Category Archives: MARA

Annuar Musa Patut Derma RM50,000 Sebagai Biasiswa Pelajar Cemerlang UniKL

Saya terkejut membaca berita terkini mengenai tawaran Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA yang digantung (tetapi masih berkhidmat sebagai Pro-Canselor UniKL) yang telah menaikkan hadiah esei kepada RM50,000 (dari tawaran asal RM10,000 sebelum ini).

Walaupun saya sangat-sangat tidak berminat untuk masuk gelanggang dalam isu-isu yang tidak menguntungkan rakyat seperti ini, tawaran menaikkan hadiah kepada RM50,000 dari seorang Pro-Canselor UniKL dalam keadaan bebanan kewangan warga UniKL yang meningkat; adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Saya ingin ingatkan Tan Sri Annuar Musa mengenai perkara-perkara ini:

1. Beliau masih menerima elaun dan imbuhan lain sebagai Pengerusi MARA dan jawatan-jawatan lain yang berkaitan, seperti mana yang diakui beliau sendiri dalam satu video temuramah di Parlimen minggu lalu

2. Warga UniKL masih terbeban dengan pelbagai masalah kewangan. Hanya selepas saya membantah kenaikan yuran asrama di tiga kampus yang telah diputuskan melalui satu pekeliling, barulah menteri terbabit mengarahkan UniKL untuk membatalkan hasrat untuk menaikkan yuran itu

3. Masih ramai anak-anak Melayu/Bumiputra dari keluarga berpendapatan rendah yang belum mendapat pembiayaan sepenuhnya dari MARA atau pihak lain sedangkan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan seolah-olah semua isu pembiayaan pendidikan telah selesai (rujuk kenyataan media saya http://rafiziramli.com/2017/02/masalah-pembiayaan-unikl-annuar-musa-berbohong-umum-kelulusan-pembiayaan-berjumlah-rm237-juta/)

4. Ada pensyarah sambilan UniKL yang tidak disambung kontrak bermula Januari 2017 (seperti yang dimaklumkan kepada saya) kerana kedudukan kewangan UniKL yang tidak baik

Dalam keadaan begini, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pro-Canselor UniKL lebih ghairah bermain politik sehingga sanggup menawarkan wang hadiah RM50,000 untuk memperlekehkan musuh politik beliau, Lim Kit Siang.

Saya juga berpendapat ia hanya gimik politik beliau untuk menjadi jaguh agar berpeluang bertanding jawatan kanan dalam pemilihan Umno akan datang, memandangkan masa depan politik beliau mundar mandir akibat pelbagai kes dan kontroversi yang melibatkan beliau kebelakangan ini.

Oleh itu, saya menasihati Tan Sri Annuar Musa supaya kembali kepada amanah asal beliau iaitu menjaga kebajikan pendidikan anak-anak bangsa di institusi di bawah seliaan beliau seperti UniKL.

Saya menasihati beliau mengumumkan bahawa wang RM50,000 itu akan ditukar menjadi hadiah biasiswa kepada pelajar miskin cemerlang di UniKL.

Saya juga menasihati pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak lagi melayan karenah Tan Sri Annuar Musa dan jangan terperangkap dengan permainan tawar menawar wang untuk memperlekehkan lawan politik seperti ini.

Sesungguhnya rakyat mencemuh kegilaan politik seperti ini dalam keadaan mereka sengsara dengan bebanan ekonomi.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Masalah Pembiayaan UniKL: Annuar Musa Berbohong Umum Kelulusan Pembiayaan Berjumlah RM237 Juta?

Pendedahan saya mengenai masalah pembiayaan pelajar-pelajar di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dan kenaikan yuran di 3 kampus UniKL akhirnya mendapat perhatian menteri terbabit, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Maklumbalas beliau yang dilaporkan oleh Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/nasional/menteri-perjelas-isu-tajaan-mara-yuran-asrama-unikl-1.632224
boleh saya ringkaskan seperti berikut:

1. Beliau mengakui bahawa pendedahan saya mengenai kenaikan yuran di kampus-kampus UniKL kepada RM150 sebulan (dari RM120 sebulan iaitu peningkatan 25%) adalah benar. Sebab itu beliau sekadar menyebut yuran asrama di kampus-kampus UniKL dikekalkan kepada RM120.

Sementara saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana mendengar rintihan rakyat, saya juga berharap beliau lebih prihatin kepada masalah yang berlaku dan tidak hanya bersuara atau mengambil tindakan setelah masalah itu didedahkan. Jika tidak, lebih baik beliau jangan menjadi Menteri MARA.

2. Pelajar IPMa yang masih belum menerima kemudahan pinjaman MARA sedang dalam tindakan dan akan diusahakan dalam masa terdekat.

Sekali lagi saya hargai keterbukaan beliau yang tidak menyerang peribadi saya apabila saya bersuara mengenai nasib pelajar-pelajar ini dan keluarga mereka, bukan seperti reaksi Pengerusi MARA yang digantung, Tan Sri Annuar Musa ketika saya mula-mula membangkitkan isu ini.

Masalahnya, saya telah membangkitkan isu ini sejak setahun lalu. Setiap kali saya bersuara, pimpinan tertinggi Umno yang bertanggungjawab mengendalikan urusan MARA akan memberi jaminan masalah akan diselesaikan dalam masa terdekat tetapi sehingga kini masih belum selesai.

Saya berikan rentetan peristiwa (beserta gambar) untuk menunjukkan “tempoh masa yang terdekat” mengenai isu ini yang telah berlanjutan lama:

i. 10 Februari 2016 – saya membuat sidang media menuntut supaya MARA menyediakan bantuan pembiayaan kepada pelajar-pelajar di IPMa yang terbabit. Rujuk http://rafiziramli.com/2016/02/masalah-pembiayaan-di-universiti-kuala-lumpur-dan-lain-lain-mara-perlu-senaraikan-semua-pembiayaan-pendidikan-yang-disediakan/

ii. 12 Februari 2016 – Prof. Dato’ Dr Mazliham Mohd Su’ud, Presiden/CEO mengumumkan di laman Facebook beliau keputusan MARA yang diumumkan oleh Tan Sri Annuar Musa untuk menaja SEMUA pelajar-pelajar IPMa berdasarkan 3 jenis pembiayaan. Rujuk
https://www.facebook.com/ProfMazliham/photos/a.122402514611746.1073741828.121512901367374/474888126029848/?type=3&theater

 

iii. 13 Februari 2016 – Tan Sri Annuar Musa, Pro-Canselor UniKL dan Pengerusi MARA dengan gah memperlekehkan isu masalah pembiayaan MARA di laman Facebook beliau. Rujuk https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1010494519022873&set=a.239004476171885.58693.100001870036702&type=3

 

iv. 15 Februari 2016 – Tan Sri Annuar Musa, Pro-Canselor UniKL dan Pengerusi MARA konon turun ke UniKL untuk menyampaikan surat kelulusan penajaan MARA kepada 10,000 pelajar Bumiputra di IPMa dengan peruntukan berjumlah RM237 juta. Rujuk https://www.facebook.com/tansri.annuarmusa/posts/1011703252235333

 

Oleh itu, apabila Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jawapan bahawa masalah pembiayaan pelajar IPMa yang tertunggak sedang diuruskan dan akan diselesaikan “dalam masa terdekat”, saya ingin mengingatkan supaya beliau menyemak dahulu surat kelulusan pembiayaan yang disampaikan oleh Tan Sri Annuar Musa kepada pelajar-pelajar IPMa (terutamanya pelajar UniKL) lebih setahun lalu.

Sudah tentu jawapan beliau yang memberi tempoh masa “terdekat” itu menimbulkan kemarahan rakyat kerana setahun lalu, Tan Sri Annuar Musa memberitahu dunia bahawa MARA telah bersetuju untuk membiayai kesemua pelajar di IPMa. Malah, beliau turut menyampaikan surat kelulusan pembiayaan kepada pelajar-pelajar.

Sebab itu saya menyiarkan rintihan seorang bapa yang juga pesara yang menunggu saban bulan bermulanya pembiayaan MARA kepada pelajar-pelajar IPMa seperti yang diumumkan Tan Sri Annuar Musa tahun lalu.

Saya menggesa supaya Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jawapan berkenaan kepada rakyat:

1. Adakah Tan Sri Annuar Musa berbohong apabila beliau mengisytiharkan bahawa MARA telah meluluskan pembiayaan kepada kira-kira 10,000 pelajar Bumiputra di IPMa berjumlah RM237 juta?

2. Dengan pendedahan ini yang menunjukkan lagi ketempangan kepimpinan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA, adakah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri untuk terus menggugurkan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA atas kegagalan beliau menyelesaikan masalah pembiayaan pendidikan pelajar Bumiputra di IPMa?

Saya akan membawa isu ini ke Parlimen dalam sessi yang akan datang yang bermula Mac ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Tan Sri Annuar Musa Jangan Abaikan Tanggungjawab Selesaikan Masalah Di MARA, Memenangi Kerusi FAM Aktiviti Sambilan

Saya mengikuti dengan dekat perkembangan MARA dan krisis kepimpinannya yang melibatkan Tan Sri Annuar Musa sehinggalah kepada perkembangan terkini berhubung pencalonan beliau untuk bertanding kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara saya tidak mahu campur di dalam urusan bolasepak di negara ini kerana ramai lagi yang lebih layak dan itu bukan bidang saya, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen untuk mengingatkan Tan Sri Annuar Musa bahawa penglibatan beliau sebagai calon Presiden FAM tidak boleh mengatasi tugas bergaji beliau sebagai Ahli Parlimen dan Pengerusi MARA.

Apatah lagi dalam keadaan kebajikan siswazah dan keluarga yang bergantung nasib kepada MARA untuk menyediakan peluang pendidikan menjadi semakin buruk sejak beliau menyandang jawatan Pengerusi MARA.

Saya pernah perjuangkan sebelum ini nasib siswazah yang menuntut di institusi pendidikan MARA (IPMa) yang berdepan dengan pelbagai kesempitan kewangan akibat dasar pembiayaan MARA yang berubah-ubah. Sepanjang beliau menjadi Pengerusi MARA, kedudukan MARA sebagai institusi pembiayaan (baik melalui biasiswa atau pinjaman) semakin merosot berdasarkan masalah pembiayaan yang semakin menjadi-jadi terutamanya di institusi pendidikan MARA (IPMa) seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysia Institute (GMI) dan lain-lain.

Aduan dan rintihan yang paling kerap dibawa kepada saya ialah bersabit pembiayaan siswazah UniKL. Selain daripada beratus-ratus kes yang saya pernah suarakan tahun lepas, saya terus mendapat aduan termasuklah yang terbaru (saya bacakan satu email dari seorang ayah):

“ Anak saya belajar di UNIKL MFI Bangi.Sekarang sudah hampir masuk ke sem 2 masih lagi tidak mendapat borang agreement pinjaman pelajaran.Dokumen telah dihantar pd hujung sem satu.Persoalannya bilakah wang pinjaman akan di bayar.Saya terpaksa mengeluarkan rm700 setiap bulan untuk sarahidup anak saya.Saya sudah menyara anak selama 7 bulan.sedankan saya hanyalah seorang pesara.Harap yb dpt membantu.”

Aduan sebegini berlaku secara berterusan; sebab itu rakyat begitu marah apabila dokumen yang menunjukkan penajaan pasukan bolasepak di bawah kelolaan Tan Sri Annuar Musa menggunakan dana Universiti Kuala Lumpur mula menjadi tular. Nasib baik dokumen itu tidak datang dari saya dan datang dari YTM Tengku Mahkota Johor, jika tidak sudah tentu saya terpaksa bermalam di dalam lokap.

Maka pada hari ini saya ingin mengingatkan Tan Sri Annuar Musa bahawa walaupun beliau digantung perkhidmatan sebagai Pengerusi MARA, beliau masih lagi Pro-Canselor II UniKL. Beliau masih lagi bertanggungjawab menyelesaikan segala kemelut kewangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran pembiayaan sedangkan pelbagai janji telah diberikan sebelum ini.

Terbaru, saya dimaklumkan bahawa UniKL telah menaikkan sewa bulan bagi beberapa kampusnya iaitu UniKL MIIT (Kuala Lumpur), UniKL MICET (Alor Gajah) dan UniKL MITEC (Masai) menjadi RM150 sebulan. Semakan kepada yuran bulanan (mengikut sistem semester yang lama iaitu 5-2-5) menunjukkan sewa bulanan sebelum ini ialah di antara RM110 ke RM120 sebulan; iaitu peningkatan sehingga 25%.

Pekeliling Yuran Baru Asrama

https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgcHFWWnRyQ2NuWk0

Perkara ini berlaku dalam keadaan UniKL menaja pasukan bolasepak di bawah kelolaan Tan Sri Annuar Musa; seolah-olah pelajar terpaksa membayar lebih dan sebahagian wang yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan politik pemimpin tertentu.

Saya menunggu maklumbalas dari Tan Sri Annuar Musa, MARA dan UniKL dengan desakan supaya kenaikan yuran ini dihentikan serta merta. Saya akan terus memberi tumpuan kepada soal pembiayaan pendidikan MARA dan prestasi MARA dalam beberapa minggu yang akan datang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Kelewatan Elaun Siswazah Yang Dibiaya Kerajaan (Biasiswa Atau Pinjaman)

Saya merujuk kepada kenyataan PTPTN mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada siswazah di 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti yang dilaporkan semalam.

Sebelum ini pun, saya telah menerima aduan-aduan mengenai kelewatan pembayaran pembiayaan kepada siswazah, baik yang mendapat pinjaman atau biasiswa dari badan-badan kerajaan. Saya telah mengumpulkan maklumat dan dapat mengesahkan bahawa berlaku kelewatan yang ketara dalam beberapa kes yang sangat membebankan siswazah dan keluarga.

Saya sertakan 2 dari 15 email yang kandungannya hampir sama mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada siswazah tajaan IPTA di politeknik:

Email 1



Email 2

 

Kedua-dua email ini secara jelas menunjukkan kelewatan yang perlu diterangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Malah, bukan ini sahaja aduan yang saya terima mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada pelajar-pelajar. Saya telah juga mendapat aduan yang sama dari pelajar-pelajar di bawah tajaan MARA di luar negara yang mendakwa berlaku kelewatan pembayaran elaun; serta pelajar-pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Oleh yang demikian, kelewatan pembayaran oleh PTPTN dan kelewatan pembayaran pembiayaan oleh badan-badan kerajaan yang lain seperti JPA bukan sesuatu yang berlaku sekali sahaja (“isolated cases”). Saya bimbang sekiranya kelewatan pembayaran pembiayaan ini sebenarnya adalah simptom kepada masalah yang lebih besar iaitu keupayaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memenuhi keperluan kewangan sektor pendidikan; terutamanya setelah peruntukan kepada IPTA telah dipotong secara mendadak.

Saya menyeru supaya menteri-menteri yang bertanggungjawab iaitu Dato’ Seri Idris Jusuh (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Dato’ Seri Johari Ghani (Menteri Kewangan II) memberi maklumbalas segera dengan menyiarkan rekod pembayaran pembiayaan pendidikan kepada pelajar-pelajar tajaan (biasiswa atau pinjaman) badan-badan kerajaan supaya rakyat boleh menentukan bahawa kelewatan ini bukan berpunca dari meruncingnya kedudukan kewangan kerajaan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1415580235143146/?type=3&theater

Youtube |
https://www.youtube.com/watch?v=fIJMoV7DISs

Keputusan Kes Saman Naib Ketua Pemuda Umno Terhadap Rafizi Ramli: Skandal MARA

img_9857
Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi S Nanthabalan pagi ini menolak saman Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mendakwa saya memfitnah beliau semasa mendedahkan #skandalMARA (pembelian hartanah mahal di Australia). YA Hakim memutuskan pihak beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan media saya adalah satu fitnah dan berniat jahat terhadap beliau.

Ada dua asas penghakiman yang dibacakan YA Hakim yang ada kesan besar kepada masyarakat:

1) bahawa sesuatu komen yang tidak berniat jahat dan bersifat kepentingan awam yang memenuhi syarat “Komen Tahap 3” (Level 3 comments) mengikut prinsip di dalam kes rujukan Chase (di United Kingdom) memenuhi pembuktian “justification” yang digunapakai di dalam kes-kes saman sivil.

2) sesuatu kes yang berkepentingan awam masih boleh dibincangkan di luar mahkamah dan pihak yang terbabit bebas memberi komen mengenai kes itu selagi ia tidak campur tangan dengan prosiding perbicaraan.

Kes rujukan Chase adalah sangat penting kerana seseorang boleh membuat pembelaan “justification” yang dikira tidak memfitnah apabila membuat kenyataan mengikut prinsip berikut:

1) Komen Tahap 1 – menuduh bahawa seseorang itu telah melakukan perlakuan yang menjadi isu dalam saman. Maka orang kena saman perlu membuktikan secara tepat ia telah berlaku (“smoking guns”)

2) Komen Tahap 2 – menuduh bahawa seseorang itu terlibat di dalam perlakuan yang menjadi isu dalam saman, walaupun tidak semestinya dia menjadi orang utama. Maka orang kena saman perlu membuktikan bahawa orang kena tuduh wajar disiasat walaupun tidak semestinya orang kena tuduh benar-benar bersalah

3) Komen Tahap 3 – menuduh bahawa ada berlaku perlakuan yang menjadi isu dalam saman, walaupun tidak semestinya orang kena tuduh terlibat. Maka orang kena saman perlu membuktikan bahawa ada kewajaran isu dalam saman disiasat

Keputusan YA Hakim S Nanthabalan hari ini menyokong bahawa aktivis anti-rasuah sepertj saya dan National Oversight & Whistleblowers (NOW) ada hak untuk membongkar penyelewengan tanpa perlu bimbang mengenai saman di mahkamah selagi pendedahan itu berniat baik dan mematuhi prinsip-prinsip di atas.

Saya gembira kerana hari ini mahkamah menghargai khidmat awam yang pemberi maklumat lakukan selama ini berhadapan dengan banyak risiko.

Mohon disebarkan seluasnya.