Pada 18 Oktober 2011 jam 11 pagi, pengurusan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian FGV yang ketiga dipengerusikan oleh Tan Sri Isa Samad. Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGV dan penstrukturan korporat yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.
Boston Consulting Group (BCG) adalah salah satu daripada juru runding yang dilantik untuk menerajui proses penyenaraian ini. Selain menyediakan pelan langkah-langkah penyenaraian, BCG juga bertanggungjawab menilai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda mengenai tindakan Barisan Nasional menyenaraikan FGV dan aset-aset berkaitan Felda.
KEADILAN telah berjaya mendapatkan salinan laporan yang dibentangkan oleh BCG kepada pengurusan Felda dan FGV di dalam mesyuarat tersebut.
Mukasurat 4 dari laporan tersebut yang menyentuh mengenai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda ada disertakan bersama.
Kesimpulan yang dibuat oleh BCG setelah menemuramah dan mengadakan kajiselidik melibatkan 30 orang pengurusan tertinggi Felda dalam bulan Oktober 2011 adalah seperti berikut:
1. Cabaran terbesar untuk menjayakan proses penyenaraian ini adalah pandangan pengurusan tertinggi Felda sendiri yang menentang keputusan tersebut;
2. Lebih separuh dari pengurusan Felda (55%) tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian ini;
3. Hanya 20% dari pengurusan tertinggi Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian; dan
4. 65% dari pengurusan tertinggi Felda percaya proses penyenaraian ini akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.
Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan Barisan Nasional mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri. Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka.
Tentangan pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda.
Makanya, adalah menjadi tanggungjawab Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.
Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak Barisan Nasional akan dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
16 MEI 2012