Larangan Tidak Boleh Pakai Tudung Tidak Berlaku Jika Ada Akta Peluang Pekerjaan Adil (“Fair Work Act”)

Saya merujuk kepada kontroversi terkini melibatkan sebuah hotel yang tidak membenarkan kakitangan di kaunter depan memakai tudung.

Saya yakin majoriti rakyat Malaysia dan rakyat dunia amnya tidak menilai khidmat sesebuah hotel semata-mata berdasarkan sama ada kakitangan di kaunter depan hotel itu memakai tudung atau pun tidak. Soal boleh memakai tudung atau tidak ini tidak ada kena mengena dengan prestasi kerja, tetapi masih wujud di kalangan segelintir manusia. Prejudis sebegini wujud dalam mana-mana agama, mana-mana masyarakat, mana-mana negara.

Oleh kerana manusia yang ada prejudis sebegini memang wujud dalam mana-mana masyarakat, maka akan ada alasan yang diberikan oleh majikan, persatuan atau kumpulan yang benar-benar percaya pemakaian tudung boleh menjejaskan perniagaan mereka. Kenyataan balas oleh Persatuan Hotel Malaysia yang mempertahankan tindakan hotel tersebut, walaupun mengecewakan, tidak melanggar undang-undang kerana tiada undang-undang mengenai perkara ini.

Sebab itu isu ini akan terus wujud. Selang beberapa bulan, akan timbul isu bagaimana satu majikan tidak membenarkan seorang yang memakai tudung bekerja atau tidak akan mengambil seorang pemohon kerja hanya kerana dia memakai tudung.

Sementara saya faham kekecewaan Ahli Parlimen Temerloh, YB Nasruddin Hassan mengenai perkara ini, saya pula kecewa apabila beliau begitu pantas mengheret sentimen agama dan kaum dalam perkara ini seolah-olah umat Islam telah hilang haknya untuk mengamalkan Islam di negara sendiri (rujuk kenyataan beliau yang dilaporkan Sinar Harian bertarikh 13 November 2017 di capaian http://www.sinarharian.com.my/nasional/larangan-bertudung-cabar-sensitiviti-umat-islam-1.756315)

Sebenarnya isu ini boleh dihentikan dengan berkesan sekiranya ada satu akta yang mengharamkan apa-apa dasar, peraturan atau amalan yang boleh mendiskriminasikan mana-mana individu atau kumpulan atas dasar jantina, kaum, agama atau kelainan upaya.

Saya telah menulis buku bernama “Panduan Bina Semula Negara” yang memperincikan kenapa negara memerlukan satu undang-undang yang menjamin setiap rakyat Malaysia akan mendapat peluang yang adil dan bersesuaian dengan kemahiran serta kerja yang dibuat (baik dari segi mendapat kerja, gaji dan kenaikan pangkat). Keseluruhan muka surat 48 hingga 54 dalam buku itu dikhususkan untuk menerangkan kenapa dan bagaimana undang-undang ini boleh dilaksanakan.

Saya perincikan kembali cadangan-cadangan utama saya dalam buku itu untuk dipertimbangkan rakyat Malaysia:

i.   Menggubal dan menguatkuasa satu akta yang menjamin peluang kerja dan kerjaya yang adil kepada setiap rakyat Malaysia, sekaligus menjadikan sebarang diskriminasi berdasarkan agama, kaum, jantina dan kelainan upaya (contohnya larangan memakai tudung) menyalahi undang-undang yang akan dikenakan hukuman

ii.   Akta itu boleh dinamakan “Akta Keadilan Peluang Kerja dan Kerjaya” atau “Fair Work and Career Opportunity Act”

iii.   Semua diskriminasi secara langsung atau tidak langsung diharamkan dan dikenakan hukuman

iv.   Diskriminasi secara langsung merujuk kepada sebarang perlakuan, amalan, dasar atau peraturan yang dibuat oleh majikan yang menyebabkan seorang pemohon kerja atau pekerja diberi layanan berbeza atau mendapat kelebihan berbanding pemohon atau pekerja lain atas sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya

v.   Diskriminasi secara tidak langsung merujuk kepada sebarang perlakuan, amalan, dasar atau peraturan yang nampak sama kepada semua pekerja tetapi mendatangkan kesan yang lebih negatif kepada seseorang atas sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya. Contoh: seorang pekerja dipecat atas alasan selalu lewat ke mesyuarat tetapi mesyuarat dijadualkan semasa berlangsungnya tanggungjawab agama (seperti sembahyang Jumaat atau waktu ke gereja), sedangkan mesyuarat boleh sahaja dijadualkan di masa yang lain yang tidak bertembung dengan tanggungjawab agama tersebut

vi.   Kaedah melaksanakan dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang di dalam akta ini adalah melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Keadilan dan Kepelbagaian Peluang Kerjaya (SKKPK) atau Equal Opportunity and Diversity Commission (EODC)

vii.   Suruhanjaya ini diberikan kuasa untuk menggubal undang-undang dan peraturan, mengawal selia dan menjadi timbang tara (melalui kaedah tribunal) untuk memastikan semua majikan di negara ini tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana individua tau kumpulan atas sebab-sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya

Saya menghormati pilihan YB Nasruddin Hassan untuk menggunakan kaedah yang sesuai dengan cara beliau untuk mengatasi masalah diskriminasi di tempat kerja, cuma saya berharap ia tidak diberikan dimensi agama dan kaum.

Saya akan terus berkempen supaya satu undang-undang yang menjamin keadilan kepada semua pekerja dikuatkuasakan dengan harapan sebarang tindakan yang tidak membenarkan seorang pekerja memakai tudung dikenakan hukuman yang setimpal kerana telah mendiskriminasi seorang pekerja atas sebab agama.

Saya akan mengedarkan kertas cadangan akta ini kepada ahli-ahli Parlimen yang sedang bersidang dari semua parti untuk mendapat sokongan mereka dalam tempoh seminggu. Jika ada sokongan ramai ahli Parlimen yang merentasi parti dan kaum, saya percaya ia perlu diangkat oleh Menteri Sumber Manusia untuk dijadikan asas sebuah undang-undang dan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI

AHLI PARLIMEN PANDAN

NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

 

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 

Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.