Sandiwara 1MDB: Jual Tanah Kepada Syarikat Asing, Kemudian Beli Balik Guna Wang Rakyat?

Saya merujuk kepada kenyataan Tan Sri Irwan Siregar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB yang melahirkan keyakinan kukuh bahawa 1MDB akan dapat melangsaikan kesemua hutang-hutangnya (yang dijangka berjumlah melebihi RM42 bilion) seterusnya membolehkan syarikat yang didokong Dato’ Seri Najib Tun Razak itu ditutup.

Kenyataan Tan Sri Irwan Siregar itu mendapat liputan meluas di dalam media tempatan. Saya petik keratan yang disiarkan oleh Malaysiakini:

02 - 28 - 1

02 - 28 - 2

Secara khusus, saya tumpukan kepada kenyataan beliau kononnya hutang terbabit akan dapat dibayar daripada hasil pendapatan projek mega kerajaan seperti pembinaan bandar Tun Razak Exchange. Beliau menyebut bahawa “.. penghuni yang memiliki tempat di bandar TRX akan membayar sewa dan kita juga akan menjual plot tanah.”

Kenyataan ini sebenarnya mengelirukan kerana hutang-hutang 1MDB sepatutnya dibayar oleh 1MDB, bukannya kerajaan (walaupun kerajaan adalah pemegang saham dalam 1MDB). Malah, jika pun ada hasil dari projek yang diusahakan 1MDB seperti pembinaan bandar Tun Razak Exchange (TRX), projek tersebut dimiliki oleh pihak swasta kerana 1MDB telah menjual tanah-tanah itu kepada pihak swasta demi mendapatkan wang untuk membayar hutangnya.

Jika projek-projek pembangunan tersebut dimiliki oleh pihak swasta, bagaimana pula Tan Sri Irwan Siregar boleh menyebut bahawa projek TRX itu akan mula menjana hasil sewa kepada kerajaan untuk membayar hutang-hutang 1MDB?

Semakan saya dengan kenyataan-kenyataan 1MDB menunjukkan plot-plot pembangunan di TRX sedang dibangunkan oleh syarikat swasta.

Kenyataan media 1MDB bertarikh 13 Mei 2015 mengumumkan penjualan plot tanah di TRX kepada Kumpulan Mulia dari Indonesia untuk membina Signature Tower. 1MDB menjual tanah itu pada harga RM665 juta dalam tahun 2015.

02 - 28 - 4

Menara itulah (yang diberi nama The Exchange 106) kini yang sedang dibangunkan di tapak TRX dan merupakan satu-satunya projek yang kini sedang disiapkan di atas tapak tanah berharga milik kerajaan yang diberikan kepada 1MDB.

02 - 28 - 7

02 - 28 - 8

Saya ulangi soalan saya kepada Tan Sri Irwan Siregar:

Jika satu-satunya projek pembangunan yang sedang berjalan di TRX iaitu The Exchange 106 ini adalah milik swasta, bagaimana pula sewanya nanti akan diperolehi oleh pihak kerajaan untuk membayar hutang-hutang 1MDB?

Sebab sebenar Tan Sri Irwan Siregar menyebut mengenai sewa dari penghuni di TRX, walaupun umum mengetahui bahawa projek itu adalah projek swasta yang tanahnya telah dijual kepada syarikat swasta dari Indonesia, ialah kerana Kerajaan Malaysia telah membeli kembali pegangan di dalam projek ini setelah menjual tanahnya kepada syarikat Indonesia.

Berikut adalah fakta-fakta dari carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai projek The Exchange 106 dan pemiliknya:

1. Dalam tahun 2015, 1MDB menjual tanah yang diperolehinya daripada kerajaan kepada Mulia Group, sebuah syarikat Indonesia pada harga RM665 juta untuk dibangunkan menjadi The Exchange 10

2. Semakan menunjukkan anak syarikat Mulia Group di Malaysia yang membangunkan projek ini adalah Mulia Property Development Sdn Bhd yang bernombor 1139949-K

02 - 28 - 9

3. Semakan kepada pemilik Mulia Property Development Sdn Bhd menunjukkan ia dimiliki oleh dua syarikat iaitu: Mulia International Limited, syarikat Indonesia yang memegang 245,000 saham (atau 49% pegangan) dan sebuah syarikat Malaysia bernama MKD Signature Sdn Bhd yang memegang 255,000 (atau 51% pegangan)

4. Semakan ke atas MKD Signature Sdn Bhd menunjukkan ia sebuah syarikat yang dimiliki oleh sebuah lagi syarikat tempatan bernama Sentuhan Budiman Sdn Bhd

02 - 28 - 10

5. Semakan ke atas Sentuhan Budiman Sdn Bhd tidak menunjukkan maklumat pemegang saham

02 - 28 - 11

6. Walau bagaimana pun, ketiga-tiga syarikat ini (yang terbabit dengan pembangunan The Exchange 106) iaitu Mulia Property Development Sdn Bhd, MKD Signature Sdn Bhd dan pemilik MKD Signature Sdn Bhd iaitu Sentuhan Budiman Sdn Bhd mempunyai ahli pengarah yang sama iaitu sama ada seorang yang bernama Dato’ Dr Yusuf Ismail (620514-11-5081) atau Dato’ Seri Dr Mohamad Isa Hussain (580311-07-5215).

02 - 28 - 12

02 - 28 - 14

02 - 28 - 13

7. Dato’ Dr Mohamad Isa Hussain adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) di Kementerian Kewangan

02 - 28 - 15

 

8. Dato’ Dr Yusuf Ismail adalah Timbalan Setiausaha, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan

02 - 28 - 16

9. Syarikat Sentuhan Budiman Sdn Bhd, walaupun maklumat pemegang sahamnya disembunyikan dari carian awam di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, adalah sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan yang disenaraikan di dalam muka surat 97, Laporan Kewangan Kerajaan Persekutuan 2016 yang dibentangkan di Parlimen tahun lepas semasa pembentangan Bajet

02 - 28 - 17

02 - 28 - 18

 

Saya telah menunjukkan bukti-bukti kukuh bagaimana pentadbiran Dato’ Seri Najib bermain sandiwara mengenai kejayaan 1MDB menarik pelabur asing untuk membangunkan projek 1MDB; yang hasilnya nanti akan berjaya membayar hutang-hutang 1MDB.

Apa yang berlaku dalam projek pembangunan The Exchange 105 adalah berbeza: secara diam-diam projek itu sebenarnya dimiliki oleh Kerajaan Malaysia melalui syarikat MKD Signature Sdn Bhd yang memegang 51% di dalam syarikat pemaju.

Sebab itu saya membantah keras kenyataan Tan Sri Irwan Siregar bahawa 1MDB akhirnya akan berjaya membayar hutang-hutangnya. Apa yang jelas pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya menggunakan beberapa pelabur untuk mengabui mata rakyat dari hakikat sebenar, iaitu hutang-hutang 1MDB secara perlahan-lahan dan senyap-senyap diambil alih oleh kerajaan.

Tan Sri Irwan Siregar perlu menjawab soalan-soalan berikut yang timbul ekoran dari pendedahan saya hari ini:

1. Adakah Kementerian Kewangan membeli 51% pegangan di dalam pemaju The Exchange 106 secara senyap-senyap?

2. Bilakah Kementerian Kewangan membeli 51% pegangan itu?

3. Apa niat pentadbiran Dato’ Seri Najib dan 1MDB mengumumkan kejayaan menarik pelabur asing melabur untuk membina menara The Exchange 106, kemudian secara senyap-senyap membeli kembali projek itu?

Sandiwara ini sangat memualkan. Segala bukti setakat ini membayangkan pentadbiran Dato’ Seri Najib menjual tanah milik kerajaan kepada syarikat Indonesia, kemudian dibeli kembali menggunakan duit rakyat pada harga yang berganda lebih tinggi.

Saya akan menyambung pendedahan ini esok dan menunggu maklumbalas 1MDB.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.