All posts by rafiziramli

Penjelasan Kenyataan Media Dato’ Seri Abdul Hadi Awang Mengenai Pemansuhan PTPTN

Isu penghapusan PTPTN yang dipaparkan oleh beberapa media arus perdana dengan memberi gambaran seolah-olah berlaku percanggahan antara kenyataan Presiden PAS, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia adalah menunjukkan niat jahat untuk melaga-lagakan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat semata-mata. Media arus perdana ini dengan jeleknya telah sengaja memutar belitkan maksud ulasan Presiden PAS seperti mana menjadi amalan kebiasaan mereka.

Ingin dipertegaskan bahawa isu penghapusan PTPTN telah dibincang dengan mendalam dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga turut memberikan pandangan yang menjadi pendirian bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini.

Apa yang dipertegaskan oleh Presiden PAS ialah bahawa PTPTN akan dihapuskan. Manakala penghapusan PTPTN pula akan dilaksanakan dengan prosesnya. Proses yang dimaksudkan oleh Presiden PAS di sini ialah penghapusan PTPTN sepatutnya tidak membimbangkan mana-mana pihak, kerana ianya akan dilaksanakan dengan penuh prinsip keadilan dan tidak membebankan rakyat, di mana orang miskin akan dibela tanpa mengira kaum mereka dan orang yang kaya mestilah memainkan tanggungjawab membantu mengikut kemampuan mereka dalam sebuah negara.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Setiusaha Politik Presiden PAS

30 Jamadil Awal 1433 H bersamaan 22 April 2012

Dasar Pendidikan Percuma Menyediakan Elaun Sara Hidup Selepas Penghapusan PTPTN

Perdebatan mengenai dasar pendidikan percuma yang ditawarkan Pakatan Rakyat merupakan satu perkembangan baik mutakhir ini. Keprihatinan rakyat, terutamanya golongan pelajar dan orang muda mengenai masa depan pendidikan tinggi di Malaysia memberi harapan ke arah masa depan negara yang lebih cerah.

Dalam kehangatan perdebatan ini, ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memesongkan isu dengan memberi gambaran bahawa dasar pendidikan percuma tersebut akan menyebabkan pembiayaan sara hidup (yang kini diberikan melalui PTPTN) akan dihapuskan sama sekali.

Perbincangan mengenai mekanisme pembiayaan sara hidup pelajar selepas PTPTN dihapuskan dan pendidikan percuma diperkenalkan telah dibuatkan dengan terperinci di peringkat KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

Sukacita saya menggariskan rangka kasar dasar pendidikan percuma untuk menangkis dakyah pihak lawan bahawa penghapusan PTPTN akan menghentikan pembiayaan sara hidup, seperti berikut:

1) Pelaburan yang besar akan dibuat untuk menambah peluang pendidikan tinggi di institusi awam, termasuklah pembinaan universiti teknikal khusus bagi lepasan sekolah yang lebih berminat di dalam kemahiran teknikal. Ini penting untuk mengimbangi jumlah tempat yang ditawarkan di institusi awam berbanding institusi swasta, seterusnya mengelakkan pergantungan kepada pendidikan tinggi berbayar di masa hadapan;

2) Yuran pengajian di institusi awam akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan juga akan menyediakan elaun sara hidup untuk menanggung kos sara hidup bagi pelajar-pelajar yang layak. Kelayakan untuk menerima elaun sara hidup dikira berdasarkan tahap pencapaian akademik dan latar belakang sosio ekonomi pelajar mengambil kira tanggungan keluarga;

3) Bagi pelajar di institusi awam yang tidak memenuhi syarat untuk menerima elaun sara hidup kerana datang dari keluarga berpendapatan tinggi, mereka boleh memilih untuk membiayai sendiri elaun sara hidup atau layak untuk memohon pinjaman elaun sara hidup dari satu tabung khas untuk membiayai kos sara hidup dan pendidikan swasta yang akan ditubuhkan kelak;

4) Bagi pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi awam, mereka boleh terus memohon untuk meminjam dari dana pembiayaan seperti yang ditetapkan di dalam (3). Pembiayaan pendidikan akan meliputi yuran dan kos sara hidup pada kadar yang ditetapkan, mengambil kira subsidi yuran yang akan diberikan kerajaan sepadan dengan yuran purata bagi kursus yang setara di institusi awam; dan

5) Pembiayaan untuk menampung elaun sara hidup dan sebahagian yuran di IPTS seperti yang diterangkan di atas tidak akan dikenakan sebarang faedah.

Prinsip ini akan digunapakai oleh Pakatan Rakyat untuk merangka mekanisme khusus dalam melaksanakan dasar pendidikan percuma kelak. Ia jelas menangkis dakyah pihak lawan bahawa dasar pendidikan percuma akan merugikan pelajar Melayu/Bumiputra kerana ketiadaan pembiayaan sara hidup.

Sebaliknya, dasar pendidikan percuma akan meluaskan akses kepada pendidikan tinggi percuma kepada lebih ramai rakyat Malaysia pelbagai kaum. Pada masa yang sama, ia menukar model pembiayaan pendidikan tinggi yang kini terbukti menindas rakyat dan tidak dapat bertahan di masa hadapan.

Saya menganggarkan peruntukan tambahan untuk menyediakan elaun sara hidup, menanggung baki yuran yang kini dibayar pelajar dan menyediakan subsidi yuran yang setara kepada pelajar di IPTS adalah sebanyak RM3 bilion setahun.

Persoalan pokok yang perlu dijawab oleh semua rakyat Malaysia adalah sama ada kerajaan mampu menanggung peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion setahun ini.

Saya percaya penghapusan konsesi tol lebuhraya seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga akan menjimatkan sebanyak RM5 bilion setiap tahun, kerana inilah wang pampasan yang dibayar Barisan Nasional kepada pengendali konsesi lebuhraya setiap tahun. Wang ini lebih dari cukup untuk menampung peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion yang diperlukan untuk menyediakan pendidikan percuma.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN 

21 APRIL 2012 

Jemputan Kepada Saudara Khairy Jamaluddin: Ganti Debat NFC Dengan Debat PTPTN

Saya mengalu-alukan persetujuan Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno yang dibuat melalui laman Twitter dua hari lepas bahawa “penghapusan PTPTN adalah sesuatu yang boleh dilakukan, tetapi persoalannya adakah ia wajar” merujuk kepada twit beliau “PKR missing the point re PTPTN. Its not whether govt CAN write off the loans. Its whether the govt SHOULD. Most don’t think govt should” [1:57 pm, 11 April 2012]

Saya telah membentangkan bahawa hutang PTPTN yang perlu ditanggung hanyalah RM24.7 bilion yang boleh dibayar dalam tempoh yang lama. Pelaburan yang diperlukan hanyalah RM2 bilion setahun dan pelbagai sumber boleh digunakan bagi tujuan ini, termasuklah mensyaratkan pelaburan dari keuntungan hasil minyak dan gas ke dalam bidang pendidikan, memotong perbelanjaan pertahanan, membanteras rasuah, menghentikan ketirisan dan pembaziran.

Jumlah RM2 bilion itu juga adalah kecil berbanding keputusan-keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak akhir-akhir ini yang merugikan rakyat. Misalnya, geran berjumlah RM1 bilion diberikan begitu sahaja kepada Maju Holdings dalam penjualan Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya, hutang Tan Sri Tajuddin Ramli yang berjumlah hampir RM600 juta juga dimaafkan, malah wang RM250 juta yang diselewengkan oleh keluarga menteri dalam skandal NFC sehingga sekarang masih belum dikutip.

Hakikatnya, setiap tahun pembaziran yang berlaku jauh melebihi jumlah RM2 bilion yang diperlukan untuk menghapuskan PTPTN.

Lebih penting lagi, ini peluang baik untuk mengkaji semula kerangka sistem pendidikan tinggi di Malaysia. KEADILAN mengesyorkan supaya kita kembali kepada model pendidikan percuma yang meletakkan tanggungjawab menyediakan kemudahan pendidikan tinggi di bahu kerajaan.

Ini mengurangkan keperluan tempat-tempat pendidikan tinggi disediakan oleh pihak swasta, seterusnya mengurangkan perlunya sebuah dana yang besar untuk dipinjamkan kepada rakyat bagi tujuan pendidikan. Sebuah dana baru yang akan diwujudkan untuk memenuhi keperluan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran secara swasta sudah tentu lebih kecil nilainya dari tanggungan PTPTN selama ini.

Isu hala tuju sistem pendidikan tinggi negara dan penghapusan hutang PTPTN adalah isu penting yang wajib diperhalusi dan didalami.

KEADILAN dan Pemuda Umno sudah mengadakan perbincangan tertutup dengan pihak-pihak terbabit untuk memahami isu ini dengan lebih baik. Sudah tiba masanya, hasil dan pandangan yang berbeza dari kedua-dua belah pihak diketengahkan untuk dibahaskan di hadapan rakyat.

Oleh itu, saya mengesyorkan supaya Saudara Khairy mengotakan janjinya untuk berdebat dengan saya ketika skandal NFC memuncak. Kesediaan itu dinyatakan sekali lagi oleh beliau selepas kami berdebat buat kali pertama di London akhir Januari lalu.

Demi kepentingan orang muda, saya juga mengesyorkan isu debat itu diganti – dari skandal NFC kepada persoalan PTPTN dan hala tuju sistem pendidikan negara.

Saya percaya Saudara Khairy seorang yang rasional dan faham bahawa debat ini ditunggu-tunggu oleh rakyat.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 13 APRIL 2012 

Rundingcara: PTPTN dan Masa Depan Pembiayaan Pendidikan Tinggi Negara

Berikut adalah rakaman rundingcara membicarakan sama ada Malaysia mampu melupuskan hutang PTPTN dan apakah aspirasi KEADILAN mengenai konsep pendemokrasian pendidikan melalui kemudahan pendidikan tinggi percuma kepada yang layak.

Terima kasih kepada Sinar Harian yang merakamkan rundingcara.

 

Soal Jawab PTPTN: Kita Mampu Hapuskan PTPTN

Berapakah sebenarnya hutang PTPTN yang perlu ditanggung oleh kerajaan sekiranya pinjaman PTPTN dihapuskan?

Hutangnya adalah RM24.7 bilion. Ini adalah pinjaman yang telah dikeluarkan oleh peminjam-peminjam sehingga kini.

Angka RM43 bilion yang disebut-sebut BN itu adalah jumlah keseluruhan pinjaman yang telah diluluskan. Sebahagian besarnya belum dibayar, ada juga yang membatalkan pinjaman di tengah jalan dan pelbagai perkara lain.

PTPTN tidak meminjam wang dari institusi kewangan berdasarkan pinjaman yang diluluskan. Ia meminjam mengikut keperluan mengeluarkan pinjaman kepada pelajar seperti yang dituntut pelajar.

Oleh itu, jumlah yang perlu ditanggung kerajaan untuk menghapuskan hutang PTPTN ialah RM24.7 bilion, iaitu separuh dari angka RM43 bilion yang disebut-sebut Perdana Menteri.

 

Bagaimana KEADILAN mahu membayar jumlah RM24.7 bilion ini?

Seperti juga pinjaman rumah yang kita buat, ia melibatkan tempoh masa pembayaran yang panjang. Jumlah RM24.7 bilion ini bukanlah perlu dibayar serta-merta apabila KEADILAN memansuhkan hutang PTPTN.

Jumlah ini akan dibayar mengikut tempoh masa 10 hingga 20 tahun di masa akan datang, seperti mana pinjaman-pinjaman lain yang dibuat kerajaan kini.

Jumlah yang perlu dibayar setiap tahun adalah antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion mengikut anggaran KEADILAN.

Ada banyak cara kerajaan boleh membayar jumlah ini.

Contohnya, kerajaan boleh merangka satu akta yang mensyaratkan mengikut undang-undang bahawa peratusan tertentu dari hasil minyak perlu dimasukkan ke dalam tabung pelaburan pendidikan. Dana ini tidak boleh diganggu dan hanya boleh digunakan untuk pendidikan.

Setiap tahun, sejumlah RM2 bilion boleh diambil dari dana ini untuk membayar tanggungan hutang PTPTN yang diambil alih oleh kerajaan. Jika ini dibuat, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, kita berjaya menghapuskan hutang PTPTN.

Jika kerajaan tidak mahu menyentuh hasil minyak, kerajaan juga ada pilihan untuk melakukan kaedah pembiayaan semula (atau refinancing). Kerajaan boleh menerbitkan bon baru berjumlah RM2 bilion setiap tahun yang akan dibayar dalam tempoh yang lebih panjang, misalnya 20 tahun. Hasil dari bon ini boleh digunakan untuk membayar hutang PTPTN yang diambil alih.

Sebenarnya, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menanggung kos menghapuskan hutang PTPTN ini. Malah, jika kerajaan berjimat dan menghentikan ketirisan perbelanjaan yang melebihi RM28 bilion setiap tahun, jumlah RM2 bilion yang perlu dibayar adalah terlalu sedikit.

 

Bagaimana pula dengan mereka yang telah membayar sebahagian hutang mereka?

Setakat akhir tahun 2011, dianggarkan RM2.8 bilion telah dibayar kembali oleh 651,000 peminjam sejak PTPTN diperkenalkan.

Sebahagian besar peminjam masih belum melunaskan hutang. Prestasi pembayaran balik juga berbeza-beza mengikut peminjam. Ada yang membayar dengan berterusan setiap bulan mengikut kadar yang ditetapkan. Ada yang membayar lebih rendah. Ada juga yang langsung tidak membayar.

Pun begitu, kutipan RM2.8 bilion bermakna secara puratanya 10% dari jumlah pinjaman yang diambil telah dibayar balik.

Ada pelbagai mekanisme yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan kebajikan dan keadilan kepada peminjam yang telah membayar hutang mereka.

Contohnya, kadar purata 10% boleh digunakan sebagai kadar minima pembayaran rebat dan ditambah dengan peratusan rebat yang berkadar terus dengan jumlah pembayaran seseorang individu, seperti berikut:

Maslan Ali meminjam RM18,000 dari PTPTN. Setakat ini beliau hanya membayar RM680 kepada PTPTN.

Munir Ali meminjam RM20,000 dari PTPTN. Beliau telah membayar RM2,500 kepada PTPTN.

Mohamad Ali meminjam RM20,000 dari PTPTN dan membayar RM4,800 setakat ini.

Kadar 10% pembayaran (iaitu kadar purata pembayaran) diambil kira sebagai kadar minima menentukan rebat yang dipulangkan kepada peminjam.

Maslan Ali hanya membayar 4% pinjamannya iaitu dibawah kadar purata nasional. Beliau tidak layak mendapat apa-apa pembayaran rebat.

Munir Ali membayar 12.5%. Beliau layak menerima rebat. Jika kadar pembayaran rebat ditetapkan sebagai berkadar terus dengan jumlah pembayaran, maka Munir Ali mendapat (12.5% X RM2,500 = RM312.50) sebagai rebat prestasi pembayaran PTPTN.

Begitu juga dengan Mohamad Ali yang bakal mendapat rebat sebanyak (24% X RM4,800 = RM1,152).

Banyak lagi mekanisme yang boleh diputuskan untuk menjamin kebajikan dan keadilan kepada peminjam yang membayar kepada PTPTN.

Jika kaedah pembayaran rebat seperti di atas digunapakai, maka tanggungan kerajaan untuk membayar rebat tidaklah setinggi seperti yang diwar-warkan. Jika kadar 10% adalah kadar purata pembayaran rebat, maka jumlah wang yang perlu diperuntukkan untuk membayar rebat kepada peminjam yang telah membayar adalah (10% X RM2.8 bilion = RM280 juta) sahaja.

Setelah kita hapuskan PTPTN, bagaimana kita akan membiayai yuran pengajian dan kos pendidikan tinggi rakyat selepas itu?

Masalah pembiayaan pendidikan tinggi rakyat yang meruncing bermula apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pendidikan memperkenalkan beberapa akta baru dalam tahun 1996 seperti Akta Pendidikan dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Pengenalan akta-akta ini menandakan bermulanya era bila mana tanggungjawab menyediakan tempat dan peluang pendidikan tinggi diserahkan kepada pihak swasta. Tindakan ini telah ditentang pimpinan siswa ketika itu atas kebimbangan ia samalah dengan memperniagakan sektor pendidikan tinggi.

PTPTN kemudiannya ditubuhkan dalam tahun 1997 yang bertujuan untuk menyediakan pembiayaan kepada belanja pendidikan tinggi yang mula melambung dengan penglibatan besar-besaran pihak swasta melalui IPTS.

Oleh kerana kerajaan tidak menyediakan tempat yang mencukupi untuk lepasan sekolah yang layak memasuki universiti, ratusan ribu rakyat pelbagai kaum terpaksa mendaftar ke IPTS yang yurannya lebih mahal.

Oleh itu, kita kena kembali kepada zaman sebelum 1996 iaitu tempat dan peluang untuk melanjutkan pendidikan tinggi kepada lepasan sekolah disediakan oleh kerajaan. Kos dan yurannya lebih rendah kerana tiada unsur “keuntungan” berbanding IPTS. Bila ini berlaku, peranan IPTS akan kembali kepada menyediakan peluang khas yang tidak dapat disediakan oleh IPTA seperti kursus-kursus khas, pengajian baru dan lain-lain.

Sejak tahun 2005, jumlah kemasukan pelajar ke IPTS telah mengatasi IPTA dan jurang ini semakin melebar saban tahun. Contohnya, dalam tahun 2005 nisbah kemasukan pelajar di IPTA:IPTS adalah 310,000 (IPTA) berbanding 337,000 (IPTS). Jurang ini telah meningkat menjadi 372,000 (IPTA) berbanding 466,000 (IPTS) menjelang 2010, mengikut unjuran yang dibuat Kementerian Pendidikan Tinggi sendiri.

Lambakan IPTS dan pergantungan kepada IPTS untuk menyediakan kemudahan pendidikan tinggi menyebabkan bebanan hutang PTPTN juga melambung, kerana yuran IPTS yang lebih mahal dan jumlah pemohon dari IPTS yang naik mendadak.

Jika ini berterusan, kerajaan di masa hadapan tidak mampu menanggung kos pendidikan tinggi.

Sebab itu, langkah pertama adalah mengembalikan peranan kerajaan dalam menyediakan tempat dan peluang melanjutkan pelajaran tinggi seperti sebelum 1996.

KEADILAN percaya jika 10 IPTA baru dibina dalam masa 10 tahun akan datang, 100,000 tempat baru di IPTA dapat disediakan. Ini akan mengurangkan pergantungan kepada IPTS dalam menempatkan pelajar lepasan SPM.

Pembiayaan pelajar di IPTA dibuat melalui 3 cara. Pertama, yurannya memang lebih murah kerana tiada unsur keuntungan tidak seperti IPTS. Kedua, jaminan KEADILAN bahawa melalui konsep pendidikan percuma, yuran dan kemudahan tempat tinggal disediakan kepada pelajar lalu mereka tidak perlu meminjam bagi kedua-dua tujuan ini. Ketiga, subsidi makanan dan lain-lain akan memastikan kos makan dan sara hidup pelajar di kampus tidak tinggi, lalu tidak memerlukan pembiayaan yang tinggi.

Berdasarkan yuran IPTA, subsidi kerajaan dan pembiayaan PTPTN sedia ada, kos purata untuk kursus sarjana muda bagi seorang pelajar setiap tahun adalah RM25,000.

Maka, kiraan awal kos pembiayaan yang perlu ditanggung:

Kos tambahan menyediakan pendidikan percuma bagi 100,000 tempat baru di 10 IPTA baru:

RM25,000 X 100,000 = RM2.5 bilion setiap tahun

Kos tambahan memastikan pendidikan percuma bagi 372,000 pelajar sedia ada di IPTA:

 RM5,000 (pinjaman PTPTN biasa yang diberikan kepada pelajar IPTA) X 372,000 = RM1.86 bilion setiap tahun

Kos pembiayaan baki pelajar di IPTS (anggaran berdasarkan pengurangan 30% tempat di IPTS dan hanya 35% dari pelajar IPTS mengambil PTPTN, berdasarkan rekod semasa):

RM25,000 (pinjaman PTPTN biasa yang diberikan kepada pelajar IPTS) X 60,000 = RM1.5 bilion setiap tahun

Maka, jumlah pembiayaan pendidikan tinggi di bawah rancangan yang dipertimbangkan KEADILAN adalah (RM2.5 b + RM1.86 b + RM1.5 B) RM5.86 bilion setiap tahun.

Dalam tahun 2010, PTPTN meluluskan RM6.1 bilion pinjaman kepada peminjam.

Ini bermakna, jumlah yang ditanggung kerajaan kini lebih tinggi berbanding dengan jumlah pembiayaan sekiranya pendidikan percuma diperkenalkan melalui pengwujudan 10 IPTA baru bagi menyediakan 100,000 tempat baru seperti yang dicadangkan KEADILAN.

Walaupun PTPTN dihapuskan, dana pinjaman kepada pelajar yang masih mahu meneruskan pelajaran di IPTS tetap disediakan tetapi jumlah ini lebih kecil berbanding tanggungan RM6 bilion setiap tahun sedia ada.

Tambahan pula, lebih ramai pelajar yang akan menikmati kemudahan pendidikan percuma kerana tempat-tempat di IPTA adalah mencukupi dan keperluan menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar akan berkurangan dengan mendadak.

Semua ini bakal dibiayai dengan kos yang tidak banyak berbeza dengan kos yang dibelanjakan sekarang. Bezanya, wang akan dilaburkan di dalam IPTA baru untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi pendidikan tinggi percuma, bukannya disalurkan ke pelbagai IPTS seperti sedia ada.

Soal Jawab PTPTN – sila download PDF untuk risalah Soal Jawab

Rundingcara PTPTN 10 April 2012 – download slide untuk memahami angka-angka