Felda Isytihar Bayar £34 Juta Beli Tanah, Tetapi Hanya £20 Juta Yang Dibayar

Pelaburan Felda yang terbesar di United Kingdom ialah hartanah-hartanah di Wembley, London dengan membeli bangunan sedia ada dan membina bangunan baru untuk disewakan kepada pelajar-pelajar. Setakat ini, dua buah bangunan sedemikian telah siap dan beroperasi iaitu Felda House di alamat 575 North End Road, Wembley HA9 0UU dan Grand Felda House di alamat Empire Way, Wembley HA9 0EF (seperti dibawah):

Saya telah tunjukkan sebelum ini bahawa Felda House didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang ditubuhkan di BVI iaitu FIC Global Limited.

Saya juga telah mendapatkan geran rasmi hakmilik hartanah yang dinamakan Grand Felda House itu. Carian di laman https://data.occrp.org/ iaitu pengkalan data terbesar di dunia yang membabitkan syarikat-syarikat luar pesisir pantai (“offshore companies”) menunjukkan bahawa FIC Global Limited mempunyai dua hartanah di United Kingdom yang didaftarkan di atas namanya (lihat paparan skrin di bawah dari
https://data.occrp.org/entities/5f5d22390b7c4987bdf1ca8faf4d25c2 )

Dari situ, saya telah mendapatkan salinan geran hartanah bernombor NGL705102 seperti di bawah:

Maka, geran hakmilik ini mengesahkan bahawa:

i. Felda telah membeli dua buah bangunan bersebelahan yang sebelum ini diberi nama Dexion House dan Howerine House, masing-masing beralamat di 2-4 dan 5-6 Empire Way, Wembley

ii. Harga pembelian yang didaftarkan di atas geran hakmilik adalah £20 juta atau sekitar RM120 juta

iii. Geran hakmilik didaftarkan di atas nama FIC Global Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di BVI yang didakwa anak syarikat Felda

Untuk memastikan bangunan-bangunan ini benar-benar wujud, saya telah menyemak menggunakan Google Earth seperti berikut:

Felda House yang beralamat di 575 North End Road, Wembley HA9 0UU

Dexion House yang beralamat di 2-4 Empire Way, Wembley

Howerine House yang beralamat di 5-6 Empire Way, Wembley

Ini mengesahkan bahawa Dexion House dan Howerine House adalah dua hartanah yang berbeza dari Felda House yang beralamat di 575 North End Road.

Saya juga menyemak satu laman yang bernama newlondondevelopment.com yang menyenaraikan semua pembangunan baru yang sedang berjalan di London dan mengesahkan memang bangunan bernama Dexion House di alamat 2-4, Empire Way telah diluluskan untuk diubahsuai menjadi asrama pelajar:

Setelah saya pasti bahawa hartanah yang bernama Dexion House ini bukanlah Felda House dan merupakan satu pembelian yang berasingan, saya kemudiannya telah membandingkan maklumat harga yang didaftarkan di atas geran hakmilik dengan maklumat yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang diaudit oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC).

Saya sertakan mukasurat 108 dari penyata kewangan FIC yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 yang memperincikan pembelian-pembelian hartanah FIC di dalam Nota 37:

Daripada dokumen-dokumen ini, jelas ada pertembungan maklumat dan harga yang ketara, seperti berikut:

i. FIC mengisytiharkan di dalam penyata kewangannya yang diaudit bagi 2014 bahawa ia telah membayar £34 juta untuk membeli tanah (dan bangunan sedia ada) yang dikenali sebagai Dexion House 1 dan Dexion House II untuk membina asrama pelajar

ii. Geran hakmilik bagi hartanah-hartanah yang bernama Dexion House (dirujuk Dexion I) dan Haworine House (dirujuk Dexion II) menunjukkan harga yang dibayar sebenarnya hanyalah £20 juta

Jelas bahawa walaupun harga yang diisytiharkan dan dimasukkan di dalam penyata kewangan FIC bagi tahun 2014 adalah £34 juta, sebenarnya hanya £20 juta yang dibayar atau pun benar-benar melibatkan pembelian tanah tersebut.

Ada beza sebanyak £14 juta (bersamaan RM86 juta) yang tidak sampai kepada penjual dan perlu dijawab oleh pengurusan Felda. Tambah pula apabila syarikat yang memegang hakmilik ini adalah sebuah syarikat BVI, sukar untuk memadankan jumlah yang dibayar dengan apa yang direkodkan di dalam FIC Global Limited.

Saya masih menunggu saman dari FIC dan bersedia untuk ke mahkamah untuk mendapatkan penjelasan lanjut kepada soalan-soalan saya ini.

Saya juga akan memberi keterangan di IPD Dang Wangi jam 430 petang ini untuk menyerahkan segala bukti yang saya ada setakat ini agar kes ini dapat disiasat segera.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.