada iaitu Encana Corporation telah kerugian C$1.7 bilion (bersamaan RM5.2 bilion) apabila ia terpaksa melupuskan nilai (write down) pelaburannya di dalam rezab gas asli batuan yang tidak memberikan pulangan seperti yang dirancang. Encana Corporation juga mengumumkan bahawa ia akan lebih banyak menanggung kerugian dari operasi dan rezab gas asli batuan di masa hadapan.

2. Syarikat gas British iaitu BG Group juga melupuskan nilai (write down) pelaburannya dalam operasi gas asli batuan sebanyak US$1.3 bilion (bersamaan RM3.9 bilion) dalam bulan Julai 2012.

3. Sekitar Julai 2012, syarikat minyak dan gas Australia iaitu BHP telah kerugian US$2.5 bilion (bersamaan RM7.5 bilion) apabila pelaburannya yang membeli rezab gas asli batuan dari Chesapeake Energy setahun sebelum itu jatuh merudum sepanjang tahun 2012. Dalam tempoh hanya setahun, nilai pelaburan BHP susut hampir separuh dari nilai pelaburan asal.

Perkembangan-perkembangan ini menimbulkan tanda tanya kerana nampaknya hanya PETRONAS yang beriya-iya menyertai pelaburan gas asli batuan dengan melibatkan pelaburan yang terbesar pernah dibuat di dalam satu urusniaga, pada ketika syarikat-syarikat lain mengalami kerugian besar dalam industri itu.

Kerugian-kerugian yang dihadapi oleh Encana, BG Group dan BHP diketahui umum dan berlaku sekitar bulan-bulan PETRONAS merundingkan pembelian dari Progress Energy itu. Secara logiknya, PETRONAS wajar lebih berhati-hati memasuki industri yang sedang mengalami kerugian besar.

Oleh sebab itu, wajarlah PETRONAS dan Perdana Menteri melaporkan secepat mungkin kepada rakyat kedudukan sebenar pelaburan berjumlah RM15.8 bilion itu. Adakah PETRONAS terpaksa melupuskan nilai (write down) pelaburannya seperti mana syarikat-syarikat lain kerana harga gas asli di Amerika Utara kekal rendah pada harga US$3.37 setiap MMBTU, berbanding harga sebelumya di antara US$7 ke US$12 setiap MMBTU (tahun 2008 ke 2010).

Episod pembelian Progress Energy yang menimbulkan tanda tanya ini membuktikan perlunya badan pengawasan yang lebih kukuh ke atas pelaburan besar PETRONAS dan bukannya diserahkan kepada Perdana Menteri semata-mata. Saya akan terus membentangkan fakta dan analisa yang menimbulkan beberapa keraguan mengenai urusniaga ini setiap hari sepanjang minggu ini agar Perdana Menteri memberi maklumbalas sewajarnya.


RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

16 DISEMBER 2013

Dakwaan Rasuah Melibatkan Peguam Negara: KEADILAN Akan Buat Laporan Ke Pihak Berkuasa Hong Kong

Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan satu akuan bersumpah yang dibuat oleh Dato’ Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur mengenai perbincangannya dengan Tan Sri Shafee Abdullah, seorang peguam yang selalu mewakili tokoh-tokoh Umno. Akuan bersumpah itu berkisar tentang banyak dakwaan penyelewengan melibatkan Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara tetapi dakwaan yang paling besar adalah dakwaan rasuah bersabit kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

infografikbp

Di dalam akuan bersumpahnya, Dato’ Mat Zain Ibrahim telah membuat kenyataan berikut (muka surat 24, perenggan 54(f)):

“…
f. Sehubungan perkara ini Shafee menambah secara serious, mengatakan kepada saya “you will not believe your eyes if you were to see the amount of cash that was transferred into Gani’s account in Hong Kong…”

Kenyataan bersumpah seorang bekas pegawai kanan polis yang pernah menyiasat pimpinan utama negara termasuk Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin ini membawa kesan besar kepada negara. Hal ini berkepentingan awam kerana dakwaan yang dibuat oleh Tan Sri Shafee Abdullah itu bukan sahaja menjejaskan krebiliti dan kebolehpercayaan terhadap sistem undang-undang negara kerana ia dibuat terhadap Peguam Negara, malah ia melibatkan kedaulatan negara apabila wilayah negara jatuh ke negara jiran.

Walaupun akuan bersumpah ini telah dibuat dan diedarkan hampir sebulan lalu oleh Dato’ Mat Zain Ibrahim, sehingga kini masih belum ada tindakan konkrit diumumkan.

Saya memandang serius dakwaan bahawa ada unsur sogokan dalam pengendalian kes Pulau Batu Putih yang melibatkan Tan Sri Gani Patail seperti yang didakwa oleh Tan Sri Shafee Abdullah. Memandangkan dakwaan itu dibuat di dalam akuan bersumpah oleh seorang bekas pegawai kanan polis yang bersedia mempertahankannya di dalam dan luar mahkamah, saya percaya dakwaan bahawa ada unsur sogokan perlu disiasat sepenuhnya.

Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen dan Pengarah Eksekutif badan pemantau rasuah National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW Centre) saya telah membuat keputusan untuk menghubungi pihak berkuasa Hong Kong untuk membawa perkara ini ke perhatian mereka bagi siasatan lanjut. NOW Centre telah menjalin hubungan yang baik dengan pihak berkuasa Hong Kong dan beberapa Ahli Parlimen Hong Kong semasa siasatan terhadap dakwaan salah laku rasuah Tan Sri Musa Aman dibuat di Hong Kong tahun lalu.

Saya akan menghantar laporan dan permohonan rasmi kepada Encik Rimsky Yuen, Setiausaha Keadilan Hong Kong, Encik Keith Yeung, Pengarah Pendakwaan Awam Hong Kong dan YB James To, Ahli Parlimen Hong Kong untuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Hong Kong menyiasat dakwaan wang sogokan dimasukkan ke akaun Tan Sri Gani Patail di Hong Kong.

Setakat pengetahuan saya mengenai pihak berkuasa Hong Kong, mereka berkuasa menyiasat urusniaga pemindahan wang ke akaun di Hong Kong jika ia disyaki melibatkan rasuah atau penggubahan wang haram (money laundering).

Saya percaya jika siasatan dapat dimulakan di Hong Kong, Kerajaan Malaysia tidak ada pilihan lain kecuali memberi maklumbalas mengenai perkara ini dan mengambil langkah-langkah wajar untuk menggantung sementara perkhidmatan Tan Sri Gani Patail sehingga siasatan di Hong Kong selesai.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

16 DISEMBER 2013

Kerajaan Mempunyai Kuasa Dan Pengaruh Untuk Tidak Menaikkan Tol

Saya merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang dilaporkan mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku dalam tahun 2014 kerana ia sebahagian dari perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan.

Alasan yang diberikan oleh beliau itu dangkal terutamanya apabila sebahagian besar dari pemegang konsesi lebuhraya utama di negara ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan. Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk merundingkan semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol.

3 kumpulan terbesar pemegang konsesi lebuhraya adalah seperti berikut:

1. Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Elite, Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Butterworth Kulim dan Jambatan Pulau Pinang

2. Prolintas yang mengendalikan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway, Lebuhraya Kemuning Shah Alam dan bakal membina Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang dan Lebuhraya Damansara – Shah Alam

3. Gamuda (melalui anak syarikat usahasamanya) yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya KESAS dan Lebuhraya SPRINT

PLUS dikuasai sepenuhnya oleh agensi-agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prolintas adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

Hanya Gamuda yang merupakan syarikat swasta tetapi agensi-agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59% pegangan (berdasarkan pemilikan saham akhir tahun 2010) di dalam Gamuda yang menjadikan Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensinya.

Tambahan pula, sebahagian besar dari konsesi tol di negara ini mendapat bantuan kewangan penuh kerajaan semasa pembinaan. Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan-bantuan seperti subsidi kewangan untuk pengambilan tanah, pembiayaan mudah melalui Bank Pembangunan atau pun geran kewangan kepada pemegang-pemegang konsesi untuk membina lebuhraya. Contohnya, Lebuhraya Maju Expressway dibina hampir sepenuhnya menggunakan geran kewangan kerajaan berjumlah RM976.7 juta hingga membolehkan pemegang konsesinya membuat pinjaman kecil sahaja untuk menyiapkan lebuhraya tersebut.

Sebab itu saya menyanggah kenyataan Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang memberi gambaran salah bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian konsesi dimeterai dengan syarikat swasta.

Hakikatnya, sebahagian besar perjanjian konsesi melibatkan anak syarikat kerajaan. Bagi perjanjian konsesi yang lain, syarikat-syarikat swasta seperti Gamuda dan Maju Holdings telah mendapat pelbagai kemudahan kewangan dari kerajaan atau pun projek-projek besar kerajaan. Pemegang konsesi yang lain pula mendapat pembiayaan mudah kerajaan.

Ini bermakna, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk duduk berbincang dengan pemegang-pemegang konsesi sama ada melalui pemilikan saham pemegang konsesi ini atau bantuan kewangan yang telah pun diberikan kepada syarikat pemegang konsesi. Alasan bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian yang dimeterai dengan swasta tidak dapat diterima kerana sebahagian besar konsesi tol dikuasai oleh kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

16 DISEMBER 2013

Laporan Terkini GFI Sahkan Aliran Wang Haram Berkait Rapat Dengan Rasuah

Laporan GFI “Aliran Wang Haram di Kalangan Negara Membangun 2002 – 2011” (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002 – 2011) mengesahkan bahawa ada kaitan rapat di antara rasuah dan jumlah aliran wang haram yang keluar dari sesebuah negara.

Ini adalah salah satu daripada kesimpulan paling utama yang dibuat di dalam laporan terkini yang dikeluarkan semalam. Mukasurat (xi) laporan menyatakan bahawa “..The panel data regressions also show that an increase in corruption increases trade misinvoicing..” Kesimpulan ini dibuat berdasarkan analisa empirikal data-data kewangan dari semua negara yang terbabit termasuklah Malaysia.

Laporan GFI juga mengandungi jawapan kepada beberapa persoalan teknikal yang dikemukakan oleh pihak tertentu termasuk Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia yang sebelum ini mempersoalkan kaedah yang digunakan. Selain menggunakan kaedah analisa yang lebih baik, laporan GFI kali ini juga menyanggah kenyataan Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia yang menyalahkan ketepatan statistik (berhubung errors and omission) bagi menerangkan jumlah aliran wang haram yang besar.

Dengan jawapan-jawapan dan kaedah baru yang digunapakai oleh GFI, maka Kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai alasan untuk menafikan kesimpulan yang dibuat oleh GFI. Jumlah aliran wang haram yang mencecah USD54 bilion dalam tahun 2011 dan jumlah terkumpul sebanyak USD370 bilion sepanjang tempoh 2002 hingga 2011 juga bertepatan dengan bukti-bukti semasa yang rakyat sedia maklum.

Contohnya, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun melaporkan pelbagai perlakuan rasuah dan penyelewengan yang melibatkan wang rakyat. Perlakuan rasuah dan penyelewengan (incidents of corruption) seperti yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara saban tahun tidak berkurang, malah jumlahnya makin bertambah setiap tahun. Pertambahan perlakuan rasuah dan penyelewengan ini tepat juga dengan laporan GFI yang menunjukkan aliran wang haram meningkat saban tahun kerana aliran wang haram berhubung rapat dengan rasuah.

Laporan-laporan urusniaga di luar negara seperti London juga mengesahkan bahawa terdapat pelbagai urusniaga mewah melibatkan rakyat Malaysia yang mengesahkan bahawa terdapat aliran wang keluar negara yang besar sejak kebelakangan ini.

Jumlah aliran wang keluar dari Malaysia yang keempat tertinggi di dunia juga selari dengan kedudukan kewangan semasa negara yang menunjukkan defisit belanjawan 15 tahun berturut-turut. Defisit belanjawan ini jelas menunjukkan perbelanjaan yang melonjak naik termasuklah perbelanjaan-perbelanjaan besar yang melibatkan bayaran ke seluruh dunia.

Maka, laporan GFI yang terbaru mengesahkan bahawa ada kaitan di antara jumlah aliran wang haram yang tinggi di Malaysia dengan pelbagai masalah kewangan yang dihadapi negara kerana semuanya banyak berpunca dari masalah yang sama iaitu rasuah.

Laporan tahunan GFI akan menjadi satu lagi laporan, seperti juga Laporan Ketua Audit Negara, yang mengesahkan berleluasanya rasuah di Malaysia. Kedegilan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menerimapakai kesimpulan-kesimpulan ini akan terus merencatkan kemajuan ekonomi negara dan menekan rakyat.

Dato’ Seri Najib Tun Razak sewajarnya melepaskan jawatan Menteri Kewangan kerana jumlah aliran wang haram yang begitu tinggi ini adalah bukti kegagalan beliau sebagai Menteri Kewangan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

12 DISEMBER 2013