1MDB Ibu Segala Siasatan

Semalam, 1MDB menafikan sekeras-kerasnya yang ia sedang menjadi tumpuan siasatan antarabangsa atas tuduhan penyelewengan dana awam, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Saya petik beberapa penafian yang dibuat 1MDB seperti laporan Bernama itu:

“Tidak ada cadangan salah laku oleh 1MDB atau mana-mana pegawainya. Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan perbuatan keji bagi mana-mana pihak untuk menganggap bahawa dakwaan siasatan yang dijalankan oleh pendakwa Switzerland itu diputar-belit dan dikatakan sebagai siasatan ke atas 1MDB dan pemegang sahamnya.”

“1MDB meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan sebarang dakwaan mengenai siasatan yang disyaki oleh pihak berkuasa Switzerland ke atas rakyat bukan warganegara Malaysia itu, dan, semasa tempoh pilihan raya umum yang sensitif ini, tidak mengaitkan 1MDB untuk keuntungan politik.”

Arulkanda sebagai pegawai 1MDB yang gajinya dibayar oleh rakyat sepatutnya tidak terlibat di dalam kempen pilihanraya.

Sebab itu, kenyataan beliau yang cepat-cepat mahu menuding jari dengan menuduh kononnya siasatan antarabangsa (termasuk yang terkini di Switzerland ke atas urusniaga PetroSaudi dan 1MDB) diputar belit demi keuntungan politik, mendedahkan bahawa dia-lah yang sebenarnya menjadi alat Barisan Nasional untuk berkempen sepanjang pilihanraya umum ini.

Penafian beliau itu menunjukkan sifat “double standard” (atau talam dua muka) beliau berhubung skandal 1MDB. Jika Pakatan Harapan membangkitkan isu 1MDB, Arulkanda akan menuduhkan Pakatan Harapan mempolitikkan 1MDB sedangkan dia jugalah yang sedang keliling Malaysia (atas wang rakyat) untuk mengelirukan rakyat mengenai kedudukan sebenar 1MDB.

Malah, penafian 1MDB semalam bukan sahaja mendedahkan sifat talam dua muka itu, penafian itu juga adalah tidak tepat.

Arulkanda semalam kononnya “menegaskan bahawa dana itu (1MDB) tidak tertakluk kepada sebarang penyiasatan jenayah sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa.”

Arulkanda cuba membayangkan kononnya 1MDB tidak disiasat dan kertas siasatan di sekurang-kurangnya enam negara (seperti yang dirujuk laporan-laporan antarabangsa iaitu Bloomberg https://www.bloomberg.com/news/articles/2018-05-01/swiss-1mdb-case-widens-with-criminal-probe-into-petrosaudi-pair dan Reuters https://www.reuters.com/article/us-malaysia-scandal-1mdb-swiss/swiss-investigate-two-petrosaudi-officials-in-1mdb-inquiry-idUSKBN1I234Y) tidak ada kena-mengena dengan 1MDB.

5 - 02 - 1

Seluruh dunia mengetahui bahawa siasatan-siasatan tersebut merujuk kepada dana yang dipindahkan dari 1MDB ke syarikat-syarikat yang tidak ada kena-mengena dengan pelaburan awam seperti mandat 1MDB.

Oleh itu, sudah tentu siasatan-siasatan antarabangsa itu tertumpu kepada syarikat-syarikat yang menerima dana dari 1MDB kerana aliran tunai (“money trail”) dari 1MDB kepada syarikat-syarikat ini dan dari syarikat-syarikat ini kepada penerima yang seterusnya, adalah bahan bukti utama untuk menunjukkan dana 1MDB sudah diselewengkan.

Sebab itu, siasatan terkini di Switzerland adalah ke atas pegawai-pegawai dari PetroSaudi iaitu syarikat rakan kongsi 1MDB yang pertama, kerana mereka dituduh menjadi sebahagian dari komplot untuk menyelewengkan dana 1MDB kepada pihak tertentu melalui syarikat tersebut.

Walaupun 1MDB belum disiasat secara langsung di peringkat antarabangsa, hakikat bahawa ada banyak syarikat-syarikat (yang menjadi laluan pemindahan wang dari 1MDB kepada Jho Low dan MO1) yang disiasat, membuktikan bahawa dana 1MDB telah pun diselewengkan.

Bermula dari dana 1MDB yang hilanglah, semua syarikat “orang tengah” yang digunakan untuk menjadi laluan pemindahan wang kepada Jho Low dan MO1 disiasat. Sebab itu, saya percaya 1MDB sebenarnya adalah ibu kepada segala siasatan yang sedang berlaku sekarang di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, saya meminta Arulkanda menumpukan perhatian kepada tugasnya di 1MDB agar syarikat naungan Dato’ Seri Najib itu tidak terus memindahkan hutangnya kepada rakyat.

Melihatkan kesungguhan Arulkanda mahu menjadi penceramah yang berkempen secara langsung di dalam pilihanraya ini walaupun dia sebenarnya kakitangan badan milik kerajaan, saya juga ingin mengajak Arulkanda untuk berdebat dengan saya di dalam satu ceramah umum di hadapan orang ramai. Itu adalah lebih adil kepada rakyat agar lebih ramai dapat menghakimi terus kedudukan sebenar kewangan 1MDB dan membantu pengundi membuat keputusan dalam PRU14 ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

2 thoughts on “1MDB Ibu Segala Siasatan”

  1. I saw yr PC on the survey for GE14 & syabas. Do go on wth wht you are doing now. 1MDB is already well-known & no one can sweep the fiasco under the carpet. Take care & look forward to see PH move to Ptrjya in syaa Allah

  2. Hi
    1) Kalau boleh tolong kaji semula sektor perubatan banyak penukaran ubat berlaku setiap kali untuk pemeriksaan bulanan di gh dan klinik kerajaan…sebelum ini dan sampai sekarang saya ade sedikit penipuan berlaku terhadap masyarakat…tolong periksa
    2) Kalau boleh tolong audit sumber pendapatan ngo kerajaan dan penjawat kerajaan tertinggi untuk jangka masa 10 tahun lepas supaya lebih memudahkan proses kerajaan baru….
    Sekian terima kasih….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.