Pelancaran Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat

Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah pun meluluskan manifesto bersama Pakatan Rakyat yang akan dilancarkan pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 pada hari Isnin, 25 Februari 2013 di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Manifesto ini dinamakan Manifesto Rakyat dan bertemakan Pakatan Harapan Rakyat. Ia mengandungi 4 teras utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat. Intipatinya boleh dihayati dari pengenalan Manifesto Rakyat yang berbunyi:

“Malaysia adalah negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya diikat oleh muafakat Perlembagaan.

Namun, cita-cita kita direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan dengan kepayahan hidup.

Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, negara berkebajikan, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita.

Demi kita, demi rakyat, bersama-sama ubah sekarang untuk melakar masa depan Malaysia.”

Manifesto Rakyat menggabungkan kesemua dasar yang berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat (dilancarkan tahun 2009), Buku Jingga (dilancarkan tahun 2010) dan program-program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang dipertanggungjawabkan membangunkan Manifesto Rakyat juga telah meneliti dan mengambil pandangan dari memorandum dan cadangan yang disampaikan terus kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk digarab di dalam manifesto. Selain itu, pelbagai rundingan telah diadakan dengan banyak pihak untuk memastikan kepentingan dan kebajikan setiap rakyat dititikberatkan di dalam Manifesto Rakyat.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat mula bersidang untuk menghasilkan Manifesto Rakyat dalam bulan September 2011. Proses rundingan dan kajian berlangsung selama 18 bulan dan dibentangkan sebanyak dua kali di peringkat tertinggi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Pelancaran Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat menandakan bermulanya kempen pilihanraya umum ke-13. Kami mengalu-alukan perdebatan, pandangan dan kritikan sihat berhubung cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam Manifesto Rakyat.

Pelancaran awal manifesto pilihanraya juga membuktikan komitmen Pakatan Rakyat untuk memastikan kempen pilihanraya umum kali ini bertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa oleh Barisan Nasional.

JK DASAR & MANIFESTO PAKATAN RAKYAT

YB Dato’ Husam Musa
YB Dr Dzulkifly Ahmad
YB Dr Hatta Ramli
YB Salehuddin Ayub
YB Liew Chin Tong
Dr Ong Kian Ming
YB Teo Nie Ching
YB Charles Santiago
YB Nurul Izzah Anwar
Saudara Rafizi Ramli
Saudara Wong Chen
YB Sivarasa Rasiah
YB Baru Bian
Saudara Thamrin Jaini

19 Februari 2013

Tiada Sebarang Kenyataan Maaf Kepada Zahid Hamidi, Lawan di Mahkamah

Saya dimaklumkan bahawa laman-laman Facebook yang berkaitan dengan saya ada menyiarkan satu kenyataan maaf terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi sekitar jam 7 petang ini. Sejurus selepas itu juga, laman-laman blog pro-Umno menyiarkan berita melaporkan kononnya kenyataan maaf tersebut.

Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan maaf. Saya tetap dengan pendirian sebelum ini bahawa perkara ini akan diteruskan di mahkamah dan saya tidak akan berganjak dari terus membawa soal salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia.

Kenyataan tersebut adalah palsu, berniat jahat dan direncanakan oleh laman-laman blog pro-Umno bertujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat. Apabila mereka tidak dapat berdepan dengan pendedahan-pendedahan yang memalukan pimpinan mereka, laman-laman ini secara tidak beretika menggunakan muslihat untuk menggodam akaun dan laman-laman berkaitan Pakatan Rakyat, termasuklah laman-laman pimpinan Pakatan Rakyat dan laman Facebook.

Laman Facebook saya adalah yang kedua dalam tempoh dua hari yang digodam, selepas laman Facebook YB Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN. Ini juga rentetan kepada siri godaman terhadap laman Malaysiakini setiap kali ada perkembangan politik penting negara yang merugikan Umno/Barisan Nasional.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya muslihat dan tipu helah yang digunakan oleh cybertrooper Umno ini kerana ia tidak beretika dan memfitnah. Sikap pimpinan Umno yang berdiam diri menunjukkan mereka juga sama-sama mendokong muslihat dan tipu helah kotor ini.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa saman Dato’ Seri Zahid Hamidi akan saya jawab di mahkamah. Isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota angkatan tentera yang diabaikan tidak boleh dipadamkan dengan muslihat jahat dan tipu helah cyber seperti ini.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 Januari 2013

Orang Pandan! Jom Sertai Latihan Polling & Counting Agent (PACA)

PACA (Polling And Counting Agent) merupakan wakil kepada calon di pusat-pusat mengundi bagi memastikan pengundian berjalan lancar dan mengelakkan sebarang penipuan. Pendaftaran PACA untuk Parlimen Pandan telah dibuka. Latihan akan diadakan pada Sabtu ini (19 Januari 2013) dari jam 10.00pagi hingga 1.00 petang bertempat di Dewan Jalan H, Kg Pandan. Sebarang pertanyaan sila emel [email protected]. Daftarlah sekarang! – http://rafiziramli.com/paca/

741105_518998114801367_734011624_o

Continue reading Orang Pandan! Jom Sertai Latihan Polling & Counting Agent (PACA)

Masalah Air Di Selangor Adalah Sabotaj Politik, KEADILAN Akan Saman Syabas/Puncak Niaga Holdings Berhad

Pengumuman Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi Eksekutif Syabas/Puncak Niaga Holdings Berhad bahawa masalah bekalan air akan berlanjutan sehingga ke Tahun Baru Cina adalah bukti kegagalan projek-projek penswastaan Umno/Barisan Nasional kepada kroni yang akhirnya menyusahkan rakyat.

Penjelasan yang diberikan bahawa oleh beliau yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelangsungan bekalan air di Lembah Klang adalah tidak masuk akal, seperti berikut:

1. Kerosakan pam air di rumah pam Wangsa Maju – Kegagalan Syabas memastikan dua pam simpanan (spare pumps) berfungsi dan berada dalam keadaan yang baik sudah tentu melanggar segala prosedur dan amalan terbaik industri (industry’s best practices). Maklumat yang diterima bahawa keempat-empat pam di Wangsa Maju telah pun rosak buat beberapa ketika dan tiada tindakan berkesan yang diambil oleh Syabas membuktikan kecuaian dan kegagalan Syabas;

2. Tidak cukup bekalan air terawat (treated water) – Alasan Syabas yang cuba mempolitikkan perkara ini dengan menuding jari kepada Kerajaan Selangor tidak boleh diterima akal apabila Syabas berjaya pula mendapatkan bekalan air terawat yang dihantar melalui lori-lori.

Oleh sebab itu, saya yakin bahawa ini permainan politik Umno yang direstui Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana mereka beranggapan satu-satunya jalan untuk mendapat undi dan memenangi Selangor adalah dengan menyusahkan hidup rakyat. Hayat politik Dato’ Seri Najib sendiri bergantung kepada kemenangan Selangor. Tanpa Selangor, hampir sudah pasti pimpinan Umno akan menggulingkan beliau sebelum atau selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Sebab itu, dalam keterdesakan begitu, Umno yang direstui Dato’ Seri Najib mengambil keputusan mensabotaj bekalan air di Selangor untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Justeru, sebagai pimpinan yang dipertanggungjawabkan bersama-sama dengan penduduk di Pandan, saya beranggapan sabotaj politik Umno ini diselesaikan secara politik jua. Saya telah diarahkan untuk memberi sepenuh perhatian dalam tempoh terdekat ini untuk berhadapan dengan sabotaj politik yang melibatkan Umno dan Syabas ini supaya masalah bekalan air dapat diselesaikan segera.

Berikut adalah tindakan-tindakan yang akan diambil segera untuk berhadapan dengan sabotaj politik Umno dan Syabas:

1. KEADILAN dan PAS telah menubuhkan Skuad Air di setiap kawasan yang terkesan dengan masalah ini. Tumpuan skuad ini adalah untuk meringankan beban penduduk yang terpaksa mengangkut air dengan menyediakan kemudahan pam agar air boleh dihantar terus ke tingkat masing-masing. Operasi ini telah berjalan di bawah pimpinan YB Iskandar Abdul Samad dan seluruh jentera Pakatan Rakyat akan digerakkan untuk membantu penduduk

2. KEADILAN akan mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli pam-pam air untuk dibekalkan ke kawasan-kawasan yang diperlukan

3. Rundingan dengan pihak Syabas dan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan untuk mendapat komitmen supaya bekalan air melalui lori-lori yang dihantar adalah mencukupi dan mengikut jadual tetap

4. Satu kumpulan pakar yang pernah terlibat merancang dan membangunkan sistem air di Lembah Klang akan ditubuhkan secara sukarela untuk mengkaji aspek teknikal dan menjawab tuduhan-tuduhan Syabas

5. Kempen penerangan di seluruh kawasan terbabit akan dijalankan serentak untuk memaklumkan kepada penduduk bahawa dalang sebenar masalah ini adalah Umno dan Syabas

Lebih penting, masalah ini perlu ada penyelesaian politik supaya ia tidak berulang lagi.

Oleh yang demikian, KEADILAN telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan peguam untuk menyaman Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad dalam masa terdekat atas kegagalan menguruskan khidmat air akibat kecuaian, seperti yang diperuntukkan oleh perjanjian konsesi. Mulai hari ini, KEADILAN akan mengumpul seberapa ramai penduduk, peniaga dan pihak yang ingin menuntut pampasan dari Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad untuk turut bersama dengan tindakan menyaman Syabas ini.

Sementara menunggu tindakan mahkamah ini berjalan, KEADILAN juga akan menggerakkan Kempen Potong Gaji Rozalli Ismail di atas kegagalan beliau menguruskan Syabas sehingga menyusahkan rakyat. Mengikut Laporan Tahunan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, pengarah-pengarah eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad menerima pakej gaji sebanyak RM17.25 juta setahun:

DirectorsRem

KEADILAN menuntut supaya RM10 juta dari gaji ini dipotong serta-merta dan disumbangkan ke satu tabung untuk memberi pampasan segera kepada penduduk yang terlibat.

Satu demonstrasi menuntut potongan gaji ini akan diadakan di hadapan ibu pejabat Syabas di Shah Alam pada hari Rabu, 16 Januari ini jam 2 petang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
11 JANUARI 2013

Awan Megah Sdn Bhd Sepatutnya Digugurkan Dari Projek Puspahanas Apabila Bon Tanah Luput Pada 3 Februari 2011

Tinjauan ke tapak pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya menunjukkan bahawa hanya 2 daripada 12 bangunan utama sedang dibina. Menurut maklumat yang diperolehi dari kakitangan sub-kontraktor di tapak pembinaan, kerja-kerja pembinaan hanya bermula dalam bulan Ogos 2011.

Ini bertepatan dengan maklumat yang diberikan oleh Awan Megah Sdn Bhd sendiri bahawa ia hanya mula melakukan kerja-kerja penyediaan tapak setakat September 2010, seperti terkandung di dalam suratnya kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bertarikh 24 September 2010 yang disertakan bersama.

awanmegah1

awanmegah2

awanmegah3

Anggaran kos yang dibelanjakan setakat penyediaany tapak hanyalah RM10 juta, iaitu jauh lebih rendah dari bayaran yang bakal dibuat oleh Bakti Wira Sdn Bhd (anak syarikat Boustead Holdings Berhad) iaitu RM130 juta.

Oleh kerana pembinaan Puspahanas lewat dimulakan oleh Awan Megah Sdn Bhd walaupun perjanjian dimeterai dalam tahun 2005, maka tidak hairanlah projek ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual seperti yang didaftarkan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) iaitu:

Tarikh mula projek : 25 September 2008
Tarikh projek siap : 24 Januari 2011

Sebab itulah, Kementerian Pertahanan mensyaratkan penyediaan bon tanah bernilai RM72.5 juta sebagai jaminan projek ini akan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan. Seperti mana amalan biasa di dalam projek pembinaan, sekiranya Awan Megah Sdn Bhd gagal menyiapkan projek Puspahanas di dalam tempoh yang ditetapkan, Kementerian Pertahanan berhak menunaikan bon tanah untuk mendapatkan jumlah RM72.5 juta sebagai ganti rugi.

Oleh yang demikian, Kementerian Pertahanan sepatutnya bertindak tegas dengan menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd apabila ia gagal menyiapkan projek Puspahanas dalam tempoh yang ditetapkan iaitu menjelang Januari 2011.

Lebih membimbangkan adalah apabila bon tanah tersebut luput secara automatik pada 3 Februari 2011 seperti mana kandungan bon tanah yang disertakan bersama.

landbond1

landbond2

landbond3

Dengan luputnya bon tanah ini pada 3 Februari 2011, Kementerian Pertahanan perlu menjawab perkara-perkara berikut:

1. Adakah Awan Megah Sdn Bhd menyediakan bon tanah yang baru bagi menggantikan bon tanah asal yang telah luput pada 3 Februari 2011?

2. Kenapakah Kementerian Pertahanan tidak menggunakan haknya untuk menunaikan bon tanah dan mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah Sdn Bhd akibat kegagalan menyiapkan projek, apabila wang RM72.5 juta itu boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan Puspahanas?

3. Kenapakah Kementerian Pertahanan tidak menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd dari projek ini apabila sudah terbukti ia tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk melaksanakannya sehingga mengakibatkan kelewatan sedemikian rupa?

Perkara-perkara ini menguatkan lagi syak wasangka bahawa keputusan membayar RM160 juta kepada Astacanggih Sdn Bhd dan Awan Megah Sdn Bhd bukanlah berasaskan pertimbangan komersil tetapi bermotif politik untuk menutup mulut Deepak Jaikishen dan Raja Ropiaah Raja Abdullah.

Satu laporan SPRM terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang dibuat oleh Sdr Fariz Musa berhubung perkara ini pada jam 11 pagi di SPRM Shah Alam.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
9 JANUARI 2013