Tahap Sokongan Pengundi Di 52 Kerusi Parlimen Semenanjung Yang Mempunyai Tanah Rancangan FELDA

INVOKE adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menggunakan teknologi terkini termasuklah “big data analytics” untuk mengikuti sentimen rakyat mengenai pelbagai perkara, terutamanya politik.

INVOKE menggunakan kaedah kajiselidik yang dibuat melalui sistem telefon berkomputer (“interactive voice response system”) dan temuramah telefon untuk membina model tahap sokongan politik. Sejak Disember 2016 hingga kini, INVOKE telah membuat pelbagai kajiselidik yang disertai lebih 200,000 orang pengundi berdaftar di seluruh negara.

Maklumat-maklumat seperti ini kemudiannya digabungkan dengan pelbagai maklumat sedia ada seperti demografi pengundi, latar belakang sosio ekonomi pengundi, keputusan PRU12 dan PRU13 di peringkat saluran dan data-data lain untuk membentuk satu model data yang boleh menggambarkan pola pengundian rakyat.

Pasukan Analytics di INVOKE kemudiannya menggunakan kaedah “regression algorithm” dan model-model kebarangkalian untuk menganggarkan tahap sokongan bagi setiap parti politik di setiap kerusi Parlimen.

Setakat semua maklumat yang ada sehingga akhir April 2017, saya sertakan senarai 52 kerusi Parlimen di Semenanjung berdasarkan turun naiknya tahap sokongan kepada Barisan Nasional dalam pertandingan 3 penjuru.

Pola tahap sokongan itu boleh dirumuskan seperti berikut:

1. Hanya 7 kerusi Parlimen yang mempunyai Felda di Semenanjung yang menunjukkan peningkatan undi kepada BN. Kerusi-kerusi ini adalah kerusi Parlimen yang ditandingi calon-calon PH bukan Melayu sama ada dari DAP atau PKR

2. Kesemua kerusi Parlimen yang ditandingi calon Melayu PH menyaksikan penurunan mendadak sokongan kepada BN dalam pertandingan 3 penjuru sehingga 24% di Padang Terap. Malah, kerusi Pekan sendiri menyaksikan penurunan mendadak 23.9% undi

INVOKE mengkaji juga sebab-sebab penurunan mendadak ini dan dapat merumuskan (berdasarkan pelbagai kajiselidik yang dibuat) faktor-faktor utama seperti berikut:

1. Kemelut Felda yang berpanjangan sejak meletusnya isu Felda pada akhir tahun 2016 yang kesannya dirasakan sendiri oleh peneroka-peneroka Felda

2. Skandal di peringkat nasional yang menyelubungi pentadbiran Dato’ Seri Najib

3. Masalah kenaikan harga barang yang meruncing yang juga adalah masalah yang sama di seluruh negara

Menariknya, penurunan tahap sokongan ini adalah sebelum kemelut terkini yang berlaku di FGV. INVOKE masih belum berkesempatan untuk melakukan analisa kepada data-data terbaru tetapi yakin jika pola sentimen pengundi di 52 kerusi Parlimen Felda tidak berubah, peluang untuk melakukan perubahan Kerajaan Persekutuan tidaklah mustahil dalam PRU14 akan datang.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.