Category Archives: Pilihanraya

Ramalan Keputusan PRU14 Berdasarkan Kajiselidik 11,991 Pengundi Setakat 4 Mei 2018

Laporan penuh:

Download (PDF, 551KB)

Kesimpulan:

  1. PH dijangka menang 111 kerusi di Semenanjung berbanding 54 kerusi kepada BN. Ini bermakna PH boleh membentuk Kerajaan Persekutuan dengan 10 – 15 kerusi tambahan dari Sabah dan Sarawak.
  2. PAS dijangka tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen.
  3. Beberapa menteri kanan dijangka akan tewas dalam PRU14.

Saman Khairy Jamaluddin: Mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau Adalah Pegawai SPR Yang Menghalang Calon PH Kemuka Pencalonan

Saya mengesahkan bahawa satu surat tuntutan (“letter of demand”) telah dihantar oleh peguam Khairy Jamaluddin, Tetuan Rashid Zulkifli kepada saya mengenai kenyataan saya berhubung peristiwa calon Pakatan Harapan, Dr S Streram yang dihalang dari mengemukakan pencalonan Sabtu lalu.

Saya akan menyerahkan perkara itu kepada peguam saya yang akan menguruskannya dengan pihak mahkamah.

Saya bersedia untuk berdepan dengan Ketua Pemuda Umno itu di mahkamah, seperti mana saya telah berdepan dengan pimpinan Umno yang lain sebelum ini.

Namun, itu tidak menghapuskan tanggungjawab moral Khairy untuk menjelaskan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan orang ramai mengenai pembabitan individu yang pernah berjawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno Rembau yang menyebabkan calon Pakatan Harapan itu dihalang.

Sejak beberapa hari yang lalu, warga maya telah menunjukkan bukti-bukti dalam bentuk video dan gambar-gambar dari Facebook yang mengesahkan bahawa pegawai SPR yang bertanggungjawab menghalang Dr Streram adalah mantan Ketua Penerangan, Pergerakan Pemuda Umno Rembau yang bernama Hafidzan Idris.

Saya sertakan petikan dari posting di Facebook miliknya sendiri yang mengakui bahawa dialah pegawai SPR yang bertugas:

05 - 02 - 2

Sejak identitinya terdedah kepada warga maya dan dikecam hebat, dia telah memadamkan akaun Facebook.

Walau bagaimana pun, semakan di pelbagai akaun Facebook orang lain mengesahkan bahawa Hafidzan Idris adalah mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau yang aktif berkempen untuk mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin sendiri, seperti berikut (kredit page BR1M Beri Rasuah 1Malaysia https://www.facebook.com/BeriRasuah1Malaysia/)

05 - 02 - 3

05 - 02 - 4

05 - 02 - 5

05 - 02 - 6

05 - 02 - 7

05 - 02 - 8

05 - 02 - 9

05 - 02 - 10

05 - 02 - 11

 

Identiti Hafidzan Idris dan tindakannya yang menghalang Dr Streram mengemukakan borang pencalonan dirakam oleh warga maya, seperti video berikut:

Melalui video itu, jelas perkara-perkara ini tidak disanggah sendiri oleh Hafidzan Idris:

i. bahawa maklumat keperluan mengambil tag hanya dimaklumkan kepada calon pada saat-saat akhir sehari sebelum penamaan calon dan tidak pernah ditaklimatkan sebelum itu;

ii. bahawa Dr Streram telah menjelaskan beliau telah cuba mendapatkan pas pada hari sebelumnya tetapi tidak berjaya mendapatkan pas dari SPR;

iii. bahawa calon-calon lain pun mengkritik pengurusan SPR yang hanya memaklumkan pada saat-saat akhir

Oleh sebab itu, Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno ada tanggungjawab untuk berterus terang kepada orang ramai, terutamanya pengundi-pengundi di Rantau dan Rembau:

1. Adakah dia kenal secara peribadi pegawai SPR yang bertugas yang bernama Hafidzan Idris ini?

2. Adakah dia tahu bahawa seorang anggota Pemuda Umno dan mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau sedang menghalang calon Pakatan Harapan mengemukakan pencalonan?

3. Adakah dia sedar bahawa pas masuk bukan peraturan pilihanraya dan tertakluk kepada budi bicara Pengurus Plihanraya (RO) SPR?

4. Sepanjang peristiwa itu berlangsung selama dua setengah jam (dari jam 8 pagi hingga 1030 pagi), apa tindakan Khairy sebagai seorang pimpinan kanan negara yang turut bertanggungjawab memastikan kewibawaan proses pilihanraya di negara ini dipertahankan?

Khairy boleh membuli saya dengan mengenakan saman tetapi dia tidak boleh memadamkan soalan-soalan ini yang akan terus menjadi bualan rakyat dan pengundi di Rembau.

Tindakan menyaman saya dengan serta merta menunjukkan Khairy sendiri bimbang dengan kemarahan pengundi (terutamanya pengundi India) yang boleh menjejaskan peluangnya di kerusi Rembau.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

21,848 Orang Rakyat Malaysia Mendaftar Sebagai Sukarelawan PACA Melalui INVOKE

Sejak 2 minggu lalu, INVOKE telah memberi tugasan PACA (ejen kira undi) kepada 21,848 sukarelawan berdaftar yang menawarkan diri untuk menjadi PACA. Maklum balas ini dihantar melalui:

i) Sistem Pengurusan Sukarelawan INVOKE di https://volunteer.invokemalaysia.org
ii) SMS
iii) Email
iv) Whatsapp

Sukarelawan INVOKE diminta mengesahkan penerimaan tugasan PACA itu melalui sistem untuk membolehkan INVOKE menghantar senarai nama PACA kepada penyelaras PACA di setiap parlimen di seluruh negara.

Setakat 1 Mei 2018, hanya 3,238 sukarelawan yang mengesahkan tugasan PACA melalui sistem dan melayakkan mereka diberi surat kuasa untuk menjadi PACA di kerusi-kerusi yang mereka ditugaskan. Mereka akan dihubungi oleh wakil calon-calon PH dalam masa terdekat untuk urusan surat sumpah dan pendaftaran dengan SPR.

Masih ada 18,610 sukarelawan di seluruh negara yang belum mengesahkan penerimaan tugasan PACA. INVOKE perlu memuktamadkan proses agihan ini supaya surat lantikan dapat dikeluarkan secepat mungkin.

Sila semak SMS anda, email anda, whatsapp anda atau login ke https://volunteer.invokemalaysia.org untuk mengesahkan penerimaan tugasan PACA anda sebelum Sabtu, 5 Mei 2018.

Jika anda tidak mengesahkan penerimaan tugasan PACA sebelum 5 Mei 2018, tidak ada jaminan kami sempat mendaftarkan anda dengan SPR sebagai PACA.

Jika anda mempunyai masalah untuk masuk ke Sistem Pengurusan Sukarelawan INVOKE di https://volunteer.invokemalaysia.org , anda perlu menetapkan kata laluan (password) yang baru dengan login menggunakan emel atau nombor telefon yang anda berikan semasa pendaftaran.

Bertindak sekarang, Malaysia perlukan anda.

BAGI PIHAK INVOKE

Rafizi Ramli

Dapatan Kajiselidik Pengundi Setakat April 2018: Undi Melayu BN Merudum Kepada 18% Sahaja

INVOKE – Monthly Tracking – April 2018

MAKLUMAT AM

 Kajiselidik dijalankan melalui telefon oleh penemuramah (“call agents”) yang bercakap dengan pengundi yang dipilih secara rawak oleh sistem computer.

 Kajiselidik disertai oleh 1,961 pengundi berdaftar yang maklumat mereka telah disahkan sama dengan daftar Pengundi.

 Kajiselidik berjalan di antara 12 April 2018 hingga 23 April 2018.

 Dapatan kajiselidik melalui proses “weightage” untuk memastikan ia mewakili strata pengundi (“stratified”) iaitu mewakili setiap kumpulan pengundi mengikut kaum, umur dan latar belakang.

 Margin of error adalah 2.21%

POLA SOKONGAN PENGUNDI MELAYU

 Undi Melayu BN jatuh merudum dari 41.1% (Disember) kepada hanya 18.1% (April) membayangkan peralihan besar pengundi Melayu.

 Undi Melayu di kalangan pengundi yang telah membuat keputusan di antara BN, PH dan PAS hampir sama.

 50.7% responden memberi jawapan “Tidak pasti” atau “Undi rahsia” yang membayangkan mereka pengundi atas pagar.

POLA SOKONGAN PENGUNDI CINA

 Undi Cina BN jatuh merudum ke paras 9.3% dalam bulan April 2018.

 66.3% pengundi Cina menyatakan mereka “atas pagar” walaupun besar kemungkinan mereka penyokong PH.

 Pola sokongan yang sama ditunjukkan oleh pengundi Cina: tahap sokongan kepada BN jatuh merudum sebanyak 50% dalam tempoh 5 bulan.

POLA SOKONGAN PENGUNDI INDIA

 Sokongan pengundi India kepada BN merudum ke paras 18.7% berbanding sokongan kepada PH (32.9%).

 Ini kali pertama sejak INVOKE menjejaki tahap sokongan pengundi bermula Januari 2017 yang menyaksikan sokongan pengundi India kepada PH lebih tinggi berbanding sokongan kepada BN.

 Angka menunjukkan peralihan undi yang besar kepada PH di kalangan pengundi India berbanding sokongan kepada BN di saat-saat akhir, yang akan membawa kesan besar kepada banyak kerusi-kerusi marginal.

PROFAIL PENGUNDI ATAS PAGAR

 Jumlah pengundi atas pagar meningkat mendadak dua minggu sebelum pilihanraya, membayangkan peralihan pengundi setiap kaum lari dari BN.

 Pecahan pengundi atas pagar mengikut kaum: Melayu (50.7%), Cina (66.3%) dan India (46.9%)

PROFAIL PENGUNDI PAS

 Hanya 32.6% dari pengundi PAS adalah penyokong tegar PAS. Selebihnya, sebanyak 32.1% ada potensi akan mengundi PH dalam senyap.

KESIMPULAN

 Perbezaan sokongan antara BN, PH dan PAS di kalangan pengundi Melayu yang telah buat keputusan adalah tidak besar (sekitar 1% ke 3% sahaja).

 Undi Melayu BN telah jatuh merudum berbanding 6 bulan lalu dan kini berada dalam lingkungan undi Melayu PH.

 Di kalangan pengundi semua kaum, pilihan Perdana Menteri yang paling atas adalah Tun Mahathir/PH (29.9%) mengatasi Dato’ Seri Najib/BN (23.8%).

 Majoriti pengundi (40.5%) yakin kerajaan persekutuan akan bertukar tangan, berbanding hanya 27.6% yang percaya BN akan kembali berkuasa.

Video pembentangan kajiselidik boleh ditonton di:

Facebook: https://business.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/1893721157329049/
Youtube: https://www.youtube.com/watch?v=0JBLmMQuIzE

 

BAGI PIHAK INVOKE

Rafizi Ramli

Pengundi India Seluruh Negara Perlu Hukum Permainan Kotor Barisan Nasional

Negara dikejutkan dengan peristiwa Pegawai Pengurus Pilihanraya (“Returning Officer”) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau (dalam kawasan Parlimen Rembau) yang menolak kertas pencalonan calon PH, Dr Streram Sinnasamy untuk membolehkan wakil BN, Dato’ Seri Mohamad Hassan menang tanpa bertanding.

Alasan yang diberikan adalah tiada kertas pencalonan yang dikemukakan sehingga jam 10 pagi iaitu tarikh akhir mengemukakan pencalonan.

Dr Streram Sinnasamy telah berada di perkarangan dewan pencalonan sejak pukul 8 pagi lagi. Beliau tidak dibenarkan masuk oleh pihak RO yang bertugas dan pegawai-pegawai polis atas alasan tiada pas masuk SPR. Beliau terus dihalang sehingga jam 10.03 pagi.

Pada jam 10.03 pagi, tiba-tiba pegawai RO membenarkan pula borang-borang pencalonan Dr Streram Sinnasamy dibawa masuk tetapi kemudiannya diumumkan tidak boleh diterima kerana telah melepasi tempoh waktu.

Saya dimaklumkan oleh wakil-wakil PH di dalam dewan bahawa Pengarah SPR Negeri Sembilan sebenarnya telah mengarahkan RO di situ untuk membenarkan Dr Streram mengemukakan borang penamaan seawal 930 pagi lagi, tetapi RO berkenaan melengah-lengahkan sehingga hanya membenarkan pada pukul 1003 pagi untuk dijadikan alasan menolak borang pencalonan.

Kerusi DUN Rantau adalah kerusi yang mempunyai pengundi India yang tinggi. Pecahan pengundi di DUN Rantau adalah: Melayu (53%), Cina (19%) dan India (27%).

PH melalui KEADILAN telah mengarahkan Dr Streram Sinnasamy untuk menawarkan khidmat rakyat di DUN Rantau sejak 2 tahun lalu. Dr Streram adalah seorang pakar anasthethis yang berkhidmat di Nilai Specialist dan telah banyak berkhidmat dengan pengundi-pengundi di Rantau terutamanya pengundi India.

Sejak setahun lalu, kedudukan Dato’ Seri Mohamad Hassan nampak goyang apabila peralihan undi yang besar dijangka akan berlaku di kalangan pengundi-pengundi terutamanya pengundi India, yang dalam PRU yang lalu memberi sokongan kepada BN.

Tindakan tidak membenarkan calon PH mengemukakan borang pencalonan untuk menang percuma adalah satu tindakan yang bacul di pihak Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin.

Saya percaya pengundi-pengundi, terutamanya pengundi India di Negeri Sembilan dan seluruh negara dapat menilai sendiri bagaimana pimpinan tertinggi BN seperti Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin sangat takut dengan kebangkitan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum yang menuntut perubahan di Putrajaya.

Saya akan hadir ke Rembau pada hari Isnin untuk mempastikan pengundi-pengundi di Rembau menghukum Khairy Jamaluddin yang bersekongkol dengan Mohamad Hassan untuk menang percuma kerana takut bertarung.

Saya juga menyeru pengundi-pengundi India di Rembau untuk memberikan undi secara besar-besaran kepada calon PH di Rembau, Kolonel (B) Rosli untuk menghukum Khairy Jamaluddin dan Barisan Nasional. Sekiranya PH mendapat 60% sokongan pengundi India di Rembau, Khairy Jamaluddin akan ditewaskan.

Menewaskan Khairy Jamaluddin di Rembau adalah jalan terbaik untuk menghukum Mohamad Hassan, Khairy Jamaluddin dan Barisan Nasional yang berkomplot menafikan seorang profesional India mencabar Mohamad Hassan, dalam keadaan BN semakin goyah.

Sebarkan kepada seberapa ramai pengundi di Rembau, di Negeri Sembilan dan di seluruh negara.

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN KEADILAN